Category: Semasa

  • KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    SERAMAI 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak, keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak serta masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19, akan diserap ke jawatan tetap.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam laporan Berita Harian berkata, pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

    Menurutnya, pelantikan tetap juga membabitkan Jururawat Masyarakat Gred U19 sebagai Jururawat Gred U29.

    “Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap secara PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

    “KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29.

    “Pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

    “Dalam hal ini, KKM bercadang menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan Jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Khairy menurut laporan itu lagi menjelaskan, KKM juga menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 Jururawat yang memiliki ijazah sarjana muda kejururawatan yang diiktiraf oleh Kerajaan melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36. Tawaran ini akan dibuat pada 17 Oktober 2022.

    Katanya, sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.

    “KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada tahun 2023, 125 jawatan pada tahun 2024 dan 38 jawatan lagi pada tahun 2025.

    “Jumlah ini tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan Jururawat Gred U29, Gred U32 dan Gred U36 dalam tempoh yang sama.

    “Berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 ini, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan,” katanya.

    Kadar nisbah jururawat dengan pesakit di Malaysia pada tahun 2020 ialah 1:302, jumlah itu semakin baik pada tahun 2021 dengan kadar nisbah 1:297, namun masih belum memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.

    Khairy berkata, selepas isu doktor kontrak, sebahagian isu jururawat kini telah diselesaikan dan pada masa akan datang isu Pembantu Perubatan juga dalam perancangan untuk penyelesaian.

    “Diharap dengan inisiatif penyerapan jawatan kontrak dan kekosongan yang diisi dapat pengurangan kadar nisbah jururawat dengan pesakit selaras saranan WHO iaitu 1:200,” katanya.

  • Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    PELAKU rasuah perlu dilihat sebagai musuh yang mahu membunuh masa hadapan generasi akan datang dan sedang memusnahkan negara.

    Ketua Pasukan #RasuahBuster, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob berkata, aktiviti korupsi yang sudah berakar terlalu lama telah menyebabkan penderitaan yang tidak berkesudahan.

    Tegas beliau, amalan rasuah yang telah mengaibkan dan mengorbankan maruah negara oleh sesetengah individu perlu dihentikan dengan kadar segera.

    “Sudah-sudahlah membiarkan rakyat terzalimi kerana tidak ada keadilan ekonomi dan sosial.

    “Kita tak perlu bina kubu seperti tembok China untuk membentengi negara daripada musuh.

    “Cukup untuk kita bina tembok moral dan keimanan untuk pertahanan diri yang membentengi rasuahdaripada terus-terusan membarah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan kemunafikan politik Melayu’ hari ini, lapor Utusan TV.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk mencemar dulu bagi melancarkan buku tersebut.

    Turut hadir ialah pimpinan parti politik termasuk kepimpinan Pemuda UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Part Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, sifat mabuk kuasa dan gila kepada kuasa telah menyebabkan ramai orang menjadi buta.

    Jelas beliau, semua orang perlu memilih corak kepimpinan dan pemimpin bermaruah, berprinsip, mengutamakan rakyat dan mampu membina serta membangunkan negara dengan baik.

    “Jangan memilih pemimpin yang menjadikan rakyat alat dan kuda tunggangan untuk memenuhi cita-cita peribadi mereka.

    “Wang negara yang diselewengkan, bocor dan tiris di sini-sana kerana memenuhi sifat tamak dan kepentingan peribadi pelaku rasuah.

    “Sampai bilakah kita harus leka dan tenggelam dalam pendustaan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Hussamuddin menambah, #RasuahBusters telah turun padang ke setiap pelosok negeri untuk berjumpa orang ramai untuk berbicang dan merangka strategi transformasi memerangi rasuah.

    Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga menganjurkan dialog bersama para pelajar di sekolah dan pusat pengajian bagi membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada gerakan memerangi rasuah.

