Tag: Aidiladha

  • Bersedia hadapi kesesakan LPT2 semasa Aildiladha

    Bersedia hadapi kesesakan LPT2 semasa Aildiladha

    PARA pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang merancang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Pantai Timur, disaran untuk bersiap sedia menempuh kesesakan dan tempoh perjalanan lebih panjang pada hari puncak dalam sekitar 8 hingga 12 Julai ini.

    Pengarah LPT2 Sdn Bhd, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya menjangka lebih 55,000 kenderaan akan menggunakan laluan LPT2 pada setiap hari puncak dalam tempoh berkenaan berbanding 18,000 kenderaan pada hari-hari biasa.

    “Kekerapan rondaan oleh LPT2Ronda akan ditambah untuk memberi bantuan kepada kenderaan dan pengguna yang memerlukan bantuan di lebuh raya.

    “Sepanjang tempoh Aidiladha ini juga, kira-kira 50 anggota LPT2Ronda akan meningkatkan rondaan, terutama di beberapa lokasi kritikal di LPT2 di laluan sepanjang 184 kilometer antara Jabor dan Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jarak jauh.

    Zakaria berkata jika pengguna memerlukan bantuan di LPT2, mereka boleh menghubungi talian hotline LPT2 dengan menelefon 1800-88-0220 dan maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter LPT2trafik, serta papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen-stesen radio utama. – BERNAMA

  • Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah, kemuncak ibadah Haji umat Islam, jatuh pada hari Jumaat 8 Julai ini dan Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi akan disambut keesokannya pada Sabtu 9 Julai.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan Mahkamah Agung negara itu melaporkan, pengumuman itu dibuat selepas anak bulan Zulhijjah dilihat di balai cerap Tamir, Arab Saudi pada petang Rabu.

    Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan sejuta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di kawasan bukit berbatu yang dikenali sebagai Bukit Arafah dan kawasan lapang sekitarnya, bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

    Tahun ini menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT di Bukit Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah.

    Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai 2022.

    Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, menurut kiraan rukyah, anak bulan “tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura setelah terbenamnya matahari pada Rabu.”

    “Ini bererti 30 Jun genap 30 hari bagi bulan Zulkaedah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

    Oleh itu, Dr Nazirudin berkata “hari pertama bulan Zulhijjah 1443H di Singapura, jatuh pada Jumaat, 1 Julai 2022 dan Hari Raya Haji, jatuh pada Ahad, 10 Julai 2022.”

    Video pengumuman permulaan Zulhijjah 1443H/2022 untuk Singapura itu turut dimuatkan di laman Facebook MUIS.

    “Semoga segala amal ibadah kita pada bulan Zulhijjah ini diterima dan semoga mendapat Aidiladha yang diberkati, dengan menghayati maksud dan erti pengorbanan yang sebenar,” kata Dr Nazirudin.

    Sementara itu di Indonesia, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Zainut Tauhid berkata 1 Zulhijjah 1443H bersamaan 1 Julai, dan Hari Raya Haji akan disambut pada 10 Julai.

    Umat Islam mewakili hampir 90 peratus daripada 270 juta populasi negara itu.

    Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon turut mengumumkan Hari Raya Haji jatuh pada 10 Julai.

    “Semua umat Islam di Thailand diminta laksanakan kewajipan agama pada tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata umat Islam Thailand sepatutnya dapat melihat anak bulan selepas matahari terbenam pada Rabu, bagaimanapun anak bulan itu tidak kelihatan. – BERNAMA

  • Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    ISU penggantungan kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu khususnya untuk sambutan Aidiladha.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia kerana permintaan tinggi bagi aktiviti korban sempena perayaan itu adalah khusus terhadap lembu hidup.

    “Masalah (terjejas) bekalan tidak timbul kerana selalunya kalau (daging) permintaan tinggi pada musim perayaan Aidilfitri, (manakala) Aidiladha orang tunggu lembu hidup.

    “Jadi insya-Allah tidak ada isu dan (bekalan daging terjejas) pun ditampung oleh tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Johor Bahru malam tadi.

    Beliau diminta mengulas mengenai sama ada penggantungan kelulusan loji sembelihan itu akan menjejaskan bekalan daging ketika Aidiladha atau sebaliknya.

    Mengenai status penggantungan itu, Idris berkata, perkara itu masih dalam proses siasatan.

    Pada 14 Mei lepas, dilaporkan bahawa kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei lepas. – BERNAMA