Category: Umum

  • 11,889 kes baharu COVID-19

    11,889 kes baharu COVID-19

    Malaysia merekodkan 11,889 kes baharu COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, berbanding 12,735 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebooknya memaklumkan, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

  • Gambar peti  besi besar dipindah dari Kompleks Seri Perdana pula tular

    Gambar peti besi besar dipindah dari Kompleks Seri Perdana pula tular

    BEBERAPA keping gambar tular menunjukkan peti besi besar dikeluarkan dari Kompleks Seri Perdana dan  dipercayai dipindahkan selepas kekalahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

    Memetik laporan portal AgendaDaily, kren juga terpaksa digunakan bagi membawa keluar peti besi tersebut keluar dari kediaman rasmi Perdana Menteri itu kerana terlalu berat.

    Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui membawa perabot keluar dari Kompleks Seri Perdana dan masih disimpan di gudang serta sedia memulangkan perabot tersebut kepada kerajaan secara percuma kerana tidak digunakan langsung memandangkan masih berpuas hati dengan apa yang sudah ada di rumahnya.

    “Ia tak digunakan langsung. Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang ke warehouse untuk pilih,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

    Isu kompleks Seri Perdana menjadi kontroversi selepas kerja baik pulih yang dijalankan terpaksa menelan belanja yang tinggi selepas Najib keluar daripada kediaman tersebut.

    Najib merupakan individu terakhir yang menghuni Seri Perdana sebelum berpindah keluar selepas kekalahan kerajaan BN yang menyaksikan beliau tersingkir sebagai Perdana Menteri Keenam.

    Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri  tidak mendiami kompleks tersebut, malah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri  Ketujuh juga tidak menetap di situ.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan, isu Kompleks Seri Perdana itu menjadi heboh apabila kos sebanyak RM38.5 juta disalahtafsirkan oleh segelintir ahli politik sebagai pengubahsuaian sedangkan ia sebenarnya ialah bagi kerja-kerja baik pulih.

    Muhyiddin dalam kenyataan semalam menjelaskan, keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

    Bekas Perdana Menteri berkata, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

    Beliau memberitahu, ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

    ‘’Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan,’’ katanya.

  • ”Jangan gadai prinsip sebagai anggota Paskal”- Sultan Selangor

    ”Jangan gadai prinsip sebagai anggota Paskal”- Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya tidak sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan pasukan.

    Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM  bertitah lambang trimedia yang tersemat di dada anggota Paskal adalah lambang kehormatan, yang perlu dipertahankan.

    “Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

    Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.

    Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga Paskal supaya tidak mengabaikan tuntutan agama dan sentiasa mengingati Tuhan, walau dalam apa jua keadaan sekali pun selain sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran terutamanya ketika bertugas.

    “Doa akan memberikan kekuatan dan keberanian dan menghindar dari ketakutan. Insya-Allah,” titah baginda.

    Baginda bertitah faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulang kali sebelum latihan dilaksanakan dan mahu semua warga pasukan komited, melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.

    Titah baginda, hampir 39 tahun penubuhan, Paskal telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi-misi yang dipertanggungjawabkan, di dalam mahupun di luar negara dan berharap prestasi dan imej Paskal dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

    “Jika diimbas kembali, penubuhan Paskal pada tahun 1982, pasukan ini telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan, selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin bertitah sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota Tentera Laut dari dalam dan luar negara, melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan.

    Titah baginda lagi, untuk melayakkan diri menjadi seorang anggota Paskal bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap pegawai dan anggota perlu melalui latihan-latihan yang keras dan memerlukan daya tahan yang luar biasa, malah pelbagai bentuk latihan berat perlu dihadapi bagi menguji ketahanan fizikal dan juga mental para pelatih.

    Baginda turut mengingatkan semua warga Paskal supaya persiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental, serta memastikan sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.

  • 998 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air pada 13 Oktober ini

    998 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air pada 13 Oktober ini

    SEBANYAK 998 kawasan di Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai pukul 9 pagi, 13 Oktober depan.

    Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, gangguan itu akan melibatkan 998 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

    Menurut Air Selangor, bekalan air hanya dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober.

