PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani segera menghentikan semua bentuk tekanan dan gangguan ke atas Timbalannya, Rafizi Ramli.

Ini susulan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi, ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaannya berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS), semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi untuk tujuan siasatan agak keterlaluan.

“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau (Rafizi) dalam menentang gejala rasuah di negara ini, seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam himpunan turun.

“Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini, termasuk menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.

“Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan, sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” tegas beliau.

Rafizi mendakwa Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Beliau didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

Susulan itu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadapnya pada Selasa lalu yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here