GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) bersama 175 NGO Islam bimbang jika sekiranya kerajaan sedia terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, mereka berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini  kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

‘’32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa. Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

‘’Apa yang pacal patik sekelian khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk. Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,’’ kata memorandum itu.

Memorandum itu bertujuan merayu campurtangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin-pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

‘’Patik sekalian menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar dapatlah meneliti akan rayuan patik sekalian ini supaya Duli-Duli Yang Maha Mulia campur tangan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini dan meminta semua pemimpin yang berkenaan itu supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa,’’ kata mereka.

Menurut memorandum itu, kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh  Raja-Raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak.

‘’Patik sekalian amat sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin- pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif Covid-19 yang meningkat sehingga lebih daripada 20,000 kes sehari dengan kes kematian juga sentiasa berada dalam lingkungan tiga angka,’’ kata memorandum tersebut.

Mereka juga turut menegaskan, seharusnya pada masa sekarang ini semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan Covid-19 dapat dibentuk, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula.

‘’Jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah patik sekelian percaya negara ini akan kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh yang sepatutnya.

‘’Malangnya pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing- masing yang berteraskan semata-mata kepada kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat terbanyak. Mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri,’’ kata memorandum itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here