Category: Umum

  • Covid-19: 33 kanak-kanak seluruh negara jadi yatim piatu – Rina Harun

    Covid-19: 33 kanak-kanak seluruh negara jadi yatim piatu – Rina Harun

    RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 33 kanak-kanak di seluruh tanah air dikenal pasti menjadi yatim piatu selepas ibu bapa masing-masing meninggal dunia akibat Covid-19.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada di antara kanak-kanak itu ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Katanya, kesemua mereka kini dipelihara oleh adik-beradik yang sudah dewasa selain ibu dan bapa saudara masing-masing.

    “Kami di pihak kementerian sebenarnya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan bagi menjaga anak-anak ini. Jika ahli keluarga yang lain daif dan mungkin tidak mampu menyara kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19, anak-anak ini boleh ditempatkan di rumah kanak-kanak JKM.

    “Namun Alhamdulillah kerana setakat ini, kesemua 33 kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 telah dipelihara oleh saudara rapat masing-masing,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena, Kedah dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, hari ini.

    Tambahnya maklumat mengenai anak-anak yatim piatu itu diperolehi hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan laporan.

    Begitu pun katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi kes-kes sedemikian yang belum dilaporkan.

    “Oleh itu kami memohon kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai, supaya segera menyalurkan maklumat untuk kes seumpamanya.

    “Maklumat tersebut boleh disalurkan menerusi Talian Kasih 15999 atau terus berhubung dengan 108 pejabat kebajikan daerah di seluruh negara,” katanya.

    Tambahnya, setiap kanak-kanak terlibat akan turut dibantu dalam aspek pembangunan emosi.

    “Mereka akan diberikan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan secara berkala oleh Lembaga Kaunselor Malaysia agar emosi masing-masing terpelihara,” katanya.

  • Kes baharu Covid-19 turun sedikit kepada 21,468 jangkitan: 7 negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam apabila 21,468 kes direkodkan hari ini berbanding 21,668 semalam.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,363,683 kes.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan jangkitan Covid-19 tertinggi masing-masing dengan 7,449 kes dan 2,183 kes.

    Peningkatan kes harian turut disumbang lima negeri yang mencatatkan lebih seribu jangkitan.

    Negeri itu ialah Kedah (1,807 kes); Sabah (1,654 kes); Johor (1,485 kes); Pulau Pinang (1,316 kes) dan Kelantan (1,088 kes).

    Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 6 kes diikuti Perlis (50 kes) dan Putrajaya (66 kes).

  • Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    FILIPINA melanjutkan sekatan perjalanan terhadap semua pelancong dari India dan sembilan negara lain hingga 31 Ogos berikutan kebimbangan jangkitan kes varian Delta, kata jurucakap presiden Harry Roque pada Jumaat.

    Varian Delta telah menular di negara itu dengan 627 kes dilaporkan, termasuk 11 kematian.

    Selain India, Filipina turut menyekat kemasukan pelancong dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu, menurut Xinhua.

    Bagaimanapun, rakyatnya di luar negara yang mengikuti program penghantaran balik dibenarkan pulang, tetapi harus menjalani kuarantin 14 hari selepas ketibaan.

    Kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta semakin meningkat, mendorong kerajaan melaksanakan kembali penutupan dan sekatan lebih ketat di Manila dan wilayah lain.

    Filipina kini merekodkan 1.7 juta kes jangkitan termasuk 29,539 kematian.- BERNAMA

  • Tukar kerajaan hanya menambah kecelaruan – NGO Islam

    Tukar kerajaan hanya menambah kecelaruan – NGO Islam

    GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) bersama 175 NGO Islam bimbang jika sekiranya kerajaan sedia terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

    Dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, mereka berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini  kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

    ‘’32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa. Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    ‘’Apa yang pacal patik sekelian khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk. Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,’’ kata memorandum itu.

    Memorandum itu bertujuan merayu campurtangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin-pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    ‘’Patik sekalian menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar dapatlah meneliti akan rayuan patik sekalian ini supaya Duli-Duli Yang Maha Mulia campur tangan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini dan meminta semua pemimpin yang berkenaan itu supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa,’’ kata mereka.

    Menurut memorandum itu, kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh  Raja-Raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak.

    ‘’Patik sekalian amat sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin- pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif Covid-19 yang meningkat sehingga lebih daripada 20,000 kes sehari dengan kes kematian juga sentiasa berada dalam lingkungan tiga angka,’’ kata memorandum tersebut.

    Mereka juga turut menegaskan, seharusnya pada masa sekarang ini semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan Covid-19 dapat dibentuk, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula.

    ‘’Jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah patik sekelian percaya negara ini akan kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh yang sepatutnya.

    ‘’Malangnya pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing- masing yang berteraskan semata-mata kepada kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat terbanyak. Mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri,’’ kata memorandum itu.

  • Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    REMAN terhadap bekas Datuk Bandar Johor Bahru yang berakhir hari ini, disambung semula selama empat hari.

    Perintah sambungan reman hingga 16 Ogos ini dikeluarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Selasa lalu, media melaporkan SPRM Johor menahan seorang bekas datuk bandar kerana disyaki menerima rasuah.

    Penahanan suspek pada jam 3 petang Selasa itu dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek dilaksanakan di bawah kendalian majlis bandar raya yang dirinya menjadi datuk bandar di situ.

  • PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

    Khairy berkata kaedah ini dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    “Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh @JKJAV tentang bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan selari dengan pekeliling @DGHisham dan garis panduan klinikal terkini,” kata Khairy menerusi satu ciapan di laman Twitter.- BERNAMA

  • MB bimbang peningkatan kes harian bawa Perlis ke zon merah

    MB bimbang peningkatan kes harian bawa Perlis ke zon merah

    MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketara kes harian COVID-19 di Perlis sejak lima hari lepas sehingga mencecah lebih 20 kes sehari.

    Azlan berkata beliau berasa sedih apabila kebebasan bergerak dan pembukaan sektor ekonomi menerusi peralihan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah disia-siakan dengan peningkatan jumlah kes harian secara kumulatif yang hampir mencecah 1,000 kes positif.

    “Ini telah mengundurkan kita ke zon merah semula, walaupun sudah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN)  bermula 4 Ogos lalu,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

    “Saya percaya majoriti rakyat telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19 tetapi masih terdapat sebilangan kecil ahli masyarakat yang tidak mengambil serius soal pematuhan SOP ini,” katanya.

    Beliau berkata situasi ini telah mengundang risiko untuk dijangkiti virus dan usah terkejut jika kes-kes positif di Perlis akan meningkat secara luar biasa, atau apa yang diistilahkan sebagai exponential increase.

    Justeru, Menteri Besar Perlis itu meminta rakyat negeri ini agar elak keluar dari rumah dan mematuhi SOP dalam masa terdekat ini dan katanya daripada maklumat diperolehnya, orang ramai sudah mula berasa takut keluar rumah kerana bimbang dijangkiti wabak COVID-19.

    Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, sebanyak 23 kes baharu COVID-19 dicatatkan semalam dengan kes terkumpul sebanyak 910 kes.- BERNAMA

  • Gempa bumi sederhana landa Mindanao, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

    Gempa bumi sederhana landa Mindanao, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

    GEMPA bumi sederhana bermagnitud 5.4 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada 5.03 pagi tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) gegaran itu berlaku pada kedudukan 160 kilometer (km) utara dari Pulau Talaud, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

    Bagaimanapun, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.- BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19: 9,843,521 orang lengkap divaksin

    Vaksinasi Covid-19: 9,843,521 orang lengkap divaksin

    SEBANYAK 26,388,905 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16,545,384 orang merupakan penerima suntikan vaksin dos pertama manakala 9,843,521 lagi adalah penerima dos kedua.

    Infografik pemberian vaksin seluruh negara setakat semalam. Foto Twitter Dr Adham Baba

    “Sebanyak 50.7 peratus peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama vaksin manakala 30.1 peratus lagi telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka.

    “Selain itu, sebanyak 70.7 peratus populasi dewasa telah mendapat dos pertama vaksin manakala 42 peratus populasi dewasa lengkap divaksin,” katanya menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Adham berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 525,342 dos diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 197,962 dos pertama diberikan manakala 327,380 lagi melibatkan dos kedua.

  • Adakah UMNO menuju ke arah wujud jajaran baharu – Faizal

    Adakah UMNO menuju ke arah wujud jajaran baharu – Faizal

    TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Ahmad Faizal Azumi mempersoalkan apakah beberapa ahli Parlimen UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi merancang untuk mewujudkan jajaran baharu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP apabila bertindak menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, walaupun Perhimpunan Agung UMNO secara terbuka menolak Anwar Ibrahim dan DAP tetapi apabila Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berbuat demikian ia nampak ke arah jajaran baharu.

    ‘’Walaupun ahli-ahli UMNO tidak bersetuju dengan Anwar dan DAP tetapi apabila mereka (ahli-ahli Parlimen UMNO) sebagai sebuah kerajaan menarik diri sehingga boleh menjatuhkan kerajaan  maka ke arah mana mereka? Sudah tentu mereka perlukan jajaran baharu, maka tak lain dan tak bukan, kepada Anwar  dan DAP,’’ katanya dalam satu wawancara.

    Mengenai Bersatu, Ahmad Faizal berkata, parti itu fokus dan istiqamah terhadap usaha yang sedang dibuat oleh kerajaan iaitu memerangi pandemik Covid-19, krisis  ekonomi yang begitu meruncing dan rakyat yang dalam keadaan kesusahan.

    ‘’Jadi sebagai kerajaan kita memberi fokus kepada kebajikan rakyat, memastikan keselamatan kesihatan rakyat. Krisis politik kita letak di belakang kepala kita, walaupun ia penting tetapi fokus adalah kepada rakyat terlebih dahulu. Ini yang paling kita utamakan,’’ katanya.

    Beliau yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri berkata, ramai yang berpendapat kerajaan sudah jatuh apabila sekumpulan ahli Parlimen UMNO menarik tetapi keadaan sebenarnya tidak begitu.

    ‘’Tidak semestinya apabila Parlimen dibuka September nanti, Perdana Menteri  tidak akan dapat sokongan daripada 111 ahli Parlimen. Perkara ini (sokongan) berubah-ubah sebab ada dalam kalangan ahli Parlimen kumpulan Presiden UMNO, hari ini kata tarik sokongan, esok kata sokong balik.

    ‘’Begitu juga dengan parti-parti lain. Oleh itu soal tidak mendapat sokongan hanya boleh dibuktikan di Parlimen melalui undi percaya yang akan dibawa oleh kerajaan. Ketika itu mereka boleh tunjuk hala masing-masing sama ada mereka menyokong Perdana Menteri atau tidak,’’ katanya.