Tag: Ahmad Maslan

  • Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    MEDIAN simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua kaum turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik Covid-19, menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

    Beliau berkata, ketika Covid-19, seramai 8.1 juta ahli mengeluarkan RM145 bilion untuk kesemua empat jenis pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas daripada April hingga Mei 2022.

    “Median simpanan kaum Melayu yang terdiri daripada tujuh juta ahli menyusut kepada RM5,500 (sekarang) daripada RM16,900 pada April 2020.

    “Jadi, ini adalah antara sebab kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad berkata, bagi ahli KWSP Bumiputera lain, sebanyak 1.4 juta orang turut menyaksikan median simpanan mereka merosot kepada RM3,300 berbanding sebelum Covid-19 iaitu RM10,600.

    Kelmarin, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi perbahasan Titah Diraja di Parlimen meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas. – BERNAMA

  • UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.

    Beliau berkata ia selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung UMNO bulan lepas. 

    “Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

    Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.

    Beliau menyeru Ahli Parlimen lain untuk bukan sahaja menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah tetapi juga memastikan kestabilan politik negara dicapai.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata arena politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperolehi sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.

    “Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini,” katanya.

    Terdahulu, ketika bertitah di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

    Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

    Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati yang terbuka. – BERNAMA

  • Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan beliau tidak diberi sebab dan alasan mengapa UMNO mengggantung keahliannya selama enam tahun.

    Bekas naib presiden UMNO menyatakannya selepas menerima surat penggantungan daripada Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

    “Baru sahaja menerima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya di Facebook lapor FMT.

    Surat itu turut dimuat naik di Facebooknya.

    Surat bertarikh 30 Jan dihantar Ahmad itu hanya menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan penggantungan keahlian UMNO Hishammuddin selama enam tahun bermula 27 Jan lalu.

    “Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT pada 27 Jan 2023 telah memutuskan bahawa YB (Hishammuddin) digantung hak-hak keahlian dalam parti bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan YB melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” kata Ahmad menerusi surat rasmi kepada Hishammuddin.

    Sebelum ini UMNO memaklumkan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dipecat atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika PRU-15.

    Sementara itu, Ahmad berkata keahlian Hishammuddin, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan pemimpin UMNO Tebrau Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.

  • UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tidak mempelawa pemimpin parti lain termasuk yang menganggotai kerajaan perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PAU 2022 hanya membabitkan ahli UMNO, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan “Friends of BN”.

    Katanya, ia untuk menyelesaikan isu dalaman parti serta gabungan itu.

    “Bukan sahaja parti lain, malah duta asing juga kita tak jemput, tidak seperti sebelum ini. Setakat ini, itulah keputusannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Ahmad berkata, keputusan tidak menjemput parti lain dan duta asing itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno mungkin menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri majlis perasmian PAU 2022.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

  • PRU-15: UMNO percaya boleh diadakan sebelum pertengahan November

    PRU-15: UMNO percaya boleh diadakan sebelum pertengahan November

    UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum pertengahan November, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Bagaimanapun beliau berkata UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15.

    “UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik, memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), dalam mentadbir negara.

    “Malah mengisytiharkan UMNO dan BN (Barisan Nasional) sebagai musuh utama, hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan,” katanya yang membaca kenyataan media selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini, malam ini.

    Terdahulu hari ini, Ismail Sabri dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen Ke-14 memaklumkan, beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam, bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen Ke-14.

    Menyentuh mengenai pembubaran Parlimen, Ahmad berkata UMNO turut menjunjung kasih perkenan Al-Sultan Abdullah membubarkan Parlimen Ke-14.

    “UMNO menghormati titah Tuanku, bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik tidak menentu, bahkan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan, yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya.

    Berhubung perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MT UMNO, Ahmad berkata mesyuarat itu membincangkan beberapa isu gerak kerja dan persiapan jentera untuk menghadapi PRU15 setelah Parlimen Ke-14 dibubarkan secara rasmi petang tadi.

    “Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”, tema seumpama ini telah digunakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Ia akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi BN,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 Nov ini, akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

    Petang tadi Ahmad menerusi hantaran di laman Twitter beliau memaklumkan, UMNO hari ini mengadakan mesyuarat khas biro politik serta majlis tertinggi parti itu susulan pengumuman Ismail Sabri berhubung pembubaran Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan. – BERNAMA

  • UMNO yakin PRU-15 antara Oktober hingga Disember

    UMNO yakin PRU-15 antara Oktober hingga Disember

    UMNO yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan di antara Oktober hingga Disember ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Memetik laporan Berita Harian, Ahmad berkata, keyakinan disandarkan kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

    Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

    “UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

    “Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

    “Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di Pontian, hari ini.

    Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ mengenai pembubaran Parlimen.

    “Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum ke-15…. percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran),” kata Perdana Menteri semalam.

    Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menerusi laporan tersebut juga mengesahkan pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

    Katanya, walaupun ‘Top Five’ sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.

    “Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ secara tidak rasmi.

    “Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top Five’ diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

    “Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top 5’ di luar,” katanya.

    ‘Top Five’ UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

  • Usul SOSMA: Ahmad Maslan tak tahu ada undian

    Usul SOSMA: Ahmad Maslan tak tahu ada undian

    AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui beliau merupakan salah seorang daripada 50 wakil rakyat yang tidak hadir semasa proses undi belah bahagian usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dijalankan di Dewan Rakyat semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu menyangka tiada undian dijalankan sebelum usul tersebul dibentang untuk kelulusan.

