Category: Umum

  • Kluster baharu di Kedah, 99 pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang positif Covid-19

    Kluster baharu di Kedah, 99 pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang positif Covid-19

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kedah merekodkan kemunculan kluster baharu Covid-19 dikenali sebagai Kluster Dah Penyarom semalam setelah 99 pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang disahkan positif Covid-19.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memaklumkan, jumlah itu bagaimanapun dijangka bertambah memandangkan masih ada dalam kalangan pelajar yang belum menerima keputusan ujian saringan masing-masing.

    Katanya, rata-rata pelajar yang positif merupakan pelajar perempuan di asrama tersebut.

    “Saya difahamkan mereka mula mengalami gejala seperti batuk dan demam ketika menjalani peperiksaan baru-baru ini. Sebaik menjalani ujian saringan selepas peperiksaan, mereka kemudiannya disahkan positif Covid-19.

    “Berikutan itu ujian saringan kemudiannya dijalankan terhadap semua pelajar di asrama sekolah tersebut. Setakat semalam, 99 pelajar disahkan positif dan mereka sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra dengan menaiki bas hari ini,” katanya.

    Tambahnya, kesemua pelajar yang belum menerima ujian saringan kini menjalani kuarantin di asrama dan dipakaikan gelang merah jambu.

    “Saya sudah meninjau keadaan sekolah bersama Pegawai Kesihatan Daerah semalam. Setakat ini kita sudah mengambil langkah perlu dengan membersih serta mensanitasi kawasan asrama serta sekolah,” katanya.

  • Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    PENGURUS pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh anggota keluarganya terlibat kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, cedera di bahagian dada.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Velfire yang dipandu menantunya Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah bertentangan sebelum kenderaan itu terbalik ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Lima lagi penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

    Mereka ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak pasangan itu, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan Muhammad Sulaiman Adeen berusia sembilan bulan.

    Menurut Amran, ketika kejadian keluarga terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.

    “Akibat kejadian itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dilaporkan telah keluar daripada wad pagi tadi. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Kemalangan membabitkan Dollah dan anggota keluarganya itu turut tular di laman sosial sejak malam tadi, dipercayai dirakamkan penduduk di lokasi kejadian. – Bernama

  • RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Menurutnya, RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

    “Saya telah hubungi mereka (PLUS dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

    “Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di Dengkil hari ini

    Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

    Pada 16 Dis 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.

    Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

    RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

    Fadillah berkata, pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

    “Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

    Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan. – BERNAMA

  • Mesyuarat PSC siasat isu Azam Baki ditangguhkan

    Mesyuarat PSC siasat isu Azam Baki ditangguhkan

    JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menangguhkan mesyuaratnya untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dijadualkan Rabu ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, penangguhan itu adalah ekoran bantahan Azam terhadap cara siasatan tersebut.

    Terdahulu, Pengerusi PSC, Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai) memaklumkan kepada lapan ahli jawatankuasa lain bahawa beliau telah menerima maklum balas daripada Azam.

    Menurut Azam, jika mesyuarat itu diteruskan pada hari Rabu (19 Januari) seperti yang dijadualkan dan agenda kekal tidak berubah, maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dilanggar.

    Azam berhujah bahawa ini kerana beliau telah memfailkan saman fitnah dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin diterima oleh mahkamah.

    Selain itu, Azam berhujah bahawa beliau telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

    Memandangkan siasatan akan tertumpu kepada tingkah lakunya, Azam juga berhujah bahawa sebarang perbincangan di Parlimen harus dilakukan melalui usul persendirian dan bukannya jawatankuasa pilihan.

    “Beliau (Azam) juga berkata (agenda) ini boleh menjadi ultra vires (melangkaui kuasa undang-undang) kepada peruntukan bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” kata Abdul Latiff.

    Sehubungan itu, menurut pemimpin PAS itu, beliau akan merujuk kepada penasihat undang-undang Dewan Rakyat.

    Dua ahli PSC iaitu William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) dan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka menerima mesej daripada Abdul Latiff.

    Kedua-dua mereka mengesahkan bahawa arahan terbaharu yang diterima adalah mesyuarat Rabu ini telah ditangguhkan.

    “Kami dimaklumkan pada sekitar tengah hari ini,” kata Foong Hin.

    William berkata, adalah prerogatif Abdul Latiff untuk mendedahkan terma rujukan siasatan itu.

