Category: Umum

  • Anwar gesa PDRM berhenti ganggu Rafizi

    Anwar gesa PDRM berhenti ganggu Rafizi

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani segera menghentikan semua bentuk tekanan dan gangguan ke atas Timbalannya, Rafizi Ramli.

    Ini susulan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi, ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaannya berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS), semalam.

    Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi untuk tujuan siasatan agak keterlaluan.

    “Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau (Rafizi) dalam menentang gejala rasuah di negara ini, seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam himpunan turun.

    “Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini, termasuk menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.

    “Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan, sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” tegas beliau.

    Rafizi mendakwa Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

    Beliau didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

    Susulan itu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadapnya pada Selasa lalu yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

  • Jho Low didakwa sedang dilindungi di China

    Jho Low didakwa sedang dilindungi di China

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa sedang dilindungi oleh kerajaan China.

    Memetik laporan Sinar Harian, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mendakwa mendakwa, ini kerana China merupakan antara pihak terlibat dalam membantu Datuk Seri Najib Razak berhubung kes itu.

    China Communications Construction Company (CCCC) merupakan salah satu syarikat yang terlibat secara haram dalam membantu Najib mencuri dan mencuci berbilion wang Malaysia dan Jho Low adalah orang yang mengatur semua itu untuk Najib di China.

    “Jadi tidak mungkin China akan membenarkan Jho Low berada di kandang saksi atau dituduh di mana-mana mahkamah di luar China, mereka tidak akan melakukannya kerana dia (Jho Low) menyimpan bukti yang kuat.

    “Jadi saya tidak menjangkakan Jho Low akan keluar dari China, mungkin sehingga ada presiden baru yang memerintah China.

    “Mungkin nanti, tetapi bukan sekarang,” katanya dalam program bersama Zack Rockstar bertajuk ‘Get The Crooks Back Out Of Power’ pada Sabtu.

    Program yang berlangsung selama satu jam itu disiarkan secara langsung di media sosial Facebook, YouTube dan Twitter Space Kelab Gelombang Keadilan.

    Media sebelum ini melaporkan Jho Low didakwa dilihat berada di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019 yang mana ‘petunjuk baharu’ itu ditemui berdasarkan rakaman wajah yang dikatakan miripnya.

    Sementara itu, ditanya mengenai peranan Jho Low dalam skandal tersebut, Clare berkata, Najib adalah individu yang mempunyai kuasa tetapi beliau memerlukan proksi dan Jho Low adalah orangnya.

    Menurut Clare, ahli perniagaan itu boleh diibaratkan seperti oligarki Rusia, tetapi versi Malaysia.

    “Najib memerlukan orang tengah yang akan keluar bertindak sebagai proksi untuk berinteraksi dengan penyangak lain yang akan membantunya mencuri duit daripada Malaysia.

    “Jho Low bersedia melakukan itu dan dia boleh dianggap seperti salah seorang oligarki Presiden Rusia, Vladimir Putin,” jelasnya.

  • Parti komponen PN dicadang guna logo PAS pada PRU-15

    Parti komponen PN dicadang guna logo PAS pada PRU-15

    Oleh BADLISHAH MAT

    KOMPONEN Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diseru supaya menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Perwakilan Pas Pahang, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, penggunaan logo Pas melambangkan penyatuan dan perpaduan antara parti-parti komponen.

    “Oleh yang demikian, saya sangat bersetuju dengan Perwakilan Terengganu dalam Konvensyen PN mencadangkan supaya Kedah, Kelantan dan Terengganu menggunakan logo Pas pada PRU15 akan datang.

    “Kita juga berharap logo Pas tidak terhad kepada Pas negeri sahaja, tapi sebagai simbol perpaduan, saya suka mencadangkan agar parti-parti lain yang bersepakat dengan Pas seperti Bersatu agar menggunakan logo bulan,” katanya dalam perbahasan Muktamar Pas Ke-68 hari ini.

    Jelasnya lagi, lambang Pas juga menjadi faktor kepada kemenangan parti pada PRU14 yang lalu.

    “Penggunaan logo Pas telah terbukti bukan hanya membawa simbol penyatuan, malahan simbol integriti sebagaimana pencapaian Pas di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Jadi, ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat seterusnya mencapai kemenangan pada PRU15,” katanya.

