Tag: Amerika Syarikat

  • Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    BEKAS rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku menerima sogokan AS$60 juta, menipu bank mengenai transaksi rasuahnya, dan dua kali memalsukan dokumen perceraian untuk mengahwini wanita lain.

    Memetik laporan MalaysiaNow, beliauialah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Roger Ng, bekas rakan sekerjanya di Goldman yang didakwa membantu dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 hingga 2014.

    Pada 2018, beliau mengaku bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

    Beliau juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya dalam perbicaraan mengenai kes melibatkan syarikat itu.

    Roger, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dan kini sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan Brooklyn.

    Sepanjang seminggu memberi keterangan di mahkamah, Leissner menyifatkan gaya hidupnya yang mewah selepas urus niaga melibatkan 1MDB telah menjadikannya sebagai seorang “bintang” di bank itu.

    Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kepada mahkamah langkah-langkah yang diambilnya bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa atas jenayah yang dilakukannya.

    Beliau juga berharap dapat menebus kesalahan yang dilakukannya.

    “Ia bukanlah masa yang membanggakan dalam hidup saya, pada masa itu saya mahu dapatkan lebih banyak wang, walaupun saya sudah dibayar dengan baik,” katanya.

    Pertuduhan terhadap Ng dijalankan selepas siasatan dilakukan terhadap kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang dijual oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

    Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion daripada jumlah jualan itu telah diselewengkan oleh pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan subahat mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

    Pada 2020, Goldman bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengaku bersalah di mahkamah AS.

    Bank pelaburan antarabangsa itu berkata, pada masa penyelewengan berlaku ia tidak “meneliti dengan cermat pasukan pegawainya dalam rundingan urus niaga yang dijalankan.”

    Leissner berkata, Roger yang merupakan pegawai Goldman di Malaysia, secara rahsia menjalin hubungan dengan dalang penyelewengan dana itu di luar Goldman, dan menerima sogokan.

    Bagaimanapun, peguam Roger, Marc Agnifilo mengatakan Leissner berbohong dalam mengaitkan anak guamnya dengan jenayah itu bagi mengurangkan sabitan hukuman.

    Namun, pihak pendakwaan berkata dakwaan Leissner disokong oleh bukti lain.

    Leissner berkata, beliau membelanjakan wang sogokan itu membeli kapal layar bernilai AS$15 juta, pangsapuri di London dan New York, dan membuat pelaburan dalam pasukan bola sepak Itali, Inter Milan.

    Pada 2013, beliau bertemu Kimora Lee Simmons, seorang model AS dan bekas isteri penerbit muzik Russell Simmons.

    Mereka berdua menetapkan tarikh perkahwinan sebelum Leissner memuktamadkan perceraiannya dengan seorang lagi wanita.

    Bagi membolehkan perkahwinan itu dijalankan, Leissner memalsukan dokumen perceraiannya – kali kedua dia melakukan tindakan sedemikian.

    Leissner berkata, akibat perbuatannya, beliau bimbang dirinya akan ditangkap.

    Semasa menyiapkan rundingan urus niaga bon 1MDB terakhir beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013, Leissner berkata beliau bimbang pembangkang memenanginya dan akan menyiasat perkara itu.

    Walaupun Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU-13 itu, Leissner berkata liputan akhbar yang kritikal mengenai 1MDB telah menyebabkan dirinya terus bimbang jika ditangkap.

    Pada Februari 2016, ejen FBI telah menghantar perintah sepina kepadanya.

    Berharap dapat memperolehi permit untuk tinggal di Los Angeles bersama keluarga barunya, Leissner berkata, beliau mengupah seorang peguam untuk memulakan kerjasama dengan kerajaan.

    Leissner bagaimanapun telah ditangkap pada Jun 2018.

    Menurutnya, pengakuan bersalah yang dilakukannya adalah untuk meringankan hukuman dan sedar peluangnya untuk tinggal di AS tidak dapat dilakukan.

    Kini, peguamnya berkata, Leissner dan Lee Simmons tinggal berjauhan.

    “Saya harap saya tidak perlu pergi menjalani hukuman penjara,” kata Leissner.

  • [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    FENOMENA ikan terdampar dalam jumlah yang besar di pinggir pantai merupakan perkara yang kadang-kadang dilihat sebelum berlaku bencana alam seperti tsunami.

    Namun lain pula halnya di bandar Texarkana, Texas, Amerika Syarikat.

    Penduduk di situ terkejut besar apabila mendapati kawasan mereka dihujani dengan ikan-ikan yang turun dari langit.

    Sumber: YouTube

    Pada mulanya mereka menyangka fenomena ganjil itu cuma satu imaginasi.

    Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Texarkana dalam laman Facebook miliknya mengesahkan bahawa kejadian pada 30 Disember lalu itu benar-benar berlaku.

    “Tidak, ini bukan satu jenaka. Hujan haiwan adalah satu fenomena yang berlaku apabila hidupan air yang kecil seperti katak, ketam dan ikan disapu oleh aliran air atau angin di atas permukaan bumi.

    “Haiwan-haiwan tersebut akan gugur semula ke bumi bersama air hujan.

