DUA kanak-kanak lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumahnya di Kampung Teras Jernang, Kajang dalam kejadian petang semalam.
Lapor Sinar Harian, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah terbabit sedang bermain air di luar rumah selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.
“Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.
“Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.
“Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian hari ini,
Dalam pada itu, Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa ketika ini masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat sini.
Ujarnya, buat masa ini, pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.
“Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.
Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.
PIHAK sekolah perlu merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang notis pemakluman atau peringatan mengenai insiden yang dikaitkan dengan kes cubaan menculik murid kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengingatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk memberitahu pihak sekolah agar merujuk pihak polis sebelum mengeluarkan notis berkenaan.
“Kita tak nak notis yang dikeluarkan oleh sekolah nanti menimbulkan kerisauan penduduk. Niat sekolah keluarkan notis memang baik namun kadang-kadang peringatan itu boleh diambil dalam konteks berbeza yang menimbulkan kerisauan tidak berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran pihak pengurusan sekolah mengeluarkan notis peringatan mengenai kes culik di kawasan persekolahan.
Perkara sedemikian didakwa mencetuskan rasa panik dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, ditambah dengan video tular kononnya berlaku cubaan culik tanpa diperiksa kesahihannya.
Radzi berkata pihak sekolah secara umumnya turut menerapkan aspek keselamatan murid agar tidak mendekati orang tidak dikenali.
“Penjagaan keselamatan adalah sebahagian daripada perkara yang sentiasa kita buat termasuk keselamatan lalu lintas, sebagai contohnya,” katanya.
Mengenai Kompleks Sekolah Presint 15, pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan itu menelan belanja RM121 juta dan dijangka siap pada Ogos 2025.
“Ini merupakan kompleks pertama untuk penduduk di Presint 15, sebelum ini di Presint 15 tiada sekolah rendah mahupun menengah.
“Dengan pembinaan kompleks ini yang mengandungi 36 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 (sekolah menengah) ia tentunya akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar,” katanya dan menambah kompleks tersebut berkeluasan 5.9 hektar. – BERNAMA
POLIS sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.
Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.
“Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.
“Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata pemeriksaan oleh Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.
Beliau berkata siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.
“Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- BERNAMA
GRED Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54 yang akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Guru Besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) juga tidak lagi akan diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).
“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.
Perdana Menteri berkata isu Gred Guru Besar di sekolah rendah yang hanya dihadkan kepada Gred DG48 dan Guru Penolong Kanan pada Gred 44 sebelum ini, merupakan antara yang dibangkitkan NUTP kepadanya secara peribadi.
Ismail Sabri berkata Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.
Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48 juga akan diberi peluang dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah rendah, justeru Guru Penolong Kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja.
Menurutnya Guru Penolong Kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi juga akan kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54.
Perdana menteri turut mengumumkan laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah juga diperluas sehingga ke Gred DG52 dan DG54 memandangkan 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.
Mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas komitmen padu diberikan guru terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Ismail Sabri memberi jaminan keluh-kesah para pegawai perkhidmatan pendidikan akan sentiasa didengar kerajaan.
“Ketahuilah, kerajaan amat menghargai pengorbanan semua guru…Sesungguhnya tanpa guru, saya juga tidak mungkin berada di sini, di hadapan warga NUTP sekalian hari ini. Syabas dan tahniah diucapkan!” katanya.
Pada masa yang sama, kerajaan juga menurutnya sedang berusaha mengatasi pelbagai isu membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera.
Beliau berkata kerajaan juga mengambil berat isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dan perkara itu diberi perhatian serius dalam Bajet 2023 yang akan dibentang Jumaat depan.
Katanya kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Masa depan negara terletak di tangan generasi muda yang menerima didikan guru-guru yang memikul tanggungjawab untuk melahirkan warga Keluarga Malaysia yang kreatif, inovatif sehingga mampu bersaing di pentas dunia.
