Category: Umum

  • PAC syor MySejahtera dimiliki sepenuhnya kerajaan

    PAC syor MySejahtera dimiliki sepenuhnya kerajaan

    JAWATANKUASA  Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya kerajaan memastikan pemilikan penuh dalam aplikasi MySejahtera bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna dalam aplikasi itu serta data berkenaan tidak disalah guna mana-mana pihak.

    Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan juga perlu menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi itu secara rundingan terus yang dibuat melalui keputusan Jemaah Menteri pada 27 Nov 2021, dan kerajaan harus mengambil alih keseluruhan aplikasi berkenaan melalui Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

    Beliau berkata kerajaan juga perlu mengambil pendekatan lebih berhemah dalam segala proses perolehan.

    “Segala tawaran melalui CSR (tanggungjawab sosial korporat) adalah dialu-alukan, bagaimanapun terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. Garis panduan hendaklah diwujudkan untuk tadbir urus tawaran CSR,” katanya.

    PAC membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

    Selain itu, Wong berkata kerajaan perlu meneruskan usaha menjadikan MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

    Beliau berkata PAC telah mengadakan dua prosiding berhubung isu tersebut pada 14 dan 21 April lepas dengan memanggil lapan saksi antaranya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Hasil prosiding tersebut mendapati pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada Mac 2020 didapati tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur atau tatacara perolehan kerajaan.

    Wong berkata tiada sebarang minit atau dokumen sokongan yang wujud berkenaan pelantikan tersebut, dengan satu-satunya dokumen adalah Perjanjian Ketakdedahan (NDA) yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) (bagi pihak kerajaan) dengan KPISoft.

    “Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Wong berkata konsep CSR telah digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya selain tiada dokumen yang menyatakan CSR itu adalah bertempoh setahun.

    Selain itu, beliau berkata MOF telah menetapkan harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun (RM98 juta setahun) dengan amaun itu adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep CSR.

    Menurutnya setakat April lepas, kerajaan didapati masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang boleh menyebabkan aplikasi itu dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi.

    Bagaimanapun, beliau berkata keputusan kerajaan menolak cadangan syarikat pembangun aplikasi berkenaan supaya aplikasi itu dikomersialkan adalah wajar demi memastikan keselamatan data peribadi pengguna aplikasi dilindungi.

    Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berkaitan aplikasi itu boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di www.parlimen.gov.my/pac.

    — BERNAMA

  • PRU-15: PDRM sudah siap siaga – KPN

    PRU-15: PDRM sudah siap siaga – KPN

    POLIS kini dalam keadaan bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa bagi memastikan kelancaran proses demokrasi itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sentiasa membuat persediaan rapi seperti tahun-tahun sebelum ini termasuk dari sudut sumber manusia dan aset.

    “Dengan persiapan yang telah kita lakukan, kita berdoa mudah-mudahan PRU-15 dapat dijalankan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal,” katanya hari ini.

    Spekulasi PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Acryl Sani serta Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya selama hampir lima jam mulai pukul 11 pagi kelmarin.

    Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani memaklumkan, sebanyak 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan sebagainya melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM292,621,167 dikesan pihak berkuasa berkenaan dari Januari hingga Ogos lalu.

    Menurut beliau, jumlah itu meningkat berbanding 4,463 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM247,178,076 sepanjang tempoh sama tahun lalu.

    “Peningkatan jumlah kes serta nilai rampasan bagi tempoh kajian ini membuktikan tindakan proaktif Pasukan Polis Marin membuahkan hasil,” katanya.

  • Tempoh pengundian PRU-15 dipanjangkan satu jam – Wan Junaidi

    Tempoh pengundian PRU-15 dipanjangkan satu jam – Wan Junaidi

    TEMPOH masa pengundian pada pilihan raya umum akan datang (PRU-15) bagi Semenanjung Malaysia akan dipanjangkan selama 1 jam, iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.

    Lapor Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melalui jawapan bertulis di Parlimen berkata, bagi Sabah dan Sarawak, tempoh mengundi adalah antara 7.30 pagi dan 5.30 petang.

