Category: Umum

  • Syarikat gagal periksa vaksinasi penumpang kena tindakan

    Syarikat gagal periksa vaksinasi penumpang kena tindakan

    SYARIKAT perkhidmatan pengangkutan awam yang ingkar, cuai atau lalai dalam memastikan penumpang lengkap divaksinasi bagi tujuan perjalanan merentas negeri boleh dikenakan tindakan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata, arahan khusus memeriksa sijil vaksinasi COVID-19 telah dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun sektor maritim selepas aktiviti merentas negeri kembali dibenarkan mulai, semalam.

    “Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan secara rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.

    “Pemeriksaan (sijil vaksinasi) ini juga tidak melibatkan kos tambahan kepada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melalui perjalanan jarak jauh menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

    Ka Siong ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong hari ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan bekas Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Semalam, Ka Siong berkata pengusaha pengangkutan awam diminta memastikan penumpang lengkap divaksinasi sebagaimana ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi melakukan perjalanan merentas negeri.

    Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, mangsa kebakaran di kampung tersebut dikecualikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu yang musnah dalam bencana itu, bagi memudahkan dan meringankan beban mereka terlibat.

    “Kita sudah membawa unit mobil bergerak JPJ ke sini bagi membantu penduduk dan jika masih belum membuat permohonan mendapatkan penggantian, mereka boleh ke pejabat JPJ terdekat dan mengemukakan laporan polis,” katanya.

    Kebakaran Kampung Baru Karak yang berlaku sekitar 9 malam pada 1 Okt lepas memusnahkan 51 rumah dan sembilan unit kedai dan setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih untuk tempoh Parlimen Ke-14.

    Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Usul itu bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Enam ahli Jawatankuasa Pemilih kini terdiri daripada Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

    Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. – BERNAMA

  • Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    AHLI Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming diuji positif COVID-19 hari ini.

    Melalui Twitter, Kian Ming berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri COVID-19 pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR COVID-19 yang dijalaninya sejam kemudian.

    “Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

    Menurut Kian Ming, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiada individu di Parlimen diuji positif COVID-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

    Semua yang hadir ke Parlimen termasuk Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat. – BERNAMA

  • Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    PERGERAKAN rentas negeri yang dibenarkan bermula hari ini terkawal dengan laluan beberapa lebuh raya utama menghubungkan negeri di utara, selatan, pantai timur dan pantai barat lancar memandangkan kebanyakan rakyat bekerja.

    Keadaan lancar itu dipaparkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) laman sesawang Jalannow.com malah tinjauan Bernama di beberapa terminal bas utama negeri-negeri juga mendapati suasana lengang.

    Di Terminal Bas Hentian Duta, di sini, petugas kaunter Norhanna Mohd Rapi berkata jualan dan tempahan tiket daripada orang ramai masih belum menggalakkan dan menjangkakan keadaan itu akan berubah menjelang hujung minggu ini dan minggu hadapan.

    “Kami menjangkakan jualan tiket hanya akan mula meningkat bermula minggu depan atau hujung minggu ini memandangkan orang ramai masih bekerja dan belum membuat persediaan seperti memohon cuti dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, Siti Samirah Sundar Nandagopal, 40, ketika ditemui di terminal bas berkenaan berkata kelonggaran yang diberikan kerajaan dimanfaatkannya untuk pulang ke kampung bertemu keluarga di Sitiawan, Perak.

    “Saya berasa gembira dengan kebenaran ini selepas menanti lebih lapan bulan untuk menziarahi keluarga di kampung. Saya terus datang hari ini bagi membeli tiket lebih awal untuk pulang ke kampung pada Sabtu ini dan tidak sabar ingin bertemu keluarga kerana selama ini saya berhubung menerusi panggilan telefon sahaja,” katanya.

    Di SELANGOR, tinjauan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam dan Terminal A Klang Sentral, Klang, turut mendapati kedua-dua terminal itu lengang.

