Category: Semasa

  • Penganggur ‘mengamuk’ didenda RM10,000

    Penganggur ‘mengamuk’ didenda RM10,000

    SEORANG lelaki didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik abang serta kakaknya, September lalu.

    Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.

    Dia yang tidak bekerja dituduh sengaja melakukan khianat iaitu dengan cara mengambil pasu bunga, lalu menghempas pada cermin kereta milik abangnya, Noor Hadi, 53, dan kakak, Nor Baiza, 49, sehingga menyebabkan cermin pecah serta mangsa kerugian RM25 atau lebih.

    Kesalahan dilakukan di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam pada 4 petang, 25 September 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Keseksaan.

    Di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, tertuduh turut mengaku bersalah memasukkan dadah jenis THC, Amphetamine, Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 26 September 2022.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan dan tertuduh dibenar diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu, Norazizul juga berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota polis, Mohd. Ridzuan Marsudi, 32, dengan menggunakan parang yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.

    Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perintah tambahan, dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

    Terdahulu, semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman, Saidah Fasihah Che Yusoff dan S. Reetha.

  • Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    TARIKH baharu pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 14 November hadapan.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, semasa pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron tadi, peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa mereka masih belum mendapatkan rekod rayuan.

    Poh berkata, peguam itu juga memohon supaya rayuan anak guamnya terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar itu, didengar dahulu.

    “Saya memberitahu pendaftar bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap rayuan Rosmah supaya hakim menarik diri itu didengar terlebih dahulu,” kata Poh ketika dihubungi.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 November untuk pengurusan kes seterusnya bagi menyemak pemfailan petisyen rayuan.

    Bagaimanapun, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu bahawa mereka masih belum memfailkan petisyen rayuan.

    Pada 1 September lalu, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September.

    Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes itu.

  • Saksi jumpa Jho Low di rumah Najib

    Saksi jumpa Jho Low di rumah Najib

    BEKAS Pengarah Bukan Eksekutif AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa beliau menemui ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Kenny Hill, Bukit Tunku, pada 2011 lalu.

    Cheah Tek Kuang, 75, berkata demikian semasa prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Menurut saksi pendakwaan ke-39 itu, kedatangannya ke rumah pemimpin UMNO itu adalah bagi membincangkan urusan pembukaan akaun baharu.

    “Setibanya di sana, saya nampak ada beberapa kereta, Jho Low juga ada dalam salah sebuah kenderaan itu.

    “Saya tidak tegur dia, kami kemudiannya dibawa ke bilik berasingan,” katanya ketika soal balas daripada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lapor Sinar Harian.

    Tek Kuang berkata, memandangkan Jho Low tidak terbabit dengan AmBank, beliau kurang mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi malah mereka hanya bertemu beberapa kali.

    Meskipun begitu, beliau berkata, Jho Low mempunyai satu tabiat tiba lambat dalam satu-satu majlis.

    Muhammad Shafee: Selain rumah Najib, di mana anda bertemu dengan Jho Low.

    Tek Kuang: Majlis sosial, mesyuarat mungkin juga minum petang.

    Muhammad Shafee: Anda tahu, Jho Low ada tabiat beri hadiah. Adakah dia beri hadiah pada anda?

    Tek Kuang: Tidak, tidak, saya tidak perlukan hadiah.

    Muhammad Shafee: Bagaimana dengan telefon pintar, Blackberry?

    Tek Kuang: Tidak, saya ada telefon sendiri, Nokia.

    Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

  • Mahkamah syariah arah Anggota Hizbut Tahrir lantik peguam

    Mahkamah syariah arah Anggota Hizbut Tahrir lantik peguam

    SEORANG anggota Hizbut Tahrir Malaysia diarahkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini untuk melantik peguam kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran itu.

    Hakim, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin memberi tempoh itu kepada tertuduh, Jamaluddin Maidin Syed, 46, dari Seremban bagi membolehkan pendakwaan diteruskan terhadapnya.

    Sepatutnya hari ini, prosiding terhadap tertuduh akan bermula mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

    Jamaluddin berkata, dia akan melantik peguam namun membantah bon jaminan yang diberikan kepadanya sebelum ini.

    Bagaimanapun Kamal Bashah meminta tertuduh menyatakan ketidakpuasan hati itu melalui peguamnya untuk disebut dalam prosiding akan datang.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 November pukul 9.30 pagi.

    Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Suhaizad Saifuddin.

    Terdahulu, Jamaluddin yang memakai baju kameja berpetak dan berkopiah tiba di pekarangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan pada pukul 9.20 pagi dengan ditemani beberapa pengikut ajaran Hizbut Tahrir.

    Media pada Oktober tahun lalu melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan lelaki berkenaan di pejabat penguat kuasa jabatan itu pada 27 Oktober.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, Jamaluddin ditahan kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

    “Turut ditahan, isteri Jamaluddin yang berusia 46 tahun serta anak perempuan berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Bandar Seremban Selatan di Seremban.

    “Mahkamah Syariah membenarkan jaminan setiap seorang RM2,500 dengan seorang penjamin,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dua subkontraktor LCS saman Boustead

    Dua subkontraktor LCS saman Boustead

    DUA subkontraktor yang terbabit dalam projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) bertindak memfailkan saman terhadap Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Memetik laporan Berita Harian, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, BHIC berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 September oleh syarikat 51 peratus miliknya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) .

    Saman itu menamakan pengarah nominee BNS, BHIC, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (BHICDT) dan BHICDT, Salihin Abang dan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

    Di bawah writ saman dan pernyataan tuntutan (WCCS), CAD dan CED mendakwa bahawa keputusan BNS untuk menarik balik 12 surat anugerah (LoA) untuk projek LCS adalah tidak sah.

    Syarikat berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asli (OEM) untuk frigat tentera laut.

    LoA dilaporkan telah dibatalkan oleh BNS pada bulan lalu berikutan dakwaan salah laku dan urus niaga palsu.

    CAD menuntut RM880,068.21, 39.87 juta euro, 3.78 juta pound British dan 55.94 juta kronor Sweden dalam dakwaan jumlah tertunggak daripada BNS, manakala CED menuntut RM216 juta.

    BHIC menguasai 27.77 peratus kepentingan dalam BNS, kontraktor Kementerian Pertahanan, untuk membina enam frigat di bawah program LCS.

    Penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan percanggahan dan kelewatan dalam projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion sejak 2017.

    Kontrak itu telah diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, tetapi tidak satu pun LCS telah diserahkan setakat ini.

    Menurut laporan yang didedahkan oleh jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, kos untuk menyiapkan enam LCS mungkin meningkat kepada RM11.145 bilion.

  • Suruhanjaya Tenaga jalankan siasatan insiden dua beradik maut direnjat elektrik

    Suruhanjaya Tenaga jalankan siasatan insiden dua beradik maut direnjat elektrik

    SURUHANJAYA Tenaga (ST) memandang serius berkaitan dengan kemalangan elektrik yang meragut dua nyawa di Kampung Teras Jernang, Kajang, baru-baru ini.

    Berikutan insiden itu, ST sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

    ST dalam kenyataan berkata, jika didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

    “Sehubungan itu, ST menasihati orang ramai supaya cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman.

    “Orang ramai perlu memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan dengan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti wayar servis elektrik terjuntai atau menyentuh bumbung rumah,” katanya, lapor Harian Metro.

    ST berkata, sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian atau penyenggaraan rumah, beberapa langkah hendaklah dititikberatkan.

    “Jangan usik atau mengalihkan mana-mana pepasangan utiliti. Hubungi pihak utiliti bekalan elektrik.

    “Lantik kontraktor yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.

    “Lantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik secara berkala dan membuat penggantian sekiranya perlu. Orang ramai boleh meminta Kad Pendaftaran Orang Kompeten (Competent Person Identification Card) daripada orang kompeten untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan status kekompetenan,” katanya.

    Menurutnya, jika terdapat sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini, hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

  • Tiada unsur perkauman dalam penyediaan bank soalan bagi sekolah Tamil, Cina

    Tiada unsur perkauman dalam penyediaan bank soalan bagi sekolah Tamil, Cina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak mengamalkan perkauman dalam menyediakan bank soalan bagi murid sekolah rendah yang menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik.

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyediaan bank soalan itu adalah berdasarkan subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

    “Mengenai subjek di sekolah rendah, (bank soalan) itu adalah (untuk) subjek teras, tidak kira subjek apa atau bahasa apa, kalau itu adalah subjek teras, itu (bank soalan) yang kita sediakan untuk murid sekolah rendah. Ini bukan soal perkauman.