    Syarikat pengurusan bekalan air itu memaklumkan, gangguan secara berjadual itu disebabkan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal.

    Katanya, pelaksanaan kerja-kerja itu akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

    “Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

    “Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

    “Kerja penambahbaikan ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan pengguna pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Air Selangor turut menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual berkenaan.

    “Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

    “Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelasnya.

  • Dua Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin dilantik Penasihat PM, Pengerusi Felcra

    Dua Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin dilantik Penasihat PM, Pengerusi Felcra

    DUA ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Najib Razak dalam menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dilantik memegang jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

    Memetik laporan portal MalaysiaNow, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri Bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi.

    Sementara Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dilantik sebagai Pengerusi Felcra Bhd.

    Ahmad Jazlan mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 9 Januari.

    Pengerusi UMNO Kelantan itu juga meletakkan jawatan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia selepas menyatakan tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perikatan Nasional.

    Sementara itu, Azalina meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker pada 23 Ogos lalu.

    Beliau berkata konflik antara peranan parti dan ahli Parlimen kerajaan sebagai antara alasannya selain menggesa jawatan Speaker dan Timbalan Speaker dilantik dalam kalangan mereka yang tidak berpihak dan memegang jawatan politik.

    Penarikan sokongan mereka berdua menjadikan majoriti dimiliki Muhyiddin rapuh sehingga terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

  • Pindaan Akta Parlimen diteliti tidak benarkan Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ada kes mahkamh hadir sidang

    Pindaan Akta Parlimen diteliti tidak benarkan Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ada kes mahkamh hadir sidang

    PINDAAN ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang diteliti bagi membolehkan Dewan tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang sedang berdepan pendakwaan mahkamah mengambil bahagian dalam persidangan kedua-dua Dewan sehingga kes selesai.

    Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata perkara itu antara yang dicapai dalam mesyuarat khas Transformasi Parlimen hari ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipengerusikan beliau (Rais) mewakili Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

    “Selain itu kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal satu kod etika khas bagi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pentadbir Parlimen Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

    “Susulan mesyuarat itu, satu draf rang undang-undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Menteri untuk dibentang dan diluluskan kerajaan,” katanya. 

    Beliau berkata perkembangan penting yang turut dicapai ialah apabila Menteri turut menyokong penuh langkah meminda dan memperkasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

    Menurutnya langkah itu akan menyaksikan Parlimen tidak lagi tertakluk di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat.

    Rais berkata segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept lepas, yang antara lain memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.

    Satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha ini dapat dilunaskan sebaik mungkin, katanya.

  • Tiada varian Mu dikesan di Malaysia

    Tiada varian Mu dikesan di Malaysia

    TIADA varian Mu COVID-19 dikesan daripada sampel-sampel yang diambil di seluruh negara sehingga kini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

    Menurut kenyataan MOSTI hari ini sehingga 30 Sept lalu, sejumlah 1,312 sampel dianalisis oleh konsortium merangkumi tujuh makmal seterusnya meningkatkan jumlah genom yang dimuat naik ke Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID) kepada 3,009. 

    Menurut MOSTI makmal-makmal tersebut adalah Institut Genom Malaysia (GMI); Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI);

    Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM);  Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan UM; Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara serta Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak.

    Menerusi analisis itu, sebanyak 1,246 sampel atau 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian jenis delta, 11 sampel beta dan 55 dari varian lain yang sampel-sampel tersebut dipilih oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan diambil dari seluruh negara. 

    “Varian delta ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baru tempatan dengan pantas,” menurut kenyataan itu.

    Menurut MOSTI maklumat tentang varian dan penularan varian amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus untuk membendung dan mengawal penularan varian yang amat berbahaya, serta menggiatkan lagi program pembangunan vaksin tempatan.

    Kenyataan itu juga memaklumkan, Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan kementeriannya meluluskan RM3,227,200 di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek genome surveillance virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus penyebab penyakit COVID-19. 

    Projek tersebut dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARSCoV-2 yang penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 terutamanya varian yang membimbangkan (VOC) seperti varian Delta serta varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) seperti varian Lambda dan Mu.

