Category: Umum

  • Sukarelawan Syria, Yaman bantu cuci rumah mangsa banjir

    Sukarelawan Syria, Yaman bantu cuci rumah mangsa banjir

    SUKARELAWAN Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dari komuniti Syria dan Yaman turut bersama dalam kerja-kerja pembersihan pascabanjir di sekitar Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Selangor.

    Aktiviti termasuk membantu membersihkan rumah-rumah yang ditenggelami banjir baru-baru ini dan kawasan sekitar.

    Selain itu, kumpulan ini juga telah membantu membersihkan perabot dan kelas di sekolah KAFA Integrasi RTB Bukit Changgang yang terkesan dengan banjir.

    Sukarelawan MAHAR membantu membersihkan rumah-rumah yang ditenggelami banjir baru-baru ini

    Pengerusi MAHAR, Jismi Johari berkata, mereka telah banyak membantu dalam inisiatif banjir sejak permulaan lagi dengan pelbagai bentuk bantuan.

    “Mereka amat bersimpati terhadap mangsa-mangsa bencana banjir dan aktiviti gotong-royong ini dizahirkan sebagai satu bentuk solidariti mereka kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Seramai 30 orang saudara dari Syria dan Yaman ini terdiri daripada kalangan ekspatriat, ahli perniagaan, pelajar dan peserta Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang menetap di sekitar Lembah Klang.

  • Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

    Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata empat anak dan seorang cucu beliau turut dijangkiti wabak tersebut dan telah menjalani kuarantin.

    “Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif COVID-19.

    “Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu. Seorang cucu selamat dilahirkan semalam dan disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buloh. Doakan,” menurut catatan itu. – BERNAMA

  • MySJ Trace ciri baharu MySejahtera kesan kontak rapat

    MySJ Trace ciri baharu MySejahtera kesan kontak rapat

    MYSEJAHTERA kini dilengkapi dengan ciri baharu iaitu ‘MySJ Trace’ untuk membolehkan pengesanan kontak rapat yang turut menggunakan ciri baharu yang sama.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter, hari ini berkata ‘MySJ Trace’ yang menggunakan sistem Bluetooth akan memberi maklumat secara langsung bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ciri baharu berkenaan.

    “Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah tidak didedahkan,” katanya.

    Beliau berkata, menerusi ciri baharu itu, masyarakat digalakkan menggunakannya apabila ke tempat awam yang tertutup selain memaklumkan bahawa ciri mendaftar keluar yang terdapat dalam MySejahtera tidak lagi digunakan.

    mysj trace

    Khairy berkata ciri baharu berkenaaan juga telah dihantar serentak kepada Google, Apple dan Huawei untuk dikemas kini.

    “Sudah boleh dikemas kini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update (kemas kini) baharu ini,” katanya.

    MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak COVID-19 di negara ini. – BERNAMA

  • Banjir: PM batal umrah, beberapa menteri batal cuti sudah pulang

    Banjir: PM batal umrah, beberapa menteri batal cuti sudah pulang

    BEBERAPA menteri Kabinet yang bercuti ke luar negara telah membatalkan cuti mereka dan kembali ke tanah air.

    Tanpa memberikan nama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memaklumkan perkara itu berkata menteri-menteri berkenaan kini sedang dikuarantin.

    “Ada dua, tiga yang telah pulang. Mereka ini merancang ke luar negeri lebih awal sebelum banjir berlaku dan sebelum arahan (batal cuti) dikeluarkan.

    “Saya tidak mahu sebut siapa, tetapi mereka kini telah balik dan saya nasihatkan mereka kuarantin dahulu untuk keselamatan. Isnin atau Selasa mereka akan keluar,” katanya ketika ditanya media mengenai perkara itu selepas meninjau kerja-kerja pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di Hulu Langat, hari ini.

    Perdana Menteri turut memaklumkan, beliau sendiri membatalkan rancangannya untuk melaksanakan umrah yang sepatutnya pada 1 Jan depan.

