Category: Semasa

  • Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    YANG di-Pertuan Agong bimbang dengan maklumat yang diperoleh pagi ini semasa taklimat mengenai banjir akhir tahun, menurut sumber yang berada di dalam bilik taklimat berkenaan.

    Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi taklimat mengenai musim Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

    Baginda dikatakan menyuarakan kebimbangannya tentang kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kepada rakyat sekiranya ia berlangsung ketika musim tengkujuh.

    “Tuanku bimbang pilihan raya diadakan pada musim Monsun Timur Laut yang akan datang, kerana ia akan memberi beban kepada rakyat,” kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

    “Baginda juga menyuarakan harapan agar pihak berkuasa tempatan bersedia dengan baik, dan mengelakkan isu-isu yang tidak perlu dan kesukaran kepada rakyat,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di mana baginda diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

    Menurut pegawai Istana Negara yang hadir di pusat itu, pihak istana meminta taklimat itu supaya Agong dapat menilai persiapan agensi kerajaan untuk menangani banjir akhir tahun.

    Kunjungan baginda ke PRABN diadakan ketika UMNO terus mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen serta-merta bagi memberi laluan kepada PRU15.

    Seorang pakar perubahan iklim baru-baru ini turut memberi amaran supaya tidak mengadakan PRU sebelum Februari tahun depan, dengan mengatakan bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun mungkin lebih buruk daripada yang berlaku pada 2021.

    Pakar itu turut memuat naik di Facebook dan berkongsi data Jabatan Saliran dan Pengairan yang mengunjurkan hujan puncak bagi negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Disember.

    Bagaimanapun, semua negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami hujan puncak pada bulan November.

  • Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    SEORANG pemandu bas parah selepas bas ekspres membawa 15 penumpang yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di kilometer (km) 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di Ipoh, hari ini.

    Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan memaklumkan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 2.30 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kejadian melibatkan sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang treler jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan besi.

    “Selain terdapat sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, terbabas ke bahu jalan.

    “Pemandu bas mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu. Dua penumpang mengalami cedera ringan manakala selebihnya termasuk pemandu treler selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa yang lain keluar sendiri dan diberi rawatan oleh pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau memberitahu, operasi tamat pada pukul 4.50 pagi.

  • Agong berkenan tamatkan darurat di kerusi Parlimen,DUN kosong

    Agong berkenan tamatkan darurat di kerusi Parlimen,DUN kosong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, berkuat kuasa semalam.

    Perintah pembatalan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

    Turut dibatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

    Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Okt yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19, telah berakhir.

    Pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

    Warta Kerajaan Persekutuan itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

    Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020, untuk membendung penularan COVID-19.

    -Bernama

  • Kubur warga emas digali semula

    Kubur warga emas digali semula

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Selepas dikebumikan beberapa hari lalu, kubur seorang warga emas di Kulim, Kedah bakal digali semula pagi ini setelah anaknya mengesyaki wanita tersebut menjadi mangsa kejadian jenayah berikutan beberapa faktor.

    Sumber memaklumkan, antara perkara yang menjadi kemusykilan si anak adalah kehilangan beberapa barangan peribadi wanita berusia 79 tahun tersebut iaitu gelang, dua cincin serta telefon bimbit.

    Selain itu anak wanita tersebut mendakwa, dia terlihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.

    “Anak mangsa mendakwa yang dia turut dimaklumkan terdapat lebam pada badan wanita itu, selain luka di hidung sewaktu jenazah dimandikan.

    “Susulan itu, satu laporan polis dibuat anak wanita terbabit yang mengesyaki ibunya menjadi mangsa jenayah,” katanya.

    Berikutan laporan tersebut kata sumber itu, polis telah memohon permit untuk mahkamah membenarkan kubur wanita berkenaan digali semula bagi tujuan bedah siasat.

    Difahamkan wanita tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Isnin lalu dengan baju serta kain batik miliknya ditemukan di atas lantai.

    Kematian wanita itu sebelum ini difahamkan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • 21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    SERAMAI 21 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dan Laos diselamatkan, dengan lapan daripadanya pulang ke tanah air hari ini.

    Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kejayaan itu hasil usaha Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Vientiane.

    “Lapan mangsa dari Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 4.50 petang tadi dan disambut Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

    “Enam lagi mangsa dari negara itu dijangka tiba 11.50 malam ini. Selain itu, tujuh mangsa dari Laos tiba di KLIA pada 7.50 malam tadi,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Menurut laporan itu, semua mangsa diserahkan kepada polis untuk proses siasatan lanjut.

    Seramai 273 warga Malaysia berjaya diselamatkan sehingga semalam, dengan 213 daripadanya sudah dihantar pulang dan bakinya 60 lagi masih ditahan di depot tahanan imigresen sementara menunggu proses pengusiran.

    “Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja dan Laos atas kerjasama serta komitmen dalam membantu mengesan dan menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.”

    Katanya, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan kerjasama kedutaan negara terbabit di Kuala Lumpur akan terus komited dalam usaha menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

    Ia turut menasihatkan pihak yang ingin membuat kenyataan berhubung isu itu supaya memaklumkan polis bagi membantu siasatan.

    “Ini penting bagi mengelakkan kenyataan tidak sahih dan disensasikan, disampaikan kepada umum, sekali gus mendatangkan kegusaran serta panik kepada orang ramai.”

  • Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyebaran laporan siasatan buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ oleh laman web Malaysia Today.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap laman web tempatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas selepas PDRM menerima satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat itu yang disiarkan dengan tajuk, ‘Rahsia: Laporan Siasatan Ke Atas Buku Tan Sri Tommy Thomas”, kata Noorsiah.

    Tinjauan terhadap laman web berkenaan mendapati laporan berkenaan telah dimuat naik pada hari ini dan boleh dimuat turun oleh pengguna.

    Pada 30 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

    Menurut Ismail Sabri berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan menjadikan produk gantian nikotin sebagai bukan racun berkuat kuasa hari ini, bagi membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Ia dilakukan dengan memberikan pengecualian kepada nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 bagi produk dalam bentuk koyok atau gula-gula getah yang berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984, yang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok.

    Khairy dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pengecualian itu, akses kepada produk gantian nikotin dalam bentuk berkenaan kini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi pembelian di kaunter termasuk di kedai runcit atau serbaneka yang membekalkannya, sama seperti amalan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.

    “Pengecualian ini juga diharap dapat membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok dalam menangani kesan simptom penarikan. Kebergantungan nikotin melalui sediaan koyok dan gula-gula getah didapati kurang memberikan kesan mudarat berbanding kebergantungan kepada nikotin melalui rokok,” katanya.

    Menurut Khairy buat masa ini perokok yang ingin berhenti merokok mempunyai akses yang terhad kepada produk gantian nikotin memandangkan nikotin dikawal selia di bawah Akta Racun 1952, yang menetapkan pembekalannya hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar.

    Pengecualian tersebut turut selaras dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2022 (P.U.(A) 309/2022) pada 5 Okt.- BERNAMA

  • 4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu “kartel pengurangan saman trafik” melibatkan transaksi berjumlah lebih RM5 juta selepas menahan 11 individu termasuk empat anggota polis.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, kumpulan itu disyaki aktif di beberapa negeri sejak 2016 dan didalangi empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

    Katanya, sembilan daripada individu terbabit sudah direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

    Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 7 Okt dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Kata sumber, kumpulan berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

    “Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi bersama suspek lain yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem polis. Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” katanya.

    Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi terdiri pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.

  • Keputusan bela diri atau bebas Syed Saddiq 28 Okt

    Keputusan bela diri atau bebas Syed Saddiq 28 Okt

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 Okt ini untuk keputusan sama ada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah pihaknya hanya perlu membuktikan tindakan Syed Saddiq yang mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu pada 6 Mac 2020 tergolong di bawah kesalahan bersubahat.

