Category: Umum

  • Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    BEBERAPA dasar di peringkat agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang tidak lagi sesuai dengan situasi masa kini perlu dipinda.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pindaan itu perlu bagi mempercepatkan proses kerja dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Macam yang saya katakan dalam ucapan saya, yang utama adalah untuk kesejahteraan rakyat dari segi pembangunan ekonomi keluarga, dari segi pembangunan keusahawanan dan dari segi perniagaan dalam komuniti.

    “Kita semua memikirkan bahawa untuk seterusnya dasar dan pembangunan wilayah perlulah disesuaikan dengan zaman IR 4.0 iaitu zaman digital, ada beberapa perkara nak ditambahbaik dasar agensi yang ada di bawah KPLB,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di Dewan Datuk Ariffin Said di Gua Musang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri 2 KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi KESEDAR, Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KESEDAR sebelum itu, Mahdzir menyebut agensi di bawah KPLB perlu meminda dasar lapuk yang menghalang pelaksanaan sesuatu gerak kerja sehingga menyukarkan penyelesaian masalah rakyat.

    Tegas beliau, dasar dan amalan lapuk itu sama ada perlu diganti atau dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

    Mengenai pencapaian KESEDAR sepanjang 40 tahun penubuhannya, Mahdzir berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan program pembangunan yang dilaksanakan.

    “Lebih kurang 40 tahun KESEDAR membangunkan masyarakat di sini, ada kejayaan besar yang telah KESEDAR lakukan.

    “Yang penting bagaimana kita hendak menentukan sejauhmana dua mandat KESEDAR iaitu Mandat Keusahawanan dan Mandat Kesejahteraan Rakyat dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” jelas Mahdzir.

    Pada majlis ini, Mahdzir turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan KESEDAR 2021-2025 dan menyampaikan Sijil Penghargaan Sukarelawan Banjir KESEDAR seramai 150 orang.

  • Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    KEMENTERIAN Pendidikan membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Seberang Perai Utara ke sekolah lain yang berhampiran memandangkan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

    Menurut kementerian, sekolah-sekolah tersebut adalah SK Kuala Perai, Butterworth yang terletak 350 meter dari situ serta SK Kuala Nyior (1.7 km), SK St Mark, Butterworth (2.1 km), SK Khir Johari, Perai (5.5 km) dan SK St Mark, Perai (5.8 km).

    Jelas Kementerian Pendidikan, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

    “Ketetapan itu diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.

    “Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

    “Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km,” jelas Kementerian Pendidikan dalam kenyataan media, hari ini.

    Kementerian Pendidikan merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yang merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Sri Avenue sejak 2008.

    Pada 3 November 2021, Sri Avenue telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.

    Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya Kementerian Pendidikan mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.

    Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, Kementerian Pendidikan telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.

    “Kementerian Pengangkutan akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023,” jelasnya.

  • Muhyiddin minta rakyat doakan rawatan Dr Mahathir dipermudahkan, diberi kesembuhan

    Muhyiddin minta rakyat doakan rawatan Dr Mahathir dipermudahkan, diberi kesembuhan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya seluruh rakyat mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) diberi kesembuhan dan kembali sihat.

    Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut berdoa supaya Dr. Mahathir dipermudahkan urusan rawatan.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar urusan rawatan Dr. Mahathir dipermudahkan dan beliau diberi kesembuhan serta kesihatan,” katanya dalam poster dimuat naik dalam media sosial, hari ini.

    Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Jan.

    Semalam Datin Paduka Marina dalam kenyataan memaklumkan keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan.

    Hari ini beliau memaklumkan mereka sekeluarga telah berinteraksi dengan Dr. Mahathir Mohamad.

    Marina yang mewakili pihak ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara, yang menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat untuk kesembuhan Dr Mahathir.

    Ucapan terima kasih turut dipanjangkan kepada orang ramai daripada pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

    “Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih.

    “Pihak IJN dan keluarga Tun Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” kata anak sulung Dr Mahathir itu dalam satu kenyataan hari ini.

  • Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    KELUARGA Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berinteraksi dengan bekas Perdana Menteri itu yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

    Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir dalam kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau dah ahli-ahli keluarga yang lain berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.

    “Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

    “Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya.

    Marina berkata, IJN dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan rawatan Dr Mahathir.

    Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

    Sebelum ini, beliau dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif pada Jan 7 lalu sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.

  • Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara yang baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan dana pembinaan masjid itu bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

    “Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

    “Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu,” katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus.

    Mohd Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah sahaja.

    “Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam,” katanya.

    Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kempung berkenaan.

    “Penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan mereka,” katanya.

  • Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN), untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

    Menurutnya, intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

    “Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Ahmad Fadil berkata, kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

    “Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. – BERNAMA

  • Umat Islam wajib jauhi rasuah, tinggalkan perbuatan terkutuk

    Umat Islam wajib jauhi rasuah, tinggalkan perbuatan terkutuk

    MUFTI Pulau Pinang menasihatkan umat Islam menjauhi perbuatan rasuah dan mereka yang melakukannya segera meninggalkan perbuatan terkutuk tersebut.

    Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang pernah melakukan perbuatan itu perlu memohon maaf kepada golongan yang teraniaya selama ini disebabkan mereka telah menceroboh hak-hak orang lain melalui rasuah.

    Ujar beliau, setiap warga Malaysia tentu berasa risau dan cemas mengikuti  berita kebelakangan ini tentang kejadian-kejadian rasuah yang melanda negara.

    Jelasnya, perbuatan itu seakan-akan sudah membarah di dalam negara membabitkan pelbagai sektor termasuk golongan pemimpin yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan rakyat di dalam jabatan kerajaan mahupun di dalam syarikat tertentu yang ada kaitan dengan kerajaan.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor

    Selaku Mufti jelasnya, beliau terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan isu itu, setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan dan nasihat kepada masyarakat Islam dari sudut hukum syarak.

    “Perlu dinyatakan kecenderungan kepada pemilikan harta benda merupakan satu naluri semula jadi manusia.

    Agama Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memang mengiktiraf kebebasan setiap individu untuk memiliki harta kekayaan sebagai salah satu hak asasi kemanusiaan.

    “Bagaimanapun sebagaimana di dalam bidang-bidang lain, kebebasan yang diberikan kepada individu adalah disyaratkan ia tidak memudaratkan kepentingan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, walaupun Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan, namun Islam juga mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan harta benda yang dimiliki sehingga terlupa kepada mengingati Allah dan menjaga hukum yang ditetapkan di dalam agama-Nya.

    “Mungkin  juga kerana kesibukan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup, ada yang terlalai tentang sifat sementara kehidupan dunia ini.

    “Ingatlah keinginan yang melampau kepada harta dunia sering mendorong seseorang kepada mengambil hak orang lain secara batil yang dilarang oleh syariat Islam,” katanya.

    Tambah Wan Salim, perbuatan memberi dan menerima rasuah dikutuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

    Pelaku rasuah katanya, dipandang hina oleh masyarakat di dunia ini lagi manakala di akhirat akan dihumban ke dalam seksaan neraka yang tidak terperi dahsyatnya.

    “Dosa kepada Allah mungkin diampun dengan taubat, namun dosa kepada manusia termasuk mengambil hak mereka secara batil tidak akan terampun,” katanya.

  • Tun Mahathir berada dalam stabil, beri respon baik kepada rawatan – Marina

    Tun Mahathir berada dalam stabil, beri respon baik kepada rawatan – Marina

    BEKAS  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke unit rawatan koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN), menurut anak perempuannya, Datin Paduka Marina.

    “Keadaan beliau kini stabil dan memberikan respon yang baik kepada rawatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas petang ini.

    Marina berkata bapanya telah menjalani rawatan di IJN sejak dua hari lalu.

    Bagi pihak ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan keluarga mereka, Marina meminta orang ramai mendoakan bapanya agar segera sembuh.

    Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Dr Mahathir pada pukul 5.35 petang.

    Melalui  Twitternya,  sebaik sahaja selesai melawat Dr Mahathir, Ismail Sabri mendoakan keluarga bekas Perdana Menteri itu kekal tabah.

  • Judi dalam talian antara punca anggota ATM bertindak luar kawalan – Zamrose

    Judi dalam talian antara punca anggota ATM bertindak luar kawalan – Zamrose

    KETAGIHAN berjudi dalam talian antara punca anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak di luar kawalan sehingga ada yang mengorbankan nyawa, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. 

    Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.

    “Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan,” katanya pada sidang media di Kota Samarahan, hari ini.

    Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

    Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.

    “Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat),” katanya.

    Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.

    Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.

    Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).

    — BERNAMA

  • ”Bersama kita doa Allah lindungi Negarawan kita” – Faizal Azumu

    ”Bersama kita doa Allah lindungi Negarawan kita” – Faizal Azumu

    Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memohon rakyat mendoakan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini dikatakan dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN).

    “Bersama kita doakan agar Allah sentiasa melindungi negarawan kita, @chedetofficial. We love u TUN M,” kata Faizal di Twitternya.

    Sementara itu portal Malaysiakini melaporkan, Pembantu Dr Mahathir berjanji akan mengeluarkan penjelasan tidak lama lagi di tengah-tengah desas-desus bekas Perdana Menteri itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk kali ketiga dalam sebulan.

    Pihak media telah meminta penjelasan daripada pejabat Dr Mahathir tetapi Ketua Komunikasinya, Sufi Yusof, memetik sensitiviti berkenaan isu itu dan berkata kenyataan akan dikeluarkan apabila keadaan mengizinkan.

    “Terima kasih kerana memahami. Dan saya rasa kita semua telah bekerja dengan baik untuk memahami antara satu sama lain,” kata Sufi kepada pemberita dalam kumpulan akhbar Mahathir di WhatsApp. Bagi pihak kami buat masa ini kami dikawal oleh sensitiviti serta isu persetujuan dan bidang kuasa.

    “Saya melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu itu supaya kita dapat memberikan gambaran yang jelas dan tepat mengenai situasi tersebut. Jadi bersabarlah sebentar sehingga kami dapat menyelesaikannya. Apa sahaja yang berada dalam bidang kuasa saya, saya akan membalas secepat yang saya mampu,” katanya.