    Katanya lagi, ada dalam kalangan menteri yang telah berada di luar negara membatalkan cuti mereka, tetapi masih tidak dapat pulang ke tanah air kerana ketiadaan penerbangan.

    Terdahulu, Perdana Menteri mengeluarkan arahan menteri Kabinet yang sedang atau merancang bercuti supaya membatalkan cuti mereka sehingga bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

    Ia disusuli Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan semua Ketua Setiausaha setiap kementerian serta Ketua Pengarah setiap jabatan dan agensi yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing, berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

  • Kaji keperluan sekolah terjejas banjir tangguh sesi persekolahan

    Kaji keperluan sekolah terjejas banjir tangguh sesi persekolahan

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan bagi mana-mana sekolah menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, berdasarkan kapasiti premis yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata buat masa ini, KPM sedang menjalankan penilaian ke atas kerosakan yang berlaku pada infrastruktur sekolah termasuk peralatan komputer, perabot dan buku sekolah.

    “Secara umumnya, kita tidak akan tangguh sesi persekolahan dan KPM sedang usahakan untuk menyelesaikan isu sekolah terjejas banjir, sebelum tempoh pembukaan sekolah.

    “Namun, sekiranya ada kes tertentu yang menunjukkan bahawa sekolah itu belum bersedia (untuk pembukaan), kita akan ambil tindakan sewajarnya. Perkara ini akan diberi perhatian secara kes demi kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut memohon agar pihak sekolah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, memperincikan keperluan persekolahan seperti perabot dan buku teks bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan sewajarnya.

    Radzi sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Jan ini bagi Kumpulan A dan 3 Jan ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.

    Beliau berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Jan dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan.

    Kata Radzi lagi, KPM masih lagi melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan maklumat berkaitan akan diumumkan kelak.

    “Masih ada penggiliran dan dalam masa terdekat kita akan nyatakan secara terperinci kumpulan mana yang digilirkan dan yang tidak terlibat. Kita ingin memastikan pembukaan ini berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya. – BERNAMA

  • Sesi persekolahan bersemuka, PDPR, penggiliran hiasan 2021

    Sesi persekolahan bersemuka, PDPR, penggiliran hiasan 2021

    Oleh MAIZATUL JAMNY MUHAMMAD ROSLI

    TAHUN kedua pandemik COVID-19 menyaksikan perubahan kepada kalendar akademik sekolah di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan beberapa kali dalam setahun.

    Mengimbas kembali, pada satu masa sekolah dibenarkan beroperasi secara bersemuka, diikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang kedua-dua kaedah ini dilaksanakan secara penggiliran.

    Ketika 2021 membuka tirai, sesi persekolahan dijadualkan bermula pada 20 Jan hingga 9 Dis untuk sekolah Kumpulan A melibatkan Johor, Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala sekolah Kumpulan B di negeri selainnya pula dibuka pada 20 Jan hingga 10 Dis bagi memastikan 194 hari persekolahan dalam kalendar akademik.

    Pada 13 Jan, kerajaan mengenakan PKP Bersasar di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – menyebabkan sesi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) terpaksa menangguhkan sesi bersemuka.

    Bagaimanapun, pelajar yang menduduki peperiksaan pada 2020 dan 2021, serta peperiksaan antarabangsa yang setara di institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang dikenakan PKP itu sahaja dibenarkan kembali ke sekolah pada 20 Jan manakala yang lain meneruskan kaedah PdPR.

    Bagi kawasan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), operasi institusi pendidikan dan semua kategori institut pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa, akan berdasarkan kalendar institusi masing-masing.

    Berdasarkan input dan maklum balas daripada semua pihak, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Feb mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan bermula 1 Mac melibatkan prasekolah, kelas Tahun Satu dan Dua manakala murid Tahun Tiga hingga Enam hadir ke sekolah pada 8 Mac.

    Sekolah menengah di negeri Kumpulan A kembali ke sekolah pada 4 April manakala Kumpulan B pada 5 April, selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berlangsung dari 22 Feb hingga 25 Mac.

