Category: Semasa

  • Penganggur mengaku salah cetak rompak filem, didenda RM10,000

    Penganggur mengaku salah cetak rompak filem, didenda RM10,000

    SEORANG penganggur dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas didakwa melakukan cetak rompak karya filem melalui aplikasi Telegram.

    Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Diana Md. Razali, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, OKS didapati dengan cara dagangan mempamerkan kepada awam lima salinan langgaran karya filem melalui aplikasi Telegram Ahmad Faibers yang ditunjukkan dalam bentuk bergerak termasuk bunyi bagi lima filem hak milik sebuah syarikat penyiaran tatkala hak cipta wujud dan masih wujud bagi syarikat itu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Melor, Seremban, pukul 10 malam pada 18 Mac 2021.

    Oleh demikian OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(e) Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(i) akta yang sama.

    OKS boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap langgaran atau dipenjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara manakala OKS tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap OKS dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu. OKS membayar denda tersebut.

  • Visa pelancong boleh tunai umrah tapi bukan ketika musim haji

    Visa pelancong boleh tunai umrah tapi bukan ketika musim haji

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah (MOHU) Arab Saudi sekali lagi menegaskan bahawa umat Islam yang memperoleh visa pelancong dibenar menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu, tetapi tidak ketika musim haji.

    Perkara ini selari dengan pengumuman pindaan ke atas peraturan visa itu oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi minggu lalu yang antara lain menyatakan pemegang visa pelancongan tidak membolehkan pemegangnya menunaikan haji atau umrah ketika musim haji.

    MOHU menerusi perkongsian infografik di Twitter hari ini menjelaskan pihaknya boleh mengeluarkan permit umrah dan ziarah kepada warga daripada 49 buah negara seluruh dunia yang layak mendapatkan visa secara dalam talian (e-visa) menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

    Malaysia adalah antara tujuh negara Asia yang layak mendapat e-visa Saudi selain Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), Jepun, Kazakhstan, Singapura dan Korea Selatan.

    Menurut MOHU lagi, pemegang e-visa pelancongan boleh memohon permit umrah dan ziarah menerusi aplikasi telefon pintar “Eatmarna” serta memilih sendiri hari dan masa melakukan ibadah berkenaan mengikut kesesuaian mereka.

    Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu yang membenarkan pemegang taraf pemastautin GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa semasa ketibaan (VOA).

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.

    Pemegang taraf pemastautin GCC bermakna individu mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

    Pemegang visa pelancongan dan komersil yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.

    — BERNAMA

  • Tiada keperluan untuk kerajaan perkenalkan semula GST pada masa ini

    Tiada keperluan untuk kerajaan perkenalkan semula GST pada masa ini

    Kerajaan masih belum diperingkat yang perlu untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

    Beliau berkata, ini disebabkan oleh momentum pemulihan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini dan disokong oleh peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

    “Sehubungan itu, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.

    Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak, hari ini.

    Sesi libat urus itu diadakan sebagai salah satu usaha kementeriannya untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada komuniti perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023.

    Beliau berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, fokus kerajaan dalam bajet akan datang adalah kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan, serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan di masa depan.

    Beliau berkata, paras inflasi negara bagi enam bulan pertama 2022 ialah pada kadar 2.5 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar inflasi di negara lain, dan kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

    Katanya, langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding RM31 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.

    “Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4 peratus,” jelas beliau.

  • Ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

    Ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

    RINGGIT dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998 hari ini, apabila lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

    Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS daripada 4.4970/4500 ketika ditutup pada semalam.

    Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran mengalami turun naik yang lebih ketara berbanding biasa baru-baru ini disebabkan ketegangan yang semakin memuncak antara Russia dan Barat, dengan keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti.

    “Sementara itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Bukan Pembuatan ISM AS bagi Ogos mencatatkan bacaan yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan, dan in meningkatkan tekanan belian terhadap dolar AS yang telah sedia berada dalam aliran menaik sejak beberapa bulan lalu.

    “Berlandaskan data yang menunjukkan inflasi tinggi dan pengangguran rendah di AS, ramai yang menjangkakan Rizab Persekutuan AS mengekalkan trajektori meningkat semasa apabila membabitkan kadar faedah, dengan kenaikan seterusnya dijangka diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

    Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1965/1987 daripada 3.2021/2044 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1451/1473 daripada 3.1741/1762.

    Ringgit juga kukuh berbanding pound British kepada 5.1671/1700 daripada 5.2156/2191 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.4515/4540 daripada 4.4759/4788.

  • Jaclyn Victor akui tertekan, kunci mulut sebagai peserta GV9

    Jaclyn Victor akui tertekan, kunci mulut sebagai peserta GV9

    PENYANYI Jaclyn Victor mengaku tertekan apabila terpaksa merahsiakan penyertaannya sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang diumumkan, semalam.

    Beliau yang lebih mesra dipanggil Jac, 43, terpaksa mengunci mulut walaupun ramai pihak sudah mula menebak dan yakin namanya antara peserta program itu.

    “Salah satu syarat untuk menyertai program ini saya tidak boleh berkongsi penyertaan saya pada peringkat awal. Nama peserta hanya akan diumumkan secara rasmi pada majlis sidang media.

    “Jadi saya agak tertekan kerana tidak suka menipu. Cuma ia bukanlah sesuatu yang tidak baik. Saya terpaksa menafikan perkara itu kerana masih baru untuk dikongsikan kepada umum. Selebihnya saya okay sahaja,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau terbuka hati untuk menyertai program nyanyian yang cukup digemari ramai itu kerana perubahan konsep serta medan untuk penyanyi sepertinya berkarya.

    “Sebelum ini, saya ada menerima pelawaan untuk terbabit dalam program ini, tapi saya tidak mahu serta enggan memikirkannya. Bagaimanapun ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program, pelawaan itu saya terima lagi dan masih lagi ragu-ragu.

    “Kemudian bila bercakap dengan seseorang yang lebih berpengalaman dia diterangkan secara terperinci mengenai konsep pertandingan realiti ini dan saya jelas.

    “Kalau dulu, program ini lebih memfokuskan kepada artis yang sudah lama tak aktif atau lama tidak keluar lagu baharu, tapi sekarang konsepnya dah berubah.

    “Jadi bila mengetahui ia menjadi medan untuk penyanyi lakukan apa yang kita mahu, kenapa tidak ambil peluang itu? Daripada situ saya mula memikirkan mengenai hal ini dan betul juga, di mana lagi platform yang boleh kita persembahkan apa yang kita nak buat,” katanya.

    Konsert mingguan GV9 akan membuka tirainya secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 18 September ini dan disiarkan di Astro Ria.

    Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi.

  • Terima upah RM200 seludup diesel bernilai RM5,000

    Terima upah RM200 seludup diesel bernilai RM5,000

    TINDAKAN seorang pemandu lori yang singgah di beberapa stesen minyak berbeza untuk membeli diesel melebihi had dibenarkan menjerat diri apabila dia ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang petang semalam.

    Ketika ditahan di sekitar Permatang Pauh pukul 6.45 petang semalam, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu dipercayai sedang membeli minyak diesel di stesen minyak keempat bagi mengelak tindakannya itu dikesan pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan, suspek ditahan selepas dikesan mengisi tangki minyak berkapasiti 20,000 liter yang telah diubah suai di atas lori yang dipandunya.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek akan mengepam minyak yang diisi ke dalam tangki asal ke dalam tangki tambahan menerusi motor pam.

    Jelas beliau, siasatan mendapati pemandu lori berkenaan perlu mengisi 2,500 liter diesel bernilai RM5,000 yang diberi majikannya dan perlu menghantar bekalan diesel itu ke sebuah stor di Sungai Dua sebelum menerima upah sebanyak RM200.