“Oleh itu saya berharap agar guru-guru terus memainkan peranan yang diberikan dengan berkesan walaupun berdepan pelbagai cabaran, yang adakala membuat guru-guru berasa lelah dan kecewa seolah-olah usaha mereka tidak disokong serta dihargai,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru semua ibu bapa supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada guru dan pihak sekolah dalam menjayakan usaha mereka meningkatkan pencapaian akademik atau kokurikulum anak-anak.
“Sewajarnya, ibu bapa menggunakan saluran yang betul untuk mengatasi sebarang masalah berbangkit, sekali gus membantu menaikkan semangat dan motivasi guru-guru dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.- BERNAMA
KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing sehingga 26 Sept lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 436,613 kuota telah membuat bayaran levi.
KSM berkata mengambil kira 1.3 juta pekerja warga asing sedia ada serta bilangan kuota yang telah diluluskan sebanyak 541,315, jumlah itu telah hampir memenuhi permintaan industri untuk keperluan guna tenaga pekerja warga asing.
Katanya keperluan guna tenaga pekerja warga asing di Malaysia adalah dalam lingkungan 1.8 juta dan merupakan jumlah maksima yang pernah dicapai.
Dalam satu kenyataan hari ini, KSM berkata setakat ini terdapat 1.3 juta pekerja warga asing di sektor-sektor yang dibenarkan pengambilan dan penggajian pekerja warga asing, termasuk sektor informal.
Katanya pada masa yang sama, lebih 612,000 pekerja warga asing telah berdaftar dan lulus semakan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) di negara-negara sumber, manakala terdapat 228,321 pekerja warga asing atau bersamaan 37.3 peratus telah diluluskan Visa Dengan Rujukan oleh Jabatan Imigresen yang sedang menunggu masa untuk tiba di negara ini.
KSM berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak industri mengenai isu kemasukan pekerja warga asing, dan dimaklumkan bahawa industri seperti sektor perladangan yang telah diberikan kelulusan kuota, tidak akan membawa masuk guna tenaga pekerja warga asing secara sekali gus.
Katanya pengambilan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan majikan, kerana mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk membawa masuk pekerja warga asing selepas bayaran levi diselesaikan.- BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, boleh menolak nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Lapor Berita Harian, Pensyarah Undang-Undang dan Polisi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, menggariskan empat faktor yang boleh dijadikan asas kepada penolakan Seri Paduka untuk tujuan membubarkan Parlimen.
Pertama katanya, Perdana Menteri ketika ini tidak mewakili sebuah parti atau gabungan parti secara ‘solid'(kukuh), dengan amalan sebelum ini nasihat Perdana Menteri sudah dianggap mewakili Kabinet tanpa perlu dipersoalkan.
“Namun kini, jika Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota jemaah menteri yang mewakili kerajaan.
“Maka nasihat Perdana Menteri mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara kolektif sedangkan Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep ‘tanggungjawab bersama’ sepertimana di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebab penolakan kedua menurut laporan itu kata Dr Muhammad Fathi, sebagaimana keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak mustahil nasihat Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen juga ditolak berasaskan kepentingan awam.
“Kepentingan awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada musim tengkujuh dan faktor pembaziran jika PRU di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri.
“Faktor ketiga, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang mungkin tidak membubarkan Parlimen serta-merta walau pun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah seperti peruntukan Perkara 32,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor keempat penolakan pembubaran disebabkan rakyat terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan PRU sebelum urusan belanjawan negara tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan, serta risiko pembaziran akibat pilihan raya tidak serentak adalah satu langkah tidak popular dan bertentangan dengan sentimen umum rakyat.
“Sebarang tindakan Yang di-Pertuan Agong yang selari dengan kehendak rakyat sukar dipersoalkan walau pun ia kelihatan luar biasa,” katanya.
Maka, mengambil kira empat faktor itu, beliau menjangkakan tidak mustahil nasihat pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak, jika ia benar-benar berlaku.
