Category: Umum

  • JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    PROGRAM rintis pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai, JKMPay, masih lagi di peringkat kajian sebelum dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, meskipun projek rintis itu telah dilaksanakan hampir setahun melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di dua daerah di Selangor dan Kelantan, namun masih terdapat kajian yang perlu dilaksanakan khususnya berkaitan keberkesanannya.

    “JKMPay ini melibatkan penerima bantuan JKM yang baharu bukan sahaja penerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU). Bila kami buat kajian, kajian utama lebih kepada penerima bantuan…bagaimana pengalaman mereka ketika menggunakannya dan bagaimana kami boleh tambah baik hasil pengalaman yang mereka kongsikan.

    “Bahkan sebelum projek rintis ini dilaksanakan, kami telah adakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh termasuk Majlis OKU. Kami akan adakan libat urus dengan lebih ramai lagi sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas program menyantuni Pusat Jagaan OKU di Petaling Jaya hari ini.

    Beliau berkata, JKMPay dilaksanakan antara lainnya bagi membantu penerima bantuan JKM mengawal perbelanjaan dengan mendapatkan barangan yang benar-benar diperlukan seperti barangan keperluan, makanan, ubat-ubatan dan pampers.

    “Hasrat kami untuk pastikan dari segi kelangsungan hidup mereka untuk beli barangan keperluan itu ada. Dalam masa sama kami nak sokong ekonomi digital, saya tidak mahu sahabat OKU saya tercicir…mereka juga harus turut serta dalam dunia digitalisasi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang caj dikenakan ke atas pengguna JKMPay mahupun kerajaan.

    Sementara itu, Rina berkata, jelajah pendaftaran OKU akan dilaksanakan melalui MyDaftar OKU bagi memastikan lebih ramai golongan itu membuat pendaftaran.

    Beliau berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, pihaknya sudah menerima 13,715 pendaftaran dalam tempoh dua bulan sahaja dan jelajah itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan OKU.

    “Melalui MyDaftar OKU, mereka kini boleh isi borang secara dalam talian dan kami juga sedang usahakan agar pengesahan daripada pengamal perubatan juga dapat dibuat secara dalam talian…ini telah dilaksanakan di pejabat kebajikan daerah,” katanya. – BERNAMA

  • Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    KES remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, selesai selepas keluarga remaja itu Daniel Iskandar Mohd Nasir dan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah, Kuang di Sungai Buloh memilih untuk berdamai.

    Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai.

    “Mereka juga sepakat untuk tidak mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Masjid Al Islahiah hari ini.

    Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang ke atas Daniel Iskandar, 19, serta menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

    Hakim Datuk Abd Halim Aman, yang menyemak keputusan Mahkamah Majistret, turut menyarankan agar pihak masjid yang merakam dan menularkan video Daniel Iskandar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada remaja itu dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

    Datuk remaja itu, Rosli Sidek, 65, pula berkata dia bersyukur permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara baik dan cucunya kini banyak berubah ke arah positif.

    “Sebelum ini, Daniel ada meminta maaf dengan saya atas segala tingkah lakunya dan saya telah memaafkannya. Dia masih di bawah umur dan salah memilih kawan.

    “Daniel sekarang banyak berubah, dia insaf selepas apa yang berlaku. Saya tabah dan reda dengan segala dugaan Allah,” katanya dengan nada sebak.

    Wakil Masjid Al Islahiah yang juga Ketua Kampung Damai, Kuang Abdul Ghani Abdullah berkata pihaknya bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

    Turut hadir Timbalan Mufti Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili remaja itu.

    Kisah Daniel Iskandar yang tular di media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah serta dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, mendapat perhatian umum.

    Pada 13 Jan lepas, Daniel Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan pada 11.58 malam 8 Jan lepas. – BERNAMA

  • KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited melakukan terbaik bagi merealisasikan pelbagai pendekatan strategik yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha melahirkan golongan belia cemerlang termasuk memajukan sukan negara.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan telah menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

    “Dalam pertemuan tadi, kami bincangkan tentang usaha dan pendekatan untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan murid dan juga kaedah mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan KPM dan KBS.

