Category: Umum

  • Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Abu Ubaidilah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Belize, Amerika Tengah kerana disyaki cuba melakukan pemindahan minyak secara haram pada kedudukan 6.7 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan pukul 3.45 pagi semasa cuba melakukan pemindahan minyak (STS) dengan sebuah kapal di bawah tahanan Maritim Johor yang sedang dalam proses menunggu perbicaraan.

    “Penahanan dibuat susulan maklumat bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar yang mendapat aduan daripada kru kapal berkenaan dipaksa untuk menerima kehadiran sebuah kapal tangki tidak dikenali bagi melakukan aktiviti itu.

    “Zon Maritim Tanjung Sedili mengesahkan status aduan dengan menghubungi kapal yang ditahan sebelum menghantar sebuah kapal serta bot ronda Maritim ke lokasi kejadian bagi mengesan kapal tangki yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, seramai 10 kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 60 tahun ditahan, semuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram dengan kapal yang masih dalam tahanan Maritim. 

    Pada masa katanya nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak.

    “Nakhoda dan ketua jurutera kedua-dua buah kapal itu seterusnya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk sisatan lanjut.

    “Kapal tangki serta kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 491B (1)(K), menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran. 

    “Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Varian Delta,individu tanpa gejala punca peningkatan kes Covid di Lembah Klang

    Varian Delta,individu tanpa gejala punca peningkatan kes Covid di Lembah Klang

    KEMUNCULAN varian Delta serta terdapat ramai individu yang tanpa gejala tidak menyedari telah dijangkiti dan boleh menyebarkan virus, menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Greater Klang Valley (GKV).

    Komander Pasukan Bertindak Khas GKV Datuk Dr Chong Chee Kheong menjelaskan meskipun kadar vaksinasi telah ditingkatkan, keberkesanan vaksin yang mengambil masa dua minggu selepas individu melengkapkan dos kedua, menyebabkan jumlah kes harian tetap tinggi pada masa ini.

    “Jadi, vaksin ini memerlukan masa untuk bertindak balas dan melindungi individu tersebut, malah kemunculan varian Delta dalam komuniti yang mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi turut menyumbang kepada peningkatan kes.

    “Tambahan pula, berdasarkan data dari negara-negara yang merekodkan kadar vaksinasi tinggi, jangkitan virus ini masih boleh berlaku disebabkan oleh varian Delta walaupun terdapat pengurangan ketara pesakit yang dimasukkan ke hospital dan yang bergejala teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi membendung penularan Covid-19 di Greater Klang Valley, Dr Chong yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) berkata, Pasukan Bertindak Khas GKV telah merangka beberapa langkah strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan serta menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan.

    Antara langkah yang diambil adalah dengan mengukuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) melalui pelaksanaan Virtual CAC kepada individu yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memperkukuhkan pengurusan pemantauan pesakit di rumah.

    Selain itu, lebih banyak ujian RTK-Ag di klinik kesihatan dan kepada pengamal perubatan am melalui penjualan kit ujian kendiri yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diadakan.

    Dr Chong turut menasihatkan individu yang berada di Greater Klang Valley dan mengalami gejala Covid-19, supaya menjalani ujian saringan serta melakukan pengasingan kendiri di kediaman sebaik disahkan positif dengan gejala ringan atau tanpa gelaja.

    “Kami tidak mahu menyebabkan kesesakan di hospital dengan kes-kes ringan agar rawatan bagi pesakit yang lebih teruk dapat diutamakan. Kakitangan kesihatan akan menghubungi mereka yang ‘red flagged’ sebagai pesakit yang berisiko tinggi untuk tampil ke CAC ataupun hospital,” katanya.

    Beliau berkata susulan galakan penggunaan ujian kendiri (Covid-19 test kit) dan RTK-Ag kepada masyarakat, jumlah kes Covid-19 di kawasan berkenaan dijangka akan terus meningkat untuk beberapa hari akan datang.

    “Tetapi jangan khuatir kerana kami cuba sedaya upaya untuk mengesan sebanyak mungkin kes positif bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti kita. Dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat, mereka akan diasingkan dan dikuarantin, kes akan mula berkurangan dalam beberapa minggu,” katanya.

    Beliau berkata jika itu dapat dicapai, strategi ujian Covid-19 akan dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan lebih berkesan.

  • Kadar vaksinasi dipercepat selari situasi semasa Covid – Khairy

    Kadar vaksinasi dipercepat selari situasi semasa Covid – Khairy

    MENERUSI pencapaian kadar vaksinasi per kapita Malaysia yang kini antara terpantas di dunia, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan (PICK) dilihat sebagai perisai penting negara daripada Covid-19 sekali gus mencapai imuniti dalam membolehkan negara keluar daripada belenggu pandemik itu.

    Semasa membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

    Sambil menerangkan kronologi program dengan peruntukan RM5.8 bilion itu, Khairy berkata pada awalnya sasaran 80 peratus penduduk menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari tahun hadapan, namun tempoh masa itu disingkatkan kepada Disember 2021 setelah mengambil kira perkembangan semasa jangkitan.