“Adalah lebih baik bagi Perdana Menteri untuk mengutamakan keputusan Kabinet berbanding keputusan partinya.
“Jika Yang di-Pertuan Agong pernah menolak nasihat Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020, maka tidak mustahil baginda juga menolak pembubaran Parlimen jika dinasihati oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau mendakwa, sungguhpun Kabinet tidak setuju pembubaran dilaksanakan, namun tidak mustahil Perdana Menteri akan bertindak juga mengikut kehendak partinya yang mahukan Parlimen dibubarkan segera.
Katanya, jika mengikut konvensyen Perlembagaan dan kefahaman peruntukan Perlembagaan secara literal iaitu Perkara 55(2), Yang di-Pertuan Agong perlu membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40.
“Berbeza dengan pembubaran akibat hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) dan 40(2)(b) yang boleh dilakukan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dalam situasi pelbagai parti menguasai kerajaan negeri, katanya, maka langkah yang paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti berbeza berkaitan waktu pembubaran Parlimen dan DUN.
SERAMAI 300 orang bekas kakitangan Utusan Melayu (Utusan) hadir dalam majlis perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.
Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan.
Perjumpaan tersebut melambangkan soladiriti tertinggi bekas kakitangan Utusan kerana disertai bekas pekerja tanpa mengira pangkat dan status berhenti, sama ada diberhentikan selepas syarikat ditutup, peserta skim pemberhentian sukarela (VSS), kakitangan bersara wajib atau berhenti.
Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk mengumpulkan semula semua bekas pekerja Utusan dan menjalin silatulrahim sesama mereka.
“Walaupun syarikat Utusan Melayu telah tiada, namun sejarah, semangat dan jasa institusi itu tetap mengalir dalam diri setiap bekas pekerjanya,” kata Saifol Bakhtiar yang juga merupakan Yang DiPertua Badan Keluarga Utusan Melayu pada majlis tersebut yang diadakan di Jalan Utusan, Chan Sow Lin, di sini.
Selain itu, katanya, perhimpunan juga ingin memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara, terutama UMNO yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan dan yang mengambil VSS masih terabai selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019.
“Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup,” katanya.
Sehubungan itu, perhimpunan juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia (yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan) agar segera membuat bayaran wajib/statutori (mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja), pampasan dan juga tunggakan VSS yang telah bergantung sejak tiga tahun lepas.
“Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi baru-baru ini, ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan bernilayang dianggar bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual,” katanya.
Selain itu, tinjauan terhadap aset dan bangunan-bangunan milik Utusan Melayu yang bernilai ratusan ringgit di seluruh negara juga telah berpindah milik kerana bangunan atau pejabat-pejabat itu telah diruntuhkan dan sedang dibina semula oleh pemilik baru .
Bakhtiar berkata, sehubungan itu alasan UHY yang menyatakan banyak aset-aset Utusan masih tidak boleh dijual kerana COVID-19 dan syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan serta tunggakan VSS adalah tidak logik.
Katanya, perhimpunan itu juga mencadangkan agar kepimpinan negara ini yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam membela nasib bekas-bekas kakitangan Utusan yang pernah berkhidmat dengan akhbar yang sekian lama menjadi penyokong perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Semua kita tahu, Datuk Seri Ismail Sabri sudah tolong selesaikan isu tuntutan pampasan bekas pekerja Perwaja sebelum ini, dan kini kami berharap Datuk Seri dapat pula bantu kami bekas kakitangan Utusan,” kata Saifol Bakhiar.
Katanya, antara yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri adalah dengan memanggil pihak UHY dan wakil-wakil bekas pekerja untuk duduk berbincang mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu tuntutan tersebut dan seterusnya menyelesaikan kes tuntutan di mahkamah.
