Category: Umum

  • KEDA belanja RM2.5 juta projek ameniti sosial

    KEDA belanja RM2.5 juta projek ameniti sosial

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah ( KEDA) membelanjakan RM2.5 juta bagi projek ameniti sosial di seluruh Kedah tahun ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu lebih tinggi berbanding tahun 2020 iaitu hanya RM1.5 juta.

    “KEDA telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada 77 kategori kerja. Sebanyak 67 kategori kerja telah siap manakala selebihnya dalam pelaksanaan.

    “Antara projek ameniti sosial itu termasuk menaik taraf dan baik pulih longkang, baik pulih dewan serbaguna dan surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh di Sungai Petani, hari ini.

    Pembinaan dewan serbaguna itu kata Mahdzir, memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk di kawasan berkenaan.

    “Pembinaan dewan berkeluasan 264 meter persegi dan infrastruktur berkaitan menelan belanja lebih RM400 ribu dan mampu memuatkan kira-kira 200 orang dalam satu masa.

    Pembinaan dewan ini susulan permintaan daripada masyarakat setempat yang memerlukan tempat bagi menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya.

    KPLB tegas Mahdzir, akan terus melaksanakan mandat dan naratif utamanya menyediakan segala keperluan asas demi kesejahteraan masyarakat luar bandar sebagai satu Keluarga Malaysia.

  • Awas! Air pasang besar melanda, jauhi kawasan pantai

    Awas! Air pasang besar melanda, jauhi kawasan pantai

    FENOMENA air pasang besar mula melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor sejak lewat malam tadi menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk.

    Memetik laporan Bernama, situasi itu seperti dijangkakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Ahad lepas, yang memaklumkan air pasang besar dijangka berterusan di negeri terbabit selama empat hari bermula semalam (4 Nov).

    JPS turut memberi peringatan fenomena itu akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak selain berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai.

    Di KEDAH, beberapa kawasan di negeri itu khususnya di Kuala Kedah, mula dinaiki air sekitar 11.30 malam tadi menyebabkan limpahan air ke penempatan penduduk dan kawasan pasar namun surut tidak lama kemudian.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata fenomena air pasang besar dijangka paling tinggi pada 1.17 pagi esok dan kawasan berisiko akan terus dipantau khususnya di Kuala Kedah, Yan, Jerlun serta Kuala Muda.

    “Keadaan banjir yang sedang melanda negeri ini juga dijangka bertambah buruk khususnya bagi kawasan tepi dan muara sungai serta perpindahan mangsa banjir juga dijangka bertambah susulan air pasang besar sehingga Selasa depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama ke Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah tengah hari tadi mendapati kesan limpahan air masih kelihatan ekoran air pasang besar yang berlaku tengah malam tadi, namun tidak menjejaskan penduduk khususnya peniaga di kawasan itu.

    Seorang peniaga makanan kering Chempa Ladun, 41, berkata limpahan air pasang besar tengah malam tadi datang dengan perlahan sebelum surut tidak lama kemudian.

    “Memang tiap-tiap tahun bila berlaku air pasang besar, air akan naik di kawasan pasar nelayan ini, kami pun dah bersedia awal, macam sekarang air naik tengah malam, tapi barang-barang di kedai sudah disimpan dan dibungkus elok,” katanya.

    Di PERAK, air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira 4.30 pagi tadi menyebabkan air melimpah sedalam 0.3 meter ke penempatan penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak, Teluk Intan.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata 12 kawasan di sekitar daerah itu terjejas akibat fenomena berkenaan namun tiada mangsa dipindahkan manakala air mula surut pada 7 pagi tadi.

    Lokasi terjejas ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabik, Ban Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Taman Desa Aman, Kampung Batak Rabik dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.

    “Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa memantau kawasan terlibat namun keadaan dikhuatiri menjadi buruk sekiranya berlaku hujan lebat dan ban pecah,” katanya.

    Di SELANGOR, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan dipantau secara bersepadu oleh beberapa Balai Bomba dan Penyelamat negeri bersama agensi bencana lain sejak 4.30 hingga 7.30 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata lokasi pemantauan termasuk Jeti Pulau Ketam, Jeti Sementa, Jeti Sritama, Jeti Sri Tanjung, Jeti Sepakat, Jeti Sirip Biru, Pengkalan Nelayan Kampung Tok Muda Kapar, Pengkalan Sungai Keramat dan Kampung Ban Pecah.

    “Keadaan air pasang melebihi paras biasa namun keadaan terkawal, rumah penduduk tidak dinaiki air dan tiada pemindahan mangsa dilakukan serta air mula surut pada 7 pagi,” katanya dalam kenyataan.