    “Saya telah meminta mesyuarat PSC untuk pengerusi mengumumkan terma rujukan untuk siasatan itu,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

  • SPP percepat pengambilan guru, AKP di sekolah

    SPP percepat pengambilan guru, AKP di sekolah

    SURUHANJAYA Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang diperlukan sekolah di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, ia susulan pertemuan beliau dengan pengerusi SPP yang baharu, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff hari ini yang antara lain membincangkan beberapa perkara penting berkaitan usaha kementerian memperkasa sektor pendidikan, khususnya tentang pengambilan guru baharu.

    Radzi dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini berkata, komitmen diberikan itu penting bagi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.

    “Antara tumpuan Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Ini adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada,” katanya.

    Menurut Radzi, biarpun SPP telah selesai menjalankan temu duga bagi pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan itu dengan sebahagian daripada calon berjaya menerima tawaran lantikan namun KPM mahu baki pengambilannya diselesaikan segera bagi membolehkan penempatan dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.

    Selain itu, beliau juga memohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temu duga kumpulan calon bagi guru lantikan secara Contract of Service (Guru Kontrak) dan guru interim yang akan tamat kontrak pada tahun ini, bermula April.

    Mereka melibatkan guru interim bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris lantikan tahun 2019, guru interim bagi mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak.

    Radzi berkata, KPM dan SPP juga akan meneliti mengenai keluhan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) berhubung pengambilan khas guru kerana berdasarkan maklum balas, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu termasuk graduan PAKK.

    “Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan AKP yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah,” katanya. – BERNAMA

  • Dokumen sokongan diperlukan untuk bantu Rohana – Hamzah

    Dokumen sokongan diperlukan untuk bantu Rohana – Hamzah

    SIASATAN menyeluruh akan dilakukan sebelum dokumen identiti diberikan kepada Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu, selepas ibunya pulang ke Indonesia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, dokumen sokongan tertentu turut diperlukan bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan.

    “Nak beri seseorang kewarganegaraan mesti ada dokumen diperlukan…banyak lagi yang ada (kes) seperti ini di Sabah dan Sarawak malah di seluruh negara dan ia melibatkan angka yang agak besar.

    “Saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara, sebab itu kalau ada dokumen yang membuktikannya mudah untuk kami berikan (dokumen identiti). Jadi ini suatu tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan akan dilakukan dengan sebaik mungkin.

    “Isu (dokumen identiti) berkenaan juga saya lihat sebagai antara agenda kementerian untuk tahun ini bagi mengurangkan bilangan mereka yang menghadapi masalah sebegini,” katanya ketika ditanya mengenai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu Rohana menerusi video yang dikongsi di laman sosial semalam.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur, di Kuantan hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

    Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

    Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

    Sementara itu, Hamzah memaklumkan pihaknya telah menempah 50 bot pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM3.05 juta yang sesuai diatur gerak ketika banjir, yang tujuh daripada bot berkenaan telah diserahkan untuk kegunaan di negeri Pantai Timur hari ini.

    Katanya, kesemua tujuh bot buatan Belanda itu diperbuat daripada bahan High Density Polyethylene (HDPR) yang tahan lasak bernilai RM267,000 terdiri daripada pelbagai kapasiti penumpang.

    “Saya dimaklumkan baki bot-bot pelbagai saiz dan jenis berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh 10 minggu lagi,” katanya. – BERNAMA

  • Tabung Persaraan LTAT dijamin kerajaan – Hishammuddin

    Tabung Persaraan LTAT dijamin kerajaan – Hishammuddin

    TABUNG Persaraan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dijamin kerajaan sepenuhnya, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

    Beliau berkata, cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lepas dan Kabinet telah memberi kelulusan secara prinsip serta perkara itu akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.

    “Saya akan beri perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan. Ini jaminan saya.

    “Insya-Allah, apabila pindaan ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan memelihara tabung persaraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga akan membolehkan LTAT terus memacu agenda transformasi mereka,” katanya semasa berucap dalam Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira ATM di sini.

    Hishammuddin mengharapkan agar kepimpinan LTAT yang terkini akan meneruskan usaha ini agar pelaburan dilaksanakan oleh LTAT memenuhi keperluan dan dapat memberi pulangan stabil, kompetitif serta mampan sepertimana institusi persaraan yang lain.

    Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan Blueprint Perumahan 3.0 Mindef dan ia akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam waktu terdekat.

