Category: Umum

  • Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    TIADA lagi saman dikeluarkan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam susulan pengumuman baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

    “Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

    “Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

    “Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian pada sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) yang turut dihadiri Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad di sini hari ini.

    Dr. Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

    Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

    Menurutnya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

    “Kita memasuki fasa peralihan ke endemik sebelum ini disebabkan masih ada kes COVID-19 yang dilaporkan dan ada perkara kita masih kena jaga dan kawal,” katanya.- BERNAMA

  • Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    CADANGAN pemberian moratorium pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergantung kepada pihak bank.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berhasil.

    Menurutnya, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.

    Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.

    “Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya sebagaimana laporan Free Malaysia Today.

    Tambah Tengku Zafrul, setakat ini ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh hasil daripada peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik.

    Oleh itu katanya, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mungkin bukan penyelesaian terbaik buat masa ini,

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak termasuk kenaikan kadar OPR.

  • OPR masih akomodatif, lebih rendah berbanding sebelum wabak – Tengku Zafrul

    OPR masih akomodatif, lebih rendah berbanding sebelum wabak – Tengku Zafrul

    KADAR dasar semalaman (OPR) masih lebih rendah berbanding sebelum wabak Covid-19 melanda pada 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    “OPR kekal akomodatif. (Kadarnya) meningkat, tetapi masih lebih rendah daripada (tempoh) pra-wabak,” kata Tengku Zafrul dalam laporan Free Malaysia Today hari ini.

    Beliau menjawab kritikan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng semalam terhadap Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang mendakwanya tidak berkesan, memetik kenaikan berterusan harga barangan.

    Lim, yang juga pengerusi DAP, bertanya sama ada Bank Negara (BNM) akan menaikkan OPR jika inflasi terkawal.

    Pada 8 Sept, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut oleh bank pusat itu.

    Tengku Zafrul dalam laporan itu berkata, kadar inflasi berada pada 2.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

    “Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan mana-mana negara lain di rantau ini, apatah lagi di pasaran maju,” katanya.

    Beliau juga berkata, peningkatan harga barangan wajar berlaku apabila ekonomi berkembang, disebabkan permintaan yang lebih tinggi dan “terpendam”.

    “Tidak patut terlalu fokus pada agenda tertentu dengan memilih satu angka tanpa mengira konteks,” katanya.

  • Status sebagai banduan, Najib perlu kekal di HKL

    Status sebagai banduan, Najib perlu kekal di HKL

    DATUK Seri Najib Razak akan kekal menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti yang termaktub dalam prosedur banduan yang ditetapkan selama ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu beliau menafikan Najib akan dibawa ke Institusi Jantung Negara (IJN) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

    “Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

    “Jika ujian kesihatan yang dilaksanakan ke atas Najib sudah selesai, laporan itu akan diserahkan kepadanya (Najib) dan juga mahkamah, jadi tiada lagi pertikaian selepas ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination, di kementeriannya hari ini.

    IJN adalah sebuah entiti swasta atau badan dikopratkan dibawah Kementerian Kewangan. Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar dibawah Akta 586.

    Sebelum ini, Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib yang dimasukkan ke HKL sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah itu berkemungkinan akan dirujuk ke IJN.

    Laporan itu memetik Khairy berkata, dua mesyuarat konsultasi turut diadakan bersama keluarga Najib yang disertai Datin Rosmah Mansor.

    “Saya sebenarnya tidak mahu beri maklumat lanjut tetapi ia menjadi isu umum, jadi saya kena jawab untuk menjaga integriti KKM,” katanya.

    Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan yang memerlukan rawatan dan bukan hanya kepada Najib semata-mata.

    “Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

    Mengenai dakwaan pertukaran ubat yang diberikan kepada Najib, Khairy menegaskan, formula ubat yang diberikan oleh HKL adalah sama cuma jenamanya berbeza.

    “Ubatnya sama (cuma) dulu ia dibeli di hospital swasta, bila (menerima rawatan) di HKL, kita ada ubat-ubatan di hospital kerajaan yang turut mempunyai formula yang sama macam ubatnya sebelum ini.

    “Contohnya macam panadol, kita ada ubat lain macam paracetamol (PCM) yang fungsinya sama. Jadi tuduhan yang kata ubat ditukar itu adalah tidak tepat,” katanya.

    Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, mendakwa tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

  • 97,635 permohonan PerantiSiswa Fasa 1 diluluskan setakat ini

    97,635 permohonan PerantiSiswa Fasa 1 diluluskan setakat ini

    SEBANYAK 97,635 permohonan mendapatkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Fasa 1 sudah diluluskan setakat ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21,633 permohonan diterima di Sabah dan 3,748 telah diluluskan serta dalam proses untuk serahan peranti.

    “Permohonan untuk mendapatkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah dibuka sejak April lepas dan semakan bermula pada 29 Ogos 2022. Kelulusan pemberian perantisiswa dibuat secara berperingkat dan pengagihan akan disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

    “Justeru, saya menyeru kepada semua pelajar IPT (kumpulan) B40 yang masih belum memohon, segera membuat permohonan dalam fasa ke 2 yang masih dibuka sehingga 30 Sept 2022,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan PerantiSiswa kepada 100 pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

    — LAGI

    NORAINI-PERANTISISWA 2 (AKHIR) KOTA KINABALU

    Noraini berkata inisitaif PerantiSiswa Keluarga Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan menjayakan agenda Pendigitalan Pendidikan.

    “Penyerahan PerantiSiswa merupakan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan para pelajar terutama dalam kalangan B40 tidak ketinggalan dan sebagai usaha membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok di negara ini.

    “Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

    Beliau berharap PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus memastikan kecemerlangan akademik dicapai.

    “Kami di Kementerian Pengajian Tinggi akan sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan memastikan mereka dapat menikmati persekitaran yang kondusif sepanjang pengajian,” katanya.- BERNAMA

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA

  • 3 kapal OPV APMM dalam pembinaan, pandemik punca lewat

    3 kapal OPV APMM dalam pembinaan, pandemik punca lewat

    TIGA Kapal Peronda Luar Persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sepatutnya diterima pada 2020 kini masih dalam pembinaan dan berada di Pulau Indah, Klang.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pandemik Covid-19 menjadi punca kelewatan penyerahan kapal yang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd itu.

    “Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini iaitu 13 September 2022, masih gagal dilakukan, kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

    “Berikutan itu syarikat berkenaan akan mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini.

    “Sekiranya semua berjalan dengan lancar dan jika pelancaran itu dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan, besar kemungkinan untuk kapal OPV 1 dapat diserahkan kepada pihak APMM pada awal 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima.

    Agensi itu sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.

    Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata, dua lagi kapal iaitu OPV 2 dan OPV 3 akan diserahkan kepada pihaknya secara berperingkat.

    “Besar harapan agensi ini supaya ketiga-tiga kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak APMM dengan kadar segera walaupun ia sudah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.

    “Ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh pihak APMM pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya.

  • Bila Pegawai Leftenan Muda gagal sambut skrol, reaksi Tengku Hassanal mengkagumkan

    Bila Pegawai Leftenan Muda gagal sambut skrol, reaksi Tengku Hassanal mengkagumkan

    KAGUM dan gerun. Itu perasaan Leftenan Muda Sarah Monika Mohd Roni Sow Abdullah selepas gagal menyambut skrol diserahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku ketika Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-40 baru-baru ini.

    Mengikut video tular di laman sosial, Tengku Hassanal dilihat tunduk ke bawah bagi mengambil skrol yang terjatuh selepas terlepas daripada genggaman Sarah Monika, 24, sewaktu majlis istiadat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 10 September lalu.

    Berkongsi kisah, Sarah Monika berkata, insiden itu tidak disengajakan dan berlaku kerana dia terlalu gementar.

    Katanya, dia turut terkejut melihat reaksi spontan Tengku Hassanal dan mengakui bersalah tidak dapat mengambil sendiri skrol berkenaan dan terpaksa mengikut protokol majlis.

    “Saya sangat gementar naik ke pentas ketika itu sehingga orang terdekat pun menyedarinya.

    “Bagaimanapun, saya gagahkan diri juga naik dan lain pula jadinya apabila skrol diserahkan Tengku Hassanal terlepas daripada genggaman tangan saya.

    “Ikutkan hati saya nak tunduk dan ambil sendiri skrol itu tetapi terpaksa tahan kerana mengikut protokol. Tak sangka pula baginda sendiri tunduk dan ambil skrol berkenaan sebelum petugas sempat datang membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Sarah Monika mengikut laporan itu lagi berkata, badannya kaku dan berasa seperti hendak pengsan ketika itu.

    Menurutnya, dia juga sudah bersedia dimarahi oleh pegawai atasan kerana sedar apa yang berlaku disebabkan kecuaiannya.

    Secara polisi dan protokol, baginda tidak boleh tunduk tetapi itu yang terjadi tempoh hari.

    “Ingatkan baginda serahkan semula skrol seperti biasa namun dia sempat tenangkan saya dan beri kata semangat kerana tahu saya gementar.

    “Apa pun, saya kagum dengan keperibadian baginda kerana bersikap rendah diri walaupun berstatus Putera Raja,” katanya.

    Di sebalik apa yang berlaku, Sarah Monika bersyukur kerana akhirnya ditauliahkan sebagai pegawai Leftenan Muda selepas empat tahun menempuh pelbagai cabaran getir di kem latihan.

    Bagaimanapun, hala tujunya kini adalah lapor berkhidmat di kem ditempatkan selain aktif dalam bidang seni lakon kerana enggan mensia-siakan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diperoleh.

    “Asalnya saya minat untuk jadi anggota polis dan pernah hadir ke sesi temu duga malah hampir terpilih tetapi tiada rezeki apabila tidak melepasi ketinggian ditetapkan.

    “Jadi, saya cuba sertai Palapes. Saya tidak pernah terfikir menjadi pegawai tentera kerana tahu latihannya berat dan perlu tempuhi banyak rintangan sebelum sampai ke tahap ini.

    “Ini kerana saya juga menyambung pengajian di peringkat ijazah dan hampir saja keluar baris kerana perlu mengikuti penggambaran filem dan drama namun pihak atasan amat memahami serta beri pertimbangan hingga saya dapat teruskan latihan walaupun perlu berkorban tinggalkan sebentar set penggambaran.

    “Terima kasih kepada semua dan apa yang saya kecapi kini juga hasil daripada galakan dan doa keluarga,” katanya.

  • Agensi KPLB siap sedia hadapi musim monsun – Mahdzir

    Agensi KPLB siap sedia hadapi musim monsun – Mahdzir

    SEMUA agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah bersiap sedia bagi menghadapi fasa peralihan Monsun yang akan bermula pertengahan September sehingga November ini.

    Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua agensi berkaitan sebagai langkah awal memastikan persediaan berjalan lancar.

    “Datuk KSU (Ketua Setiausaha) Ramlan Harun pagi tadi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri, jadi kita dah bersedia dengan pelbagai persiapan rapi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini hari ini.

    Jelas Mahdzir, semua agensi di bawah KPLB telah ada pengalaman dalam pengurusan bencana banjir sebelum ini.

    “Kita bersedia ke arah itu (banjir) kalau nak ada perahu, berapa perahu, kalau nak ada makanan nak cari kedai mana nak sediakan makanan. Jangan dah banjir baru hendak cari, baru nak sign kontrak, baru beli beras dan sebagainya, kedai mana semua dah sedia.”

    Antara agensi KPLB yang terlibat menguruskan bencana banjir sebelum ini termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR).

    Musim Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November ini hingga Mac 2023.

    Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir menyampai watikah pelantikan kepada 212 Pengerusi JPKKP Negeri Selangor bagi sesi lantikan 2022-2023.

    Majlis turut dihadiri, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

  • Ubat yang sama diberikan kepada Najib – Noor  Hisham

    Ubat yang sama diberikan kepada Najib – Noor  Hisham

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimasukkan ke HKL pada hari Jumaat sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

    “Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi yang mendakwa tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

    Dakwa Muhamad Mukhlis, ujian kolonoskopi yang dijalani oleh Ahli Parlimen Pekan itu pada Sabtu lalu mendapati doktor menemui beberapa ulser baharu di dalam perutnya.

    Susulan keadaan tersebut, Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon untuk pemerhatian di HKL.

    Permohonan itu, bagaimanapun, didakwa ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pihak HKL telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya.

    Beliau menambah, keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang tersebut mengikut amalan profesional kedoktoran.

    “Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj dari HKL,” ujarnya lagi.

    Dr Noor Hisham menegaskan, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun, dalam masa sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

    Begitupun, kata beliau, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan.