Category: Semasa

  • Notis bankrap difailkan terhadap Norjuma

    Notis bankrap difailkan terhadap Norjuma

    SYARIKAT Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed.

    Lapor Harian Metro, peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 15 Ogos lalu.

    Menurutnya, ia bagi menuntut Norjuma membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    “Jika beliau gagal membayar, pihak kami akan failkan petisyen untuk bankrap ke atasnya,” katanya.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan usaha untuk menahan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah gagal selepas dia tiada di kediamannya.

    Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

  • Ada mangsa sindiket tipu kerja enggan pulang

    Ada mangsa sindiket tipu kerja enggan pulang

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan ada mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja enggan pulang ke tanah air walaupun kerajaan komited membawa mereka pulang.

    Bagaimanapun beliau dalam laporan Free Malaysia Today berkata, sebab mengapa mereka tidak mahu pulang tidak boleh didedahkan di Dewan Rakyat.

    Tambahnya, mangsa sindiket berkenaan juga ditipu dengan ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan ketika bercuti di negara terbabit, menyebabkan mangsa terpedaya.

    “Ada yang pergi bercuti tetapi ditipu untuk bekerja. Ada juga segelintir mangsa tak nak balik, mengapa tak nak balik yang ini saya tak dapat nak cerita dalam Dewan mulia ini, tetapi kita sentiasa nasihat rakyat Malaysia.

    “Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga sudah mula memanjangkan pesanan-pesanan supaya rakyat malaysia jangan terpengaruh (sindiket pekerjaan),” katanya di Dewan Rakyat.

    Beliau menjawab soalan tambahan Fasiah Fakeh (PN-Sabak Bernam) berhubung jaminan keselamatan bagi mangsa sindiket yang masih terkandas di negara terbabit.

    Saifuddin berkata, setakat ini seramai 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand sudah diselamatkan.

    Jumlah itu membabitkan 171 orang mangsa yang sudah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.

    Tambahnya, seramai 88 lagi mangsa sindiket berkenaan masih dikesan menjadi keseluruhan mangsa dari April hingga September tahun ini seramai 349 orang.

    Beliau turut menolak laporan mendakwa terdapat lebih 3,000 mangsa penipuan sindiket pekerjaan ketika ini masih tidak dapat dikesan.

    “Angka itu terlalu besar, saya kira ia mengambil kira angka yang dulu ketika saya menjadi Menteri Luar untuk kali pertama,” katanya.

    Bulan lalu, FMT melaporkan pendedahan seorang mangsa sindiket penipuan kerja bahawa ada dua lelaki warga tempatan mati ditembak dan beberapa wanita pula dipaksa menjadi pelacur ketika mereka ditahan sindiket berkenaan di Kemboja.

    Mangsa dikenali sebagai Osman mendakwa, lelaki berketurunan India itu dibunuh dan beberapa wanita Melayu dipaksa menjadi pelacur, selain dipaksa menghisap syabu selepas gagal mencapai sasaran menipu secara dalam talian.

  • Tiga lelaki disyaki penyeludup minyak ditahan ubah suai tangki bot

    Tiga lelaki disyaki penyeludup minyak ditahan ubah suai tangki bot

    Oleh BADLISHAH MAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki tempatan selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan.

    Bot pukat tunda digunakan suspek

    Ketiga-tiga mereka yang berusia 22 hingga 58 tahun itu ditahan bersama bot berkenaan di kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar berhampiran Kuala Kedah di Kedah, pada pukul 2.30 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka dihampiri bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kedah. Ketika pemeriksaan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

    “Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua tangki minyak yang telah diubahsuai dan mengesyaki bot berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan bersama bot terbabit sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen yan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    PELANTIKAN KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Putrajaya.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft (sebelum ini bernama Entomo).

    “Satu-satunya dokumen yang wujud ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dan KPISoft,” katanya dalam satu kenyataan yang dilapor Free Malaysia Today.

    Menurut Wong, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

    Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    “Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” Tambah kenyataan PAC itu.

