SEBANYAK 202,400 orang siswazah menganggur pada tahun lalu, peningkatan 22.5 peratus berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, semalam.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keadaan itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2020 dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh.
Beliau berkata, kadar pengangguran siswazah pada 2020 meningkat 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang daripada tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan itu menakrifkan siswazah sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
Dalam pada itu, Mohd Uzir memberitahu, antara 4.35 juta siswazah yang bekerja pada 2020, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus adalah dalam kategori mahir.
Bagaimanapun menurut beliau, jumlah itu menurun 0.8 peratus berbanding 2019, iaitu penurunan dalam kategori pekerjaan profesional, termasuk juruteknik dan profesional bersekutu.
Ujarnya, pekerjaan separuh mahir meliputi 19.3 peratus siswazah bekerja pada 2020 terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan, operator loji dan mesin serta pemasang.
“Komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula meningkat kepada 28.9 peratus manakala 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori berkemahiran rendah.
“Selain itu, siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, dari perspektif sektor ekonomi, lebih 75 peratus atau 3.37 juta siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.
Katanya, terdapat 800,900 siswazah luar tenaga buruh pada 2020, iaitu 39.4 peratus daripada jumlah itu adalah kerana kerja rumah atau tanggungjawab keluarga.
Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah jabatan itu, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf, turun 10.6 peratus kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019.
“Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.
“Kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316, sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019.” tambahnya.