Tag: Abdul Hadi Awang

  • Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    TAN Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengingatkan akan kewajipan mengundi kepada rakyat negara ini setiap kali mereka berdepan pilihan raya.

    Menurut Presiden Pas itu, kegagalan mengundi boleh mengakibatkan politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam sekali gus mengundang pelbagai azab di dunia.

    Namun Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, sebahagian umat Islam itu sendiri mengabaikan tanggungjawab tersebut apabila ada yang tidak mahu turun mengundi.

    “Malah (sebahagian umat Islam) menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat.

    “Kesannya, politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam atau tidak memahami Islam dengan makna yang sebenar, lantas mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, demokrasi pilihan raya hakikatnya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab karangan para ulama Siyasah al-Syar‘iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

    Beliau berkata, demokrasi pilihan raya kemudian dicedok oleh pihak Barat semasa mereka menjarah tanah air umat Islam.

    “Marilah kita umat Islam sama-sama kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan melibatkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik,” tambahnya.

  • PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang percaya Perikatan Nasional (PN) masih di hadapan dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10 sekali gus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu sedang mengusahakan perkara itu dan meminta rakyat kekal bertenang.

    Malah menurut Presiden Pas itu, beliau yakin PN berada di pihak yang benar.

    “Kekal tenang. Kita (PN) sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

    “Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook, hari ini.

    Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diketuai PN.

    Hari ini, satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    PRU-15 pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. 

  • ‘Kami dah cukup dan hantar, tunggu untuk diundang’, kata Hadi

    ‘Kami dah cukup dan hantar, tunggu untuk diundang’, kata Hadi

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu hanya menunggu untuk diundang ke Istana Negara setelah menyerahkan surat akaun bersumpah (SD) daripada semua ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    Dalam kenyataan ringkas dalam akaun media sosial beliau, Hadi berkata gabungan itu sudah mempunyai SD mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    “Kami dah cukup. Kami dah hantar. Tunggu untuk diundang,” kata Presiden Pas itu hari ini.

    Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan media berkata, gabungan itu telah menyerahkan lebih daripada 112 akuan berkanun menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri, kepada Agong.

    “Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    “Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • [TIDAK RASMI] Abdul Hadi mendahului di Marang

    [TIDAK RASMI] Abdul Hadi mendahului di Marang

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendahului di Parlimen Marang dengan majoriti 3,392 undi setakat pukul 8.20 malam.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memperoleh 6,689 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman memperoleh 3,297 undi.

    Dua lagi calon iaitu Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Dr Zarawi Sulong masing-masing memperoleh 275 undi dan 64 undi.

    Setakat ini lapor Berita Harian, sebanyak 23 daripada 233 peti diterima di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Majlis Daerah Marang di sini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Parlimen Marang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya, Abdul Hadi yang ditentang calon BN, Jasmira; PH, Azhar dan Pejuang, Zarawi.

    Pada PRU14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

    Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi)

  • Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    SAF kepimpinan PAS diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau sebaliknya menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

    Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

    “Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang,’ kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah. Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi. 

    “Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka dekat sini malam tadi.

    Sementara itu Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerjasama dengan Barisan Nasional tidak akan berlaku sama sekali.

    Beliau berkata PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

    “Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah. Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya. 

    Turut hadir Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon PAS Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan calon PAS Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli. – BERNAMA 

  • Anwar pernah gagal selesai masalah ekonomi negara – Hadi

    Anwar pernah gagal selesai masalah ekonomi negara – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kemampuan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa penyokongnya mampu memulihkan isu ekonomi dan kewangan negara.

    “Berapa tahun jadi Menteri Kewangan? Kononnya dia (Anwar) rapat dengan Bank Dunia. Apa boleh buat dengan Bank Dunia?” kata Hadi mengimbas situasi semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990-an dahulu.

    Mengulas lanjut Hadi mendakwa, beliau tahu Dr Mahathir sangat marah kerana Anwar membuat pinjaman Bank Dunia.

    “Pinjaman mudah je, tapi interest dia, terikat Malaysia. Tun Mahathir panggil ahli-ahli ekonomi Malaysia selesaikan masalah. Menteri Kewangan tak boleh selesai. Macam mana nak selesai ekonomi dulu,.