    Hishammuddin berkata, di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

    “Bagi tahun ini sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap pada tahun ini meliputi enam negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak melibatkan dua kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera).

    “Selain itu, saya ingin mengumumkan bahawa lebih banyak rumah di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina,” katanya.

    Beliau berkata, tiga lokasi telah dikenal iaitu di Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang malah projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi telah bermula pada 1 Jun tahun lepas dan dijangka siap pada tahun 2025.

    Hishammuddin berkata, bagi veteran ATM pula, sebanyak RM2.59 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih dan membina kira-kira 100 unit rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang dahulunya dikenali sebagai 1Malaysia Veteran Home Repair Programme.

    “Pada masa sama, tahun ini juga, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang turut akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM,” katanya.

    Turut hadir, Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abd Aziz. – BERNAMA

  • Taklimat putuskan tarikh fasa endemik minggu depan

    Taklimat putuskan tarikh fasa endemik minggu depan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM), Kementerian Luar Negeri (MOFA) dan beberapa pihak yang berkaitan akan menyampaikan taklimat dalam mesyuarat kuartet COVID-19 minggu depan sebelum sebarang ketetapan mengenai pengisytiharan “Peralihan ke Endemik” diputuskan.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, taklimat itu melibatkan laporan situasi semasa banjir dan jangkitan varian Omicron daripada pihak-pihak berkenaan, yang telah ditangguhkan sebelum ini.

    “Kita tangguh (sebelum ini) sebab saya nak terima laporan kesan daripada banjir, varian Omicron COVID-19 dan pengembara yang kembali ke tanah air, khususnya dari Arab Saudi terlebih dahulu.

    “Pada Mesyuarat kuartet minggu depan saya akan menerima taklimat daripada KKM, MOFA dan pihak-pihak lain untuk kita bentang pada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebelum keputusan tarikh sebenar kita beralih ke fasa endemik ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis amanat kementeriannya hari ini.

    Katanya, keputusan fasa peralihan ke endemik tidak akan dilakukan secara semberono dan penangguhan fasa itu melibatkan tempoh dua hingga tiga minggu dari tarikh asal, iaitu minggu pertama Januari.

    Sebelum ini, Hishammuddin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan menangguh sementara pengumuman fasa itu berikutan peningkatan penularan kes varian Omicron COVID-19 dalam negara.

    Sementara itu, berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam situasi pandemik yang masih melanda negara, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pandangan KKM perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan berkaitan PRN negeri dibuat.

    Selain itu katanya, PRN di Sabah, Melaka dan Sarawak perlu dijadikan sandaran dan iktibar agar PRN Johor berjalan dengan selamat, sekiranya ia benar-benar diadakan.

    “Bukan untuk saya tentukan. Apabila ia diputuskan nanti, tugas kita di kuartet sebagai menteri yang mengkoordinasikan COVID-19 antara kementerian, saya terpaksa untuk bawa bersama kepimpinan negeri Johor untuk apa jua keputusan,” katanya.

    Desas-desus mengenai kemungkinan PRN di Johor telah kedengaran sejak minggu lepas.

    Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis satu kerusi dengan memiliki 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 27 di blok pembangkang, dan kedudukannya dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas Allahyarham Datuk Osman Sapian. – BERNAMA

  • Portal bantuanbanjir.com mudahkan mangsa dapat maklumat

    Portal bantuanbanjir.com mudahkan mangsa dapat maklumat

    KEMENTERIAN Kewangan membangunkan portal bantuanbanjir.com yang menghimpunkan pelbagai pautan di bawah satu laman sesawang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan banjir.

    Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, senarai penuh bantuan kerajaan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain bagi membaiki rumah serta baucar membaiki kenderaan tersedia di bawah portal tersebut.

    Secara keseluruhan, sejumlah RM1.4 bilion telah diperuntukkan bagi mangsa banjir di negara ini, dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terlibat.

    “Semasa saya menyertai pelbagai program bantuan banjir, ramai mangsa yang berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang disalurkan tapi satu perkara yang sering ditanya, bagaimana untuk mendapatkan maklumat bagi memohon bantuan.

    “Memang betul dengan pelbagai agensi terlibat dalam penyaluran bantuan mesti ramai yang hendak tahu bagaimana cara dapatkan bantuan,’’ katanya dalam video berdurasi 1.52 saat mengenai bantuanbanjir.com.