    “Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM-KBS. Kini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) KPM-KBS antara yang sedang diusahakan,” kata Radzi menerusi hantaran itu, hari ini.

    Beliau berkata, aspek pembangunan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa.

    “Semoga usaha KPM-KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia yang cemerlang serta memajukan sukan dapat direalisasikan sepertimana dirancang,” katanya. – BERNAMA

  • Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

    “Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata, individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

    “Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

    Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

    “KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    “Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

    Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

    Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan menyatakan kesemua PPV yang dioperasikan oleh GP dan NGO di bawah ProtectHealth akan melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus di seluruh negara.

    “Individu yang ingin mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus, perlu memastikan bahawa sijil vaksinasi digital mereka di MySejahtera adalah lengkap.

    “Mereka dengan janji temu menerusi MySejahtera akan diberikan keutamaan dan pemberian dos penggalak akan diberikan atas dasar secara siapa cepat dia dapat dahulu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan ProtectHealth juga menyatakan bahawa orang ramai akan terus mendapat janji temu menerusi aplkasi MySejahtera kerana janji temu vaksinasi masih lagi berterusan dan disahkan. – BERNAMA

  • Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    PELUANG sudah semakin tipis untuk menyelamatkan spesies terancam harimau Malaya daripada terus pupus.

    Justeru, Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau) menegaskan usaha pemuliharaan haiwan kebanggaan Malaysia itu tidak seharusnya diserahkan pada pihak kerajaan semata-mata.

    Presidennya, Lara Ariffin berkata, Rimau kini bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menghentikan aktiviti pemburuan haram di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak, bagi menyelamatkan spesies yang hanya ditemui di Semenanjung Malaysia itu yang kini jumlahnya dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

    “Rimau kini terlibat dalam pelbagai usaha sama dengan pihak berkaitan, seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, untuk membanteras kegiatan pemburuan haram haiwan tersebut.

    “Sebagai permulaan, kita mempunyai Unit Patrol Menraq terdiri daripada 30 renjer suku Orang Asli Jahai, yang menumpukan pada pemantauan pemburu haram di Taman Negeri Royal Belum, yang merupakan tempat tinggal suku itu sekian lama,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, semalam, selepas menerima replika cek RM38,888 daripada HABIB bagi menyokong usaha murni itu.

    Lara berkata, unit yang diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) itu, mempunyai fungsi yang terhad iaitu mereka hanya boleh memerhatikan daripada jauh kerana tidak mempunyai kuasa untuk melakukan penahanan.

    Bagaimanapun, hasil kerjasama dengan PTNPk yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, Lara berkata usaha tersebut membantu pihaknya dalam mengekang kegiatan pemburuan haram tersebut.

    Menurut Lara, setiap bahagian tubuh harimau Malaya iaitu dari kepala, tulang, ekor sehinggalah ke kulit, malah misai haiwan itu juga, yang kini digunakan sebagai jarum akupuntur di China, mendapat permintaan tinggi, termasuk di Vietnam.

    “Sangat menyayat hati apabila melihat, bukan sahaja harimau, tetapi juga haiwan liar lain mengalami kecacatan pada anggota badan akibat jerat dan perangkap. Ada yang dilihat berkeliaran dengan hanya tiga kaki ekoran terkena jerat,” kata Lara.

    Ditanya jika Rimau akan melakukan usaha pembiakan bagi menambah bilangan harimau Malaya, Lara meletakkan langkah itu sebagai pilihan terakhir dan bukanlah kaedah yang sesuai dalam pemuliharaan harimau.

    “Pada tahap tertentu, harimau adalah seperti kucing domestik. Mereka memerlukan tiga perkara untuk membiak secara semula jadi dan lancar, iaitu ‘rumah’ yakni hutan; makanan dan perlindungan,” jelasnya.

    Menurut Lara, harimau Malaya kini kehilangan ketiga-tiga perkara itu berikutan peningkatan aktiviti pemusnahan hutan dan pembalakan.

    “Apabila harimau, terutama anak harimau, dihalau dari habitat semula jadinya, haiwan itu terkeluar dari kawasan jajahannya dan anak harimau menghadapi risiko dimakan binatang lain,” katanya.