  • Tetap kerah kudrat cari rezeki walau diramal hidup 6 bulan lagi

    Tetap kerah kudrat cari rezeki walau diramal hidup 6 bulan lagi

    SEORANG pesakit kanser paru-paru tahap empat, Abd Halim Yaacob, 55, tetap gigih bekerja di salon miliknya untuk kelangsungan hidup walaupun diramal hidup hanya berbaki enam bulan lagi.

    Pemilik salon dari Pengkalan Chepa itu dalam laporan Harian Metro berkata, keadaan kesihatannya semakin merudum hari ke hari selepas disahkan menghidap penyakit terbabit pada Mac lalu.

    Katanya, dia tidak dapat membuka salon seperti biasa dan hanya beroperasi jika dia sihat kerana mudah penat selain mengalami sesak nafas serta sakit dada berpanjangan.

    “Walaupun tempoh masa sebelum saya ‘pejam mata’ sudah diberitahu, saya tetap berdoa semoga sakit ini boleh sembuh.
    Saya perlu kuat melawan sakit dan dalam masa sama perlu mencari wang untuk membeli ubat-ubatan dan makanan tambahan.

    “Saya sebenarnya sudah buntu kerana semua simpanan hasil saya bekerja di salon selama 12 tahun habis digunakan untuk merawat kanser, manakala saya pula tidak sekuat dulu untuk terus bekerja.

    “Sekarang saya menumpang di rumah kakak, Zaharah Yaacob, 59, memandangkan saya tidak berkahwin dan tiada tempat bergantung selain daripada adik-beradik sendiri,” katanya yang perlu menjalani kimoterapi sebanyak dua kali sebulan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.

    Laporan itu turut memetik Abd Halim berkata, sebelum ini dia mampu memperoleh sehingga tujuh pelanggan sehari, tetapi kini hanya memberikan khidmat menggunting atau mencuci rambut seorang pelanggan saja kerana cepat penat dan mudah diserang sesak nafas.

    “Ada masanya tiada seorang pun pelanggan yang datang serta tiada lagi pelanggan tetap, mungkin selepas mereka simpati melihat fizikal saya yang kurus kerana kehilangan berat badan hampir 20 kilogram.

    “Lebih memeritkan apabila saya dalam dilema untuk membuat keputusan sama ada mahu melepaskan salon yang sudah lama menjadi punca rezeki kerana tidak lagi mampu membayar sewa sebanyak RM1,000 sebulan.

    “Saya berdoa kepada Allah semoga penyakit ini sembuh dan saya mampu bangkit semula bekerja dan menjalani kehidupan tanpa kesakitan,” katanya.

    Menurutnya, dia percaya jangkaan hayat hidup itu hanyalah bersandarkan teori perubatan yang perlu disampaikan doktor kepada pesakit namun hanya Allah yang menentukan ajal maut seseorang.

    Bagi sesiapa yang mahu membantu meringankan beban Abd Halim boleh menghubungi nombor telefon miliknya di talian 0179644189.

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi.

    Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir akan meneruskan kuarantin di rumah sehingga Selasa ini (6 Sept).

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan, setelah disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.- BERNAMA

  • PRU-15: PAS sasar 40 kerusi Parlimen, pertahan tiga negeri

    PRU-15: PAS sasar 40 kerusi Parlimen, pertahan tiga negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan memenangi separuh daripadanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, maka tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

    Menurutnya, 40 kerusi yang disasarkan itu merupakan batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050.

    “Dalam pada kita ada 17 kerusi Parlimen ini pun, banyak perjuangan atau dasar ditentukan Menteri Pas telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat, bayangkanlah kalau kita ada 40 kerusi.

    “40 kerusi ini adalah batu lonjakan ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050. Siapa dapat hidup lagi pada 2050, pada masa itumereka akan dapat menyaksikan Perdana Menteri daripada Pas.

    Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, ketika ini Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas sedang menganalisis kawasan-kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), bagi diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

    “Mana-mana kawasan yang tak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan dengan kawasan lain yang didapati memiliki prestasi baik dari segi persiapan jentera mahu pun keperluan lain untuk menghadapi PRU,” katanya.

    Mengulas mengenai penggunaan logo dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi menyatakan perkara itu masih sedang ‘dimasak’ dan belum boleh ‘dihidang’.

    “Tunggu dia ‘masak’ dulu, baru boleh hidang tetapi nak jadi macam mana tak tahulah. Kita mengharapkan parti dapat buat keputusan terbaik yang menguntungkan Pas.

    “Saya pun nak macam itu juga (guna logo Pas) tetapi perkara ini kena berunding dan bincang. Rakan kena setuju sebab kalau kita ‘gagahkan’ juga (guna logo Pas) dalam keadaan rakan tak setuju, akan berlaku perpecahan menyebabkan kerugian ditanggung lebih besar dan disebabkan itu, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kalangan ahli Pas supaya tidak memboikot parti, sekiranya rakan-rakan mereka tidak terpilih menjadi calon pada PRU akan datang atau kawasan masing-masing ditandingi parti-parti dalam gabungan sama.

    “Dilarang boikot parti kerana ini berlaku di beberapa kawasan. Sebagai parti politik terbaik di Malaysia, pemimpin serta ahli Pas di semua kawasan tak akan memboikot parti jika hasrat sendiri tidak tercapai dengan kita akan laksanakan apa saja perkara diputuskan kepimpinan Pas.

    “Mengenai calon ini juga, selalunya akan ada rombongan sama ada ke Rusila, Jalan Raja Laut atau Alor Setar. Kalau ‘Mai’ Alor Setar saya ‘ligan’ kerana selepas keputusan dibuat Pas Pusat, sebarang rombongan untuk mengubah keputusan, melobi atau menukar keputusan adalah diharamkan,” katanya.

  • PAS tetap mahu UMNO dan Bersatu, elak undi Melayu berpecah

    PAS tetap mahu UMNO dan Bersatu, elak undi Melayu berpecah

    Oleh BADLISHAH MAT

    NAIB Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan parti itu akan tetap untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

    Walaupun dicerca dan diperli dengan pelbagai kata-kata negatif, Idris berkata, Pas setakat ke hari ini akan tetap dengan naratif tersebut dan akan membiarkan rakyat membuat penilaian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Katanya, kini bukan masa untuk bercakap tentang masa depan generasi yang ada pada hari ini tetapi memikirkan tentang masa depan politik generasi pada masa akan datang.

    “Kalau cakap tentang perebutan kuasa dan jawatan, maka apa akan terjadi kepada anak cucu kita di masa akan datang?

    “Wartawan selalu bertanya, Pas nak pilih mana satu sama ada dengan UMNO atau Bersatu? Jawapannya kami pilih kedua-duanya dan setakat ini, itulah naratif serta keputusan yang ada.

    “Biar rakyat menilai dan walaupun orang nak cerca atau nak perli macam-macam sekali pun, kita tetap nyatakan soal perpaduan ini penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

    Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta ribuan penyokong Pas hadir ke pelancaran itu.

    Sementara itu Idris berkata, soal perpaduan cukup penting untuk diberi perhatian kerana perpecahan yang berlaku mungkin membawa kepada ulangan keputusan PRU-14.

    “Kalau berlaku perpecahan dalam kalangan kita, adakah dah terhantuk baru nak terngadah? Fikirkan tentang perkara itu kerana kita tak mahu ulangi apa yang terjadi dalam PRU-14.

    “Walau bagaimanapun di pihak Pas, hari ini kita lancarkan jentera dan saya percaya, jentera kita telah pun melakukan tugas dalam setiap aspek di semua peringkat,” katanya.

    Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu perlu fokus terhadap tiga perkara menjelang PRU-15 yang mungkin dilangsungkan dalam tempoh terdekat.

    Pertamanya kata beliau, Pas perlu memastikan untuk mengekalkan kuasa mentadbir di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Kedua perlu memastikan kedudukan kita dalam kerajaan Persekutuan kekal, kita tahu dalam tempoh setahun dua ini kali pertama kita kembali menjadi sebahagian kerajaan Pusat di zaman moden ini. Jadi kena pastikan keberadaan di Pusat terus kekal.

    “Ketiga, menguatkan kedudukan kita dengan menambah jumlah kerusi-kerusi Parlimen yang ada. Kena kerja bersungguh-sungguh supaya jumlah kerusi meningkatkan. Mesti menang tidak kurang 40 kerusi parlimen. Ini keutamaan kita, kena pastikan,” katanya.

  • Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    AKTRES Nad Zainal mengesahkan ikatan perkahwinan dengan Muhammad Faliq Amiruddin terlerai, baru-baru ini selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

    Memetik laporan Berita Harian, spekulasi mula tercetus apabila semakan dalam Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis di TV3 itu mendapati tiada lagi foto bersama Muhammad Faliq.

    Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin mengakui, ikatan perkahwinan sudah terlerai, namun, enggan mendedahkan tarikh berpisah.

    Dalam nada tenang dengan penuh emosi, Nad berkata, keputusan berpisah bukan perkara mudah.

    “Iya, kami sudah bercerai, baru-baru ini. Keputusan berpisah ini juga dicapai dengan kata sepakat.

    “Kami masih berkawan baik demi anak-anak,” katanya ketika dihubungi BH Online.

    Diasak bila dan punca bercerai, Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu enggan mengulas lanjut.

    “Cukup dikongsi status terkini. Saya perlu menjelaskannya agar tidak mengundang fitnah.

    “Apa yang lebih utama, saya perlu kuat untuk meneruskan survival membesarkan dua cahaya mata serta membiasakan diri dengan status ibu tunggal,” katanya yang bakal muncul dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

    Nad dan Muhammad Faliq mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.

    Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 1.

  • Kerap dilanda banjir, IPD Hulu Terengganu hasilkan bot dua alam

    Kerap dilanda banjir, IPD Hulu Terengganu hasilkan bot dua alam

    KERAP berdepan bencana banjir mendorong sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu mencipta bot dua alam atau Amfibia Qber II.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, bot berkenaan mampu diguna pakai di daratan dan air khususnya bagi melakukan tugasan menyelamat ketika musim banjir.

    Katanya ia merupakan produk inovasi Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) terbaharu IPD Hulu Terengganu yang lebih praktikal untuk digunakan di kawasan kampung serta laluan yang sempit kerana saiznya yang lebih kecil

    “Kerana kita sedia maklum Hulu Terengganu kawasan yang kerap kali dilanda banjir saban tahun dan sebelum ini produk yang pertama kita adalah terlalu besar berbanding ini lebih praktikal.

    “Kalau yang dulu ditarik oleh Hilux, kenderaan besar, tapi tak praktikal bagi setengah kampung yang tidak boleh dilalui oleh Hilux.

    “Apabila situasi memerlukan, apabila guna ATV ini dengan size amfibia yang lebih kecil, ia lebih pratikal,” jelasnya.

    Rohaimi berkata, bot berkenaan memgambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dengan kos lebih RM10,000.

    Jelasnya Amfibia Qber itu juga mampu memuatkan enam penumpang pada satu-satu masa.

    Rohaimi berkata dengan adanya inovasi itu, pihaknya yakin akan dapat memperkasakan lagi perkhidmatan terutama pada musim tengkujuh.

  • Impian Haziq hidang donat untuk PM jadi kenyataan

    Impian Haziq hidang donat untuk PM jadi kenyataan

    IMPIAN ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq Mohd Asyraf untuk menyediakan donat untuk dihidangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya menjadi kenyataan hari ini.


    Ini setelah Haziq, 12, menyampaikan sendiri hidangan itu kepada Perdana Menteri semasa program ‘Kenuri Rakyat’ di Padang Terap, Kedah.


    Ismail Sabri menerusi catatan Facebook malam ini berkata, sudah banyak kali beliau 

    terserempak dengan Haziq, kanak-kanak berbakat besar yang tular dengan video ‘ulaq besar’.
    Menurutnya, dalam pertemuan sebelum ini, 

    Haziq berjanji mahu masak donat untuknya kerana dia sangat gemar memasak dan bercita-cita nak jadi chef.

    “Akhirnya dalam program ‘Kenuri Rakyat’ di Padang Terap, sekali lagi saya bertemu dengan Haziq dan kali ini Haziq bawakan saya donat yang dia masak sendiri.

    “Terima kasih Haziq…sangat sedap donatnya,” kata beliau.

    Ismail Sabri dalam pada itu turut mendoakan Haziq diberikan kejayaan di dunia akhirat.

    “Semoga Haziq diberikan kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

    Haziq semasa ditemubual Bernama Februari lalu menyatakan hasratnya untuk menyediakan donat dan roti yang dibuatnua sendiri untuk dihidangkan kepada Ismail Sabri.Dia 

    meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani, tular.

    Sementara itu, laman Facebook Pak Mat Western yang kerap mengadakan kerjasama dengan Haziq berkongsikan video detik manis berkenaan.

    Video itu turut disertakan kapsyen:”Impian jadi kenyataan..akhirnya PM dapat rasai air tangan adik Haziq 😁”.