“Kami juga berharap agar pihak Mahkamah Tinggi dapat mempercepatkan proses perbicaraan yang sedang berlangsung dan dijalankan dengan pertimbangan yang paling adilberpandukan prinsip pembelaan pekerja-pekerja yang ditindas.,” tambahnya.
Hasil daripada pertemuan hari ini juga memutuskan satu jawatankuasa pasukan bertindak ditubuhkan dengan mempunyai wakil dari semua pihak kumpulan pekerja dan bersetuju untuk menubuhkan satu kelab alumni yang mewakili semua bekas kakitangan.
Untuk itu, satu memorandum akan diserahkan kepada pihak UHY bagi menyelesaikan segala tuntutan dan hal-hal berkaitan, di samping satu memorandum lagi pula akan dihantar kepada Perdana Menteri selepas ini.
Selain itu, bekas kakitangan juga akan mengunjungi pejabat Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agensi-agensi itu menyiasat jika terdapat sebarang salah laku pengurusan ketika proses penutupan syarikat Utusan Melayu, penjualan permit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada pemilik baharu, proses penjualan aset Utusan dan kelewatan pelikuidasi melakukan pembayaran yang sepatutnya kepada bekas kakitangan.
MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan;
‘’Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.
‘’Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.’’
Keputusan itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan itu sama sekali tidak mengejutkan sebaliknya sudah dijangka tetapi apa yang menarik perhatian ialah kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau yang kalah dalam PRU-14 lalu berkata;
‘’ Memang kita berbincang mengenai pilihan raya secara mendalam, kesediaan dan kekuatan parti sedang diukur. Kita akui ia (tarikh PRU) budi bicara Perdana Menteri, UMNO(dan kita) menghormati perkara itu.’’
Sudah pastilah mereka yang tidak menghadiri mesyuarat itu tidak tahu bilakah tarikh yang akan dipilih oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi apa yang pasti apabila UMNO menegaskan, ‘’pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini juga’’ – ia bermakna Perdana Menteri perlu memilih tarikh sekitar 7 Oktober hingga 31 Disember 2022.
Ismail Sabri tidak ada banyak pilihan walaupun beliau adalah Perdana Menteri kerana UMNO adalah parti kesayangannya dan sebagai seorang yang setia kepada parti, Ismail Sabri akan akur dengan kehendak parti. Pilihan raya tahun ini hanya dapat dielakkan jika ia tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang dianggap Raja berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan rakyat dalam segala perkara sudah pasti memiliki kebijaksanaan untuk mempertimbangkan wajar atau tidak, perlu atau tidak PRU-15 ‘diadakan pada tahun ini juga’ seperti mana kehendak UMNO. Ia memandangkan negara berhadapan dengan ancaman banjir berikutan fasa peralihan monsun bermula esok hingga November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Fasa Peralihan Monsun itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya pada 29 September lalu.
Muhammad Helmi berkata keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. Inilah kebimbangan rakyat yang sama sekali tidak peduli kenyataan UMNO bahawa PRU itu mahu ‘’memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19’’.
Ancaman banjir itu bukannya satu dongeng atau kebimbangan tidak bertempat sehingga ada pemimpin UMNO menyindir soal ‘ada ilmu kasyaf ke’, tetapi ia adalah fenomena yang berlaku saban tahun terutama di negeri-negeri pantai timur.
Dan paling membimbangkan, banjir kini bukan lagi popular di pantai timur tetapi juga ‘sudah merebak’ negeri-negeri lain.
METMalaysia juga menjangkakan jika banjir berlaku 10 juta rakyat akan terlibat. Negeri terlibat Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak. Selain itu Selangor, Kuala Lumpur dan utara Kedah juga dijangka dilanda banjir akibat perubahan cuaca.
Tahun lalu, 8 negeri terjejas akibat banjir, 70,000 hilang tempat tinggal dan lebih RM6.1 bilion kerugian dilaporkan.
Semua ini adalah fakta yang sepatutnya menjadi pertimbangan UMNO. Bukannya mahu mengadakan pilihan raya semata-mata kerana merasakan ini waktu terbaik memandangkan parti-parti lawan tengah lemah atau berkeceramuk.
Atas sebab itulah berdasarkan reaksi dan komen dalam media sosial selepas kenyataan media oleh Ahmad Maslan, majoriti rakyat menolak keghairahan UMNO mahu mengadakan pilihan raya.
Tengok sahaja reaksi rakyat ketika ‘live’ sidang media Ahmad Maslan, di situ sahaja kita dapat menilai apa sentimen rakyat. Di Twitter pula sudah ‘trending’ #UndiBanjir – sebagai protes menolak keghairahan UMNO mahukan PRU ketika musim banjir.
Sebab itulah mereka berharap Yang di-Pertuan Agong akan mempertimbangkan untuk menolak pembubaran Parlimen pada tahun ini. Bagaimanapun rakyat yakin kebijaksanaan Seri Paduka dalam menangani isu penting seumpama ini seperti mana ketika pandemik Covid-19 dahulu.
Mereka tidak faham kenapa UMNO beria-ia benar mahukan pilihan raya walaupun ancaman banjir menanti. Lagipun tarikh tamat tempoh mengadakan pilihan raya masih lambat lagi iaitu sehingga Julai tahun depan. Jadi kenapa UMNO kelam kabut sangat! Lagipun Ismail Sabri pernah meminta wartawan bertanya kepada rakyat, marah atau tidak, jika PRU semasa banjir. Kini beliau sudah pasti tahu reaksi rakyat!
Agak melucukan apabila Ahmad Maslan berkata, keputusan UMNO mahu mengadakan PRU tahun ini juga adalah ‘’ berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.’’
Kalau betullah UMNO begitu kukuh mahu memulangkan mandat rakyat atau sentiasa percaya kepada mandat rakyat, kenapa baru sekarang bercakap soal itu? Kenapa selepas UMNO yang kalah dalam PRU-14 bersedia berada dalam ‘dua kerajaan’ dengan dua Perdana Menteri berbeza?
Dulu bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin daripada Bersatu dan sekarang Ismail Sabri daripada UMNO, tetapi gabungan pembentukan kerajaan daripada ‘ramuan yang sama’. Kalau UMNO berpegang kepada MANDAT RAKYAT, tidak payahlah sertai kedua-dua kerajaan itu walaupun jawatan Perdana Menteri akan diberikan kepada mereka sekalipun. Bukankah MANDAT SEBENAR RAKYAT pada PRU-14 ‘MENOLAK UMNO/BN’’ tetapi parti itu akhirnya jadi kerajaan dan kuasai jawatan Perdana Menteri? Macam mana pula sekarang UMNO bercakap pasal MANDAT RAKYAT?
Kalau betul pegang MANDAT RAKYAT, sehebat manapun ajakan untuk tubuh kerajaan selepas kerajaan PH jatuh, UMNO wajib menolaknya dan bersedia kekal di blok pembangkang hingga penggal berakhir.
Kesimpulannya MANDAT RAKYAT hanyalah alasan UMNO yang tidak sabar-sabar lagi mahu kembali berkuasa. Itu sahaja. Tidak payahlah bermain dengan sentimen bahawa pilihan raya bertujuan mahu membentuk kerajaan yang stabil bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat.
Kalau kerajaan sekarang tidak stabil macam mana boleh rakyat sentiasa dibentangkan dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi ‘yang memberangsangkan’? Kalau tak stabil mesti pertumbuhan ekonomi pun tak berlaku? Kalau tak stabil, macam mana pula Ismail Sabri pernah berkata ‘’kerajaan stabil, tidak ada pertembungan besar antara parti dalam kerajaan’?
Dan kalau pilihan raya perlu untuk pulih ekonomi ekonomi, kenapa pemimpin UMNO ‘mengamuk’ bila Muhyiddin kata, Perdana Menteri gagal urus ekonomi? Oleh itu hentikanlah hujah-hujah dangkal tersebut bagi ‘menghalalkan’ hasrat UMNO mengadakan PRU tahun ini juga.