    Menurutnya, ia merupakan antara penambahbaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang mahu mengetahui penambahbaikan oleh SPR bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi serta menjamin ketelusan proses mengundi pada PRU15 dan seterusnya.

    Selain itu, Mukhriz mahu mengetahui langkah-langkah yang diambil bagi mengelak dari berlakunya penyelewengan ketika mengundi.

    Antara langkah penambahbaikan yang dinyatakan Wan Junaidi ialah penambahan saluran khusus bagi pengundi 60 tahun ke atas dan warga kurang upaya.

    Selain itu, terdapat juga penambahan pusat mengundi dan saluran, bagi tujuan mengelakkan kesesakan, ekoran penambahan pengundi daripada pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik
    Wan Junaidi berkata, SPR dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kesalahan dan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang berlaku sebelum, semasa dan selepas tempoh berkempen oleh mana-mana parti atau calon.

    Sebarang aduan kesalahan dan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat, katanya lagi, sewajarnya diajukan kepada pihak SPRM dan PDRM untuk tindakan susulan.

    Sementara itu, dalam satu lagi jawapan bertulis, Wan Junaidi berkata, pelaksanaan peruntukan mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

    Menurutnya, pelaksanaan, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 itu tertakluk pada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    Akta yang dikenali sebagai Akta A163 itu telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda pada 31 Ogos 2022 dan telah diwartakan pada 6 September 2022.

    Wan Junaidi berkata, Seksyen 1(3), Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] memperuntukkan bahawa: “Walau apapun subseksyen (2), seksyen 6 akta ini mula berkuat kuasa di sesuatu negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, melalui pemberitahuan dalam Warta.

    “Oleh yang demikian, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI boleh menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa peruntukan seksyen 6 Akta A1663 dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua negeri, bagi negeri yang berkenaan,” katanya lagi.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH – Rasah) yang mahu mengetahui status terkini daripada respons daripada setiap kerajaan negeri terhadap undang-undang Anti-Lompat Parti, selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan.

  • Bubar Parlimen: Hanya PM ada kuasa cadang, bukan parti politik

    Bubar Parlimen: Hanya PM ada kuasa cadang, bukan parti politik

    KUASA mencadangkan pembubaran Parlimen berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan tiada parti politik boleh mempengaruhi keputusan itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Menurut beliau, Perdana Menteri terdahulu juga tidak pernah membincangkan secara terbuka mengenai tarikh pembubaran itu, sebaliknya memutuskan sendiri bila ia akan dibubar.

    “Keputusan pembubaran ini tiada kena mengena dengan parti politik yang lain. Sebelum ini juga ia (tarikh) tidak pernah dibincangkan secara terbuka.

    “Sebelum ini, PM (terdahulu) umum, maka bubarlah Parlimen. Mana ada parti lain beri pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.

    “Bukan setakat perbincangan dengan parti lain, dengan parti sendiri pun tiada perbincangan. Kita tidak pernah cakap secara terbuka mengenai tarikh pilihan raya itu. Parti lain pun tak pernah, parti sendiri pun tidak pernah,” katanya selepas sesi dialog awam Idea Bina Negara (IBN) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam, hari.

    Bagaimanapun, Ismail Sabri dalam laporan itu berkata, beliau tetap mengambil kira dan mendengar setiap cadangan yang diberikan dalam parti sendiri atau parti pembangkang.

    “Dia (Perdana Menteri) rasa wajar untuk bubar, dia bubarlah. Jadi apa yang dicadangkan parti lain itu tidak boleh mengubah atau mempengaruhi dari segi pembubaran Parlimen.

    “Tetapi setiap cadangan dan pandangan itu, saya akan tengok, namun ia tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, beliau sedar banyak pihak yang memperkatakan mengenai tarikh pembubaran itu, dengan pelbagai spekulasi timbul.

    “Ada yang kata bubar sebelum bentang, ada pula kata bubar selepas bentang (Bajet 2023), iaitu Isnin ini. Ada juga yang kata bulan depan, tahun depan. Macam-macam (spekulasi), jadi kita tunggulah,” katanya.

    Semalam, Istana Negara menafikan laporan yang mendakwa Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen. Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

    Menjawab spekulasi beliau bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan itu pada Khamis ini, katanya, pertemuan itu adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

    “Kita tak tahu lagi bila akan bubar. Perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong lebih kepada Kabinet. Biasanya sebelum Mesyuarat Kabinet, saya akan persembahkan kepada Agong perkara yang dibincangkan, termasuk perkara berbangkit,” katanya.

  • Ada mangsa sindiket tipu kerja enggan pulang

    Ada mangsa sindiket tipu kerja enggan pulang

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan ada mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja enggan pulang ke tanah air walaupun kerajaan komited membawa mereka pulang.

    Bagaimanapun beliau dalam laporan Free Malaysia Today berkata, sebab mengapa mereka tidak mahu pulang tidak boleh didedahkan di Dewan Rakyat.

    Tambahnya, mangsa sindiket berkenaan juga ditipu dengan ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan ketika bercuti di negara terbabit, menyebabkan mangsa terpedaya.

    “Ada yang pergi bercuti tetapi ditipu untuk bekerja. Ada juga segelintir mangsa tak nak balik, mengapa tak nak balik yang ini saya tak dapat nak cerita dalam Dewan mulia ini, tetapi kita sentiasa nasihat rakyat Malaysia.

    “Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga sudah mula memanjangkan pesanan-pesanan supaya rakyat malaysia jangan terpengaruh (sindiket pekerjaan),” katanya di Dewan Rakyat.

    Beliau menjawab soalan tambahan Fasiah Fakeh (PN-Sabak Bernam) berhubung jaminan keselamatan bagi mangsa sindiket yang masih terkandas di negara terbabit.

    Saifuddin berkata, setakat ini seramai 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand sudah diselamatkan.

    Jumlah itu membabitkan 171 orang mangsa yang sudah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.

    Tambahnya, seramai 88 lagi mangsa sindiket berkenaan masih dikesan menjadi keseluruhan mangsa dari April hingga September tahun ini seramai 349 orang.

    Beliau turut menolak laporan mendakwa terdapat lebih 3,000 mangsa penipuan sindiket pekerjaan ketika ini masih tidak dapat dikesan.

    “Angka itu terlalu besar, saya kira ia mengambil kira angka yang dulu ketika saya menjadi Menteri Luar untuk kali pertama,” katanya.

    Bulan lalu, FMT melaporkan pendedahan seorang mangsa sindiket penipuan kerja bahawa ada dua lelaki warga tempatan mati ditembak dan beberapa wanita pula dipaksa menjadi pelacur ketika mereka ditahan sindiket berkenaan di Kemboja.

    Mangsa dikenali sebagai Osman mendakwa, lelaki berketurunan India itu dibunuh dan beberapa wanita Melayu dipaksa menjadi pelacur, selain dipaksa menghisap syabu selepas gagal mencapai sasaran menipu secara dalam talian.

  • Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    PELANTIKAN KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Putrajaya.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft (sebelum ini bernama Entomo).

    “Satu-satunya dokumen yang wujud ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dan KPISoft,” katanya dalam satu kenyataan yang dilapor Free Malaysia Today.

    Menurut Wong, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

    Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    “Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” Tambah kenyataan PAC itu.

  • Wan Saiful mungkin bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU-15

    Wan Saiful mungkin bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU-15

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilapor bakal dicalonkan mewakili parti bertanding di Parlimen Lembah Pantai dan Jerlun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun sebelum ini diperkatakan akan bertanding di Kubang Pasu.

    Menurut sumber dalaman parti, pencalonan Wan Saiful dibuat ketua bahagian Bersatu kedua-dua kawasan berkenaan selepas dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang jika bertanding antara dua kerusi itu.

    “Bila dekat pilihan raya umum (PRU)…pembahagian kerusi itu berlaku pantas dan tidak semestinya buat kempen dekat kawasan dia (Kubang Pasu), akan dapat kerusi itu…ada beberapa ketua bahagian (Bersatu) mencalonkan Wan Saiful untuk bertanding di Jerlun dan Lembah Pantai,” kata sumber itu kepada FMT.