    Pengurus Jualan Tiket Berpusat (CTS) Mohd Muzammil Mohd Alias ketika ditemui menjangkakan jualan tiket bas pada minggu ini masih perlahan berikutan orang ramai bekerja.

    Di PULAU PINANG, pekerja kaunter tiket bas di Butterworth, Rusliana Mohd Pirus berkata pihaknya mula menerima tempahan tiket bas ekspres bagi perjalanan ke beberapa negeri dan menjangkakan ia meningkat sehingga 50 peratus pada hujung minggu ini.

    “Paling banyak tempahan adalah untuk perjalanan ke negeri-negeri pantai timur dan saya difahamkan beberapa pengusaha bas ekspres juga akan menambah jumlah bas bermula hujung minggu ini bagi menampung peningkatan penumpang,” katanya.

    Di NEGERI SEMBILAN, penjawat awam negeri Siti Amalina Hasfan, 31, berkata kebenaran kerajaan itu digunakannya untuk pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini bagi menziarahi ibunya dan telah melakukan ujian kendiri COVID-19 demi keselamatan keluarga.

    Di MELAKA, Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata pihaknya menjangkakan kemasukan kenderaan ke negeri itu meningkat kepada 35,000 hingga 45,000 sehari menjelang hujung minggu ini berbanding 19,000 sehari sebelum ini.

    Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Di KELANTAN, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menjangkakan jumlah pengunjung di kawasan rekreasi seperti air terjun, sungai dan pantai di negeri itu akan meningkat.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti lemas atau fenomena kepala air.

    Di TERENGGANU, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti Pasar Payang, Kuala Terengganu City Centre Mall (KTCC) dan Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk mendapati tiada kesesakan pengunjung.

    Seorang peniaga makanan di Pasar Payang, Nor Azmah Ngah, 53, berkata kehadiran pengunjung ke lokasi itu masih terkawal sejak pagi meskipun lebih ramai berbanding hari biasa manakala peniaga batik dan sutera, Norlela Asyikin Mohd Azhari, 37, pula menjangkakan keadaan di kawasan itu akan mula sibuk pada hujung minggu ini apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

    Sementara itu, seorang pengusaha inap desa di Pantai Batu Buruk, Ahmad Faisal Hafiz Mansor berkata tempahan inap desanya untuk tempoh dua minggu akan datang telah pun penuh.

    Di PERAK, tinjauan di tempat tumpuan utama seperti Pulau Pangkor dan pusat beli-belah di sini juga masih tenang dan terkawal.

    Di JOHOR, Terminal Bas Larkin Sentral, yang sebelum ini menjadi tumpuan ‘perantau’ untuk pulang ke kampung halaman dari bandar raya ini, dijangka menerima kehadiran penumpang bas ekspres mencecah 3,000 orang sehari menjelang hujung minggu ini.

    Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata jumlah penumpang bas ekspres pada hujung minggu ini dijangka akan bertambah sehingga 3,000 penumpang sehari berbanding sekitar 80 penumpang sehari sebelum ini.

    Eksekutif Teknologi Maklumat Amira Azlan, 25, berkata persiapan untuk pulang ke kampungnya di Kuala Terengganu telah dilakukan sejak seminggu lepas berikutan berita mengenai kebenaran merentas negeri kerap muncul menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.

    “Sudah dua tahun tak boleh balik, jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umumkan semalam (kebenaran merentas), saya terus maklumkan kepada keluarga. Rasa gembira dan teruja kerana terlalu rindu keluarga…saya juga telah memohon cuti selama seminggu,” katanya.

    Semalam, Ismail Sabri dalam sidang media khas dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

    Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. – BERNAMA

  • Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana menggalakkan rakyat Malaysia untuk bercakap mengenai kesihatan mental.

    Memetik ciapan Khairy sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia semalam, Dr Tedros menyeru setiap individu untuk berusaha ke arah penjagaan kesihatan mental berkualiti buat semua.

    “Terima kasih atas kepemimpinan anda dan usaha menggalakkan rakyat #Malaysia untuk bercakap mengenai #mentalhealth, Menteri Kesihatan@Khairykj. Bersama-sama, demi penjagaan kesihatan mental yang berkualiti untuk semua! #WorldMentalHealthDay,” ciap beliau.

    Khairy menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyebut mengenai Let’s TALK Minda Sihat, satu bentuk kempen oleh Kementerian Kesihatan yang dilancarkan pada 2019 untuk menggalakkan rakyat Malaysia agar mendapatkan sokongan dan bantuan dalam penjagaan kesihatan mental, selain menggalakkan anggota keluarga dan rakan-rakan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

  • 2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    DUA bilik wad di Hospital Pantai, Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang mengalami kebakaran malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang menerima laporan pada jam 11.38 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

    Beliau berkata proses pemadaman api di dua bilik wad yang kosong tersebut mengambil masa selama 30 minit.

    Norazam berkata kebakaran melibatkan bilik Wad No A60 dan A61 keluasan 1.86 X 1.86 meter persegi.

    “Jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 30 orang melibatkan 12 orang perempuan, 16 lelaki, dua perempuan iaitu penjaga pesakit kanak-kanak serta 20 kakitangan hospital yang terlibat namun tidak ada mangsa yang tercedera.

    “Proses pemadaman api di dua wad tersebut menjadi mudah kerana wad kosong jadi kami hanya mengambil masa selama 30 minit untuk memadam api di wad berkenaan,” katanya ketika di hubungi Bernama. – BERNAMA

  • 3 RUU dijangka dibentang Dewan Rakyat hari ini

    3 RUU dijangka dibentang Dewan Rakyat hari ini

    BERBAKI dua hari lagi penutupan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, tiga Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, dua lagi adalah Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

    Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada para peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

    Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha melaksanakan satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan supaya tiada lagi masyarakat yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

    Selain itu, soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengenai skrip drama yang menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

    Turut ditanya adalah soalan mengenai pengeluaran dan pengedaran benih padi sah kepada peladang yang diajukan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • Rentas negeri penghargaan kepada barisan hadapan

    Rentas negeri penghargaan kepada barisan hadapan

    PENGUMUMAN kerajaan yang membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tanggungjawab kini terletak kepada rakyat Malaysia kerana walaupun rentas negeri dibenarkan, mereka perlu sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang masih berkuat kuasa.

    “Jika anda benar-benar menghargai apa yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lepas, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri, (dan) anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.

    “Alhamdulillah, hari ini telah mencapai nilai ambang yang telah kita janji dan kita umumkan, dan saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 hari bulan 10 (10 Okt) yang mana sama dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis ‘Free Medical Camp’ anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

    Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental bagi mendidik dan membantu rakyat yang terkesan akibat kesihatan mental.

    Beliau berkata, pusat berkenaan bukan hanya berfungsi sebagai pusat penyelidikan tetapi juga sebagai satu tempat kebolehcapaian yang mudah bagi perkara berkaitan kesihatan mental.

    “Komitmen KKM turut tertumpu pada kesihatan mental rakyat dan bukan pada kesihatan fizikal semata-mata. Pandemik COVID-19 mengakibatkan pelbagai kesan seperti kehilangan orang tersayang dan juga dari segi masalah ekonomi,” katanya.

    Khairy berkata demikian pada majlis pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan Kempen Media ‘Let’s TALK Minda Sihat’ secara maya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

    Menurut Khairy, aplikasi MySejahtera akan ditambah baik bagi membolehkan mereka menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan melalui aplikasi tersebut, selain Agenda Nasional Malaysia Sihat akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi membantu rakyat sihat dari segi fizikal dan mental.