    Seiring dengan itu, kolej vokasional juga mula beroperasi pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta termasuk pusat tuisyen pada 8 Mac.

    Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka memberi kelegaan kepada kebanyakan pihak terutamanya ibu bapa, bagaimanapun kelegaan itu tidak berpanjangan apabila banyak sekolah di beberapa negeri terpaksa ditutup berikutan pengesanan kes positif COVID-19 di sekolah terlibat.

    Pada 26 April, KPM memutuskan sesi persekolahan diadakan secara PdPR selama dua minggu selepas cuti Aidilfitri, iaitu bermula 7 hingga 15 Mei untuk sekolah Kumpulan A dan 8 hingga 16 Mei bagi sekolah Kumpulan B, bertujuan mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah selepas perayaan itu.

    PdPR kemudian disambung pada 16 hingga 27 Mei di sekolah Kumpulan A manakala Kumpulan B pada 17 hingga 28 Mei, diikuti cuti sekolah pada 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

    Bagaimanapun, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh pada sektor sosial dan ekonomi (fasa pertama) di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun, dengan semua sektor berkenaan tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang disenaraikan MKN.

    Langkah itu sekali lagi menangguhkan sesi persekolahan bersemuka hingga 3 Okt, yang dibuka secara berperingkat dengan sistem penggiliran mengikut fasa negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Melalui sesi persekolahan ini, pelajar perlu hadir ke sekolah secara bergilir, dengan kehadiran ditetapkan pada 50 peratus daripada kapasiti bilik darjah untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, tidak termasuk semua sekolah di negeri Fasa Satu PPN yang masih ditutup dan diteruskan dengan PdPR.

    Bukan itu sahaja, KPM juga memutuskan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Mac 2022 supaya intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dibuat kerana mereka tidak hadir ke sekolah untuk tempoh yang lama.

    Penggal ketiga sesi persekolahan 2021/2022 di negeri Kumpulan A akan bermula pada 2 Jan hingga 20 Mac tahun depan manakala Kumpulan B pada 3 Jan hingga 20 Mac 2022.

    Bagaimanapun, Jumaat lepas Radzi mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 akan ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri dengan sekolah di negeri Kumpulan A akan bermula pada 9 Jan manakala negeri Kumpulan B dibuka pada 10 Jan.

    Takwim akademik bagi sesi persekolahan 2022/2023 untuk negeri Kumpulan A bermula 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 manakala sekolah di negeri Kumpulan B, sesi persekolahan juga bermula pada tarikh sama tetapi berakhir pada 12 Mac 2023.

    KPM masih mengkaji kewajaran mengubah penggal persekolahan baharu dari Januari hingga Mac, menggunakan sesi tahun depan sebagai panduan. – BERNAMA

  • USIM sumbang komputer riba kepada siswa mangsa banjir

    USIM sumbang komputer riba kepada siswa mangsa banjir

    SEDIH dan pilu Muhammad Hakimi Alif Rahman, penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melihat rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor ditenggelami banjir besar baru-baru ini.

    Bencana yang tidak diduga itu telah memusnahkan dan merosakkan pelbagai barangan termasuk keperluan pembelajaran miliknya.

    “Semasa air semakin naik, komputer riba yang saya gunakan selama ini untuk pembelajaran tidak sempat diselamatkan dan hilang dibawa arus banjir.

    “Melihat pelbagai peralatan di dalam rumah musnah dan rosak teruk, memang menyedihkan kami sekeluarga.

    “Alhamdulillah, USIM sentiasa prihatin dengan kebajikan mahasiswanya dan hari ini saya terima komputer riba baharu sebagai ganti,” katanya penuh kesyukuran.

    Hakimi merupakan antara lima kumpulan pelajar USIM yang terawal menerima sumbangan komputer riba baharu bagi menggantikan peranti mereka yang hilang dan rosak kerana bencana banjir.

    Sumbangan komputer riba itu diserahkan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM semalam di kediaman masing-masing di Kuantan, Pahang dan Hulu Langat, Selangor.