    Di JOHOR, JBPM negeri akan menumpukan rondaan bagi fenomena itu di kawasan sepanjang pesisir pantai yang mempunyai penduduk di beberapa daerah antaranya Batu Pahat, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

    Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata arahan kepada seluruh Balai Bomba dan Penyelamat juga telah dikeluarkan bagi kesiapsiagaan dan rondaan sepanjang tempoh air pasang besar itu.

    “Kesiapsiagaan ini merangkumi aspek kesiapsiagaan anggota dan aset-aset jabatan, terutamanya untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku kejadian banjir yang memerlukan pemindahan,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Astro Awani melaporkan, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai dan pantai di Terengganu diingatkan agar lebih berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata berkata air pasang besar serta disusuli hujan dikhuatiri boleh mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan.

    Katanya, fenomena air pasang besar mencecah lebih satu meter dijangka bermula pukul 9 malam ini.

  • Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat

    Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah meningkat kepada 823 orang setakat pukul 8 pagi ini berbanding 754 pada 8 pagi semalam.

    Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, jumlah PPS di negeri itu bagaimanapun menurun daripada 13 semalam kepada cuma 12 pada hari ini.

    Setakat katanya, terdapat empat daerah yang masih terjejas iaitu Pendang, Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu.

    “Kota Setar merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan enam PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, SK Convent, SK Haji Wahab, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar melibatkan keseluruhan 382 mangsa dari 117 keluarga.

    “Daerah kedua yang paling terjejas adalah Pendang dengan dua PPS dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan dekat Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih melibatkan keseluruhan 293 mangsa dari 76 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mengulas mengenai keadaan di Kubang Pasu, Mohd. Muaz berkata terdapat sebanyak 100 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan SK Malau.

    “Di Pokok Sena pula terdapat dua PPS dibuka iaitu di Surau Kampung Permatang Limau dan SK Tualang yang menempatkan 47 mangsa dari 14 keluarga,” katanya.

  • Kejayaan Pelan Pemulihan Negara bolehkan sambutan Deepavali tahun ini berbeza – Muhyiddin

    Kejayaan Pelan Pemulihan Negara bolehkan sambutan Deepavali tahun ini berbeza – Muhyiddin

    HASIL pelaksanaan dan kerjasama rakyat dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara telah membolehkan sambutan Deepavali kali ini berbeza berbanding tahun lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, jika tahun lalu sambutan hanya diraikan bersama ahli keluarga di rumah sahaja kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tahun ini tidak lagi.

    ‘’ Kita sudah boleh beraya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Ini merupakan hasil pelaksanaan dan kerjasama anda semua dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    ‘’Jumlah populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin lengkap sudah pun melebihi 95 peratus manakala sektor-sektor ekonomi dan sosial telah dibuka hampir sepenuhnya,’’ katanya dalam perutusan sempena Hari Deepavali, hari ini.

    Beliau berkata, usaha ke arah pemulihan negara tidak hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat .

    Kita bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.

    Dengan pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi, pastinya akan memberi lebih sinar kepada kita semua terutama golongan yang terjejas punca pendapatan mereka,’’ katanya.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau gembira melihat orang ramai sudah keluar berbelanja seperti biasa termasuk penganut agama Hindu yang keluar membeli-belah sebagai persiapan menyambut perayaan itu.

    ‘’Namun begitu, dalam kita meneruskan kehidupan seperti biasa dan meraikan apa sahaja perayaan, kita tidak boleh leka dan lupa bahawa virus Covid-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Justeru kita perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua.

    ‘’Jika kita menerima tetamu atau berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan sentiasalah beringat, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, elakkan bersalaman dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sanitizer. Bagi yang bergejala, duduk di rumah dan ambil ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga,’’ katanya.

    Beliau berharap sambutan Deepavali yang lebih meriah pada tahun ini dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum dan agama, sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

  • Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

    Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas. 

    Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan itu selepas menerima menghadap Abdul Taib di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri itu agar Proklamasi Darurat di Sarawak dapat ditamatkan.

    Pada hari ini, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan telah memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat itu pada sesi yang berlangsung selama satu jam, bermula 8 pagi.

    Al-Sultan Abdullah turut menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, menyembah taklimat berhubung perkara sama, semalam.

    “Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat YAB Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

    “Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

    “Perkenan Seri Paduka kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun, diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” kata Azuan Effendy.

    Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

    Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Feb 2022 susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

    Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri itu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran berkenaan.

    Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. – BERNAMA

  • 3,835 pegawai dan anggota bertugas di PRN Melaka

    3,835 pegawai dan anggota bertugas di PRN Melaka

    POLIS Melaka memberi jaminan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang dijadualkan bermula 8 November ini berjalan lancar terutamanya melibatkan aspek ketenteraman awam dalam tempoh pandemik Covid-19.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya turut mengenal pasti 16 lokasi panas di ketiga-tiga daerah di negeri itu yang akan dipantau menggunakan unit dron.

    “Polis kontinjen Melaka amat bersedia jika berlaku apa sahaja kemungkinan berkaitan ketenteraman awam. Maknanya latihan yang dibuat, bermula daripada latihan ketenteraman awam sehingga jika keadaan jadi tidak terkawal pengisytiharan darurat akan dibuat.

    “Semasa PRN ini juga, kontinjen Melaka mempunyai 17 pasukan ‘light strike force’ yang mana kita akan memastikan ketenteramana awam sepanjang PRN ini berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi itu juga berjalan lancar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di Banda Kaba di Melaka, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu beliau berkata, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis termasuk 1,245 bantuan kontinjen luar Melaka digerakkan untuk membuat kawalan dan penugasan sepanjang tempoh PRN ini.

    Ujarnya, pasukan polis juga akan menggunakan empat unit dron bagi memantau lokasi-lokasi panas selain bantuan dari Unit Pencegahan Rusuhan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Unit pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

    “Daripada penilaian yang dibuat ketika ini kita dapati terdapat 16 kawasan yang dipanggil ‘hot spot’ yang mana akan diberi tumpuan utama oleh polis dan kita akan gunakan unit drone untuk membuat penilaian tentang keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Apabila ada drone penugasan dan persediaan kita lebih mudah, selain pandangan lebih jauh dan kita sebenarnya akan buat pengawasan di semua kawasan tetapi lokasi-lokasi panas akan diberi tumpuan lebih,”katanya.

    Tambah beliau, cuti tahunan pegawai dan anggota polis Melaka turut dibekukan bagi menghadapi PRN ini.

  • UUM dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik

    UUM dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BUAT julung-julung kalinya, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya berada dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022 yang diumumkan petang semalam.

    Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, pencapaian universiti itu melonjak ke kedudukan ke-98 berbanding 107 pada tahun lalu.

    Katanya, ini merupakan penpcapaian terbaik universiti tersebut dan ia sekali gus membuktikan bahawa UUM berada di kedudukan tepat sejak bermulanya Pelan Strategik UUM 2011.

    “Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan saban tahun merupakan usaha bersama warga universiti yang patut dibanggakan.

    “Bukan mudah untuk berada dalam kedudukan 100 terbaik Asia ini kerana ia melibatkan reputasi sesebuah universiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Haim Hilman yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata, penarafan itu juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa kualiti kurikulum dirangka UUM turut mendapat kepercayaan ahli akademik luar .

    “Itu sekali gus menunjukkan kualiti kurikulum UUM merupakan antara yang terbaik dan terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada majikan terhadap kualiti siswazah dihasilkan,” katanya.

  • RKMAT: 8,852 unit rumah khusus bagi warga ATM

    RKMAT: 8,852 unit rumah khusus bagi warga ATM

    KERAJAAN akan membina kira-kira 10,200 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 8,852 unit khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi perancangan lima tahun.

    “1,509 unit RKMAT sudahpun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) hari ini.

    Beliau berkata, dengan perasmian 2,000 unit RKMAT hari ini, ia telah memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.

    Ismail Sabri berkata, kesemua 2,000 unit berkenaan yang mempunyai tiga bilik dengan keluasan 850 kaki persegi serta dilengkapi perabot, diperuntukkan untuk anggota Tentera Darat Malaysia terdiri daripada pelbagai pangkat.

    Selain itu, beliau berkata, projek perumahan itu turut dilengkapi perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serba guna, gimnasium, surau dan unit kedai.

    Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bagi pembinaan rumah itu akan berterusan sehingga akhir Disember ini.

    “Fasa akhir Disember ini, 2,000 keluarga akan mula masuk (pindah). Ia dibina Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui anak syarikatnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia. Kementerian Pertahanan membeli keseluruhan projek ini kerana ini konsep baru yang kita perkenalkan iaitu membeli dan bukannya membina.

    “Kalau dulu kita dalam konsep pembinaan. Selepas siap bina, kita masuk namun banyak juga kes projek itu terlewat atau terbengkalai membuatkan kita tak mampu untuk memindah anggota kita,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu.

    Ismail Sabri berkata, unit perumahan yang terletak di kawasan Bukit Jalil serta mempunyai empat blok pangsapuri 38 tingkat itu menempatkan para pegawai sehingga tempoh bersara kelak.