    “Masa pentadbiran 22 bulan PH, apa beliau buat. Janji manifesto pun tak boleh buat” katanya, lapor Harakahdaily.

    Kenyataan itu sebagai reaksi kepada media yang menyatakan penyokong Pakatan Harapan (PH) mahu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri supaya dapat memulihkan ekonomi dan kewangan dengan baik.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga bahkan membidas PH yang memerintah hampir dua tahun yang tidak membuat perubahan kepada aspek ekonomi dan kewangan di bawah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

    Menjawab tuduhan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan ditadbir Taliban, katanya DAP tidak tahu mengenai Taliban yang merupakan pelajar-pelajar pondok penentang Amerika hingga kuasa besar itu kalah dan marah.

    “Taliban ini budak pondok yang tak tahu memerintah, tak tahu nak buat sekolah, tak tahu apa. Pas memerintah Kelantan tak tutup sekolah. Perintah Terengganu, perintah Kedah. Orang Kelantan paling banyak pergi universiti.

    “Jadi, tak payahlah (nak tuduh begitu). Yang kita tahu dalam, dalam DAP ada Komunis, ada Komunis,” ujarnya selepas Santai Petang sempena Jelajah Presiden PAS di Cheng, di Tangga Batu hari ini.

    Abdul Hadi turut mengulangi pantun telah disebutnya dalam program di Negeri Sembilan semalam, iaitu:

    Dari Terengganu pergi Seremban,
    Sambil bawa kayu tempinis,
    Kamu tuduh kami Taliban,
    Dalam kamu ada Komunis.

    Mengulas kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyinggung perasaan berhubung isu wanita tidak layak menjadi calon, kata beliau itu ulasan dalam konteks di Sik.

    “Kenyataan dia khusus bagi daerah Sik saja. Kawasan pedalaman. Kawasan pedalaman memerlukan orang-orang yang sanggup menghadapi cabaran, kawasan banjir besar, kawasan hutan, macam jabatan-jabatan kerajaanlah, kita nak lantik kaum wanita?

    “Tak boleh lantik jadi Pengarah kena masuk hutan. Tak boleh lantik jadi jawatan-jawatan tak sesuai dengan wanita. Boleh lantik hal pendidikan, pelajaran, (atau di) kawasan-kawasan bandar. Pas pun lantik calon wanita. Ramai di Kelantan, di Kedah ada, Terengganu ada calon wanita.

    “Dan Pas bersama memenangkan calon wanita tahun 1960, Khadijah Siddiq, Ahli Parlimen Pas wanita yang pertama,” jelas beliau.

    Berhubung isu Pas dikatakan kahwin muta’ah dengan BERSATU, Hadi menyatakan bahawa kerjasama itu adalah bersungguh-sungguh di mana pembahagian kerusi tidak berlaku pergaduhan.

    Malah katanya, tiada pimpinan parti itu terpaksa beralih tempat bertanding atau berpindah ke tempat lain, sepertimana Anwar yang ke Tambun.

  • PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PAS rela menjadi pembangkang jika Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata parti itu mempunyai prinsip dan mahu kepimpinan bersih untuk menerajui kerajaan pasca-PRU15.

    “Kita sanggup jadi pembangkang…PAS jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun tak jadi masalah. Kita tak mahu kerajaan tak bersih. Kita berprinsip, kita bukan parti yang hanyut,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Petang Bersama Presiden PAS di Cheng di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan gabungan antara PN dan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 jika kedua-dua pihak gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15. – BERNAMA

  • Ada tugas khas, Hadi jelaskan jarang hadir ke Parlimen

    Ada tugas khas, Hadi jelaskan jarang hadir ke Parlimen

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau jarang hadir pada persidangan Dewan Rakyat kerana mempunyai tugas-tugas khas selain sebagai Ahli Parlimen.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau juga memberi peluang kepada golongan muda daripada partinya untuk terlibat dalam sesi perbahasan kerana setiap parti mempunyai kuota kehadirannya tersendiri.

    “Saya ditugaskan bukan sahaja di Parlimen, tapi ada tugas-tugas khas. Datang ke Parlimen ini bukan macam hadir ke sekolah, Menteri-Menteri pun lepas habis jawab soalan kembali menjalankan tugas.

