Category: Umum

  • ‘Itu duit rakyatlah’’ – Muhyiddin bidas Najib

    ‘Itu duit rakyatlah’’ – Muhyiddin bidas Najib

    *Sifatkan jenayah penyelewengan dana 1MDB,SRC International contoh klasik

    ‘’Itu duit rakyatlah’’ kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunkan wang rakyat.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, Najib lupa yang 1MDB menerbitkan bon-bon dijamin kerajaan.

    Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dlm RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB.

    ‘’Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dlm RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Integriti Calon Perikatana Nasional PRN Johor di Johor Bhari ini.

    Muhyiddin berkata, jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun Najib.

    ‘’Bayangkan dengan jumlah RM21 bilion (bayar hutang 1MDB) ini, banyak projek-projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat – sekolah, hospital, jalanraya, landasan keretapi laju, akses internet dan lain-lain. Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan.

    ‘’Tetapi kerana pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan,’’ katanya.

    Beliau juga membidas kenyataan Najib bahawa duit yang dikutip semula daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain untuk bayar hutang 1MDB.

    ‘’Inilah dia pemimpin yang bukan sahaja tidak amanah, tetapi tidak tahu malu. Yang pergi cari duit 1MDB yang disorok oleh Najib dan konco-konconya di luar negara itu ialah sebuah Pasukan Petugas Khas yang saya tubuhkan ketika saya menjadi Perdana Menteri.

    ‘’Saya arahkan mereka pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng dan masukkan semula ke akaun kerajaan Malaysia. RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, banyak kerosakan yang telah berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara.

    ‘’Jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah. Berbilion wang rakyat dan aset negara lesap begitu sahaja dan institusi negara rosak dirompak oleh pemimpin yang tidak amanah. Negara menanggung malu dan rakyat menanggung beban hutang yang ditinggalkan oleh pemimpin yang pecah amanah,’’ tegasnya.

  • Dakwaan Najib hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas – Tengku Zafrul

    Dakwaan Najib hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas – Tengku Zafrul

    DAKWAAN  hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) belum lagi dibayar adalah tidak berasas memandangkan hutang berkenaan hanya akan matang pada 2039.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata hutang prinsipal 1MDB adalah sebanyak RM32.3 bilion, sementara RM6.5 bilion lagi adalah bayaran faedahnya.

    “Dakwaan bahawa belum lagi kita bayar hutang 1MDB ini adalah tidak berasas memandangkan prinsipal hutang berkenaan hanya akan matang lambat lagi.

    “RM32.3 bilion ini tarikh matang dia di antara 2022 hingga 2039. Jadi, belum lagilah dibayar, ini prinsipalnya, tapi kita sudah mula membayar faedahnya,” katanya menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.

    Guan Eng meminta penjelasan sama ada benar dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa kerajaan masih belum membayar sebarang hutang prinsipal 1MDB.

    Menurut Tengku Zafrul, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.

  • Ikrar Perikatan Nasional lengkap pastikan tiada kelompok terpinggir

    Ikrar Perikatan Nasional lengkap pastikan tiada kelompok terpinggir

    *Pelbagai bantuan demi ringan beban rakyat, sejahterakan anak muda, memacu ekonomi

    IKRAR Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, di Johor Bharu hari ini dilihat lengkap dalam usaha memastikan tiada mana-mana kelompok terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi serta sosial.

    Dalam ucapannya Muhyiddin yang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ikrar berteraskan 8 tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan serta akan dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh anak jati Johor itu bukan retorik semata-mata.

    ‘’Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,’’ katanya.

    Beliau berkata, Perikatan Nasional berikrar untuk terus menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan, mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri yang cekap, berintegriti dan bebas rasuah,  mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat serta prihatin terhadap kebajikan demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor.

    Muhyiddin berkata,  pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangani oleh kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.

    ‘’Oleh demikian, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa. Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan  syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri.

    ‘’Ini marangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),’’ katanya.

    Dari segi ekonomi, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, Johor mempunyai potensi amat besar untuk dipacu ke tahap optimum.

    Oleh itu, katanya, Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor melalui penyediaan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor.

    ‘’Pelan Sedekad ini mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar,’’ katanya.

    Selain itu kata Muhyiddin, usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa.

    ‘’Pembangunan mampan ekonomi Johor juga akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor,’’ katanya.

    Beliau menegaskan, dengan perancangan yang holistik, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat Johor. Di samping itu, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan.

    *Usah kurangkan kos sara hidup rakyat

    Dalam ikrar itu Muhyiddin mempertegaskan bahawa Perikatan Nasional akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    ‘’Oleh itu, Perikatan Nasional menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan  pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU,’’ katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, untuk membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan untuk tempoh selama lima tahun. Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan.

