Pelajar UiTM Lendu positif Covid-19 selepas hadir program kepimpinan

Jepun kes baharu kolej vokasional UiTM positif VOC COVID-19 kes sembuh

SEORANG pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu di Alor Gajah, Melaka dilaporkan positif Covid-19 selepas menghadiri satu program kepimpinan di sebuah resort yang didakwa dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Memetik laporan BH, Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman memberitahu, kes itu dikesan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada Klinik UiTM Lendu mengenai seorang pelajar yang positif COVID-19 selepas saringan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

Menurut beliau, selain pelajar itu, terdapat lapan lagi pelajar mengalami gejala dan tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

“Siasatan lanjut mendapati, semua pelajar itu menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah NGO dari 3 hingga 7 November lalu di sebuah resort di Alor Gajah.

“Sekurang-kurangnya 45 pelajar didapati menghadiri majlis itu membabitkan pelbagai cawangan UiTM dari Melaka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, susulan itu semua sembilan pelajar terbabit menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Pelajar lain yang menjadi kontak rapat kepada kes disyaki COVID-19 sedang dikenal pasti untuk diasingkan sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

“Beberapa Kolej Kediaman Pelajar UiTM Lendu, diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 11 November hingga 20 November ini,” katanya.

Dr Rusdi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri dan menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah untuk saringan segera,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial kes positif dikesan berlaku dalam kalangan pelajar UiTM Lendu yang didakwa berpunca daripada program anjuran sebuah NGO dan turut dihadiri orang kenamaan.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *