Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun maut didera pengasuh di Taman Skudai, Johor Bahru, semalam.

Polis menerima maklumat kejadian itu daripada bapa mangsa yang bertindak membuat laporan polis pukul 10 malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, aduan itu dibuat bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada kenalan bapa mangsa yang juga suspek.

“Susulan daripada laporan diterima itu, suspek berusia 28 tahun dan pembantu rumah warga asing 40 tahun ditahan hari ini.

“Mangsa dan adik lelakinya berusia setahun dihantar untuk dijaga oleh suspek dengan bayaran RM2,800 sebulan. Bapa mangsa bekerja di Singapura manakala ibunya bekerja di Yong Peng.

“Kedua-dua kanak-kanak ini telah dijaga hampir tiga bulan oleh suspek dan juga pembantu rumah. Suspek juga mempunyai dua orang anak berusia tujuh hingga lima tahun,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, malam ini.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dipercayai terdapat beberapa luka dan lebam di beberapa anggota mangsa dipercayai akibat didera namun tiada kecederaan pada pada adik mangsa.

Menurut beliau, polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk rakan dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Kamarul Zaman berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat yang siasat akan dilakukan esok.

Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai jurujual mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman kedua suspek di mahkamah esok, katanya.

“Siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan dalang yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke pengadilan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here