    *Gesa kerajaan buka sempadan demi rangsang ekonomi Johor

    Muhyiddin juga menegaskan, bagi merangsang pemulihan ekonomi negeri Johor, Perikatan Nasional menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara.

    ‘’Negeri Johor yang bersempadan degan Singapura tentunya akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka semula. Kita akan dapat melihat aktiviti ekonomi negeri Johor terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negara.

    ‘’Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat. Pembukaan sempadan juga akan memudahkan urusan rakyat di negeri Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kembali ke pangkuan keluarga,’’ katanya.

    *Bantuan komputer riba dan bantuan untuk anak muda lanjut pelajaran

    Beliau berkata, keprihatinan kepada rakyat  adalah keutamaan Perikatan Nasional oleh itu semua golongan masyarakat, termasuklah belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, masyarakat Orang Asli dan komuniti FELDA sentiasa diberikan  perhatian.

    ‘’Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

    Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda. Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian,’’ katanya.

    *Siapkan projek perumahan generasi baharu Felda

    Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat FELDA, selain  penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan , Perikatan Nasional akan memastikan  projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan.

    ‘’Penglibatan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiat melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan. Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA ditetapkan pada kadar RM1.00 sekaki persegi,’’ katanya.

    *Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor untuk rakyat berpendapatan rendah

    Dari segi kesejahteraan sosial, Muhyiddin berkata,  Perikatan Nasional akan memastikan pendidikan berkualiti disediakan untuk memperhebat generasi pewaris Johor dengan tumpuan kepada penyediaan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses pendidikan kepada semua rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan.

    ‘’Akses kepada pendidikan agama yang berkualiti menerusi sekolah-sekolah agama negeri Johor juga akan dipertingkatkan untuk murid-murid beragama Islam,’’ katanya.

    Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah.

    Bagi perumahan pula, kata beliau, agihan perumahan mampu milik akan dibuat secara telus dan penawaran rumah mampu milik ditingkatkan melalui baik pulih projek terbengkalai dan penambahan rumah transit.

    ‘’Selain itu, kawalan keselamatan sempadan dan kawasan bandar utama akan diperketat melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan. Inisiatif Dana Harmoni Johor, Program Sejahtera Johor dan pemerkasaan komuniti rukun tetangga (KRT) akan dilaksana bagi meningkatkan perpaduan setiap lapisan masyakarat,’’ katanya.

    Perikatan juga kata Muhyiddin akan meningkatkan kecekapan infrastruktur termasuk kemudahan hotspot wifi secara percuma di pusat tumpuan orang ramai, merancakkan sektor pelancongan antaranya melalui pendekatan   agropelancongan iaitu Program ‘Johor Agro Visit’ dengan pakej farmstay atau latihan pertanian.

    Dalam soal kelestarian alam sekitar, beliau memberitahu bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam. Sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi akan dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat.

    Muhyiddin mengakhiri ucapannya dengan menyeru bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

  • 903 calon terpaksa tangguh ambil SPM di Kedah akibat jalani HSO

    903 calon terpaksa tangguh ambil SPM di Kedah akibat jalani HSO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 903 daripada keseluruhan 29,769 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kedah, tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut yang bermula hari ini kerana dijangkiti Covid-19 dan berstatus kontak rapat.

    Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad kesemua calon SPM tersebut kini terpaksa menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    “Berikutan itu, mereka dijadualkan untuk mengambil peperiksaan ini pada April depan.

    “Langkah ini dibuat selari dengan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau perjalanan peperiksaan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra , hari ini.

    Dalam pada itu katanya, seramai 33 calon berkeperluan khas dikenal pasti di negeri ini dengan sebahagiannya mengalami masalah pembelajaran, kurang upaya penglihatan serta kurang upaya pendengaran.

    “Selain itu terdapat dua calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani kerana menghidap demam campak dan apendiks,” katanya.

  • Polis tahan penganggur, rampas dadah RM1.2 juta

    Polis tahan penganggur, rampas dadah RM1.2 juta

    POLIS menahan seorang penganggur dan merampas sejumlah bungkusan beras berisi dadah jenis syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan, Sabtu lalu.

    Dadah itu dirampas hasil operasi dilancarkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

    Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki terbabit yang berusia 27 tahun disyaki pengedar dadah ditahan.

    Katanya, serbuan pertama dilakukan pukul 1.30 tengah hari di kaki lima sebuah kafe di Jalan Penrissen, Kuching.

