Category: Umum

  • FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya FELCRA Berhad melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual mula beroperasi pada bulan Oktober tahun depan.

    “Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat sahaja, sebaliknya ia merupakan aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

    Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi.”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam di sini hari ini.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, kompleks ternakan ayam itu dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

    “Saya menaruh harapan dengan pelaksanaan projek ini, anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.”

    Selain itu tambah Mahdzir, projek ternakan ayam itu turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

    Untuk rekod, FELCRA turut melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu yang pertama di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

  • Kesemua penama dalam lejar telah dipanggil SPRM – Azam

    Kesemua penama dalam lejar telah dipanggil SPRM – Azam

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil kesemua penama yang tersenarai dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, yang menjangkakan kertas siasatan mengenainya siap dalam masa terdekat.

    “Siasatan mengenai UKSB kita telah jalankan dan telah memanggil kesemua penama-penama yang disebutkan dalam lejar itu. Saya jangka dalam tempoh terdekat ini akan disiapkan oleh pegawai penyiasat,” katanya.

    Bercakap dalam sidang media selepas majlis konvokesyen Malaysian Anti Corruption Commission (MACC) Law Enforcement Accredited Programme 2022 di sini hari ini, Azam berkata kertas siasatan yang siap itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dikaji dan dibuat keputusan mengenainya.

    Pada 18 Jun lepas, SPRM berkata kertas siasatan dibuka terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan beberapa aduan yang diterima terhadap individu yang tersenarai dalam satu lejar, seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

    Mengenai kertas siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak berada dengan AGC, Azam berkata kertas siasatan itu sebenarnya telah dikemukan kepada AGC dan telah dihantar balik ke SPRM untuk tindakan lanjut.

     “Kertas siasatan itu masih lagi dengan kami setelah diberi oleh pihak beliau (AGC). Kita akan tunggu arahan lanjut kemudian untuk dibuat keputusan,” katanya.

    Mengenai siasatan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), Azam berkata siasatan masih berjalan kerana banyak perkara yang perlu disiasat.

    Beliau berkata walaupun ada pihak yang mengetengahkan isu tadbir urus yang diambil daripada laporan forensik audit, namun SPRM perlu menyiasat lebih lanjut mengenai jenayah yang dilakukan dan pegawai penyiasat memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan, kerana perlu memanggil saksi termasuk dari luar negara.

    Ditanya sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad akan dipanggil untuk siasatan, Azam berkata: “Tiada komen, kerana kami sedang menyiasat. Ada orang mendedahkan  mengenai beliau, tetapi kami perlu siasat.”

    Pada 22 Ogos lepas, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS itu adalah milik keluarga bekas timbalan menteri pertahanan itu, serta mendakwa siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

    — BERNAMA

  • Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

    Namun katanya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi kes positif COVID-19 yang perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan.

    “Juga (semasa) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan  Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini hari ini.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian situasi COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

    Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020.

    Bagaimanapun sejak 1 Mei lepas, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

    Khairy berkata orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

    “KKM juga amat menggalakkan supaya pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat membeli-belah dan rumah ibadah,” katanya.

    Pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, mereka yang menghidap penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta mereka yang melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

    KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kata beliau.

    — BERNAMA

  • Visa pelancong boleh tunai umrah tapi bukan ketika musim haji

    Visa pelancong boleh tunai umrah tapi bukan ketika musim haji

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah (MOHU) Arab Saudi sekali lagi menegaskan bahawa umat Islam yang memperoleh visa pelancong dibenar menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu, tetapi tidak ketika musim haji.

    Perkara ini selari dengan pengumuman pindaan ke atas peraturan visa itu oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi minggu lalu yang antara lain menyatakan pemegang visa pelancongan tidak membolehkan pemegangnya menunaikan haji atau umrah ketika musim haji.

    MOHU menerusi perkongsian infografik di Twitter hari ini menjelaskan pihaknya boleh mengeluarkan permit umrah dan ziarah kepada warga daripada 49 buah negara seluruh dunia yang layak mendapatkan visa secara dalam talian (e-visa) menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

    Malaysia adalah antara tujuh negara Asia yang layak mendapat e-visa Saudi selain Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), Jepun, Kazakhstan, Singapura dan Korea Selatan.

    Menurut MOHU lagi, pemegang e-visa pelancongan boleh memohon permit umrah dan ziarah menerusi aplikasi telefon pintar “Eatmarna” serta memilih sendiri hari dan masa melakukan ibadah berkenaan mengikut kesesuaian mereka.

    Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu yang membenarkan pemegang taraf pemastautin GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa semasa ketibaan (VOA).

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.

    Pemegang taraf pemastautin GCC bermakna individu mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

    Pemegang visa pelancongan dan komersil yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.

    — BERNAMA

  • Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    Lima kereta Honda baharu musnah, treler terbakar

    LIMA kereta baharu jenis Honda terbakar hampir seratus peratus selepas treler yang membawa kereta berkenaan, mengalami kebakaran di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung insiden berkenaan pada 5.24 petang.

    “Kejadian berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang membawa enam kereta dari kilang Honda menghala ke Pulau Pinang, mengalami masalah teknikal di bahagian brek sehingga menyebabkan kebakaran di bahagian belakang treler itu.

    “Ia kemudiannya merebak pada lima kereta terbabit, sebuah lagi kereta pula terbakar 10 peratus. Insiden itu mengakibatkan kesesakan sepanjang tiga kilometer dan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi operasi pemadaman api kira-kira satu jam lebih,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

    Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan punca sebenar serta jumlah kerugian masih disiasat.- BERNAMA

  • Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

    Najib, 69, memfailkan notis usul bagi permohonan itu melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden. Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

    Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu, diketepikan.

    Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah, diketepikan.

    Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

    Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    “Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti yang diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

  • Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    TIADA keperluan untuk menambah syarat baharu bagi urusan pencalonan wakil untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata syarat pencalonan pilihan raya sedia ada yang termaktub dalam Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah mencukupi.

    Ia menyatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, akan hilang kelayakan.

    “Perkara itu perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

    “Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada, yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya.

    “Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya.

    Wan Junaidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya, yang mencadangkan kerajaan untuk mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan serta rasuah.

    Mengenai individu yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen pula, Wan Junaidi berkata keahlian individu terbabit tidak akan tergugur, melainkan syarat di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

    Katanya Perkara 48 (4) (c) menyatakan apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya.

    Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mempunyai enam peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.- BERNAMA

  • LCS: Ahli Parlimen buat laporan SPRM penglibatan menteri

    LCS: Ahli Parlimen buat laporan SPRM penglibatan menteri

    AHLI Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hari ini membuat laporan SPRM bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam skandal projek kapal pesisir (LCS).

    Memetik laporan Malaysiakini, Akmal berkata, laporan itu dibuat bagi mengembalikan tumpuan terhadap skandal projek berjumlah RM9 bilion itu.

    “Apa yang kita ingin siasatan SPRM tumpukan adalah jejak aliran wang kerana nampaknya agak jelas yang…wang mengalir keluar dari negara secara haram melalui syarikat-syarikat palsu ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Dia menegaskan Zainab Mohd Salleh, yang didakwa sebagai individu di belakang dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS, perlu menjadi tumpuan utama siasatan.

    Terdahulu, Timbalan Presiden PKR mendakwa Zainab adalah isteri kedua Abdul Latiff. Abdul Latiff telah menafikan dakwaan itu.

    Menurut Akmal lagi, laporan SPRM hari ini bukanlah tindak balas selepas Rafizi dipanggil memberi keterangan kepada polis pada Sabtu lalu.

    Dia menyifatkan Zainab sama seperti ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dalam skandal 1MDB.

    “Kebimbangan kami adalah dia (Zainab) merupakan ‘Jho Low’ kepada Latiff memandangkan namanya ada di mana-mana (berkaitan projek LCS),” katanya lagi.

    Dalam siri pendedahannya sebelum ini, Rafizi mendakwa Latiff dan keluarganya mendapat manfaat daripada projek LCS dan kontrak pertahanan lain ketika menjadi timbalan menteri pertahanan dalam kerajaan BN.

    Rafizi juga bertegas bahawa Abdul Latiff memiliki seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh.

    Latiff kemudian menafikan dakwaan itu dengan berkata dia tiada peranan dalam projek LCS, ahli keluarganya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan ketika dia dalam kementerian itu dan dia tiada “isteri mahupun bekas isteri” yang bernama Zainab Mohd Salleh.

    Mengulas lanjut, Akmal berkata jika Latiff benar-benar ingin menjelaskan isu tersebut, tidak tidak sepatutnya “melindungi” Zainab.

    “Dia patut dedahkan Zainab dan bukan sekadar berdolak-dalik kerana dia memang memindahkan saham kepada Zainab sebelum meninggalkan syarikat, jadi dia patut tahu kewujudan Zainab ini,” dakwanya.

    Dia berharap SPRM akan menunjukkan kepada umum pengisytiharan harta Abdul Latiff sebagai menteri.

    “Kita perlu desak SPRM untuk dedahkan pengisytiharan harta (Abdul Latiff) dan dari situ kita boleh kesan pendapatan dan perbelanjaan serta jejak aliran wang.

    “Ini kerana Akta SPRM lebih kuat dalam mengesan jejak aliran wang kerana ia pernah digunakan untuk SRC International, jadi saya rasa mereka (SPRM) boleh lakukannya sekali lagi,” katanya lagi.

  • Pemenjaraan Najib tak bersihkan UMNO dari rasuah – Tun M

    Pemenjaraan Najib tak bersihkan UMNO dari rasuah – Tun M

    PEMENJARAAN bekas perdana menteri dan presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tidak cukup untuk membersihkan UMNO daripada budaya rasuah, kata Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Memetik laporan Malaysiakini, bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu berkata, rasuah dalam parti itu telah melata hingga ke peringkat akar umbi.

    Oleh itu katanya, UMNO perlu ditolak secara keseluruhan dalam PRU ke-15 nanti.

    “Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.

    “Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

    “Saya, bekas presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.

    “Saya sedih, tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘cash is king’,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Pada 23 Ogos lalu, bekas Najib diperintah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

    Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Dalam pada itu, Mahathir mengkritik pemimpin dan ahli Umno yang menuduh Najib dianiayai dan mahkamah telah bertindak tidak adil terhadapnya.

    Katanya, tidak ada kes seperti itu dalam sejarah negara apabila semua hakim bersetuju bekas perdana menteri itu bersalah.

    “Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

    “Peguam Negara Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan SPRM yang ditukar dan ‘dibeku’,” katanya lagi.

  • LCS: Kit Siang gesa Ahmad Zahid berundur Presiden UMNO

    LCS: Kit Siang gesa Ahmad Zahid berundur Presiden UMNO

    VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada memimpin parti itu susulan skandal pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Memetik laporan Malaysiakini, Lim berkata, Zahid bukan saja gagal membersihkan dirinya tetapi juga kemungkinan penglibatan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

    “Ahmad Zahid harus berundur sebagai presiden Umno kerana dia tidak dapat membersihkan dirinya daripada tanggungjawab besar berhubung LCS) RM9 bilion dalam masa sebulan ini, dan lebih teruk lagi, jelas Najib ‘jerung’ terbesar dalam skandal itu.

    “Sebulan yang lalu, Zahid adalah bodoh untuk menafikan bahawa dia bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS.

    “Keengganan Zahid untuk menafikan bahawa Najib yang mengarahkannya untuk membatalkan keputusannya mengenai LCS pada 2011 adalah cakap besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Pada 8 Ogos lalu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberi penjelasan lebih teliti mengenai projek LCS bagi menjelaskan sebarang kekeliruan orang ramai.

    Bagaimanapun, Zahid turut menyatakan kebimbangan bahawa penjelasan sebegitu boleh mendedahkan rahsia pertahanan negara.

    Projek bagi memperoleh enam kapal untuk tentera laut yang dimulakan pada 2011 itu sehingga kini belum siap.

    Berlaku juga peningkatan kos selepas kerajaan memilih reka bentuk yang lebih mahal walaupun ditolak oleh tentera laut sebagai pengguna akhir.

    Dalam kenyataan di Facebook, Zahid–menteri pertahanan ketika perolehan LCS di peringkat awal–berkata terdapat ‘politik tuding jari’ selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kegagalan dan kelemahan dalam projek itu.

    Sementara itu, Lim berkata, walaupun Zahid memegang jawatan menteri pertahanan daripada April 2009 hingga Mei 2013 dan kontrak itu ditandatangani pada 17 Julai 2014, Zahid memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada penggantinya.

    “Beliau masih boleh menjelaskan jika fakta sebaliknya dan membuktikan pertama, beliau tidak bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion.

    “Dan kedua, bukan Najib yang mengarahkan beliau membatalkan keputusannya untuk mendapatkan LCS Sigma dan sebaliknya memilih LCS Gowind,” katanya.