    PKR mengekalkan kerusi di Lembah Pantai yang dimenangi sejak 2008 menerusi calonnya, Fahmi Fadzil dengan majoriti 5,598 undi pada PRU14.

    Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mewakili Bersatu memenangi kerusi Parlimen Jerlun, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Othman Aziz dan PAS, Abd Ghani Ahmad, dengan majoriti 5,866 pada PRU14. Namun kini, Mukhriz telah menyertai parti Pejuang dan berkemungkinan mahu mempertahankan kerusi Jerlun pada PRU15.

    Dalam pada itu, sumber itu berkata, peluang Wan Saiful memenangi satu daripada dua kerusi berkenaan berdasarkan rekod pencapaian terbaik ketika menerajui PTPTN, di samping menyumbang idea dari segi tadbir urus baik ketika berada dalam IDEAS.

    Selain itu katanya, tahap sokongan Pejuang di Jerlun dan Fahmi yang mewakili PKR merosot berdasarkan kajian dibuat.

    “Mukhriz mungkin pertahan kerusi dia di Jerlun atau pindah ke Kubang Pasu. Berdasarkan kepada kajian dalaman Bersatu, sokongan terhadap Pejuang kurang dan aura anak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi relevan,” katanya.

    Tambahnya, pengundi di Jerlun lebih sukakan konsep penyatuan Ummah antara PAS dengan Bersatu di situ.

    Sumber itu juga berkata di Lembah Pantai, kajian dibuat menunjukkan rata-rata pengundi mahu memberi peluang kepada parti lain selain PKR yang sudah tiga penggal menerajui di situ.

    Menurutnya, ini ditambah lagi dengan penolakan sentimen ideologi kiri yang didakwa Wan Saiful sebelum ini diperjuangkan PKR dalam gabungan PH dipengaruhi ideologi DAP.

    Katanya, imej PKR juga merosot sejak kekalahan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    “Sudah tiba masanya pengundi-pengundi di kawasan bandar beralih sokongan kepada perjuangan ‘right centre’, mewakili kuasa politik Melayu,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, apa-apa keputusan untuk mencalonkan pemimpin tertakluk kepada keputusan tertinggi parti, dan Wan Saiful sedia bertanding di mana-mana kawasan termasuk dua kerusi itu.

  • RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

    “Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran TABIKA KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di TABIKA KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

    ‘’Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di TABIKA KEMAS,”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari POTENSI KEMAS Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim semalam.

    Mahdzir berkata,, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

    Mahdzir Khalid melambai tangan kepada peserta yang menyertai Hari Potensi TABIKA KEMAS di Tanjong Malim, semalam.

    “Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA malah menjadikan persekitaran TABIKA KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam.”

    Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibubapa dan juga penduduk sekitar premis TABIKA KEMAS.

    “Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan  pelbagai pihak seperti  Jawatankuasa Aktiviti TABIKA, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO)”, katanya.

    Selain itu tambah Mahdzir, program Pintar Botani itu juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.

    Sementara itu, seramai 1,000 orang kanak-kanak TABIKA dari seluruh negara menyertai Hari Potensi KEMAS bagi edisi kali ini.

    Program membabitkan pertandingan pelbagai acara sukan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun.

    Antara acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, gerak kreatif, rounders dan pelbagai lagi dengan format pertandingan mengikut negeri-negeri.

  • Lebih 10 peratus anak Orang Asli tercicir sekolah – Mahdzir

    Lebih 10 peratus anak Orang Asli tercicir sekolah – Mahdzir

    DIANGGARKAN Dianggarkan lebih 10 peratus anak Orang Asli tercicir daripada alam persekolahan atas pelbagai faktor antaranya logistik, keluarga dan elemen tidak mengambil berat tentang kepentingan pendidikan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) di sini hari ini, beliau berkata masyarakat Orang Asli meminta kerajaan supaya melihat cara bagi mengurangkan keciciran pelajar walaupun kehadiran mereka ke sekolah kini melebihi 80 peratus.

    Selain pendidikan, turut dibincangkan ialah isu kesihatan dan pewartaan tanah masyarakat Orang Asli dalam MaPOA itu yang merupakan platform bagi masyarakat tersebut menyuarakan pandangan serta maklum balas dalam menyelesaikan isu berbangkit.

