Category: Umum

  • Kerajaan kekal tanggung subsidi haji – Ahmad Marzuk

    Kerajaan kekal tanggung subsidi haji – Ahmad Marzuk

    KERAJAAN akan mengekalkan subsidi untuk jemaah haji negara ini seperti dibiayai selama ini walaupun kosnya dijangka meningkat berikutan perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadat itu.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, biarpun meneruskan lagi subsidi berkenaan, namun kerajaan belum memuktamadkan kos ibadat itu yang akan ditanggung seperti sebelum ini.

    Namun menurutnya, peratusan subsidi akan kekal seperti sebelum ini dan mungkin meningkat berikutan Kerajaan Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

    “Ia berikutan penguatkuasaan SOP susulan pandemik Covid-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah jika berlaku kenaikan kos ibadat berkenaan.

    Ujarnya, kos haji tidak naik sejak sekian lama oleh kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh membolehkan kos itu ditanggung.

    “Kerajaan akan berusaha memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan jemaah walaupun dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900,” katanya.

    Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman semalam dilaporkan berkata, kos haji dijangka meningkat berikutan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi khasnya bagi menghalang penularan Covid-19.

    Katanya, peningkatan itu berdasarkan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi, sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas serta jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram.

    Katanya lagi, SOP itu memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja, jemaah perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi, iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

    “Kos itu tidak termasuk penginapan hotel, makan minum dan penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini. Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk 40 hingga 45 hari menerusi subsidi haji,” katanya lagi.

    Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah muassasah kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Kos haji tahun itu RM22,900 berbanding RM22,450 musim sebelumnya, namun Malaysia tidak menghantar jemaah pada 2020 dan tahun ini susulan pandemik.

  • Afghanistan:Sekolah dibuka semula untuk pelajar lelaki bermula Sabtu

    Afghanistan:Sekolah dibuka semula untuk pelajar lelaki bermula Sabtu

    SEMUA sekolah dan madrasah di Afghanistan akan dibuka semula  untuk pelajar lelaki, bermula Sabtu, memetik pengumuman kerajaan sementara Taliban.

    “Sekolah menengah dan rendah serta madrasah  telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan pembelajaran boleh bermula pada 18 September,” menurut pengumuman itu lapor Agensi Anadolu. 

    Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat pada Jumaat itu tidak menyebut bila sekolah untuk wanita akan dibuka. Sebelum ini sesi pembelajaran untuk pelajar dan murid perempuan di kelas satu hingga enam telah dibuka semula. 

    Kerajaan sementara sebelum ini dilaporkan membenarkan wanita untuk melanjutkan pendidikan tetapi pelajar lelaki dan wanita akan diasingkan selain perlu mematuhi etika pakaian yang ditetapkan.

    Semasa pemerintahan Taliban pada 1996 hingga 2001, wanita tidak dibenarkan ke sekolah. Taliban kembali memegang tampuk pemerintahan di Afghanistan pada Ogos dan membentuk kerajaan sementara, terdiri 33 anggota. – BERNAMA

  • Malaysia dijangka capai 80 peratus sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

    Malaysia dijangka capai 80 peratus sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

    MALAYSIA semakin menghampiri sasaran vaksinasi 80% yang ditetapkan untuk populasi dewasa lebih awal daripada dijadualkan ketika hampir 18.13 juta atau 77.5% individu dalam kumpulan itu sudah menerima vaksin lengkap, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurut data dikeluarkan KKM di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.

    Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39,923,416.

    PICK diperkenalkan dan dilaksanakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menjangkakan 80% populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober dan ketika itu Covid-19 akan menjadi endemik.

    Namun, menurut unjuran CovidNow dijangka 80% kadar vaksinasi populasi dewasa dapat dicapai dalam masa tiga hari, iaitu 21 September – hampir sebulan lebih awal daripada dijadualkan, sementara kadar vaksinasi 100% bakal dicapai pada 7 November.

    Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105.6% populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi.

    Peratusannya melebihi 100% kerana statistik populasi dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan ukuran penduduk sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.

    Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.7%. Bagaimanapun, angka itu menunjukkan peningkatan setiap hari.

    Secara keseluruhan, 66.9% populasi, termasuk remaja berusia 12-17 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu dos dan 55.5% diberi vaksin penuh. – 18 September, 2021.

  • Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

    Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

    Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

    “Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

    Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 Sept ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari.- BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

    Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

    Ketibaan  Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. 

    Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

    Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

    Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA

  • 77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,135,561 individu atau 77.5 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 92.9 peratus atau 21,861,904 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 238,002 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 162,016 dos pertama dan 75,986 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 39,923,416 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    DAKWAAN seorang pakar kesihatan kanak-kanak bahawa harga vaksin COVID-19 yang diperoleh Malaysia menjadi mahal kerana amalan kronisme adalah tidak benar.

    Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dimishtra Steven Sittampalam berkata, Malaysia tidak menggunakan orang tengah untuk mendapatkan vaksin.

    Sebaliknya, menurut beliau, semua urusan perolehan vaksin dibuat secara terus dengan syarikat farmaseutikal yang menghasilkan vaksin berkenaan.

    “Ketika Malaysia berunding dengan Moderna, ia dibuat secara terus dengan Moderna Inc, sama seperti dilakukan dengan Pfizer.

    “Harga (vaksin Moderna) yang diberikan kepada kita jauh lebih mahal berbanding Pfizer, yang memiliki profil mRNA sama.

    “Setakat ini, kita sudah membeli 44 juta dos vaksin Pfizer,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

    Dimishtra menjawab ciapan pakar pediatrik, Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang mendakwa harga vaksin Moderna adalah mampu milik, namun menjadi mahal kerana wujud kronisme dalam transaksi rantaian bekalan vaksin COVID-19 itu.

    Beliau menambah, harga am vaksin COVID-19 boleh diperoleh secara dalam talian dan semua pihak maklum harga vaksin Moderna adalah paling mahal.

    “Semua kontrak (pembelian vaksin COVID-19 Malaysia) sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merangkumi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

    “Mereka (Ahli PAC) berpuas hati dengan kontrak berkenaan,” katanya.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ahli PAC, Nurul Izzah Anwar turut menjawab dakwaan Dr Musa dengan menegaskan, jawatankuasa itu berpuas hati dengan proses perolehan vaksin COVID-19.

    “Terdapat merit terhadap pemilihan portfolio vaksin. Anda boleh membacanya dalam laporan PAC akan datang, insya-Allah.

    “Kami perlu mengambil kira faktor syarikat farmaseutikal gergasi yang gemar mengenakan NDA (perjanjian kerahsiaan),” katanya.

  • 600 anggota pantau lokasi pelancongan Terengganu

    600 anggota pantau lokasi pelancongan Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ORANG ramai termasuk pengusaha pelancongan di Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang berada di lokasi tumpuan ramai bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

    Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohimi Md Isa, ia penting bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu dari industri pelancongan.

    Justeru katanya, polis akan meningkatkan penguatkuasaan di semua pusat dan destinasi pelancongan utama di negeri ini termasuk pulau-pulau bagi memastikan pengusaha pelancongan dan pengunjung tidak mengabaikan SOP ekoran Terengganu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

    Menurut Rohaimi, bagi tujuan itu, sebanyak 141 Pasukan Pemantau Pematuhan Covid-19 membabitkan seramai 600 anggota daripada pelbagai agensi akan digerakkan melakukan pemantauan di setiap lokasi pelancongan dan kawasan tumpuan ramai termasuk pulau peranginan, pantai, taman rekreasi dan hutan lipur di seluruh negeri.

    Beliau memberitahu, pemantauan secara berkala turut dilakukan di resort dan chalet di pulau peranginan bagi memastikan pengusaha dan pelancong sebtiasa mematuhi SOP.

    “Disebabkan sektor pelancongan telah dibuka, kita tidak mahu wujud pula kluster baharu, jadi kawalan ketat perlu dilakukan,” katanya pada majlis taklimat pematuhan SOP Fasa 3 PPN kepada penggiat industri pelancongan di Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

    Rohaimi berkata, pengusaha pelancongan sama ada pusat penginapan atau pemandu bot pelancong juga digesa untuk bersama memainkan peranan dalam memastikan pengunjung mematuhi SOP bagi mengelak berlaku penularan wabak di kawasan pulau.

  • Sultan Ibrahim kecewa tiada semakan semula MM2H

    Sultan Ibrahim kecewa tiada semakan semula MM2H

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa apabila kerajaan hanya menyatakan kesediaan mempertimbang untuk menyemak semula syarat ketat pelaksanaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

    Baginda menzahirkan kekecewaan itu terhadap Kementerian Dalan Negeri (KDN) dan menyatakan akan membangkitkan isu berkenaan secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

    Titah Sultan Johor, hal itu memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

    “Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.

    “Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah diluar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

    “Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

    Sejak program MM2H dimulakan pada 2002, seramai 57,478 warga asing telah diberikan pas jangka panjang sebelum program itu dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan, minggu lalu.

    Di bawah syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

    Titah Sultan Ibrahim, keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif memandangkan Program MM2H sebelum ini telah membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

    “MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan.

    “Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.

    “Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan daripada kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” titah baginda.

  • Malaysia mesti ada dasar khusus tangani Long Covid

    Malaysia mesti ada dasar khusus tangani Long Covid

    MALAYSIA wajar ada dasar dan strategi khusus mengenal pasti, menyelidiki dan memulih kesan jangka panjang Covid-19 atau Long Covid terhadap penghidapnya.

    Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih dua juta rakyat negara ini telah dijangkiti Covid-19 dan angka itu mungkin lebih tinggi.

    Menurut beliau, peratusan yang mempunyai Long Covid juga mungkin akan menjadi semakin ramai di mana pemulihan kesihatan mereka adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara menyeluruh.

    “Saya menyarankan agar kerajaan mula memberi perhatian kepada kes Long Covid ini secara terpadu.

    “Dasar kita menanggani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan.

    “Ia mesti juga merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Mohamad menambah, Long Covid adalah keadaan di mana bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih.

    Beliau memberitahu, kebanyakannya berterusan selama empat ke 12 minggu namun ada yang berlarutan sehingga sembilan bulan.

    “Kerajaan belum mengemukakan data terperinci berkaitan masalah ini. Namun beberapa universiti tempatan telah mula menjalankan kajian tentangnya.

    “Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 Ogos 2021 menyatakan bahawa Long Covid adalah cabaran yang besar terhadap sektor perubatan.

    “Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya. Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” jelasnya.

    Mohamad berkata, kefahaman tentang dampak vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitannya harus diberikan keutamaan.

    Menurut beliau, dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baharu kerana pandemik ini justeru pelaburan kesihatan kita tidak boleh lagi pada kadar 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

    “Telah tiba masanya kita menyasarkan peruntukan 7 ke 8 peratus GDP negara untuk sektor kesihatan.

    “Langkah ini adalah permulaan yang baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita sejak Februari 2020,” katanya.