    Sementara itu, menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailan, USIM mengambil langkah proaktif tersebut kerana cakna dan prihatin terhadap kejadian bencana banjir luar biasa ini telah merosakkan dan memusnahkan komputer riba yang digunakan pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) sebelum ini.

    “Sebagai permulaan, pengurusan universiti telah meluluskan perolehan sebanyak 22 buah komputer riba melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM untuk diagihkan segera kepada pelajar yang terkesan”

    “Memfokuskan sumbangan kepada pelajar di peringkat Sarjana Muda, penggantian segera komputer riba baharu ini bagi memastikan proses PdP mereka tidak terjejas terutamanya ketika ini proses PdP masih dilaksanakan secara dalam talian akibat penularan pandemik COVID-19,” tambahnya.

    Sehingga 24 Disember 2021, seramai 119 orang pelajar USIM direkodkan terkesan dengan banjir dan universiti bersedia mempertimbangkan sumbangan tambahan komputer riba sekiranya terdapat keperluan.

    Selain itu, USIM turut menyelaraskan bentuk bantuan lain kepada pelajar yang terjejas banjir antaranya pembersihan kediaman, bantuan makanan kering, wang tunai, bantuan psikologi dan penginapan sementara di kolej kediaman dan rumah tamu universiti.

  • JKNS nafi ambil organ dalaman mayat warga Indonesia

    JKNS nafi ambil organ dalaman mayat warga Indonesia

    JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan laporan sebuah media Indonesia, mengenai pengambilan organ dalaman daripada seorang warga negara itu yang meninggal dunia, selepas dibedah siasat dijalankan pada 7 Dis lalu di Hospital Queen Elizabeth di sini.

    Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, semua organ telah dikembalikan bersama jenazah dikenali Sadiman Hamal, 38, apabila ditemukan meninggal dunia di sebuah kapal pada 1 Dis lepas, sebelum disahkan kematiannya berpunca daripada jangkitan paru-paru dan sakit jantung.

    Katanya, setiap sampel tisu yang diambil adalah berukuran 1 inci x 1 inci (2.54 sentimeter x 2.54 sentimeter), dan pegawai perubatan forensik telah menerangkan kepada saudara mangsa bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil, untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca kematian.

    “Pihak hospital dimaklumkan polis, mangsa tidak mempunyai waris terdekat di negara ini namun polis berjaya mengesan beberapa individu yang mengaku saudara Sadiman, serta mengenali waris terdekatnya di Indonesia sebelum salah seorang daripada mereka membuat pengecaman mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Rose Nani berkata, pegawai perubatan forensik yang mengendalikan bedah siasat itu telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada saudara mangsa, dan individu berkenaan akan menyampaikan maklumat kepada waris mangsa di Indonesia.

    Beliau berkata, pihak majikan telah menguruskan proses penghantaran jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Dis dan jenazah selamat tiba di Indonesia pada 20 Dis lalu.

    “JKNS menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan semua urusan bedah siasat serta proses penghantaran mayat mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

    Baru-baru ini, media tempatan Indonesia mendakwa jenazah yang berasal dari Polewali Mandar, Indonesia yang bekerja di Sabah, dihantar kepada waris tanpa organ dalaman. – BERNAMA

  • MARA bantu baiki pendawaian elektrik rumah mangsa banjir

    MARA bantu baiki pendawaian elektrik rumah mangsa banjir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menggerakkan sejumlah 280 pelatih dan pelajar GIATMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM) bagi membantu kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik rumah mangsa banjir.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain pendawaian elektrik rumah, mereka juga akan membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

    “Kita telah mula menggerakkan inisiatif MARA Prihatin melalui GIATMARA serta Institut Kemahiran MARA (IKM) ini dengan kemahiran yang ada pada pelatih dan pelajar dari kedua-dua institusi tersebut mulai hari ini.

    “Kita memahami kesukaran penduduk berkaitan masalah pendawaian elektrik yang rosak dan berisiko dalam bahaya selepas rumah ditenggelami air banjir selain kesukaran dari segi kerja-kerja membersihkan kawasan rumah dan juga premis-premis bangunan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Antara pelatih dan pelajar yang terlibat adalah daripada Program Diploma Kompetensi Elektrik (DCS) dan Sijil Teknologi Kimpalan (STK).