    Katanya, portal berkenaan dilengkapi langkah-langkah memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi penyelaras bantuan. – BERNAMA

  • Lebih teruk daripada perang, pengalaman Muhyiddin ketuai Malaysia lawan pandemik

    Lebih teruk daripada perang, pengalaman Muhyiddin ketuai Malaysia lawan pandemik

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan usaha Malaysia melawan penularan pandemik COVID-19 semasa era pentadbirannya dahulu sebagai ‘lebih teruk daripada perang’.

    Walau bagaimanapun, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu percaya bahawa Malaysia akan kembali menjadi kuasa ekonomi yang lebih kukuh berbanding sebelum pandemik melanda.

    Sepanjang tempoh 17 bulan pentadbirannya, impak langkah-langkah yang diambil Muhyiddin untuk memerangi COVID-19 adalah signifikan dan beliau yakin negara ini mempunyai masa depan yang cerah.

    “Pengisytiharan Darurat dan kuasa-kuasa tambahan adalah sangat penting untuk menguruskan pandemik. Undang-undang khas ini telah digubal sejak bertahun-tahun dahulu tetapi jarang dikuatkuasakan.

    “Undang-undang tersebut digunakan untuk kali pertama bagi tujuan ini. Orang kata penguatkuasaan undang-undang darurat seperti dalam peperangan tetapi saya beritahu mereka ini adalah lebih teruk daripada perang,” katanya seperti dipetik daripada laporan The National.

    Walaupun pada peringkat awal Malaysia berjaya memastikan jumlah kes COVID-19 tidak tinggi, kadar jangkitan turun dan naik dengan kemuncaknya hampir 21,000 kes harian pada awal September lalu.

    Darurat dilaksanakan mulai Januari hingga Ogos tahun lalu selepas pentadbiran Muhyiddin diberikan kuasa-kuasa khas untuk menggubal undang-undang baharu tanpa melalui Parlimen.

    Muhyiddin juga mencatatkan sejarah sebagai individu yang pertama divaksinasi di negara ini.

    Beliau menambah, kekuatan Malaysia adalah kerjasama yang dijalinkannya dengan negara-negara jiran di rantau ASEAN semasa pandemik.

    Mesyuarat-mesyuarat khas diadakan antara negara-negara terbabit bagi berkongsi maklumat, kolaborasi dan kejayaan rawatan COVID-19.

    Muhyiddin memberitahu, situasi pandemik memerlukan keputusan dibuat dengan pantas dan yakin untuk menyeimbangkan usaha melindungi nyawa dengan kestabilan ekonomi dalam keadaan tidak menentu.

    “Setiap negara mempunyai idea tersendiri tentang bagaimana menangani pandemik berdasarkan pengalaman masing-masing.

    “Bagi Malaysia sendiri, saya mengambil langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara. Tiada jalan lain lagi.

    “Ketika itu cuma ada 300 kes dan kita tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya.

    “Itu adalah keputusan yang drastik. Tetapi rakyat Malaysia bimbang tentang kesihatan mereka dan kadar kematian, jadi mereka menerimanya dengan baik.

    “Saya tidak kata semua keputusan yang saya buat adalah betul. Tetapi sekatan pergerakan menyebabkan negara rugi RM2.6 bilion sehari.

    “Gabenor Bank Negara kata jika kita meneruskan sekatan pergerakan, keseluruhan sistem perbankan Malaysia akan runtuh.

    “Keputusan sebegitulah yang kami terpaksa buat,” jelasnya.

    Menerusi MPN, Muhyiddin memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia.

    “Kita masih menimbulkan persoalan berkaitan sistem penjagaan kesihatan kita susulan kemunculan varian Omicron.

    “Namun pemulihan daripada pandemik adalah sangat penting, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh rantau ini.

    “Persoalannya, adakah kita akan kembali kepada situasi pada 2019 atau menggunakan platform ini untuk melonjakkan Asia ke tahap yang lebih tinggi dalam kalangan negara-negara maju?

    “Boleh kita menggunakan ini bukan hanya untuk pemulihan, tetapi untuk merangsang negara-ngara Asia dan meningkatkan status kita, mengkaji ekonomi digital yang baharu dan bagaimana bank-bank kita berfungsi.

    “Bunyi seperti bercita-cita tinggi tetapi ia boleh jadi satu rahmat,” katanya.