Tag: Ahmad Samsuri Mokhtar

  • Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai parti itu seperti beberapa ahli politik lain yang akan turut berbuat demikian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Pas berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran UMNO, bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Ketereh.

    “Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau menambah, pemimpin lain yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas tidak lama lagi, namun beliau tidak mengulas lanjut.

    Annuar dipecat daripada UMNO Disember lalu dan timbul spekulasi bahawa beliau akan menyertai Pas tidak lama lagi.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu pada Februari berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang padan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.

    Menyentuh perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.

    “Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.

    Pada Februari, Samsuri berkata, beliau berharap kerajaan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.

    Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Perbendaharaan sama ada pemberian sebelum ini adalah bayaran royalti petroleum.

    Bagaimanapun, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% kerana Petronas mengekstrak minyak mentah melebihi had tiga batu nautika.

    Pemberian khas itu juga dipanggil “wang ehsan” pada masa lalu. Tahun lepas, wang ehsan bernilai RM344.60 juta telah dibayar kepada Kelantan manakala Terengganu menerima RM1.69 bilion.

  • Anwar jamin DKKP dibayar seperti biasa, kata Ahmad Samsuri

    Anwar jamin DKKP dibayar seperti biasa, kata Ahmad Samsuri

    MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan, Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Terengganu akan diteruskan sebagaimana kebiasaan.

    Menurut beliau, keputusan itu diperoleh selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

    Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, beliau menyifatkan ia berlangsung positif dengan beberapa isu berkaitan rakyat dan negeri diketengahkan.

    “Sebagaimana saya maklumkan dalam Facebook dan Instagram bahawa perbincangan ceria dan penuh keterbukaan.

    “Berkenaan royalti (dikenali sebagai DKKP), ada juga dibincangkan dan akan diberikan sebagaimana biasa sebelum ini.

    “Berapa banyak? Itu bergantung kepada harga minyak tahun sebelum ini, kita juga tidak tahu jumlahnya sekarang ini.

    “Saya jangka mungkin sebelum akhir bulan ini duit itu akan masuk ke negeri Terengganu, dan kita akan tahu banyak atau sedikit,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini.

    Ahmad Samsuri berkata, dijangka nilai yang diterima mungkin agak banyak berikutan harga minyak yang tinggi tahun lalu.

    “Peratusannya tidak dimaklumkan, cuma dikatakan sebagaimana sebelum ini. Insya-Allah, akan ada beberapa keputusan penting yang akan dilaksanakan YAB Perdana Menteri.

    “Tunggulah, antara agendanya berkaitan pembangunan, kewangan dan semua itu dalam keadaan terbaik setakat ini,” katanya.

    Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan aktivis kemanusiaan, Hussin Ismail sebagai Senator Dewan Negara hari ini.

    “Beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang lama dalam pentadbiran dan politik serta mempunyai kelayakan untuk membawa agenda ke dewan negara,” katanya.

  • DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dijangka dilakukan sebelum 1 Julai nanti.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana pihaknya berpendapat pentadbiran DUN Terengganu perlu dikekalkan sehingga tempoh penggal berakhir pada 30 Jun.

    “Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2022 & Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad.

    Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN serentak melibatkan enam negeri yang belum membubarkan DUN, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memudahkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau sudah bertemu dengan salah seorang menteri besar di Kuala Lumpur pada Sabtu dan bersetuju supaya pemimpin enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal itu.

    “Kebetulan kami semua ada di Kuala Lumpur sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja yang akan bermula Isnin hingga Khamis, jadi kami akan cuba celah mana-mana waktu sesuai.

    “Pembubaran daripada negeri-negeri boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah mesyuarat SPR untuk menentukan tarikh yang paling sesuai PRN,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan perbincangan mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu terpaksa ditangguhkan.

    Bagaimanapun katanya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbincang tentang prinsip dan dasar rundingan agihan kerusi.

    “Team Perikatan Nasional akan berjumpa dalam tempoh terdekat, kita jangka kira-kira dua minggu akan datang,” tambahnya, , lapor BeritaBersatu.

  • Pemberian wang kepada pengundi, Pas sedia beri kerjasama

    Pemberian wang kepada pengundi, Pas sedia beri kerjasama

    PAS sedia memberi kerjasama kepada agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, setakat ini, tiada pemimpin daripada parti itu dipanggil SPRM berhubung isu tersebut.

    “Saya tak pasti, tetapi saya rasa SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus, Insya-Allah, saya tak pasti siapa yang dipanggil dan sebagainya.

    “Setakat ini, belum ada (pemimpin Pas dipanggil) tetapi (kita) sedia bekerjasama dengan SPRM dan mana-mana agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

    Terdahulu, sebuah portal melaporkan SPRM mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada PRU15.

    Menurut sumber, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

  • PRN: PN runding agihan kerusi 7 Februari ini

    PRN: PN runding agihan kerusi 7 Februari ini

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengadakan rundingan agihan kerusi melibatkan parti komponennya pada 7 Februari ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perbincangan barisan kepimpinan peringkat pusat itu akan diadakan di ibu negara membabitkan enam negeri yang belum mengadakan PRN.

    “Perbincangan kerusi diadakan di peringkat pusat pada minggu depan.

    “Ada pun di negeri-negeri mereka (parti komponen) sebut nak itu nak ini, itu adalah perkara biasa, anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam, mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu.

    Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu yang dipertandingkan dalam PRN nanti sekali gus mengekalkan pembentukan kerajaan negeri.

    Beliau yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, berdasarkan reaksi positif rakyat dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pihaknya yakin dapat mempertahankan 22 kerusi Pas dan merampas 10 kerusi milik UMNO.

    “Dalam PRU15, kita mendapat majoriti selesa di 31 kerusi. Cuma satu kerusi saja kita tewas dengan majoriti tipis, jadi dengan apa yang berlaku di peringkat pusat dan sebagainya, akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

    Sementara itu, ditanya sama ada Terengganu akan mengikut jejak langkah Kedah yang akan membubarkan DUN selepas 18 Jun, Menteri Besar Terengganu itu akan mempertimbangkan keputusan tersebut.

    “Kita akan pertimbangkan apa yang disebut MB Kedah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebanyak enam negeri yang tidak membubarkan DUN pada PRU15 lalu akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

  • PRN: Pas jumpa pimpinan negeri PH bincang tarikh

    PRN: Pas jumpa pimpinan negeri PH bincang tarikh

    PAS akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) pada masa sesuai bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri (PRN).

    Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menghubungi pimpinan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam waktu terdekat untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan.

    “Apabila saya berada di Kuala Lumpur, saya boleh telefon atau WhatsApp mana-mana Yang Amat Berhormat (ketua menteri dan menteri besar) dan kita berjumpa, begitu sahaja tapi itu yang secara tidak rasmi,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan ‘Flag Off’ Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong di Setiu, semalam.

    Ditanya sama ada Pas sudah menetapkan tarikh PRN, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia tidak diputuskan sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain.

    “Tunggu kita berjumpa dahulu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

    Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilaporkan berkata, adalah lebih baik enam negeri yang belum membubarkan DUN mengadakan PRN secara serentak iaitu selepas habis penggal tahun hadapan.

    Jelasnya, pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan adalah wajar bagi memudahkan pengundi mendapatkan cuti selain memastikan kos mengadakan PRN di semua negeri itu tidak terlalu tinggi.

    PH kini mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah dipimpin PN.

  • KJ ucap terima kasih tapi tolak pelawaan sertai PN

    KJ ucap terima kasih tapi tolak pelawaan sertai PN

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berterima kasih di atas pelawaan Pas agar beliau menyertai mana-mana parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) jika dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO.

    Bagaimanapun Khairy yang dipetik Berita Harian menolak tawaran berkenaan dengan memilih untuk kekal bersama UMNO.

    “Saya ucap terima kasih atas pelawaan Pas untuk sertai PN tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa UMNO,” katanya sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Terdahulu di Kuala Terengganu, Ahmad Samsuri mempelawa Khairy menyertai mana-mana parti komponen PN jika dipecat daripada UMNO.

    Sambil mengucapkan terima kasih atas pelawaan itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan akan terus kekal dengan UMNO.

    Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilaporkan berkata PN dan Pas bersedia menerima Khairy jika dipecat oleh partinya.

    Beliau berkata Khairy boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.

    Katanya, seluruh kepemimpinan Pas dan PN menganggap penyertaan Khairy dalam gabungan itu diibaratkan sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

    Difahamkan, UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) petang esok bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy, menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.

    Ahmad Samsuri turut mengakui Khairy adalah pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.

  • PN, Pas sedia terima Khairy jika dipecat UMNO, kata Samsuri

    PN, Pas sedia terima Khairy jika dipecat UMNO, kata Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Perikatan Nasional (PN) dan Pas bersedia menerima bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyertai parti itu jika bekas Ketua Pemuda UMNO tersebut dipecat partinya.

    Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.

    Jelas beliau, seluruh kepimpinan Pas dan PN mengibaratkan penyertaan Khairy dalam gabungan itu sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

    “Pimpinan parti dalam PN sentiasa bersikap terbuka dan penyertaan mana-mana pemimpin politik atau individu untuk bersama melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat,” katanya hari ini.

    Beliau ditemui media selepas merasmikan Seminar Teknologi dan The Future Of Growth 2.0, di Kuala Terengganu. Yang turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalal.

    Ahmad Samsuri berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada Pas dan PN bersedia menerima kemasukan Khairy jika dikenakan tindakan termasuk digugurkan daripada keahlian oleh Lembaga Disiplin UMNO.

    Difahamkan, UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) petang esok bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy, menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.

    Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri mengakui Khairy adalah pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.

    “Pandangan saya adalah Khairy pemimpin yang mampu melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat.

    “Kita mengalu-alukan dan bersedia menerima penyertaan Khairy untuk bersama dengan PN,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beberapa laporan sebelum ini menyebut mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya kelmarin atau semalam akan membincangkan mengenai pemecatan Khairy kerana dikatakan melanggar ketetapan parti.

    Perkara itu dinafikan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menjelaskan tiada mesyuarat berkenaan berlangsung semalam.

    Ahmad Maslan dalam jawapan kepada BH menerusi WhatsApp semalam menjelaskan tiada mesyuarat MKT UMNO petang semalam yang dilaporkan bagi membincangkan mengenai status keahlian Khairy.

    Terdahulu, portal berita melaporkan status keahlian Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan itu akan ditentukan petang semalam melalui mesyuarat parti.

    Namun difahamkan mesyuarat MKT UMNO akan hanya diadakan pada Jumaat ini.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka ‘mengkritik’ beberapa pemimpin UMNO, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

    Khairy yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut mahu ‘membersihkan’ UMNO jika menang di kerusi itu sebelum ini.

  • Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    KERAJAAN negeri Terengganu berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan mengamalkan politik sengketa dalam hubungan dengan negeri di bawah pembangkang.

    Bagaimanapun menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,pendekatan itu terpulang kepada kepimpinan Kerajaan Pusat itu sendiri.

    “Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta Kerajaan Persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

    “Segala perbincangan, penyelarasan serta pertemuan perlu dihormati dalam melaksanakan jadual bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Daerah Besut (Kota Putera dan Kuala Besut) di Kota Putera Square, Kampung Raja Besut, di sini, hari ini.

    Ahmad Samsuri mengulas mengenai dakwaan Terengganu dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat dalam agihan bantuan kepada mangsa banjir, apabila peruntukan tidak disalurkan menerusi kerajaan negeri, sebaliknya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

    Beliau berkata, namun Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini, belum lagi mencapai 60 atau 100 hari.

    “Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    BANTUAN Khas Tunai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Terengganu dijangka mula diagihkan pada Januari hingga Februari depan.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana pihaknya perlu meneliti serta mendapatkan senarai mangsa daripada jabatan serta agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.

    Beliau berkata 10,000 KIR dijangka akan menerima bantuan itu bagi meringankan beban selepas mengalami kerugian harta benda akibat banjir teruk bermula 18 Dis lepas.

    “Mekanisme (bantuan) adalah seperti amalan sebelum ini iaitu secara tunai untuk ringankan beban mangsa,” katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, hari ini.

    Menurutnya bagi bantuan selain wang tunai, ia akan diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada kerajaan negeri, dan ketika ini kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir bagi membolehkan mangsa dapat pulang ke rumah dengan selamat.

    “Paling penting semua mangsa dapat pulang ke rumah, untuk seminggu ini fokus kepada kerja pembersihan dahulu. Keperluan lain akan diteliti oleh JPKK masing-masing kerana masalah setiap orang tak sama,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata beliau akan memohon supaya kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring Fasa Dua bagi mengatasi masalah banjir teruk di kawasan Kuala Nerus.

    Katanya projek fasa satu yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini juga perlu kepada penambahbaikan bagi menghadapi banjir luar jangka seperti yang berlaku minggu lepas.

    “Banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah. Projek tebatan yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sebelum ini adalah berdasarkan keadaan lama.

    “Berdasarkan situasi semasa perlu ada penambahbaikan untuk tebatan lama. Insya-Allah JKR dan JPS akan cari jalan untuk selesai perkara ini,” katanya. – BERNAMA