DUA ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Najib Razak dalam menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dilantik memegang jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Memetik laporan portal MalaysiaNow, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri Bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi.

Sementara Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dilantik sebagai Pengerusi Felcra Bhd.

Ahmad Jazlan mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 9 Januari.

Pengerusi UMNO Kelantan itu juga meletakkan jawatan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia selepas menyatakan tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, Azalina meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker pada 23 Ogos lalu.

Beliau berkata konflik antara peranan parti dan ahli Parlimen kerajaan sebagai antara alasannya selain menggesa jawatan Speaker dan Timbalan Speaker dilantik dalam kalangan mereka yang tidak berpihak dan memegang jawatan politik.

Penarikan sokongan mereka berdua menjadikan majoriti dimiliki Muhyiddin rapuh sehingga terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here