TINDAKAN seorang pemandu lori yang singgah di beberapa stesen minyak berbeza untuk membeli diesel melebihi had dibenarkan menjerat diri apabila dia ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang petang semalam.

Ketika ditahan di sekitar Permatang Pauh pukul 6.45 petang semalam, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu dipercayai sedang membeli minyak diesel di stesen minyak keempat bagi mengelak tindakannya itu dikesan pihak berkuasa.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan, suspek ditahan selepas dikesan mengisi tangki minyak berkapasiti 20,000 liter yang telah diubah suai di atas lori yang dipandunya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek akan mengepam minyak yang diisi ke dalam tangki asal ke dalam tangki tambahan menerusi motor pam.

Jelas beliau, siasatan mendapati pemandu lori berkenaan perlu mengisi 2,500 liter diesel bernilai RM5,000 yang diberi majikannya dan perlu menghantar bekalan diesel itu ke sebuah stor di Sungai Dua sebelum menerima upah sebanyak RM200.

“Disebabkan had pembelian yang ditetapkan hanya 250 liter diesel sehari, maka lelaki berkenaan akan mengisi diesel di 10 stesen minyak berdekatan dalam lingkungan jarak lima kilometer,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya merampas kira-kira 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 dalam operasi itu dan menyita lori dan tangki minyak yang telah diubah suai dengan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM69,192.70.

Jelasnya, suspek turut mengaku kali pertama melakukan kerja sampingan terbabit dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here