     “Garis masa ini disingkatkan lagi untuk kita selesaikan menjelang Oktober ini,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

    Semalam, jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian mencatat angka 553,871 dos suntikan jumlah tertinggi setakat ini.

    Kejayaan program itu, kata Khairy, antara lain disumbang penglibatan pelbagai pihak menerusi pendekatan penglibatan semua pihak atau ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’, termasuk bagi pengoperasian pusat pemberian vaksin (PPV) yang melibatkan petugas kesihatan dan bukan kesihatan.

    Sehingga 22 Julai lepas, Khairy berkata terdapat 2,313 PPV daripada pelbagai jenis dan saiz kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara, dengan seramai 16,133 orang sukarelawan bukan kesihatan yang telah menyumbang bakti dalam pengoperasian PPV di seluruh negara.

    Khairy turut merakamkan penghargaan kepada Ahli-ahli Parlimen yang membantu proses pendaftaran penduduk di kawasan masing-masing dengan menyediakan pengangkutan kepada penerima vaksin ke PPV, sekali gus membuktikan komitmen mereka tanpa mengira fahaman politik.

    Mengenai jumlah pendaftaran vaksinasi di bawah PICK, beliau berkata peratusan itu masih rendah iaitu 61.7 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia, berbanding sasaran 80 peratus.

    Beliau memaklumkan setakat Isnin (26 Julai), peratusan yang  sudah berdaftar bersamaan dengan 20.13 juta rakyat Malaysia dengan 18.8 juta daripadanya merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

    “Berdasarkan statistik ini, jelas sekali jumlah pendaftaran ketika ini masih rendah berbanding sasaran PICK iaitu 80 peratus. Jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa negeri, peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang ditetapkan di bawah Program Pemulihan Negara untuk sesebuah negeri beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.

    “Jumlah populasi dewasa yang berdaftar ialah 80.5 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa, manakala bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas 3.5 juta orang,” katanya dan menambah bahawa 89 peratus daripada warga emas yang berdaftar telah menerima vaksin.

    Berdasarkan jumlah keseluruhan vaksin yang diterima iaitu 26.38 juta, Khairy berkata tiga negeri yang menerima jumlah dos vaksin tertinggi sejak pelaksanaan PICK sehingga 31 Julai ini adalah di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dengan 9.09 juta, diikuti Sarawak (3.65 juta) dan Johor (2.06 juta).

    Setakat ini, enam jenis vaksin yang melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat daripada  Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ialah Vaxzevria (AstraZeneca), Janssen (J&J), Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca dan Convidecia (CanSino).

    Khairy berkata selain daripada vaksin dalam portfolio PICK, dua lagi jenis vaksin COVID-19 yang turut mendapat kelulusan bersyarat PBKD adalah COVILO (Sinopharm) dan Janssen (J&J).

  • Empat lagi kes positif Covid-19 di Parlimen

    Empat lagi kes positif Covid-19 di Parlimen

    APA yang dibimbangkan sudah terjadi. Itulah apa yang boleh disimpulkan apabila Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini memaklumkan empat lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan bangunan Parlimen.

    Beliau membuat penjelasan itu ketika mengulas desakan wakil pembangkang supaya waktu sidang Parlimen dilanjutkan selepas 5.30 petang seperti ditetapkan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat berucap.

    “Kita (sidang Dewan Rakyat) sebenarnya telah tidak menuruti nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), kalau ikut nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kita bersurai pukul 2 petang sebab beliau bimbang penularan Covid-19 di kawasan Parlimen.

    “Semalam dan hari ini ada lagi empat kes. Risiko agak tinggi sebab itu saya tetapkan 5.30 petang untuk beri peluang kepada semua bahas,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Bagaimanapun Azhar memberitahu, keputusan untuk melanjutkan sidang melebihi pukul 5.30 petang berada di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-ndang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Azhar menjawab Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang mencadangkan Parlimen bersidang melebihi pukul 5.30 petang.

    Isnin lalu, Azhar mengesahkan dua Ahli Parlimen positif Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung.

    Susulan itu, enam lagi Ahli Parlimen yang terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada dua Ahli Parlimen terbabit.

    “Hasil ujian saringan Covid-19 diadakan Jumaat lalu juga mendapati seramai 13 orang kakitangan Parlimen didapati positif, berikutan itu seramai 58 kakitangan Parlimen turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif,” kata Azhar.

  • AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    RAKYAT Amerika Syarikat (AS) yang sudah divaksin sepenuhnya digesa memakai pelitup muka semasa berada di tempat tertutup di negeri-negeri yang mencatatkan penularan jangkitan dengan banyak, kata pihak berkuasa kesihatan AS, semalam.

    Agensi berita Reuters yang memetik panduan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) AS turut mencadangkan pemakaian pelitup muka ke atas semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah tanpa mengira mereka sudah divaksin atau sebaliknya.

    Jangkitan Covid-19 didapati sedang meningkat di AS berikutan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit atau merangkumi lebih 80 peratus kes Covid-19 di Amerika.

    Presiden AS, Joe Biden berkata, peningkatan vaksinasi dan pemakaian pelitup muka akan membantu Amerika Syarikat mengelak perintah berkurung termasuk penutupan sekolah akibat pandemik itu pada 2020.

    “Kita tidak akan kembali kepada situasi itu (perintah berkurung),” kata Biden.

    Menurut CDC, 63.4 peratus daerah di Amerika menunjukkan kadar peningkatan jangkitan Covid-19, cukup untuk mewajibkan penduduk untuk memakai pelitup muka di tempat tertutup dan dasar itu patut diteruskan dengan segera.

    Manhattan, Los Angeles dan San Francisco memenuhi kriteria kepada pemakaian pelitup muka termasuk bagi seluruh negeri Florida kecuali Chicago dan Detroit.

    Presiden Persekutuan Guru Amerika, Randi Weingarten memuji panduan baharu CDC itu dengan menyifatkannya sebagai langkah berwaspada perlu sehingga kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh divaksin ketika lebih banyak remaja berusia 12 tahun ke atas divaksinasi.

    Panduan CDC untuk sekolah sebelum ini hanya meminta mereka yang belum divaksin agar memakai pelitup muka.

    Bagaimanapun, cadangan terbaharu CDC itu tidak digazetkan dan kebanyakan rakyat Amerika terutamanya di negeri dikuasai Parti Republikan mungkin memilih tidak mengikuti panduan berkenaan.

    Sekurang-kurangnya lapan buah negeri melarang sekolah daripada mewajibkan pemakaian pelitup muka.

    Gabenor Arizona seorang ahli Parti Republikan, Doug Ducey berkata, Arizona tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perkara itu telah diluluskan dan tidak akan diubah

    AS mendahului negara-negara dunia dari segi purata jangkitan baharu kes Covid-19 setiap hari dengan purata tujuh hari bagi kes baharu menunjukkan peningkatan mendadak kepad 57,126 kes.

  • 553,871 terima vaksin semalam, jumlah harian tertinggi

    553,871 terima vaksin semalam, jumlah harian tertinggi

    PEMBERIAN  vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan kadar tertinggi semalam apabila sejumlah 553,871 dos diberikan.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi Twitter hari ini berkata, daripada jumlah itu, 356,112 adalah dos pertama, manakala 196,759 pula adalah dos kedua.

    Jumlah itu juga merupakan kadar vaksinasi harian tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

    Ia menjadikan jumlah kumulatif rakyat Malaysia yang menerima vaksin meningkat kepada 18,393,347 setakat ini.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 12,487,441 merupakan penerima dos pertama, atau 38.2 peratus daripada populasi negara.

    Manakala penerima yang lengkap dos kedua pula adalah sebanyak 5,905,906 bersamaan 18.1 peratus.

    Pada masa sama, 53.3 peratus golongan dewasa di negara ini telah menerima sekurang kurangnya dos pertama, manakala 25.2 peratus lengkap menerima dua dos.

    Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 5,112,057 bagi dos pertama dan 1,831,585 bagi dos kedua.

    Ini diikuti Sarawak sebanyak 1,678,014 dos pertama dan 1,197,746 bagi dos kedua.

    Manakala negeri-negeri lain mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah satu juta bagi dos pertama dan di bawah 400,000 bagi dos kedua.

  • 202,400 siswazah menganggur pada 2020, ekonomi kurang memberangsangkan punca utama

    202,400 siswazah menganggur pada 2020, ekonomi kurang memberangsangkan punca utama

    SEBANYAK 202,400 orang siswazah menganggur pada tahun lalu, peningkatan 22.5 peratus berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, semalam.

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keadaan itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2020 dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh.

    Beliau berkata, kadar pengangguran siswazah pada 2020 meningkat 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

    “Lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang daripada tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Laporan itu menakrifkan siswazah sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

    Dalam pada itu, Mohd Uzir memberitahu, antara 4.35 juta siswazah yang bekerja pada 2020, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus adalah dalam kategori mahir.

    Bagaimanapun menurut beliau, jumlah itu menurun 0.8 peratus berbanding 2019, iaitu penurunan dalam kategori pekerjaan profesional, termasuk juruteknik dan profesional bersekutu.

    Ujarnya, pekerjaan separuh mahir meliputi 19.3 peratus siswazah bekerja pada 2020 terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan, operator loji dan mesin serta pemasang.

    “Komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula meningkat kepada 28.9 peratus manakala 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori berkemahiran rendah.

    “Selain itu, siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka,” jelasnya.

    Sementara itu, Mohd Uzir berkata, dari perspektif sektor ekonomi, lebih 75 peratus atau 3.37 juta siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.

    Katanya, terdapat 800,900 siswazah luar tenaga buruh pada 2020, iaitu 39.4 peratus daripada jumlah itu adalah kerana kerja rumah atau tanggungjawab keluarga.

    Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah jabatan itu, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf, turun 10.6 peratus kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019.

    “Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.

    “Kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316, sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019.” tambahnya.