    “Ini merupakan perkembangan sokongan pembiayaan MOSTI dalam meningkatkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan vaksin tempatan yang kondusif serta berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana RM13.9 juta kepada konsortium merangkumi tujuh makmal untuk memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan. 

    Kenyataan itu juga memaklumkan melalui program tersebut kapasiti ujian berjaya ditingkatkan sebanyak lima kali ganda dengan jumlah ujian bagi ketujuh-tujuh makmal terlibat melebihi 1,000 ujian genom sebulan berbanding 200 sebulan sebelum ini.

    “Dengan sokongan dana daripada MOSTI ini, dijangka sebanyak 10,000 penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV2 akan dapat dicapai,” menurut kenyataan itu. 

  • JKN Kedah nafi remaja maut akibat kesan suntikan vaksin

    JKN Kedah nafi remaja maut akibat kesan suntikan vaksin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan terdapat seorang remaja perempuan yang maut di Baling, Kedah baru-baru ini disebabkan oleh kesan suntikan vaksin Covid-19.

    Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, siasatan segera dijalankan pihaknya mendapati kematian remaja tersebut tiada kena mengena dengan kesan sampingan vaksin sebaliknya disebabkan ‘ruptured thoracic aneurysm’ (saluran darah pecah).

    Katanya, dakwaan yang tular kononnya remaja itu merupakan pelajar sekolah juga tidak benar kerana dia sebenarnya merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Remaja tersebut telah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 pada 5 September 2021 di Pusat Pemberian vaksin Covid-19 pada 5 September 2021. Dia kemudiannya ada mengadu sakit perut pada 19 September 2021 dan diberi rawatan di Hospital Baling.

    Dr. Othman Warijo

    “Namun begitu selepas 20 hari divaksin iaitu pada 25 September 2021, remaja berkenaan dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri. Tahap kesihatannya cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, jenazah remaja itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia akibat ruptured thoracic aneurysm dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19. Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan,” katanya.

    Tambahnya, JKN Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga arwah di atas kehilangan tersebut.

    “Jabatan ini ingin menasihati masyarakat umum supaya tidak mempercayai serta menyebarkan berita tidak disahkan dan mendapatkan maklumat sahih berkaitan Covid-19 serta vaksinasi,” katanya.

  • Tidur lewat,tak sarapan punca remaja hampir pitam bukan kerana vaksin

    Tidur lewat,tak sarapan punca remaja hampir pitam bukan kerana vaksin

    TIMBALAN Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika proses vaksinasi, remaja berkenaan kelihatan agak gementar namun tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

    Beliau berkata bagaimanapun ketika menuju ke tempat meletak kenderaan, remaja itu secara tiba-tiba kelihatan lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

    “Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja itu menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan yang dibuat kepada keluarga remaja berkenaan selepas itu mendapati dia sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di Melaka malam tadi.

    Katanya hasil siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi sebelum menerima suntikan selain hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa,” katanya.

    Terdahulu tular di media sosial kejadian seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak sedarkan diri selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam. – BERNAMA

  • PDRM benar murid, pelajar untuk rentas negeri – Bukit Aman

    PDRM benar murid, pelajar untuk rentas negeri – Bukit Aman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan murid atau pelajar untuk merentas negeri bagi tujuan ke sekolah dan institusi pendidikan apabila ia dibuka nanti.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata bagaimanapun mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau institusi pendidikan.

    Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah atau institusi pendidikan dan kemasukan pelajar ke asrama yang melibatkan pergerakan rentas negeri itu.

    “Pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan bagi murid atau pelajar yang terlibat boleh ditemani oleh seorang penjaga.

    “… dan pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah (atau) institusi pendidikan untuk merentas negeri bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga berkata pergerakan bagi kemasukan murid (atau) pelajar ke asrama, (juga) adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri.

    “Oleh yang demikian, PDRM menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru atau tenaga pengajar yang ingin membuat pergerakan merentas negeri bagi tujuan ini agar menyediakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan untuk dikemukakan kepada petugas di sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan,” katanya.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 15 Ogos lepas mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Okt iaitu dilewatkan berbanding 1 Sept seperti yang diumum sebelum ini.

    Dr Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya merancang membuka semula Institusi Pengajian Tinggi untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini.