Category: Umum

  • PRN Melaka: Pemimpin politik patut tunjuk teladan patuh SOP

    PRN Melaka: Pemimpin politik patut tunjuk teladan patuh SOP

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

    Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan agar rakyat turut mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi PRN Melaka.

    “Secara keseluruhan, KKM melihat pematuhan SOP adalah baik namun malangnya ada juga yang tidak patuh seperti pemimpin dan ahli politik. Sepatutnya mereka (pemimpin dan ahli politik) menunjukkan teladan yang baik.

    “Sepatutnya mereka ini lebih memahami dan mungkin apabila ke lapangan, minta kurangkan pegawai pengiring. Apabila terlalu ramai orang yang mengiring seseorang pemimpin itu, susah untuk menjaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Sementara itu, mengenai kira-kira 40 peratus individu yang tidak hadir selepas menerima janji temu vaksinasi dos penggalak COVID-19, Khairy berkata, KKM akan meningkatkan komunikasi untuk memastikan kesemua penerima janji temu dos itu hadir menerima suntikan.

    Beliau berkata, bukti bahawa dos penggalak itu selamat digunakan akan dimaklumkan kepada individu terbabit terutamanya bagi melindungi orang ramai daripada ancaman virus COVID-19.

    “Kita akan pastikan mereka yang dah terima janji temu booster (dos penggalak) dapat menepati janji temu yang diberikan. Kita akan tunjukkan bukti bahawa ia selamat dan sangat digalakkan untuk melindungi terutamanya orang tua daripada kesan buruk virus,” katanya.

    Beliau memaklumkan peratusan itu menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam dan berkata jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah. – BERNAMA

  • Takiyuddin Hassan disahkan positif Covid-19

    Takiyuddin Hassan disahkan positif Covid-19

    MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan disahkan positif Covid-19.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    “Saya mewakili menteri (Takiyuddin) oleh kerana menteri masih terkena penyakit Covid, saya dimaklumkan bahawa saya ambil alih tugasan untuk menjawab perkara yang amat penting ini pada pagi ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mewakili Takiyuddin menjawab soalan yang dikemukakan oleh Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai harimau Malaya dalam sesi soal jawab sidan Dewan Rakyat hari ini.

    Pada pertengahan September lalu, Takiyuddin dilaporkan menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

  • Pelajar UiTM Lendu positif Covid-19 selepas hadir program kepimpinan

    Pelajar UiTM Lendu positif Covid-19 selepas hadir program kepimpinan

    SEORANG pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu di Alor Gajah, Melaka dilaporkan positif Covid-19 selepas menghadiri satu program kepimpinan di sebuah resort yang didakwa dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Memetik laporan BH, Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman memberitahu, kes itu dikesan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada Klinik UiTM Lendu mengenai seorang pelajar yang positif COVID-19 selepas saringan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

    Menurut beliau, selain pelajar itu, terdapat lapan lagi pelajar mengalami gejala dan tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

    “Siasatan lanjut mendapati, semua pelajar itu menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah NGO dari 3 hingga 7 November lalu di sebuah resort di Alor Gajah.

    “Sekurang-kurangnya 45 pelajar didapati menghadiri majlis itu membabitkan pelbagai cawangan UiTM dari Melaka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, susulan itu semua sembilan pelajar terbabit menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.

    “Pelajar lain yang menjadi kontak rapat kepada kes disyaki COVID-19 sedang dikenal pasti untuk diasingkan sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

    “Beberapa Kolej Kediaman Pelajar UiTM Lendu, diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 11 November hingga 20 November ini,” katanya.

    Dr Rusdi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

    “Orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri dan menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah untuk saringan segera,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial kes positif dikesan berlaku dalam kalangan pelajar UiTM Lendu yang didakwa berpunca daripada program anjuran sebuah NGO dan turut dihadiri orang kenamaan.

  • Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah disahkan positif COVID-19 pada 9 November 2021, dan akan menerima rawatan perubatan.

    Nagaentran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan semalam untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

    Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November 2021 menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.

    “Beliau dibawa ke mahkamah pada tengah hari pada 9 November 2021. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaentran telah diasingkan,” kata SPS di laman webnya.

    Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.

    SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas beliau pulih.

    “Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin COVID-19,” kata SPS.

    Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif COVID-19.

    Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, telah ditutup untuk mengelakkan penularan virus itu.

    SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang telah disahkan positif.

    Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga, dan SPS berkata ia mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal. – Bernama

  • Aktiviti keusahawanan mampu bangunkan kawasan luar bandar – Mahdzir

    Aktiviti keusahawanan mampu bangunkan kawasan luar bandar – Mahdzir

    KEMENTERIAN  Pembangunan Luar Bandar melalui Institut Kemajuan Desa telah menganjurkan Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN [ASEAN Forum On Enhancing Rural Micro, Small And Medium Enterprises (MSMES)].

    Forum tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pegawai kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan usahawan luar bandar daripada negara-negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga seperti Singapura, Thailand, Kemboja, Filipina, Jepun, Republik Rakyat China dan Malaysia.

    Ia turut dihadiri Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio Budaya),  Ekkaphab Phanthavong dan Sekretariat ASEAN.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, forum itu merupakan salah satu daripada komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.

    ‘’Forum ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan dalam kalangan negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik COVID-19 serta membincangkan hala tuju dan tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca COVID-19,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam ucapan perasmiannya, Mahdzir berkata,  aktiviti keusahawanan luar bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan kawasan itu.

    ‘’ Ini adalah aktiviti keusahawanan luar bandar mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi individu, keluarga dan komuniti di luar bandar,’’ katanya.

    Beliau turut memberi penekanan terhadap kepentingan untuk meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital untuk memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca COVID-19.

    Dalam forum itu, antara topik yang dibincangkan adalah cabaran usahawan luar bandar pasca COVID-19, pembudayaan aktiviti keusahawaan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif dan pemulihan dan peningkatan daya tahan usahawan luar bandar pasca COVID-19.

    Selain itu beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran COVID-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.

    Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing- masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital.

  • 1MDB diurus umpama ‘kedai kopi Cina’

    1MDB diurus umpama ‘kedai kopi Cina’

    Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini bahawa cara pengurusan syarikat itu boleh digambarkan seumpama pengurusan ‘kedai kopi Cina’.

    Analogi itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian semasa membantah pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap bekas ketua pegawai eksekutif Mohd Hazem Abdul Rahman, yang dianggapnya tidak relevan kepada pembelaan Najib.

    “Apa sekalipun kita setuju, hal ehwal 1MDB dijalankan dan diurus bagaikan sebuah kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

    “Bagi kami, Jho Low (merujuk kepada ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho) adalah ‘alter ego’ serta bayangan tertuduh (Najib) dan mereka bekerjasama… kami boleh terima pemeriksaan balas yang sebegini hanya kerana ia sama sekali tidak relevan dengan kes kami,” kata Sri Ram kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Hakim Sequerah mempersoalkan bentuk soalan Wan Aizuddin terhadap Mohd Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 mengenai prospektus yang diserahkan kepada Bursa Malaysia untuk cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) bagi sebuah anak syarikat 1MDB, yakni 1MDB Energy.

    Semasa menjawab soalan peguam, saksi berusia 49 tahun itu berkata dia hanya mempunyai pengetahuan asas mengenai IPO dan hanya tahu mengenai draf prospektus itu sahaja, sambil menambah dia tidak dapat mengingati tarikh sebenar prospektus itu diserahkan kepada Bursa pada tahun 2014.

    Bagaimanapun Wan Aizuddin yang mewakili Najib terus menekan saksi itu berhubung pengeluaran IPO 1MDB Energy.

    Hakim Sequerah: Kemana hala tuju soalan anda ini, dan apa tujuan soalan berkaitan dengan IPO ini? Saksi ini sudah pun beritahu bahawa dia tidak tahu sangat mengenai penyenaraian. Apa kaitannya dengan pembelaan anak guam anda?

    Wan Aizuddin: Ia bertujuan menunjukkan bahawa terdapat salah pengurusan dalam 1MDB, yang menyebabkan anak guam saya dipersalahkan.

    Peguam itu berkata sama seperti pendakwaan, pihak pembelaan juga perlu membuktikan kes mereka bahawa terdapat kecuaian dan salah laku dalam hal ehwal 1MDB yang lakukan oleh Jho Low.

    Hakim Sequerah kemudiannya meminta Wan Aizuddin meneruskan perbicaraan dengan bentuk soalan berikutnya, dan meminta beliau menyatakan niatnya dalam penghujahan nanti.

    “Sekiranya saksi beritahu anda yang dia tidak tahu, berhenti sahaja di situ dan masukkan ia dalam penghujahan anda nanti,” kata Hakim Sequerah.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu. – Bernama

  • Larangan majlis rasmi kerajaan, swasta di Melaka

    Larangan majlis rasmi kerajaan, swasta di Melaka

    prn melaka mohd

    SEMUA majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di Melaka sejak dari 4 Nov hingga 27 Nov depan.

    Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini semalam memaklumkan selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan sejak 25 Okt hingga 27 Nov ini.

    Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

    Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

    Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

    Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA

  • 3 remaja cedera dalam insiden kepala air Lata Bayu

    3 remaja cedera dalam insiden kepala air Lata Bayu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tiga remaja perempuan cedera dalam kejadian kepala air yang berlaku di pusat rekreasi terkenal, Lata Bayu di Baling, Kedah petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang semalam yang turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang.

    Dalam kejadian itu katanya, sebuah kereta dan sebuah motosikal telah dihempap oleh sebatang pokok balak yang tumbang.

    “Terdapat tiga pengunjung cedera terkena dahan pokok yang tumbang itu. Seorang daripadanya merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang patah kaki di bahagian buku lali kiri.

    “Dua lagi merupakan remaja berusia 15 dan 16 tahun yang mana kecederaan mereka masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian kepala air di Lata Bayu, Baling, Kedah.

    Tambahnya, remaja berusia 13 tahun itu dibawa ke Hospital Baling manakala dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Sungai Petani untuk menerima rawatan.

    “Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menutup pusat rekreasi Lata Bayu dan Lata Hijau yang berada di bawah kawalan jabatan tersebut.

    “Orang ramai dinasihati tidak mengunjungi pusat-pusat rekreasi air terjun di Baling ketika ini kerana kawasan tersebut berisiko tinggi dilanda kepala air.

    Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

  • KPM sudah agih 150,000 peranti Tabung Cerdik

    KPM sudah agih 150,000 peranti Tabung Cerdik

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) selesai mengagihkan sejumlah 150,000 peranti di bawah Tabung Cerdik kepada pelajar yang layak menerima di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, inisiatif itu adalah sumbangan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.

    Beliau berkata, penerima terakhir peranti itu adalah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pinji, Ipoh, Muhammad Harith Irfan Mohd Daniel Timothy pada 29 Okt lepas.

    “Yayasan Hasanah telah menghantar peranti berkenaan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara dan KPM berperanan membantu mengenal pasti serta mengagihkan peranti tersebut kepada pelajar yang layak menerima.

    “Pada peringkat awal mungkin ada sedikit kelewatan dalam konteks pengagihan peranti kerana pada waktu itu, di seluruh dunia termasuk Malaysia, bekalan peranti agak terhad berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau kawalan pergerakan di negara pengeluar,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau kemasukan pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Nilai, di sini hari ini.

    Sementara itu, Radzi berkata, seramai 26,152 pelajar memasuki 27 kampus IPG di seluruh negara bermula semalam.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 16,252 pelajar tinggal di asrama dan KPM akan terus memantau kemasukan pelajar IPG bagi memastikan berjalan lancar. – BERNAMA

  • Banjir Kedah: 821 mangsa, 217 keluarga di PPS

    Banjir Kedah: 821 mangsa, 217 keluarga di PPS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETAKAT pukul 12 tengah hari tadi, seramai 821 mangsa banjir terdiri daripada 217 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Kedah.

    Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 519 individu dari 138 keluarga.

    “Terdapat enam PPS dibuka di Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, SMK Convent, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar.

    “Mangsa teramai ditempatkan di SMK Convent iaitu berjumlah 163 orang dari 44 keluarga diikuti 114 individu dari 31 keluarga di SK Darul Hikmah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tiga lagi daerah yang terlibat adalah Sik, Pendang dan Pokok Sena.

    Mengulas lanjut katanya, daerah kedua yang paling teruk terjejas adalah Pendang dengan 281 mangsa dari 74 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Cenderawasih dan Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah.

    “Di Sik cuma ada 17 keluarga dari empat keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Sik dan SK Chepir.

    “Manakala di Pokok Sena hanya ada satu saja PPS yang masih dibuka iaitu di SK Tualang melibatkan empat individu dari satu keluarga,” katanya.