    “Walaupun ia jarang berlaku, fenomena itu memang benar, seperti yang dapat dilihat di beberapa lokasi di Texarkana,” jelas laman Facebook The City of Texarkana, Texas.

    Ramai penduduk Texarkana yang berkongsi gambar dan pengalaman mereka melihat hujan ikan dalam ruangan komen laman Facebook berkenaan.

    ikan langit Texarkana
    Sumber: Facebook City of Texarkana, Texas

    Sekurang-kurangnya mereka beruntung kerana tidak perlu ke pasar untuk membeli ikan dalam masa sehari dua ini.

    Memang sukar dipercayai jika kita tidak melihat sendiri fenomena hujan ikan yang berlaku di Texarkana itu.

    Namun, dengan kuasa dan izin Allah SWT, ia tidak mustahil seperti banyak perkara aneh dan ganjil yang pernah disaksikan di seluruh dunia sebelum ini.

  • Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    EMPAT orang cedera dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di pinggir bandar Chicago pada Khamis, lapor Xinhua.

    Kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang. (2345 GMT) di pusat beli-belah Oakbrook Center, apabila dua lelaki berbalas tembakan di kawasan koridor di bahagian timur pusat beli-belah itu, kata Ketua polis Oak Brook James Kruger pada sidang akhbar.

    Seorang daripada lelaki itu cedera dan telah ditahan. Tiga orang awam turut dilaporkan cedera.

    Polis telah menahan dua suspek terbabit dan sedang menyiasat kemungkinan suspek ketiga. – BERNAMA

  • Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken hari ini memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.

    Blinken berkata, kerana kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.

    “Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa COVID-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.

    “Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.

    Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

    Beliau berkata AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin COVID-19 dapat diagihkan secara saksama.

    “Menjelang 2022, AS menjangkakan untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia, kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya. – BERNAMA

  • Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    SEKURANG-kurangnya seorang maut dan 12 yang lain cedera selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kedai runcit berhampiran Memphis di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

    Penyerang turut maut, kemungkinan suspek menembak diri sendiri, kata Ketua Polis Collierville, Dale Lane pada sidang media. 

    Katanya, polis sedang menunggu peralatan khas untuk melakukan siasatan ke atas kenderaan suspek yang diletakkan di tempat letak kereta Pasaraya Kroger. 

    Laporan awal menyatakan 13 orang dilaporkan cedera dan jumlah mangsa mungkin akan berubah.

     “Kejadian ini mengerikan. Saya telah terlibat selama 34 tahun dan tidak pernah melihat perkara seperti itu,” katanya.- BERNAMA

  • AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    RAKYAT Amerika Syarikat (AS) yang sudah divaksin sepenuhnya digesa memakai pelitup muka semasa berada di tempat tertutup di negeri-negeri yang mencatatkan penularan jangkitan dengan banyak, kata pihak berkuasa kesihatan AS, semalam.

    Agensi berita Reuters yang memetik panduan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) AS turut mencadangkan pemakaian pelitup muka ke atas semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah tanpa mengira mereka sudah divaksin atau sebaliknya.

    Jangkitan Covid-19 didapati sedang meningkat di AS berikutan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit atau merangkumi lebih 80 peratus kes Covid-19 di Amerika.

    Presiden AS, Joe Biden berkata, peningkatan vaksinasi dan pemakaian pelitup muka akan membantu Amerika Syarikat mengelak perintah berkurung termasuk penutupan sekolah akibat pandemik itu pada 2020.

    “Kita tidak akan kembali kepada situasi itu (perintah berkurung),” kata Biden.

    Menurut CDC, 63.4 peratus daerah di Amerika menunjukkan kadar peningkatan jangkitan Covid-19, cukup untuk mewajibkan penduduk untuk memakai pelitup muka di tempat tertutup dan dasar itu patut diteruskan dengan segera.

    Manhattan, Los Angeles dan San Francisco memenuhi kriteria kepada pemakaian pelitup muka termasuk bagi seluruh negeri Florida kecuali Chicago dan Detroit.

    Presiden Persekutuan Guru Amerika, Randi Weingarten memuji panduan baharu CDC itu dengan menyifatkannya sebagai langkah berwaspada perlu sehingga kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh divaksin ketika lebih banyak remaja berusia 12 tahun ke atas divaksinasi.

    Panduan CDC untuk sekolah sebelum ini hanya meminta mereka yang belum divaksin agar memakai pelitup muka.

    Bagaimanapun, cadangan terbaharu CDC itu tidak digazetkan dan kebanyakan rakyat Amerika terutamanya di negeri dikuasai Parti Republikan mungkin memilih tidak mengikuti panduan berkenaan.

    Sekurang-kurangnya lapan buah negeri melarang sekolah daripada mewajibkan pemakaian pelitup muka.

    Gabenor Arizona seorang ahli Parti Republikan, Doug Ducey berkata, Arizona tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perkara itu telah diluluskan dan tidak akan diubah

    AS mendahului negara-negara dunia dari segi purata jangkitan baharu kes Covid-19 setiap hari dengan purata tujuh hari bagi kes baharu menunjukkan peningkatan mendadak kepad 57,126 kes.