    “Alhamdulillah hari ini sokongan yang semakin meningkat dan suara anti rasuah semakin lantang bergema di seluruh negara tak kira oleh ahli politik, anak kecil atau siapa-siapa pun juga,” katanya.

  • Susherrie pasang impian bergelar perancang bandar profesional

    Susherrie pasang impian bergelar perancang bandar profesional

    SUSHERRIE Suki, yang melakar sejarah menjadi Orang Asli pertama menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University College London (UCL), United Kingdom baru-baru ini, memasang cita-cita untuk bergelar perancang bandar berlesen di negeri kelahirannya, Perak.

    Gambar gadis daripada kaum Semai berusia 23 tahun itu bersama ahli keluarga dan rakannya di hadapan universiti, tular dalam media sosial kerana mengangkat nama komunitinya setelah menamatkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning, UCL.

    UCL ialah universiti terkemuka di dunia yang berada di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).

    Kini, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Reka Bentuk dan Perancangan Bandar di universiti sama selama setahun dalam menggapai impian bagi merealisasikan cita-citanya itu. 

    “Selepas menghabiskan pengajian hingga tingkatan lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, saya menyambung pengajian peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban dan seterusnya mendapat tawaran di UCL bagi peringkat Sarjana Muda selama tiga tahun.

    “Ketika saya menerima berita tentang penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di UCL, saya melompat kerana terlampau gembira dan terus menelefon kakak untuk memberitahu tentang berita ini kerana bagi saya, perkara ini bukan mudah untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui panggilan video dari United Kingdom di sini hari ini.

    Anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan bahawa beliau memilih jurusan Reka Bentuk dan Perancangan Bandar kerana kecintaannya terhadap seni bina bangunan dan bandar.

    Menyentuh mengenai cabaran dialami sewaktu pengajian, Susherrie berkata aspek komunikasi mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras demi menggenggam kejayaan yang tidak mudah diperoleh khasnya di bumi asing yang penuh dengan pelajar dari seluruh dunia.

    “Saya mempunyai kesukaran menulis esei untuk subjek penulisan ilmiah ketika itu sehinggakan saya mendapat markah 40 hingga 50.

    “Namun saya menyertai kelas bahasa Inggeris selain menjadi ahli persatuan kelas, dan bekerja sambilan di kafe pelajar bagi meningkatkan pemahaman dari segi pertuturan di sini (UCL). Bayangkan, lawak mereka pun saya tidak faham sehinggakan perlu menghentikan perbualan dan meminta penjelasan,” katanya berseloroh.

    Sementara itu, kakaknya Susieleen Suki, 31, berkata adiknya seorang ulat buku sejak kecil kerana sentiasa memegang buku ke mana sahaja beliau berada selain seorang yang aktif.

    “Kami sekeluarga tidak terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia dianugerahkan Ijazah Kelas Pertama kerana dia memang layak. Kami amat gembira dan bangga dengan pencapaiannya kerana sejak kecil dia sentiasa menunjukkan prestasi yang baik di sekolah dan ketika di Kolej MARA,” katanya yang sering membuat panggilan video hampir setiap minggu untuk memberi sokongan kepada adiknya.

    Berita gembira itu turut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Susherrie di laman Twitter masing-masing.- BERNAMA

  • Sukma: Ahmad Faizal kesal insiden kejar pengadil

    Sukma: Ahmad Faizal kesal insiden kejar pengadil

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kesal dengan insiden seorang pegawai yang bertindak mengejar pengadil pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) malam tadi.

    Beliau berkata walaupun agak biasa untuk berlaku suasana tegang dalam perlawanan bola sepak, insiden tidak bersemangat kesukanan seperti itu tidak sepatutnya berlaku, terutamanya pada Sukma yang menjadi medan mencungkil bakat.

    “Memang kita peminat sukan kadang-kadang tak setuju dengan keputusan pengadil, tak suka dengan tindakan-tindakan pemain dari pasukan lawan dan sebagainya, tetapi kita berada di sini untuk mencungkil bakat baharu dan membangunkan sukan negara.