    Susulan itu, Lara berkata Rimau kini dalam proses memperhebat usaha pemuliharaan dan menyeru orang awam yang berminat untuk bersama-sama persatuan itu menyelamatkan haiwan kesayangan negara ini, memandangkan sudah tidak praktikal dengan hanya ergantung pada agensi kerajaan sahaja.

    Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.rimau.ngo atau platform media sosial persatuan itu di Facebook dan Instagram. – BERNAMA

  • Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    WISMA Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menyediakan 200 bilik penginapan setaraf hotel yang dikhaskan untuk Pegawai Tentera Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM bujang serta PTTK ATM yang berjauhan dengan keluarga.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kemudahan Wisma Bintara disediakan untuk 1,400 PTTK ATM dengan bayaran serendah RM50 sebulan termasuk makan minum.

    (PTTK ATM adalah Pegawai Waran, Sarjan dan Staf Sarjan setaraf.)

    “Selain itu bayaran sebanyak RM30 semalam dikenakan kepada PTTK ATM dari luar kawasan yang menggunakan wisma itu sebagai transit jika mereka mempunyai urusan di ibu kota,” katanya selepas merasmikan wisma itu hari ini.

    wisma bintara ATM
    Ikmal Hisham Abdul Aziz pada majlis perasmian Wisma Bintara ATM di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Beliau berkata, kompleks dengan kos RM30 juta hasil sumbangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera itu, mula dibina pada 3 Julai 2017 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ATM dan siap pada 28 Dis 2020.

    Ikmal Hisham berkata, wisma yang antara lain dilengkapi kemudahan seperti surau, gimnasium, dewan bankuet, gelanggang sukan dan ruang rehat itu, dilihat mampu meningkatkan moral anggota ATM serta menjadi pemangkin ke arah melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan pasukan itu.

    Menurutnya, projek tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kementerian terbabit dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya, seiring Pelan Tindakan 2022. – BERNAMA

  • PKPD di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang mulai esok – MKN

    PKPD di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang mulai esok – MKN

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Chemomoi di Mukim Sabai, Bentong, Pahang akan dilaksanakan mulai esok hingga 10 Feb ini.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19, di lokaliti terbabit.

    Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Rodzi turut memaklumkan tiada pelanjutan dan penamatan PKPD di lokaliti lain dalam negara, hari ini.

    — BERNAMA

  • Kes harian COVID-19 kembali lepasi angka 5,000

    Kes harian COVID-19 kembali lepasi angka 5,000

    KES baharu COVID-19 dalam negara terus meningkat untuk tiga hari berturut-turut dengan 5,439 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan kini 2,850,408 setakat 12 tengah hari tadi.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan kes baharu COVID-19 dalam negara kembali mencatatkan angka melepasi 5,000, selepas kali terakhir pada 10 Dis lepas.

    Beliau berkata, daripada kes baharu itu, 99.1 peratus atau 5,392 kes terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala 0.9 peratus atau 47 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

    “Daripada 5,439 kes itu, sebanyak 332 adalah kes import dan 5,107 adalah kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 124 kes dan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak 4,409 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,770,663 orang.

    Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 22 kluster baharu direkodkan dengan 274 kluster masih aktif.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 dengan Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.18 setakat semalam.

    Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan, serta segera mendapatkan vaksin COVID-19.

    “Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara, melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – BERNAMA

  • Perlis jadi transit dadah, ganja lebih setengah juta ringgit dirampas

    Perlis jadi transit dadah, ganja lebih setengah juta ringgit dirampas

    SERAMAI enam lelaki ditahan dan 270 ketulan mampat ganja bernilai RM668,300 dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kangar pada Isnin lalu.

    Kejayaan itu susulan risikan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Perlis berhubung kegiatan pengedaran dadah jenis ganja yang menjadikan negeri ini sebagai transit.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, menerusi serbuan pertama sekitar 8.30 pagi, polis mengesan dua lelaki dalam sebuah trak pikap Ford Ranger yang mencurigakan di Jalan Tuanku Syed Putra, Kangar menuju ke Alor Setar.

    “Pemandu yang menyedari mereka diekori polis cuba melarikan diri dan dikejar sejauh 10 kilometer sebelum kenderaan suspek terbabas dan melanggar tepi sebuah rumah di Kampung Lat, Simpang Empat.

    “Dua suspek berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan sementara pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan ganja seberat 266.29 kilogram bernilai RM665,725,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

    Surina berkata, sejam kemudian polis menyerbu sebuah rumah di Seriab, Kangar dan menemukan ganja seberat 1.03 kilogram bernilai RM2,575 yang disembunyikan di bawah lantai, turut ditahan tiga lelaki berusia 28 hingga 45 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

    “Polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Kampung Utan Ibus, Kuala Perlis dan menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket pengedaran ganja itu,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan adalah ‘transporter’ yang diupah sebanyak RM6,000 hingga RM7,000 untuk membawa bekalan ganja berkenaan ke Kuala Lumpur untuk diedarkan.

    “Kita percaya dadah yang dirampas ini diperoleh daripada Thailand dimana sindiket menjadikan Perlis sebagai transit sebelum diedarkan ke Kuala Lumpur.

    “Nilai rampasan ganja ini mampu membekalkan kepada 532,580 penagih dadah di seluruh ibu kota.

    “Selain itu, sindiket ini juga dipercayai sudah beroperasi sejak November tahun lalu dan kemasukan dadah ini juga dipercayai menggunakan jalan laut menggunakan bot persendirian,” katanya.

    Surina berkata, suspek yang ditahan ini bekerja sebagai penganggur, buruh, petani dan mekanik dan selain trak pikap, polis turut merampas dua motosikal Yamaha Nouvo dan Suzuki Smash.

    “Ujian saringan air kencing suspek juga mendapati kesemuanya positif dadah dan berdasarkan semakan rekod jenayah lampau juga mendapati lima daripada suspek ini mempunyai rekod bersabit kesalahan dadah dan curi.

    “Kesemua suspek itu direman sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Kerajaan bayar pampasan kepada jemaah tidak dapat tunai umrah – Idris

    Kerajaan bayar pampasan kepada jemaah tidak dapat tunai umrah – Idris

    KERAJAAN  akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan bermula 8 Januari lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata walaupun tidak dapat memberikan pampasan penuh, namun kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada jemaah.

    “Saya diamanahkan oleh pihak jemaah menteri untuk bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Menteri Kewangan (MoF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memberi pampasan kepada mereka yang tidak boleh pergi (menunaikan) umrah baru-baru ini.

    “Maka kita akan bayar sedikit sagu hati atau pampasan akibat daripada mereka tidak dapat pergi ke sana. Insya-Allah perkara itu akan kita uruskan,” katanya melalui Facebook

    Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama jemaah umrah yang layak untuk mendapat pampasan berkenaan dengan TH menjadi agensi yang akan bertanggungjawab menyalurkan wang berkenaan.

    “Senarai nama akan diperoleh dari MOTAC untuk melihat senarai mereka yang terbabit. Wang ini akan masuk melalui pejabat TH dan semua (jemaah yang layak) boleh mengambil wang tersebut di pejabat TH berdekatan.

    “Insya-Allah, kita akan umumkan sedikit masa lagi bila wang itu akan dimasukkan.

    “Ini satu perkara yang menggembirakan walaupun kita tidak boleh menggantikan (jumlah kerugian) semuanya,” katanya.

    Beliau berkata, pampasan itu  sebagai tanda simpati daripada kerajaan kepada mereka yang terkandas dan tidak dapat mengerjakan umrah baru-baru ini.

    Idris turut berharap pembukaan semula ibadat umrah mulai 8 Februari ini berjalan lancar dengan jemaah dan pihak agensi umrah mengikuti semua syarat ditetapkan kerajaan dan pihak Arab Saudi.

    “Saya tidak mahu dengar lagi unsur seperti berlaku penipuan vaksin dan akibatnya kita nampak kerana nila setitik habis susu sebelanga. Kita juga harap pihak pengendali umrah dapat memastikan jemaah mengikuti SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

    “Apa sahaja syarat untuk terbang (menunaikan umrah) digariskan hendaklah dipatuhi untuk kebaikan bersama,” katanya.