    “Saya sudah lama di Parlimen, banyak sesi saya terlibat… berhujah… dan kini saya beri peluang kepada Ahli Parlimen generasi baharu untuk terlibat dalam perbahasan,” kata Abdul Hadi lapor Astro Awani, hari ini.

    Abdul Hadi yang juga calon PN bagi Parlimen Marang berkata, isu kehadiran ke sidang Dewan Rakyat yang dimainkan oleh pihak lawan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU-15) ini tidak langsung menjejaskan nama beliau.

    Beliau sebelum ini menang di Parlimen Marang selama tiga penggal berturut-turut dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau memenangi majoriti 21,954.

    Abdul Hadi yang juga Penyandang Parlimen Marang dilantik memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April 2020.

  • PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, syarat PKR supaya calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

    “Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

    Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada PRU-15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

    Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

    Semalam, Pas berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU-15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

    Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

    “Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

    “Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

  • Rakyat bukan Islam jangan takut beri peluang kepada PN – Abdul Hadi

    Rakyat bukan Islam jangan takut beri peluang kepada PN – Abdul Hadi

    RAKYAT bukan Islam di negara ini diseru agar jangan takut untuk membuka peluang buat parti Perikatan Nasional (PN) menjadi peneraju kepimpinan kerajaan Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November kelak.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia adalah kerana biarpun baru dua tahun ditubuhkan, PN telah membuktikan ia bukan sahaja sebuah parti yang sahih bersih dan stabil, tetapi juga tidak bersifat perkauman.

    “Bersih adalah kerana sepanjang pemerintahan PN sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tidak pernah berlaku sebarang salah laku; manakala stabil pula kerana PN ketika itu berjaya menangani pandemik Covid-19 dan impaknya terhadap ekonomi negara,” katanya memetik laporan Harakah Daily.

    Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden PAS di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir ialah calon-calon PN di Wilayah Persekutuan dari Pas bagi Parlimen Batu, Ustaz Azhar Yahya; Wangsa Maju, Ustazah Senator Nuridah Salleh; Titiwangsa, Dr Rosni Adam; dan Lembah Pantai, Ustaz Fauzi Abu Bakar.

    Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, Pas telah menjadi pemerintah Kelantan sebanyak kali – dari tahun 1959 hingga 1978 dan dari 1990 hingga sekarang tanpa ada sebarang kes rasuah dan salah laku.

    “Begitu juga di Terengganu tiada sebarang salah laku ketika PAS menjadi pemerintah sebanyak tiga kali – dari tahun 1959 hingga 1961, 1999 hingga 2004, dan 2018 hingga sekarang.

    “Sama juga ketika Pas memerintah Kedah sebanyak dua kali – dari tahun 2008 hingga 2012, dan dari 2018 hingga sekarang,” jelas beliau yang juga merupakan calon PN bagi Parlimen Marang.

    Abdul Hadi turut mengimbas kembali sejarah hitam Tragedi 13 Mei di Malaysia yang berlaku di negeri-negeri yang dikuasai parti DAP pada ketika itu yang termasuklah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

    “Di Kedah, Terengganu, Kelantan yang diperintah PAS tidak tercetus Tragedi 13 Mei 1969. Di ketiga-tiga negeri itu, dapat disaksikan bagaimana keluarga Cina dan India boleh hidup aman dalam kampung Melayu.

    “Itu memang adab yang diajar oleh Islam. Kalau kita (PN) perintah kelak, negara aman dan stabil, orang bukan Islam jangan takut, alhamdulilah.

    “Sementelah PN bukan sahaja menggabungkan Pas dan Bersatu tetapi juga parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” ujar beliau lagi.

    Justeru, beliau menyeru rakyat berbilang kaum di negara ini untuk sama-sama bersatu padu membuat perubahan pada PRU15 kelak dengan mengundi calon-calon dari PN.

    “Beri peluang kepada kami, lihat satu penggal, apa yang kami kerajaan bersih mampu lakukan. Kalau kami buat salah, tolak kami pada PRU16.

    “Biar kami tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik. Fikirkan untuk kebaikan untuk generasi masa depan, selamatkan negara daripada huru-hara dan pelbagai penyelewengan,” katanya.