    “Disebabkan had pembelian yang ditetapkan hanya 250 liter diesel sehari, maka lelaki berkenaan akan mengisi diesel di 10 stesen minyak berdekatan dalam lingkungan jarak lima kilometer,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

    Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya merampas kira-kira 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 dalam operasi itu dan menyita lori dan tangki minyak yang telah diubah suai dengan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM69,192.70.

    Jelasnya, suspek turut mengaku kali pertama melakukan kerja sampingan terbabit dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Warga emas meninggal dunia dalam kebakaran

    Warga emas meninggal dunia dalam kebakaran

    Oleh ABU UBADIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Bukit Permata, Bukit Siput, Segamat, pada awal pagi tadi.

    Mangsa, Mustaffar Batin yang berusia 61 tahun dipercayai terperangkap dalam biliknya di bahagian atas rumah dua tingkat tersebut.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.18 pagi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seranai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Ujarnya, mereka dibantu masing-masing sebuah satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Rescue Tender (FRT).

    Seorang warga emas melecur sebelum maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman BUkit Permata, Bukit Siput, Segamat, hari ini.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 4 x 7 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas dan telah mengakibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keseluruhan rumah

    “Mangsa ditemui di bilik tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan cedera melecur 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

    Menurut Mazuki, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada pukul 7.34 pagi.

  • Pekerja asing maut tersepit antara kren, besi penghadang

    Pekerja asing maut tersepit antara kren, besi penghadang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja maut akibat tersepit di antara kren dan penghadang besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, mangsa merupakan warganegara Nepal dikenali Das Chandan Kumar, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    “Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang, seramai 11 anggota dan sebuah jentera serta satu utiliti Hilux ke lokasi kejadian.

    “Mangsa didapati tersepit di antara kren dan penghadang besi sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Rescue Cutter’. Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    SEORANG lelaki yang mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 15 Ogos lalu kini diburu.

    Pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari yang sama.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, perbuatan suspek itu turut dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular dalam media sosial.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa ke Kompleks Sukan Negara untuk membawa pelajar bagi menyertai latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.

    “Bagaimanapun, semasa berada di dalam tandas wanita, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki yang sedang mengintainya dari bilik tandas sebelah.

    “Mangsa kemudian menjerit sehingga menyebabkan suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Iqbal berkata, mangsa menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja.

    Katanya lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

    “Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sebarang maklumat lanjut berhubung kes iitu katanya, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Hadi di talian 016-2745515.

  • 74 rumah di 13 kampung terjejas akibat banjir kilat di Baling

    74 rumah di 13 kampung terjejas akibat banjir kilat di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BANJIR kilat di Baling semalam secara keseluruhannya menjejaskan sebanyak 74 rumah penduduk di 13 kampung yang terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling dan Balai Polis Kupang.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lima kampung yang terjejas terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling manakala lapan lagi terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Kupang.

    “Lima kawasan terjejas di bawah Balai Polis Baling adalah Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Taman Bayu Indah , Taman Bayu Indah 2 dan Taman Bayu Permai.

    Jambatan Bailey ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki akibat banjir

    “Sementara lapan kawasan di bawah pentabiran Balai Polis Kupang yang dimasuki air adalah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Tanjung Nering,” katanya.

    Semalam, Sungai Kupang yang terbabit dengan tragedi aliran puing serta banjir lumpur meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu, melimpah buat kali ketiga akibat hujan lebat selama kira-kira sejam sejak pukul 5 petang.

    Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.

    Beberapa klip video yang tular di media sosial jelas menunjukkan air sungai berwarna kemerah-merahan melimpah dari sungai tersebut dan memasuki rumah penduduk.

    Shamsudin menambah, air sungai tersebut telah pun surut kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    “Melalui pemerhatian kasar, Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.

    Terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

    “Disebabkan itu, jambatan tersebut ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

    “Di PPS Kampung Padang Empang, seramai 96 mangsa terdiri dari 31 keluarga berteduh di situ sementara PPS Masjid Al Huda pula menempatkan 34 keluarga dari enam keluarga,” katanya.