    “Selain kita nak mengejar kegemilangan, jauh lebih penting adalah untuk memajukan sukan itu sendiri. Sukma merupakan medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara semua peserta.

    “Namun, perkara ini telah pun berlaku, kita belajar dari kesilapan dan bergerak ke hadapan. Saya harap perkara-perkara ini tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila,” katanya pada sidang media selepas prapelancaran Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022 di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai tindakan seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah selepas melakukan provokasi terhadap pengadil yang menyaksikan beliau mengejar pengadil tersebut di tengah padang selepas diperintah keluar.

    Bagaimanapun, suasana terkawal dengan bantuan pihak polis.

    Pulau Pinang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menerusi sepakan penalti disempurnakan ketua pasukan Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri pada minit ke-40 di Stadium UiTM Shah Alam, untuk bertemu juara hatrik edisi 2006-2010, Terengganu yang menewaskan Selangor 2-1.

    Ahmad Faizal berkata, walaupun Sukma kali ini mempunyai beberapa insiden tidak diingini seperti kes doping, secara keseluruhannya temasya itu dianjurkan dengan baik dan mendapat pujian daripada ketua-ketua kontinjen negeri.

    “Masalah doping sejak beberapa edisi sebelum ini, namun saya rasa usaha kita untuk memastikan atlet yang dah buat persiapan untuk bertanding tercapai. Yang saya kecewa adalah kerana ada acara-acara terpaksa digugurkan (kerana kurang penyertaan),” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan kadar pertumbuhan syarikat industri sukan meningkat 30 peratus dalam tempoh 10 tahun lagi.

    Beliau berkata, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan nilai industri sukan Malaysia pada 2017 adalah RM18.8 bilion dengan penglibatan 36,511 tenaga kerja, yang beliau percaya ia semakin meningkat.

    EISKL 2022 akan berlangsung bermula 6-8 Okt ini di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.- BERNAMA

  • [VIDEO] Bella hadir ke Mahkamah tampil seperti ‘Elsa’

    [VIDEO] Bella hadir ke Mahkamah tampil seperti ‘Elsa’

    REMAJA perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir di Mahkamah bagi tujuan prosiding untuk memberi keterangan pada hari ini.

    Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan ialah penampilan Bella ketika hadir ke Mahkamah yang dilihat mengenakan gaun berwarna biru serta mahkota dan tongkat seperti Puteri Elsa di dalam filem animasi terkenal, Frozen.

    Video berdurasi 41 saat yang dikongsi oleh @firdausashaj di Instagram memaparkan aksi Bella mengambil gambar dengan beberapa orang di Mahkamah.

    Perkongsian itu turut dibanjiri komen warganet yang memberi pujian serta sebak melihat remaja itu terus kuat berjuang menegakkan keadilan dibantu beberapa orang aktivis dan peguam, lapor Satu Berita.

    Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Pembantu tadbir tidak mengaku salah dapatkan suapan untuk syarikat milik anak

    Pembantu tadbir tidak mengaku salah dapatkan suapan untuk syarikat milik anak

    SEORANG pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas lima pertuduhan mendapatkan suapan bagi membolehkan syarikat milik anaknya dipilih sebagai pembekal perkhidmatan dan beberapa barangan dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Zulkrnin Abdul Rashid, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Zulkrnin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pembantu tadbir gred N22 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai untuk mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise melalui lima nota minta bernilai RM8,890.

    Antaranya adalah perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok ke ILP Arumugam Pillai bernilai RM550.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa mengesyorkan syarikat sama bagi kerja pembekalan poster Covid-19 untuk kegunaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan peralatan pencegahan dan SOP pandemik Covid-19 di ILP Arumugam Pillai yang masing-masing bernilai RM950 dan RM4,790.