VIDEO tular pergaduhan melibatkan beberapa individu yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin bukan kejadian cubaan culik seperti didakwa beberapa pihak.
Sebaliknya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan perebutan hak penjagaan anak melibatkan ahli sebuah keluarga.
Jelasnya, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 1.30 petang yang mana seorang wanita yang juga warga emas mengadu cucunya yang berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantu perempuannya.
“Siasatan mendapati, video yang tular di media sosial yang pada mulanya disangka kes culik adalah kejadian berkaitan laporan yang diterima.
“Kejadian terbabit berlaku semasa kanak-kanak itu pulang dari sekolah dan perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak tahun 2013 selepas ibu dan bapa mangsa bercerai.
“Proses tuntutan hak penjagaan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu turut mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.
Selain itu tambah beliau, suspek turut membuat laporan polis menyatakan mangsa selamat dalam jagaannya.
“Suspek menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada peguamnya dan pihak polis untuk siasatan.
“Kita turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung video terbabit memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.
Sejak kelmarin, tular dua video yang masing-masing berdurasi satu minit tiga puluh saat yang memaparkan pergaduhan antara beberapa individu di hadapan SK Kepala Batas.
Menerusi video terbabit, kelihatan seorang wanita terjatuh ketika cuba mengejar seorang kanak-kanak perempuan yang dilarikan beberapa individu menaiki kereta.
Orang ramai dilihat turut cuba membantu menghalang kenderaan terbabit daripada meninggalkan lokasi kejadian.
CIRI-ciri perpaduan umat tidak akan lengkap sekadar membabitkan dua entiti politik berteraskan Melayu dan Islam semata-mata, tegas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Lapor Berita Harian, Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan kumpulan Islam tidak hanya membabitkan Pas dan UMNO tanpa penyertaan BERSATU dan entiti lain, begitulah juga tidak hanya Pas dan BERSATU tanpa UMNO dan lain-lain.
Sehubungan itu katanya, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah
“Kalau hanya PAS dan UMNO sahaja atau PAS dan BERSATU sahaja, maka tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna.
“Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia.
“Adapun kumpulan Islam yang memimpin tidak boleh terikat kepada satu-satu bangsa sahaja,” katanya menerusi catatan Minda Presiden di Facebooknya, hari ini.
Abdul Hadi dalam laporan itu berkata, Pas wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.
Beliau berkata langkah itu bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada berbagai-bagai jemaah atau parti.
Ia kemudiannya, disertai kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.
Abdul Hadi turut menempelak pihak yang berada dalam dilema mengenai kefahaman terhadap Pas yang beraqidah Islam bersifat universal, pada masa yang sama turut memperjuangkan kebangsaan Melayu dan Bumiputera.
Beliau berkata sikap yang menimbulkan persoalan sehingga menimbulkan keraguan terhadap Pas yang membawa agenda perpaduan umat, malah dikatakan Pas memasuki semua kolam, kecuali kolam yang banyak buaya atau binatang berbisa.
“Aqidah Islam yang berbeza dengan ideologi, perlu dirujuk kepada huraian al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah yang mentafsirkannya.
“Kedua-dua sumber itu adalah rujukan tertinggi dalam Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan Pas,” katanya.
Sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan berkata kepemimpinan Pas masih mengharapkan dapat memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
Tegasnya, parti itu tidak berganjak daripada agenda perpaduan ummah di negara ini.
Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PAS akan memuktamadkan hala tuju sama ada mengekalkan kerjasama dengan PN atau masih ada persefahaman dengan UMNO, menjelang PRU-15.
Presiden BERSATU itu dilaporkan berkata bayangan itu diberikan oleh Abdul Hadi pada pertemuan dengan kepemimpinan BERSATU.