  • Muat naik video sumbang: Zul Ariffin didenda RM30,000

    Muat naik video sumbang: Zul Ariffin didenda RM30,000

    PELAKON Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagram miliknya pada Mac lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia membuat pengakuan itu.

    Zul didakwa memuat teaser klip ‘babak panas’ itu untuk siri yang akan ditayangkan di televisyen bertajuk “Perempuan Itu” pada 18 Mac.

    Siri itu dijadualkan untuk disiarkan semasa bulan puasa umat Islam pada bulan April.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Zul Ariffin tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam dan memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka, selain diiringi peguam dan rakan.

    Kira-kira 10 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.30 pagi tadi untuk membuat liputan kes pelakon berusia 36 tahun itu.

    Media sebelum ini melaporkan kontroversi timbul apabila pelakon itu didakwa kongsikan video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri, dalam Instagram, baru-baru ini.

    Tindakan memuat naik ‘teaser’ drama berkenaan mengundang kecaman warga maya, selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

  • Wan Saiful mungkin bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU-15

    Wan Saiful mungkin bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU-15

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilapor bakal dicalonkan mewakili parti bertanding di Parlimen Lembah Pantai dan Jerlun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun sebelum ini diperkatakan akan bertanding di Kubang Pasu.

    Menurut sumber dalaman parti, pencalonan Wan Saiful dibuat ketua bahagian Bersatu kedua-dua kawasan berkenaan selepas dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang jika bertanding antara dua kerusi itu.

    “Bila dekat pilihan raya umum (PRU)…pembahagian kerusi itu berlaku pantas dan tidak semestinya buat kempen dekat kawasan dia (Kubang Pasu), akan dapat kerusi itu…ada beberapa ketua bahagian (Bersatu) mencalonkan Wan Saiful untuk bertanding di Jerlun dan Lembah Pantai,” kata sumber itu kepada FMT.

    PKR mengekalkan kerusi di Lembah Pantai yang dimenangi sejak 2008 menerusi calonnya, Fahmi Fadzil dengan majoriti 5,598 undi pada PRU14.

    Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mewakili Bersatu memenangi kerusi Parlimen Jerlun, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Othman Aziz dan PAS, Abd Ghani Ahmad, dengan majoriti 5,866 pada PRU14. Namun kini, Mukhriz telah menyertai parti Pejuang dan berkemungkinan mahu mempertahankan kerusi Jerlun pada PRU15.

    Dalam pada itu, sumber itu berkata, peluang Wan Saiful memenangi satu daripada dua kerusi berkenaan berdasarkan rekod pencapaian terbaik ketika menerajui PTPTN, di samping menyumbang idea dari segi tadbir urus baik ketika berada dalam IDEAS.

    Selain itu katanya, tahap sokongan Pejuang di Jerlun dan Fahmi yang mewakili PKR merosot berdasarkan kajian dibuat.

    “Mukhriz mungkin pertahan kerusi dia di Jerlun atau pindah ke Kubang Pasu. Berdasarkan kepada kajian dalaman Bersatu, sokongan terhadap Pejuang kurang dan aura anak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi relevan,” katanya.

    Tambahnya, pengundi di Jerlun lebih sukakan konsep penyatuan Ummah antara PAS dengan Bersatu di situ.

    Sumber itu juga berkata di Lembah Pantai, kajian dibuat menunjukkan rata-rata pengundi mahu memberi peluang kepada parti lain selain PKR yang sudah tiga penggal menerajui di situ.

    Menurutnya, ini ditambah lagi dengan penolakan sentimen ideologi kiri yang didakwa Wan Saiful sebelum ini diperjuangkan PKR dalam gabungan PH dipengaruhi ideologi DAP.

    Katanya, imej PKR juga merosot sejak kekalahan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    “Sudah tiba masanya pengundi-pengundi di kawasan bandar beralih sokongan kepada perjuangan ‘right centre’, mewakili kuasa politik Melayu,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, apa-apa keputusan untuk mencalonkan pemimpin tertakluk kepada keputusan tertinggi parti, dan Wan Saiful sedia bertanding di mana-mana kawasan termasuk dua kerusi itu.

  • Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau menegaskan, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    ‘’ Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga turut menegaskan,  Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

    ‘’Ia,bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan,’’ katanya.

    Kenyataan Abdul Hadi berhubung kedua-dua isu menarik perhatian memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus diadakan pada tahun ini.

    Manakala dalam soal perpaduan ummah, Pas dilihat berhadapan dengan cabaran memandangkan pertembungan antara UMNO dan Bersatu.

  • Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun maut didera pengasuh di Taman Skudai, Johor Bahru, semalam.

    Polis menerima maklumat kejadian itu daripada bapa mangsa yang bertindak membuat laporan polis pukul 10 malam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, aduan itu dibuat bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada kenalan bapa mangsa yang juga suspek.

    “Susulan daripada laporan diterima itu, suspek berusia 28 tahun dan pembantu rumah warga asing 40 tahun ditahan hari ini.

    “Mangsa dan adik lelakinya berusia setahun dihantar untuk dijaga oleh suspek dengan bayaran RM2,800 sebulan. Bapa mangsa bekerja di Singapura manakala ibunya bekerja di Yong Peng.

    “Kedua-dua kanak-kanak ini telah dijaga hampir tiga bulan oleh suspek dan juga pembantu rumah. Suspek juga mempunyai dua orang anak berusia tujuh hingga lima tahun,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, malam ini.

    Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dipercayai terdapat beberapa luka dan lebam di beberapa anggota mangsa dipercayai akibat didera namun tiada kecederaan pada pada adik mangsa.

    Menurut beliau, polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk rakan dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Kamarul Zaman berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat yang siasat akan dilakukan esok.

    Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai jurujual mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman kedua suspek di mahkamah esok, katanya.

    “Siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan dalang yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke pengadilan,” katanya.

  • Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan warga Indonesia terapung lebih 15 jam di laut selepas terjatuh dari bot nelayan tempatan di perairan Pulau Sibu, Mersing malam tadi.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 8 malam.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander (Maritim) Khairul Nizam Misran berkata, IPD berkenaan menerima aduan daripada pemilik bot nelayan warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66, memaklumkan seorang pekerjanya dikenali sebagai Catur, 40 tahun, terjatuh dalam laut.

    “Kali terakhir mangsa dilihat atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh laut pada kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan itu katanya, maklumat disalurkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan sekitar jam 11.50 malam.

    Nelayan warga Indonesia yangv terjatuh dalam laut pada malam tadi ditemukan selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi

    Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

    Katanya, operasi tersebut melibatkan 30 anggota kesemuanya dengan keluasan sektor pencarian di laut adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.

    “Mangsa ditemui bot Perikanan PL 87 dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya.

    Menurut beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut.

    “Mangsa dipercayai jatuhdan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh pada jam 8 malam tadi,” katanya.

    Pihak maritim katanya, merakamkan penghargaan kepada PPM, DOF, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Maritim Tanjung Sedeli dan semua pihak yang terlibat dalam berkenaan.

    Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kejadian dan kecemasan di laut menerusi talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199401.

  • Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Johor semakin berkurangan kepada 113 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 malam tadi.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bilangan tersebut berbeza dengan 264 orang daripada 76 keluarga keluarga yang dicatatkan di empat PPS pada pukul 4 petang.

    “Jumlah tersebut berkurangan selepas semua 159 orang daripada 41 keluarga di Kampung Melayu Bukit Batu, daerah Kulai dibenarkan pulang.

    “PPS yang menempatkan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu turut ditutup pada jam 8 malam ini,” menurut kenyataan itu.

    APM Johor memberitahu, 75 mangsa banjir lagi adalah dari Kampung Tengah, Renggam dan Kampung Sungai Linau (Kluang) masih ditempatkan di dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau.

    Tambah kenyataan itu, selebihnya iaitu 38 mangsa banjir adalah dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti (Pontian) yang ditempatkan di PPS SK Melayu Raya.