    Dia juga dituduh menggunakan kedudukannya bagi membolehkan syarikat anaknya itu membekalkan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM600 serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan berjumlah RM2,000.

    Kesemua kesalahan itu didakwa melakukan kegiatan terbabit di ILP Arumugam Pillai bermula Februari sehingga Julai 2020.

    Mohd. Zulkrnin didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1)) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau lima kaki ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi kes sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah pada 2005.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 69 tahun itu yang pernah bertugas di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    “Lelaki itu disyaki menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi untuk mendapatkan suapan.

    “Suapan tersebut merupakan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

    Tambah sumber, suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    “Jaminan itu diberikan atas faktor umur dan kesihatan dirinya,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.

    “Kami masih menyiasat kes tersebut di bawah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    PENJAWAT awam diberi cuti maksimum lima hari setahun untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan diluluskan.

    Free Malaysia Today melaporkan, menerusi pekeliling dikeluarkan pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kemudahan cuti tanpa rekod itu bagi menggalakkan penjawat awam melaksanakan “kegiatan atau kerja-kerja kemasyarakatan dalam negara”.

    Ketika ini, kategori cuti tanpa rekod untuk kakitangan kerajaan adalah termasuk tiga hari untuk kematian ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, 90 hari cuti bersalin, tujuh hari untuk bapa apabila isteri bersalin dan 14 hari untuk guru.

    Selain itu, mereka layak mendapat cuti tahunan antara 20 dan 30 hari, bergantung kepada kategori pekerjaan dan tahun perkhidmatan mereka.

    Shafiq berkata mereka yang layak mesti menyertai aktiviti khidmat masyarakat secara sukarela yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

    “Pertubuhan yang diluluskan bermaksud pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau pertubuhan yang mempunyai akta penubuhan sendiri/ undang-undang khusus yang lain atau yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 atau Akta Syarikat 2016.

    “Kemudahan ini tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Sekiranya aktiviti itu kurang daripada empat jam, pegawai hendaklah menggunakan Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di Bawah Perintah Am,” katanya.

    Beliau berkata permohonan untuk cuti khidmat masyarakat perlu disokong dengan surat daripada pertubuhan berkenaan, dengan memberi butiran aktiviti terbabit, dan diluluskan oleh ketua jabatan.

    “Kemudahan cuti tanpa rekod ini diperuntukkan kepada pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak,” katanya.

  • Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH diakui sebagai ‘swing state’ dalam arena politik tanah air kerana pimpinan kerajaan negerinya boleh dikatakan sentiasa bertukar mengikut citarasa rakyatnya atau lebih tepat para pengundi.

    Bukan sekadar bertukar antara satu parti ke parti yang lain, namun dalam parti yang sama juga Menteri Besar yang dilantik mereka jarang dapat bertahan lama sehingga berpenggal-penggal di puncak pemerintahan.

    Walaupun perkara itu ada sudut positifnya, namun terdapat beberapa urusan tidak sempat dilaksanakan kerana seperti sedia maklum tukar seseorang Menteri Besar, maka tukarlah polisi dan corak pentadbirannya. Justeru, menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang belum ada bayangan tarikh sebenar, semua parti yang bertanding di Kedah boleh berangan-angan untuk memilih calon mereka menjadi Menteri Besar walaupun di atas kertas peluang Pas lebih cerah.

    Jadi bagi Barisan Nasional (BN) Kedah khususnya UMNO, tidak ada salahnya mereka juga berangan perkara yang sama, cuma ramai yang sangsi dan sering bertanya siapa calon mereka untuk menjadi Menteri Besar andai kata berupaya bentuk kerajaan.

    Ramai yang kata, setakat ini mereka tidak nampak pemimpin UMNO mana yang ada kaliber untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Kedah yang kini sedang mencatat pelaburan berbilon-bilion ringgit seperti dilakukan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada Pas.

    Untuk rekod, BN dan UMNO Kedah kini diketuai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum beliau kalah pada PRU-14 lalu di Parlimen Jerai.