    “Hasil pemeriksaan dijalankan terhadap suspek, membawa kepada penemuan enam bungkusan beras yang setiap satu mengandungi plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,098 gram (g).

    “Susulan itu, polis dibawa suspek ke sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi pada pukul 2 petang hari sama sebelum menemui sebuah kotak mengandungi enam lagi beg plastik putih dan hijau.

    “Setiap beg plastik itu mengandungi peket plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,096g,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

    Seterusnya, Mancha berkata, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang, pukul 3 petang hari sama.

    “Di lokasi ketiga itu, polis menemui sebuah kotak mengandungi 13 peket plastik lut sinar berisi dadah dipercayai ketamin seberat 13.4g serta syabu 664g di dalam bilik tidur.

    “Secara keseluruhan, polis merampas sejumlah 25.5 kilogram dadah, sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai RM30,000 dan sebuah motosikal bernilai RM8,000 dalam tiga serbuan itu,” katanya.

    Beliau berkata, dadah dirampas itu dikenal pasti dihantar dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier, dan polis sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan, termasuk sindiket disyaki terbabit.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan sekurang-kurang 15 sebatan,” katanya.

  • Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    ADIK kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rusli meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang, hari ini.

    Presiden PKR yang juga ketua pembangkang itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi laman Twitter hari ini.

    “Adik saya Rusli Ibrahim baru sahaja menyahut panggilan ilahi di Hospital Selayang sebentar tadi. Mohon teman-teman mendoakan rohnya diberikan tempat terbaik oleh Yang Maha Esa,” katanya.

    Difahamkan, Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 2.20 petang tadi selepas berada di Hospital Selayang sejak beberapa minggu yang lepas dan jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang, malam ini. – BERNAMA

  • Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    SERAMAI 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas akibat bencana banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

    Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon-calon tersebut sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada esok, Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

    “Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

    “Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

    “Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

    Beliau berkata, calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

    “Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif. – BERNAMA

  • Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid memohon maaf kepada mangsa banjir di kawasan itu kerana tidak dapat bertemu mereka memandangkan beliau sedang menjalani kuarantin setelah dijangkiti COVID-19.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memaklumkan perkara tersebut melalui perkongsiannya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

    “Saya terkilan dan mohon maaf kerana tidak dapat pulang ke kawasan menjenguk mereka yang terjejas dengan banjir buat masa ini kerana sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19. Maaf kerana tidak dapat bersama anda semua, keluarga Hulu Terengganu dalam waktu sukar ini.

    “Namun begitu saya mengikuti rapat perkembangan banjir di Hulu Terengganu khususnya dan telah mengarahkan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu untuk menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir secepat mungkin,” katanya.

    Beliau berkata, sejak pagi semalam, semua petugas dengan bantuan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu telah mula menyalurkan pelbagai bantuan awal berupa makanan seperti beras, mi segera, roti, biskut serta minuman selain selimut, tilam, pakaian dan kelengkapan diri kepada mangsa banjir.

    “Saya juga telah meminta petugas supaya sentiasa bersedia dan mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan supaya dapat dibantu sewajarnya dengan segera. Di peringkat kementerian, saya akan menyelaraskan bantuan tabung makanan untuk mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka,” katanya sambil menasihati peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terutama makanan.

    Rosol juga berkata, setakat ini, bekalan makanan dan keperluan dilaporkan mencukupi termasuk di kawasan banjir namun jika ada sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – BERNAMA

  • Israk Mikraj peristiwa penting, mulia – Muhyiddin

    Israk Mikraj peristiwa penting, mulia – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Israk Mikraj merupakan peristiwa penting dan sangat dimuliakan oleh umat Islam.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, Israk Mikraj merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa (Israk) dan seterusnya ke Sidratul Muntaha (Mikraj) bagi memperoleh perintah solat lima waktu.

    “Marilah kita hayati makna dan roh di sebalik peristiwa ini bagi menjadikan kita manusia yang sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT.

    “Semoga peristiwa ini menjadikan kita umat Islam yang sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan. Salam Israk Mikraj 1443H/2022M,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

  • Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    BARISAN Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Mereka berkata, dalam rakaman percakapan beliau kepada EAIC, beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam PDRM.

    “Selain itu , beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali dan pesuruhjaya-pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’ Hara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

    EAIC merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid Bador dilaporkan dalam media yang mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah “cetek dan tidak betul”.

    Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati bahawa:

    (a) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media;

    (b) beliau selaku Ketua Polis Negara sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media;

    (c) sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan; dan

    (d) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Mereka menambah, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

    “Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini,” jelas mereka.