    Dalam pada itu, rata-rata anggota tentera yang menduduki RKMAT mengucapkan terima kasih dan gembira dengan perumahan serba moden itu.

    Menzahirkan rasa puas hati, Koperal R. Salvam berkata, perumahan itu amat sesuai dengan beliau yang sudah berkeluarga memandangkan ia dilengkapi fasiliti yang serba lengkap serta lokasi yang strategik.

    “Saya memang sangat berpuas hati dengan keadaan rumah yang dilengkapi peralatan rumah. Ia menyenangkan pegawai yang akan berpindah suatu hari nanti,” katanya.

    Selain itu, Koperal Christina Clinie Anak Bonsu berkata, keluasan unit itu memberi keselesaan kepada beliau yang akan mendiami tempat itu bersama suami dan anak kecilnya berusia setahun.

    “Ini satu rezeki buat saya. Peti sejuk, oven, semua ada. Saya sudah berkeluarga dan akan duduk bersama suami dan anak saya,” katanya. – BERNAMA

  • Pastikan tragedi yang menimpa Zulfarhan tidak berulang

    Pastikan tragedi yang menimpa Zulfarhan tidak berulang

    WARGA Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah sepertimana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

    Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

    “Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

    “Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya, pagi ini.

    Beliau berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap hukuman penjara yang dikenakan terhadap enam penuntut universiti itu kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

    “Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!,’’ tambah Hishammuddin.

    Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

    Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

    Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

    Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

    Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – BERNAMA

  • Banjir Kedah: 754 mangsa, 13 pusat pemindahan sementara

    Banjir Kedah: 754 mangsa, 13 pusat pemindahan sementara

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEHINGGA pukul 8 pagi tadi, seramai 754 mangsa banjir kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah.

    Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, kesemua mereka terdiri daripada 205 keluarga yang tinggal dalam lima daerah di Kedah yang terjejas akibat banjir.

    Katanya, lima daerah itu adalah Pendang, Pokok Sena, Kota Setar, Kubang Pasu dan Baling.

    “Secara keseluruhannya terdapat dua PPS masih dibuka di Pendang dan Baling, tujuh di Kota Setar serta tiga di Kubang Pasu.

    “Daerah Pendang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 292 orang diikuti Kota Setar, 272 orang dan Kubang Pasu seramai 141 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memaklumkan, kesemua mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19 akan ditempatkan di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini bagi memastikan mereka tidak bercampur bersama mangsa-mangsa banjir yang lain.

    Selain itu katanya, persiapan juga turut dilakukan bagi membolehkan individu berstatus kontak rapat yang perlu menjalani kuarantin dapat dipindahkan ke tempat selamat.

    “Dua golongan ini diletakkan bersekali dengan mangsa banjir yang lain bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.

    “Setakat ini dua PKRC di Kedah iaitu di Dewan Wawasan Jitra dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim masih beroperasi dan jika ada dalam kalangan mangsa banjir disahkan positif Covid-19 serta menjalani kuarantin di rumah, maka kita akan hantar mereka ke situ,” katanya.

    Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Halimaton Shaadiaah Saad memaklumkan, setakat ini terdapat dua keluarga yang menjadi mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam yang diwakilinya, disahkan positif Covid-19 dan berstatus kontak rapat.

    “Setakat ini mereka masih berada di rumah kerana paras air sudah surut. Namun kita masih mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia memindahkan mangsa-mangsa tersebut ke PKRC serta lokasi bersesuaian sekiranya hujan kembali lebat hingga mengakibatkan rumah mereka dinaiki air,” katanya.

    banjir
    Dua anggota APM di lokasi banjir di Pontian, Johor.

    Dalam pada itu, di JOHOR, hujan lebat sejak semalam mengkibatkan Kampung Paya Embun, dekat Pontian dilanda banjir kilat sekali gus mengakibatkan 18 penduduk dipindahkan malam tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyanathan berkata, mangsa banjir melibatkan empat keluarga itu dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

    “Kejadian banjir kilat ini dipercayai berlaku selepas hujan lebat selama lebih dua jam di kawasan berkenaan. Hasil perbincangan kemudian membawa kepada pembukaan satu PPS kerana terdapat beberapa keluarga yang kediaman mereka sudah dinaiki air.

    “Setakat jam 8 pagi ini, mangsa masih kekal seramai 18 orang iaitu terdiri daripada empat lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, satu kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Vidyanathan berkata, setakat ini cuaca di kawasan berkenaan masih dilaporkan dalam keadaan mendung dan pemantaun daripada agensi menyelamat sedang dilakukan dari masa ke semasa.