    Mengenai Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025, Khairy berkata ia adalah polisi jangka panjang KKM bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental negara dan polisi berkenaan disediakan pakar bidang kesihatan mental dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

    Lapan skop utama digariskan dalam pelan itu antaranya meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan, mengukuhkan sistem kawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental komprehensif, dan memperkukuhkan sumber kesihatan mental.

    Ia turut meliputi skop meningkatkan kerjasama rentas sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental, memperkukuhkan kesiapsiagaan semasa kecemasan, krisis dan bencana serta menangani isu bunuh diri.

    Mengenai kempen media ‘Let’s TALK Minda Sihat’, Khairy berkata KKM menganggarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental itu menarik 22 juta capaian oleh rakyat Malaysia melalui pelbagai platform media termasuk media elektronik dan digital.

    Tema tahun ini “Menuju Kesaksamaan Kesihatan Mental” sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Okt selari dengan tema sambutan di peringkat global ‘Mental Health Care for All: Let’s Make It a Reality’ yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – BERNAMA

  • Muhyiddin hargai jasa semua pihak jayakan PICK

    Muhyiddin hargai jasa semua pihak jayakan PICK

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkat usaha semua pihak terutama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan.

    Bekas Perdana Menteri berkata, kerjasama semua pihak dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) – program vaksinasi terbesar negara telah membuahkan hasil apabila Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia. 

    ‘’Trend jangkitan pandemik Covid-19 kini menunujukkan penurunan dan ini boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke  Unit Rawatan Rapi (ICU).

    ‘’Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan  kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.

    Muhyiddin yang membuat pengumuman itu sejam sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, dua minggu lalu, selepas 150 hari beroperasi, PPV Mega World Trade Centre KL (WTCKL) akhirnya melabuhkan tirai operasi.

    Katanya, sejak pembukaan pada 5 Mei, PPV WTC KL telah berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.

    ‘’Saya sendiri sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka  pada bulan Mei lepas.  Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada  skala besar,’’ katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, semakin menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat-peringkat.

    ‘’Ini bermula dengan PPV Mega WTCKL, yang mana sudah lebih 100 peratus  populasi dewasa di Lembah Kelang  lengkap menerima vaksin.

    ‘’Walaupun pembukaan PPV Mega ini pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun Kerajaan di bawah kepemimpinan saya pada masa itu  memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di bawah Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia.

    Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras,  siang dan malam bagi menjayakan PICK.

    ‘’Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.

    Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,’’ katanya.

    Beliau turut menyeru rakyat agar terus menumpukan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

    ‘’Marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras dengan hasrat Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah,’’ katanya.

  • KKM lancarkan fitur baharu perincian vaksinasi peringkat sekolah

    KKM lancarkan fitur baharu perincian vaksinasi peringkat sekolah

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan fitur baharu mengenai perincian vaksinasi bagi peringkat sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam laman sesawang covidnow.

    Menteri Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin berkata, melalui fitur baharu itu, ibu bapa atau penjaga boleh membuat semakan mengenai kadar vaksinasi murid bagi sekolah anak masing-masing.

    ‘’ Semakan boleh dibuat melalui pautan https://covidnow.moh.gov.my/school. Kongsi-kongsikan maklumat ini. Usaha ini dapat menyediakan maklumat telus kepada masyarakat, khususnya ibu bapa/penjaga.

    ‘’Ini juga merupakan sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endamik. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

    Beliau berkata, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM dalam pelaksanaan program vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun, atau PICK Remaja yang telah bermula pada awal September lalu.

    ‘’KPM memantau rapi pelaksanaan PICK Remaja, khususnya bagi murid sekolah bawah KPM. Sehingga kini, hampir 80% murid berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin,’’ katanya.

    Dr.Radzi berkata, KPM dan KKM telah mengadakan perbincangan bagi meneliti pendekatan terbaik untuk menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah KPM dan maklumat tersebut boleh dikongsikan kepada umum sepertimana data vaksinasi yang lain.