itik patah kaki

UMNO tidak rela menjadi ‘janda’ PAS yang didakwa mempunyai kecenderungan meninggalkan parti-parti yang pernah menjadi sekutu politiknya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak mahu menjalinkan hubungan dengan parti yang keputusan dan pendiriannya berubah-ubah ‘ikut musim’.

“UMNO tak mahu jadi ‘janda’ kepada PAS tapi dia bila-bila boleh ‘jandakan’ UMNO,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT.

Ketika ini, hubungan UMNO dan PAS yang bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) semakin tegang, lebih-lebih lagi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

Pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS bertikam lidah secara terbuka termasuk dalam media sosial bagi menyerang antara satu sama lain.

Keadaan bertambah buruk ekoran pendirian Barisan Nasional (BNB) Johor menolak kerjasama dengan parti-parti lain dan memutuskan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

PAS juga telah membuat ketetapan untuk bekerjasama dengan Bersatu dan bertanding dalam PRN Johor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Mohamed Khaled menambah, UMNO punya asas yang kukuh untuk meragui PAS kerana parti itu tidak boleh kekal lama dalam kerjasamanya dengan pihak lain.

Beliau memberitahu, adalah tidak menghairankan kenapa PAS dikatakan parti yang banyak ‘janda’ jika dilihat pada kelakuannya.

“Berapa kali (kerjasama gagal)? PAS kena buat keputusan betul-betul. Di Melaka dia pilih Perikatan Nasional, di Sarawak dia bertanding (menentang GPS).

“Kemudian di Johor dia kata nak dengan Barisan Nasional…selepas itu?” soalnya.

Mohamed Khaled berkata, UMNO tidak mahu berunding dengan PAS yang dianggapnya ‘kabur’.

Beliau turut mengingatkan bahawa PAS yang memilih untuk bertanding di bawah tiket PN.

“Siapa yang menyukarkan (penyatuan PAS dan Umno)?” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here