    MARA banjir
    Pelatih membaiki peralatan elektrik mangsa banjir.

    Jelas Mahdzir, lokasi tumpuan utama sukarelawan GIATMARA dan IKM itu adalah di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Padang Jawa, Klang.

    Program Khidmat Masyarakat MARA Prihatin@KPLB itu diketuai oleh Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun yang turun padang bersama pegawai kanan MARA, GIATMARA serta IKM di Padang Jawa hari ini.

    “Mereka ini akan mula bergerak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa, Klang dan ke lokasi seterusnya mengikut kesesuaian lokaliti memandangkan sebahagian besar kawasan masih belum boleh dimasuki oleh orang awam kerana paras banjir yang masih belum surut.”

    Selain sukarelawan yang berkemahiran dalam kerja-kerja pembaikan, MARA turut menggerakkan lebih 300 sukarelawan warga kerjanya, anak-anak syarikat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelajar dibawah kawal selianya.

    Mereka dihantar ke lokasi banjir di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu bagi membantu mangsa bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

    “MARA juga telah mengenal pasti 2,008 warga kerja termasuk kakitangan anak-anak syarikatnya dan juga pelajar dibawahnya yang menjadi mangsa banjir.

    Bantuan segera berupa wang tunai, barangan makanan, pakaian serta keperluan lain telah disalurkan kepada mereka termasuk dibantu dari segi kerja pembersihan rumah mereka,” jelas Mahdzir.

  • Hati tak tenteram lihat banjir, Peja di Dubai hanya 12 jam

    Hati tak tenteram lihat banjir, Peja di Dubai hanya 12 jam

    SEJAK berlakunya bencana banjir minggu lalu, pelbagai dakwaan terutamanya melibatkan menteri Kabinet yang dikatakan mengetepikan nasib rakyat semata-mata untuk pergi bercuti.

    Salah seorang menteri Kabinet yang menerima tempias dakwaan berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dikatakan berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Memetik laporan UtusanTV, Ahmad Faizal menjelaskan yang beliau sebenarnya berada di Malaysia.

    Berdasarkan panggilan video kepada UtusanTV, beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di sekitar Kuala Lumpur.

    Walau bagaimanapun, beliau mengakui memohon cuti untuk ke Dubai selepas hampir dua tahun tidak bertemu dengan dua orang anaknya yang berada di United Kingdom (UK).

    Beliau menjelaskan membuat keputusan untuk bertemu keluarganya di Dubai memandangkan kes Omicron yang tinggi di UK.

    “Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu untuk bertemu anak-anak.

    “Namun begitu, melihatkan kepada keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.

    “Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana. Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada pukul 8 pagi Khamis, sebelum arahan pulang dibuat Perdana Menteri,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun bagaimanapun memahami kekecewaan dan penderitaan ditanggung rakyat.

    “Saya tahu saya penjawat awam, saya sedar kepentingan rakyat lebih didahulukan. Itu pengorbanan yang perlu dibuat.

    “Saya minta maaf, saya mengaku ada banyak kelemahan. Walaupun saya menteri dan tidak sempurna tetapi tidak sampai tahap mahu menyisihkan rakyat.

    “Saya faham semua penderitaan kerana saya juga pernah berada dalam situasi sukar. Tiada kerja dan sebagainya,” katanya.

    Ahmad Faizal juga memaklumkan telah mengadakan mesyuarat secara maya sebaik tiba di tanah air, semalam bagi menggerakkan sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu mangsa pasca banjir.

    Malah, katanya, KBS turut menawarkan fasiliti termasuk pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya perlu digunakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Saya telah koordinasikan pergerakan sebab ada sukarelawan KBS di negeri-negeri yang tidak terkesan mahu datang membantu.

    “Saya juga dah minta untuk melaksanakan rentas kementerian sama ada dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.