    “Mengenai isu kesihatan, wakil komuniti itu menyuarakan agar lebih banyak pusat rawatan berpusat diperbanyakkan di perkampungan Orang Asli bagi memudahkan urusan mereka yang tinggal di pedalaman.

    “Mereka turut mencadangkan perjawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) seperti penolong pegawai perubatan yang disandang Orang Asli di negeri lain, dikembalikan ke perkampungan mereka,” kata Mahdzir.

     Dari aspek pewartaan tanah Orang Asli, beliau berkata setakat Disember 2021 sebanyak 40,600 hektar melibatkan 215 kampung telah diwartakan merangkumi penempatan kediaman, rumah ladang atau dusun buah-buahan, manakala 638 kampung lagi masih dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri.

    Di Semenanjung terdapat 853 kampung Orang Asli dengan penempatan paling banyak adalah di Pahang, Kelantan dan Perak.

    Mahdzir berkata kesemua perkara yang dbangkit dalam MaPOA itu akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkepentingan sebelum dibawa kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan KKM, seterusnya Kabinet.

    –BERNAMA

  • Menanti berita gembira Mahdzir untuk peserta FECLRA

    Menanti berita gembira Mahdzir untuk peserta FECLRA

    APAKAH peserta FELCRA akan menerima berita tidak lama lagi?

    Itulah persoalan yang bermain di fikiran golongan itu berikutan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memaklumkan kementerian itu sedang mempertimbangkan keputusan untuk melupuskan hutang 20,000 peserta FELCRA berjumlah RM230 juta.

    Menurut Mahdzir,  proses itu ketika ini berada pada peringkat akhir dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

    Difahamkan, pengurusan tertinggi Felcra akan buat cadangan dan permohonan rasmi kepada kerajaan dan MOF.

    “Isu tunggakan hutang ini telah lama dibangkitkan oleh peneroka FELCRA lebih 30 tahun lalu, yang melibatkan beberapa generasi sedia ada termasuk mereka yang telah meninggal dunia. Oleh itu, kerajaan sedang pertimbangkan keputusan ini dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya di Pasir Mas, Sabtu lalu.

    Tempoh 30 tahun yang dinantikan oleh peserta FELCRA  tersebut sudah tentulah bukan satu masa yang singkat, malah pastinya ada antara mereka sudah mewarisi hutang generasi terdahulu. Justeru jika langkah melupuskan hutang tersebut menjadi kenyataan, ia tentunya akan banyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh peserta-peserta berkenaan.

    Mahdzir Khalid

    Tambahan pula, seperti mana kata Mahdzir antara hutang yang dibuat oleh peneroka FELCRA adalah seperti kos pembangunan termasuk proses pembersihan tanah, pagar serta penanaman pokok, sebelum hutang berkenaan dibayar sebaik mendapat hasil. Jika hutang berkenaan tidak dilupuskan, generasi akan datang juga akan mengalami masalah yang sama.

    Atas sebab itulah Mahdzir amat prihatin dengan dilema berkenaan dan berusaha untuk menamatkan derita peserta Felcra supaya mereka tidak terus dibelenggu bebanan hutang tersebut.

    “KPLB mencari jalan terbaik dan mengharapkan ada jalan penyelesaian selepas Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membentangkan perkara tersebut kepadanya nanti,” kata Mahdzir.

    Penulis percaya, apa yang dilakukan oleh Mahdzir melalui KPLB pastinya akan dihargai oleh peserta-peserta FELCRA jika ia menjadi kenyataan. Walaupun mungkin jumlah hutang yang dilupuskan tidaklah banyak namun hutang tidak kira sedikit atau banyak, ia tetap satu beban.

    Pelupusan hutang ini akan membolehkan peserta FELCRA memiliki lebihan pendapatan yang akan dapat digunakan bagi menyara keluarga mereka tanpa dibelenggu rasa resah akan mewarisi hutang kepada anak cucu.

    Semoga apa yang sedang diusahakan oleh Mahdzir dan KPLB akan menjadi kenyataan sekaligus memberi kegembiraan kepada peserta FELCRA.