Category: Umum

  • Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) memutuskan tiada pelanggaran bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Dalam satu kenyataan, hari ini, SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan hasil siasatan, menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan terbabit.

    “Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan,” katanya.

    SC dalam kenyataan dikeluarkan, semalam, berkata suruhanjaya itu sudah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan keterangan yang dikumpulkan, ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

    Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media berkenaan sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima, hari ini, mengenai hasil siasatan SC bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam (dirujuk sebagai ‘siasatan terbabit’).

    “Sehubungan ini, siasatan terbabit adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    “Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam kenyataan, hari ini. – BERNAMA

  • Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    KERAJAAN mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

    Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

    Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

    Wan Junaidi berkata, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

    “Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

    “Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

  • Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    PUTRAJAYA hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga (‘family reunion dinner’) dan aktiviti ziarah.

    Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, acara makan keluarga pada 31 Jan ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, tidak seperti tahun lepas dihadkan hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius.

    Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka bagi perayaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan melibatkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.

    Halimah berkata, resepsi yang dianjurkan syarikat atau persatuan perlu dilakukan di dalam dewan atau restoran dan bukan di tempat terbuka serta sesi majlis tidak boleh dibuat secara berterusan seperti rumah terbuka.

    “Resepsi hanya bagi mereka yang dijemput sahaja boleh hadir dan selepas habis aktiviti makan, tiada pusingan kedua,” katanya dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.

    Halimah berkata, upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Feb adalah dibenarkan dengan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas ‘Hokkien Clan’ pada 8 dan 9 Feb serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.

    Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Feb juga dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, katanya.

    Halimah berkata turut, dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.

    “SOP disediakan demi keselamatan masyarakat dan penganut,” katanya yang berharap perayaan itu disambut dengan kemeriahan dalam suasana selamat.

    Sementara itu, Ka Siong berkata, SOP sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih longgar tidak seperti tahun lepas yang hanya disambut di rumah.

    “SOP ini telah dibincangkan dengan teliti dalam tiga kali perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

    Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata parti itu akan menganjurkan resepsi Tahun Baharu Cina tahun ini tetapi hanya melibatkan jemputan yang terhad.

    Maklumat lanjut berhubung resepsi itu akan diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, katanya serta menambah, MCA akan mematuhi SOP untuk memberikan contoh yang baik pada resepsi itu. – BERNAMA

  • Bomba guna ‘water bombing’ padam kebakaran tapak sampah Pulau Burung

    Bomba guna ‘water bombing’ padam kebakaran tapak sampah Pulau Burung

    JABATAN Bomba dan Penyelamat (JPBM) menggunakan kaedah pemadaman pengeboman air atau water bombing bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    Kaedah pemadaman dari udara itu bermula kira-kira pukul 11 pagi ini dan dijangka berterusan sehingga petang ini.

    Ketua JPBM Zon Perai, Nor Hairulddin Noraidin berkata, operasi itu dijalankan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang melibatkan lapan anggota.

    Menurut beliau, proses pemadaman kebakaran akan tertumpu di titik panas berdasarkan imej termal yang diberi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Jelasnya, setiap bom air boleh menyediakan sehingga 1,600 liter air dan operasi akan diteruskan sehingga keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu bertambah baik.

    “Sehubungan itu, kita menasihati semua agensi atau orang awam supaya tidak menerbangkan dron semasa operasi sedang dijalankan di kawasan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingin,” katanya kepada pemberita semasa operasi itu hari ini.

    Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan Rabu lalu melibatkan keluasan kira-kira tujuh hektar daripada keseluruhan keluasan 16.5 hektar dan masih gagal dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.

    Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar.

    Sementara itu hanya 44 penduduk menetap di dua pusat pemindahan sementara (PPS), selebihnya memilih untuk tinggal dengan saudara-mara selain masih terdapat beberapa buah keluarga yang enggan berpindah.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, seramai 36 individu daripada lapan keluarga tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala lapan orang daripada dua keluarga ditempatkan di SK Bakap Indah.

    “Tiada pertambahan keluarga yang berpindah ke PPS hari ini dan keadaan di dua PPS itu juga adalah terkawal,” katanya kepada pemberita hari ini.

  • PLUS dalam usaha tambah baik teknologi RFID

    PLUS dalam usaha tambah baik teknologi RFID

    ANALISIS data, pemantauan semasa dan kajian dalam usaha menambah baik penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua laluan lebuh raya adalah langkah-langkah yang diambil oleh PLUS Malaysia Berhad.

    PLUS dalam kenyataan hari ini berkata, langkah-langkah terbabit diambil bagi memastikan pelanggan yang menggunakan RFID di laluan lebuh rayanya menerima pengalaman yang terbaik dan perjalanan yang mudah serta lancar.

    “Pembayaran tol menggunakan sistem RFID yang sudah dilaksanakan di seluruh rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan baru-baru ini, menerima pelbagai maklum balas, sama ada yang menyambut baik usaha ini dan ada juga yang memberi pandangan untuk penambahbaikan.

    “Pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS bersiap siaga terutama sekali di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk membantu pelanggan yang menggunakan lorong RFID untuk mencapai pengalaman perjalanan yang lebih baik,” jelas PLUS dalam ciapan Twitter hari ini.

    Pagi tadi ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

    Antara plaza tol yang dilaporkan mengalamani masalah tersebut adalah Sungai Besi dan Senawang.

    Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

    Semalam, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

    Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kelmarin memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

  • Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    SIASATAN berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu. 

    “Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

    “Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

    Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

    Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. 

    Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. 

    — BERNAMA

  • Prof Dr Haim Hilman dilantik Naib Canselor UUM

    Prof Dr Haim Hilman dilantik Naib Canselor UUM

    TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Haim Hilman Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang baharu, berkuat kuasa Isnin lepas (17 Jan).

    Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai universiti berfokus pengurusan yang cemerlang, pihaknya percaya dengan segala pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti Haim Hilman untuk menggalas tanggungjawab diberikan.

    Beliau berkata kementerian juga percaya Haim Hilman mampu meneruskan kesinambungan UUM sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan di dalam dan luar negara.

    “Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018,” katanya.

    Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

    Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia.

    — BERNAMA

  • COVID-19: Kolej vokasional di Melaka tutup 8 hari

    COVID-19: Kolej vokasional di Melaka tutup 8 hari

    EKORAN 76 pelajar didapati positif COVID-19, sebuah kolej vokasional di Melaka diarahkan tutup selama lapan hari.

    Memetik laporan BH, arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mulai 14 Januari hingga Jumaat ini bagi mengawal penularan.

    Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kes indeks pertama di kolej vokasional berkenaan dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan sebelum saringan kontak rapat dibuat sehingga kelmarin.

    Menurut beliau, saringan itu dilakukan membabitkan 176 individu dan hasilnya 76 didapati positif.

    “Daripada jumlah positif itu, 71 adalah pelajar lelaki manakala bakinya membabitkan pelajar perempuan manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

    “Penularan kes disyaki berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas sebelum merebak kepada rakan lain,” katanya.

    Beliau menambah, berdasarkan penilaian risiko didapati ada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti bilik asrama dan ‘gate keeping’.

    “Meskipun ia masih dalam siasatan, kita tidak menolak kemungkinan pelajar mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di kolej.

    “Arahan penutupan dibuat serta merta kerana jumlah yang tinggi selain turut diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin,” katanya.

    BH turut melaporkan, sebanyak 29 lagi kes positif COVID-19 membabitkan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu dikesan semalam, menjadikan keseluruhan 73 kes.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Embi Telipot membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan di Kota Bharu dan yang tinggal di Jeli.

    Beliau menambah, setakat ini hanya dua daerah yang dikesan terbabit dengan kluster itu dan ianya dapat dikawal.

    “Namun, pihak kita terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan kluster tidak merebak ke kawasan lain.

    “Pelajar yang positif dan bergejala terus diasingkan dengan bantuan pihak sekolah, manakala kontak rapat, mereka menjalani kuarantin di asrama.

    “Mereka dipantau pihak sekolah dan dibantu petugas kesihatan,” katanya.

    Dr Zaini berkata, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu dinasihatkan supaya terus menjaga diri dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mempunyai gejala.

    Media semalam melaporkan, seramai 44 pelajar asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di sini, dikesan positif COVID-19 sehingga kelmarin.

    Dr Zaini berkata, kluster membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada 14 Januari lalu dan seramai 256 orang kontak rapat dikenal pasti.

    Susulan itu, proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula semalam sehingga 25 Januari ini.

  • Isu berbangkit rumit punca PSC tangguh panggil Azam Baki

    Isu berbangkit rumit punca PSC tangguh panggil Azam Baki

    ISU berbangkit yang disifatkan agak rumit menjadi punca Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sepatutnya memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki terpaksa ditangguhkan.

    Memetik laporan BH, Pengerusi PSC, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya telah merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen kerana terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu.

    Menurut beliau, kerumitan isu itu menyebabkan Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen memerlukan masa dan tidak dapat memberikan jawapan segera.

    “Dengan mengambil kira beberapa isu berbangkit selepas surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mendapat maklum balas daripada beliau kemudiannya, maka saya arahkan Setiausaha Dewan Rakyat mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang terlebih dahulu.

    “Penasihat Undang-Undang perlu mengambil masa untuk meneliti kes ini, kerana ia agak rumit dan tidak dapat memberikan jawapan sebelum Rabu ini (hari ini),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Sementara itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS memberitahu, berikutan perkembangan itu terdapat cadangan daripada beberapa ahli jawatankuasa agar mesyuarat ditangguhkan dan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

    “Penangguhan ini telah dimaklumkan kepada sembilan ahli jawatankuasa yang terbabit,” katanya.

    Penangguhan mesyuarat berkenaan yang sepatutnya memanggil Azam yang kini berhadapan dengan isu pemilikan sahamnya dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin pada Isnin lalu.

    Keputusan itu bagaimanapun dibantah oleh empat ahli PSC iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin’ Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

    Kata mereka, antara isu yang dibangkitkan Azam ialah beliau sudah memfailkan saman sivil terhadap seorang pemberita dan tiada sesiapa dibenarkan membincangkan fakta kes atau memberikan komen terhadap perkara itu yang kini menjadi perkara mahkamah (subjudis).

    “Kami amat tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Azam dan kami ingin menegaskan Azam seharusnya menghadiri di hadapan kami pada mesyuarat PSC itu, bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

    “Bukannya meremehkan surat panggilan pihak Parlimen dan sehingga Setiausaha Dewan Rakyat menangguhkan mesyuarat PSC yang ditetapkan hanya sebab perkara ini dirujuk kepada Pegawai Undang-Undang Parlimen ataupun Peguam Negara.

    “Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan bersama.

    Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

    Pada hari sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, mana-mana individu yang disapina oleh sebarang PSC perlu hadir mengikut Akta Keistimewaan dan Kuasa Parlimen 1952.

    Tegasnya, PSC ditubuhkan mengikut akta berkenaan dan kepatuhan terhadap sapina itu adalah mengikut Seksyen 8 dan 16 akta berkenaan.

    “Salah satu yang serius, adalah mengenai hukuman ingkar sapina dikeluarkan mana-mana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ada hukuman ditetapkan,” katanya.

  • LLM sedia bincang kurangkan harga pelekat RFID

    LLM sedia bincang kurangkan harga pelekat RFID

    KERAJAAN sedang berusaha meredakan kemarahan para pengguna lebuh raya berhubung masalah yang dicetuskan oleh penggunaan pelekat identifikasi frekuensi radio (RFID).

    Memetik laporan FMT, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersedia mengadakan pertemuan dengan PLUS dan Touch ‘n Go untuk membincangkan pengurangan harga pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Antara masalah yang dikenal pasti adalah pelekat RFID mudah rosak sehingga menyebabkan ia sukar dikesan oleh alat pengimbas di plaza tol.

    “Ia dilekatkan pada bahagian luar cermin atau lampu hadapan. Masalahnya adalah ia cepat lusuh. Ia boleh rosak selepas kereta dicuci beberapa kali,” kata sumber kepada FMT.

    Sumber berkenaan mengakui perkara itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna jalan raya berhubung kos untuk beralih kepada penggunaan RFID.

    “Idea unuk beralih kepada RFID daripada Touch ‘n Go dan SmartTAG bagus, tetapi semuanya mestilah berjalan lancar.

    “Kerajaan telah memberitahu PLUS dan Touch ‘n Go supaya memastikan semua berjalan secara teratur,” jelasnya.

    FMT memaklumkan cuba menghubungi pihak Touch ‘n Go untuk mengulas perkara itu.

    Kelmarin, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, Touch ‘n Go dan PLUS supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pembayaran RFID.

    Ini susulan maklum balas orang ramai berhubung kesesakan teruk di sesetengah plaza tol selepas RFID mula digunakan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza Tol Juru di Pulau Pinang ke Plaza Tol Skudai di Johor.

    PLUS memberitahu bahawa sekurang-kurangnya satu laluan RFID disediakan di setiap 83 plaza tol di sepanjang laluan sejauh 657 kilometer (km) itu.

    Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

    Pada 16 Dis 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.