    “Kita tidak mahu nanti akan ada satu tekanan besar kepada murid untuk melihat bahawa ujian akhir tahun ini sebagai satu ujian yang besar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mempersoalkan tindakan KPM tidak menyediakan bank soalan secara menyeluruh terutama bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau Tamil.

    Laporan itu juga memetik Radzi sebagai berkata, bagi sekolah menengah pula, penyediaan bank soalan dibuat untuk keseluruhan subjek.

    Mengulas mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Radzi berkata, ia bukan sesuatu yang baharu kerana sudah diperkenalkan pada 2011 untuk sekolah rendah dan sekolah menengah pada 2012.

    “Perkara ini sebenarnya sudah dilaksanakan 10 tahun lalu, bukan sesuatu yang baharu dan jika kita bercakap soal kekangan dalam konteks memerlukan setiap kelas kurang 25 orang dan sebagainya, ini menyebabkan kita tidak dapat melaksanakan satu perubahan besar kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.

    “Sebab itu mana-mana pembuatan dasar di dunia, setiap dasar ada kekangan masing-masing dan kita membuat keputusan berdasarkan kekangan yang ada,” katanya.

    Justeru, katanya, KPM sedang berusaha melatih guru bagi meningkatkan kreativiti, inovasi dan kecekapan khususnya bagi memastikan PdP dalam kelas dapat dilaksanakan dengan berkesan.

  • Nafi kes culik untuk ambil organ, jual di hospital-Polis Johor

    Nafi kes culik untuk ambil organ, jual di hospital-Polis Johor

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    POLIS Johor hari ini menafikan dakwaan berlaku kes penculikan untuk mengambil organ sebelum dijual kepada pihak hospital di negeri itu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan, tidak berlaku kes seperti yang sedang tular menerusi satu video berdurasi tujuh minit dimuat naik dalam aplikasi Tik Tok oleh pemilik akaun bernama Aesthethicharu.

    Jelasnya, hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan pemilik akaun tersebut.

    “Hal ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu,” tegasnya.

  • 20 tentera ditahan, disyaki terlibat rompakan di Semporna – Hamzah

    20 tentera ditahan, disyaki terlibat rompakan di Semporna – Hamzah

    SERAMAI 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua rompakan laut di Semporna, Sabah.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penahanan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan kes rompakan yang berlaku di Pulau Siamil Ogos lalu.

    “Terdapat dua kes rompakan di laut yang disyaki dilakukan oleh anggota keselamatan pada 15 dan 18 Ogos lalu di perairan Pulau Siamil.

    “Kedua-dua kes telah diklasifikasikan bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan. Tangkapan seramai 20 orang anggota tentera dan suspek-suspek telah dijamin pada 25 Sept 2022. Kes masih dalam siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor FMT.

    Hamzah berkata demikian menjawab pertayaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan secara terperinci kejadian rompakan berkumpulan itu yang didakwa dilakukan anggota keselamatan negara.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, kes itu masih dalam siasatan dan pihak kementerian perlu menunggu sehingga ia selesai.

  • Polis buru dua lelaki samun warga emas

    Polis buru dua lelaki samun warga emas

    POLIS kini memburu dua lelaki yang bertindak melakukan jenayah samun terhadap seorang warga emas di Jalan Kasuarina, Bandar Botanik, Klang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian puku 10.25 pagi itu, pengadu telah meletakkan beg bimbit di tempat duduk belakang sebelum disamun.

    Beliau berkata, dua suspek yang menaiki motosikal telah berhenti berdekatan kereta pengadu sebelum salah seorang bertindak membuka pintu kereta dan mengambil beg bimbit lalu melarikan diri.

    “Siasatan mendapati suspek berpakaian jaket hitam dan topi keledar bervisor gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Jelasnya, tiada sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian, tetapi pengadu berusia 66 tahun mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh semasa cuba mengejar suspek.

    “Pengadu mengalami kerugian sebanyak RM 350 dimana terdapat sebuah telefon bimbit dan dokumen kerja yang disimpan di dalam beg,” ujarnya.

    Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan.

    “Polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini,” ujarnya.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat apa jua spekulasi dan boleh menyalurkan maklumat di talian 03- 33762222 bagi membantu siasatan.