    Timbalan beliau, Datuk Othman Aziz yang pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kewangan dahulu pun kalah di Parlimen Jerlun kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Seorang lagi bekas Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah juga kalah ketika cuba mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti pada pilihan raya itu. Maka, siapa lagi calon berpotensi yang UMNO miliki untuk dinamakan sebagai Menteri Besar seandainya mereka menang.

    Meskipun Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Naib Presiden UMNO ketika ini, namun Menteri Pembangunan Luar Bandar itu dilihat lebih selesa sebagai ‘federal man’ walaupun beliau turut pernah menjadi Menteri Besar pada 2005 hingga 2008.

    Tidak tahulah kalau BN Kedah juga mahu ikut langkah Johor apabila melantik Menteri Besar bukan dalam kalangan orang yang ada jawatan tinggi dalam parti dan lebih muda. Tetapi tetap persoalannya, siapa?

    Atau mungkin juga BN merasakan Kedah bukan lagi negeri sasaran mereka selepas melihat pencapaian demi pencapaian dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah diketuai Pas ketika ini, maka mereka tidak kisah sangat untuk ‘polish’ calon Menteri Besar.

  • 40 kes rasuah Zahid Hamidi diketahui esok

    40 kes rasuah Zahid Hamidi diketahui esok

    NASIB Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada dibebaskan atau diperintah bela diri atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui esok.

    Keputusan akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujahan lisan selama empat hari bermula 1 September lalu.

    Sinar Harian melaporkan, dalam kes itu, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

    Pasukan pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid pula dibarisi peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

    Sebelum membuat keputusan, mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak 107 eksibit kes dan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

    Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Presiden UMNO ini akan diperintah untuk membela diri.

    Namun, jika keadaan sebaliknya berlaku, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

    Perbicaraan kes ini berlangsung selama 29 hari bermula 24 Mei 2021 manakala prosiding selesai pada 11 Ogos lalu.

    Susulan itu, pihak pendakwaan menutup kes ini selepas memanggil 18 saksi, antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

    Berbeza dengan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, prosiding rasuah berhubung Sistem VLN membabitkan Ahmad Zahid kurang diselitkan dengan plot-plot kontroversi.

    Jika ada sekalipun, prosiding hanya tertangguh disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), saksi dijangkiti Covid-19 dan Ahmad Zahid perlu menerima rawatan sakit leher serta belakang di luar negara.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi kes ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

    Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Bagi semua pertuduhan, Ahmad Zahid dibebaskan atas jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan satu pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya sebanyak Euro 15,000.

    Namun pada 16 Jun lalu, pendakwaan meminda pertuduhan ketiga kes itu daripada Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

    Ini menyebabkan pertuduhan itu dibaca semula dan Ahmad Zahid mengulangi pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Dalam prosiding terdahulu, antara yang menarik perhatian ialah kenyataan Siong Sun, bahawa catatan ‘monster, ‘young boy’ dan ‘yb’ dalam lejar syarikat merujuk kepada Ahmad Zahid.

    Siong Sun berkata, nama kod itu dibuat kerana bimbang jika lejar itu terdedah kepada orang lain.

    Ketika membaca pernyataan saksinya, Siong Sun berkata, rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Ahmad Zahid sejak 2014 hingga 2018 telah disimpan untuk rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat adalah besar.

    Sementara Vui Khiun pula menyatakan, bahawa ‘KJ’ dan ‘bomoh’ adalah antara perkataan yang direkodkan dalam lejar UKSB yang dibentangkan dalam perbicaraan rasuah itu.

    Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah bersifat terpilih apabila kes rasuah berkaitan kontrak syarikat UKSB di Mahkamah Tinggi hanyalah melibatkan sumbangan politik.

    Hisyam yang mengetuai pasukan pembelaan mempertikaikan, jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan, nama-nama yang disebut oleh saksi dalam kes ini juga, perlu disiasat.