    Selain itu, beliau memberi alasan perlu menghadiri mesyuarat berkaitan majlis perkahwinan anaknya yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

    Ahmad yang yang juga Setiausaha Agung UMNO yakin usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan ekoran Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang.

    “Semalam, sebelum Hamzah menggulung saya dipanggil untuk berbahas oleh Cameron Highlands (Datuk Ramli Mohd Nor) tetapi saya tak nak berucap, maka saya tak berucaplah.

    “Selepas itu baru Hamzah menggulung kemudian saya pun keluar dan bila saya keluar saya tanya dua, tiga orang pegawai ada mengundi ke?

    “Dia orang pun jawab mana ada mengundi, dah tandatangan MOU, tak ada mengundi.

    “Oleh kerana saya pun ada mesyuarat perkahwinan anak saya, Ahad ini dan kerana tak ada mengundi maka saya pun tak adalah nak menunggu Hamzah.

    “Itulah sebabnya,” kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa, seramai 31 penyokong kerajaan tidak hadir semasa undi belah bahagian dilakukan.

    Seperti yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    Usul yang dibentang Hamzah itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

    Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

    “Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.

    Kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen itu disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

  • Ahmad pernah ditawar kompaun, tetapi pilih bicara

    Ahmad pernah ditawar kompaun, tetapi pilih bicara

    AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 namun beliau memilih untuk dibicarakan di mahkamah ketika itu.

    Perkara itu dijelaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media, hari ini.

    “Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 pada 20 Januari 2020.

    “Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” kata SPRM.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Ahmad dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001.

    SPRM turut menjelaskan bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah AMLATFPUAA 2001.

  • Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan disokong sepenuhnya oleh kesemua 18 Ahli Parlimen dari PAS.

    Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, sokongan itu akan dinyatakan apabila usul berkaitan perkara itu dibentang dalam sidang Parlimen bermula 13 September nanti.

    Katanya, kes dihadapi Ahmad Maslan di mahkamah tidak seharusnya dijadikan isu kerana seseorang individu itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dijatuhkan hukum.

    “Insya Allah 18 Ahli Parlimen Pas akan beri sokongan kepada Ahmad Maslan.

    “Selagi hukuman tak dijatuhkan, tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi terjejas akibat tragedi kepala air di Titi Hayun, dekat Yan, Kedah, hari ini.

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat sokongan daripada PAS.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan baru-baru ini.

    Mohamed Nazri berkata, pencalonan Ahmad bagi menggantikan Azalina adalah satu keputusan tepat kerana kerusi itu perlu diisi oleh calon blok kerajaan.

    Pada masa yang sama, blok pembangkang turut mengitar semula Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon mereka bagi mengisi jawatan tersebut.

  • Timbalan Speaker: DAP tolak Ahmad, kitar semula Kor Ming

    Timbalan Speaker: DAP tolak Ahmad, kitar semula Kor Ming

    WALAUPUN spekulasi berhubung pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat masih belum disahkan, DAP terlebih dahulu menyuarakan bantahan.

    Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kemuliaan dan ketinggian Dewan Rakyat sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya ‘kluster mahkamah’ dilantik memegang jawatan tersebut.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau memberitahu, Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Januari tahun lalu.

    “Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen,” katanya.

    Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Beliau mengundurkan diri bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

    Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak menambah, masih ramai calon lain yang lebih sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

    Malah beliau berpandangan, Dewan Rakyat akan menjadi bahan jenaka di dalam dan luar negara sekiranya kluster mahkamah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuanya.

    Sementara itu, bercakap kepada Free Malaysia Today, Ahmad meminta rujukan dibuat kepada Pejabat Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung khabar angin mengenai pelantikannya.

    “Sila rujuk Pejabat Speaker dan Timbalan YB Rashid. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

    Namun, pada masa yang sama, DAP Perak juga membuat lawak jenaka apabila ingin bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dikitar semula untuk memegang jawatan tersebut.

    Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jawatan tersebut wajar diberikan kepada pembangkang sebagai usaha memastikan pembaharuan insititusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik.

    Menurut beliau, jika perkara itu dapat dilaksanakan sekarang ia akan pasti akan dilaksanakan pada penggal-penggal yang akan datang.

    “Pihak Pakatan Harapan (PH) juga seperti diumumkan sebelum ini telah mencalonkan Kor Ming iaitu bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat selama 25 bulan semasa kerajaan PH untuk kembali menjawat jawatan berkenaan dan tindakan ini amat penting kerana kita tahu sekiranya kita mahu Parlimen kita menjadi satu contoh.

    “Namun apabila kami dengar (Ahli Parlimen Pontian) Ahmad Maslan mungkin akan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker, itu merupakan perkembangan yang amat menyedihkan kerana kita mungkin hilang satu peluang keemasan untuk memantap institusi Parlimen yang kita ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, Ipoh, hari ini.

    Kah Woh menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya mengambil peluang tawaran gencatan politik dengan pembangkang ketika ini dengan memilih Ahli Parlimen pembangkang untuk memegang jawatan tersebut.

    Jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, biarpun ahli-ahli Parlimen pembangkang belum menerima sebarang notis mengenai pencalonan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, pandangan Azalina perlu dipertimbangkan.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gakah, V Sivakumar berkata, jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu digalas oleh individu yang bersih daripada pertuduhan mahkamah.

    Menurut beliau, mereka yang mempunyai kes di mahkamah tidak wajar diberikan sebarang jawatan apatah lagi kedudukan mulia seperti Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Sehubungan itu, Sivakumar menyarankan supaya semua 220 Ahli Parlimen memilih calon daripada PH yang mempunyai pengalaman dan kredibiliti.