    Beliau berkata pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan Syed Saddiq melakukan kesalahan pecah amanah kerana ia bukan elemen pertuduhan ke atasnya.

    “Harus diingat kesalahan bersubahat ini adalah satu kesalahan berbeza daripada apa yang dilakukan oleh saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali. Kami hanya perlu menunjukkan setiap tindakan Rafiq Hakim adalah disebabkan arahan yang diberikan oleh tertuduh yang dipengaruhi dengan niat dan motif jahat tertuduh,” katanya.

    Wan Shaharuddin berkata Syed Saddiq juga telah mengarahkan Rafiq Hakim untuk memindahkan wang kutipan dana RM120,000 daripada akaun Maybank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun bank milik Ahli Parlimen itu pada April 2018.

    “ABBE ditubuhkan untuk menjana pendapatan bagi Armada dan tujuan kutipan dana adalah untuk mendapatkan dana untuk digunakan oleh Armada untuk kempen PRU14. Tidak pernah sama sekali timbul isu bahawa tujuan kutipan dana tersebut dilakukan untuk menggantikan semula wang yang telah digunakan oleh tertuduh untuk PRU14,” katanya.

    Bagi kes pengubahan wang haram pula, beliau berkata terdapat dua transaksi dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 masing -masing RM50,000 daripada akaun Maybank milik tertuduh ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

    Wan Shaharuddin berkata keterangan Rafiq Hakim dan Pegawai Penyiasat SPRM Putrajaya, Asbi Munip menjelaskan bahawa sebarang kutipan dana adalah milik Armada dan bukan milik tertuduh. 

    Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo berhujah bahawa tidak dipertikaikan bahawa semua wang yang dibelanjakan daripada pengeluaran RM1 juta itu telah dibelanjakan untuk program Armada dan Syed Saddiq tidak menerima satu sen pun daripada wang itu.

    “Ini menunjukkan bahawa, bertentangan dengan kes pendakwaan, tertuduh bertindak untuk melaksanakan dan tidak melanggar Perlembagaan Bersatu. Dalam hal ini, kami berhujah bahawa tertuduh sepatutnya dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan Seksyen 405,” katanya.

    Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 27 Sept, selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Mei dan antara saksi pendakwaan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim yang merupakan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – BERNAMA

  • KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata tahun lalu PFBM bencana berkenaan yang dikenali sebagai Bantuan Food Bank Banjir telah membantu sebanyak 25,000 mangsa daripada 6,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur.

    Beliau berkata bagi berdepan bencana terbabit, pihak kementerian telah bersiap siaga dengan menyimpan barangan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di lima Gudang Food Bank Malaysia yang terletak di Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

    “Kita juga telah menyediakan 12 mesin retort (mesin pek makanan) di 10 lokasi di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Selangor Putrajaya, Pahang, Terengganu, Perak, Sarawak dan Sabah.

    “Antara makanan retort yang akan disumbangkan seperti kari kambing, ayam sambal, ayam percik, nasi goreng, daging rendang dan pelbagai lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Food Bank Siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, hari ini

    Rosol berkata Bantuan Food Bank Banjir yang selepas ini akan dikenali sebagai Bantuan Food Bank Bencana, tidak hanya memfokuskan kepada mangsa banjir semata-mata tetapi bantuan turut akan diberikan kepada apa sahaja bencana.

    Sementara itu, berkenaan Food Bank Siswa pula, katanya, pihaknya telah menerima 28 permohonan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk IPT swasta dan politeknik seluruh negara semenjak dilancarkan pada Februari 2019.

    Katanya, pelaksanaan Food Bank Siswa ini dilaksanakan dengan konsep ‘Food Pantry’ yang mana makanan kering akan diagihkan kepada pelajar mengikut jadual dan konsep ‘Food Kitchen’ dengan agihan makanan bermasak kepada pelajar.

    “Sehingga bulan lalu, seramai 20,951 pelajar IPT telah menerima manfaat melalui program ini dan hari ini seramai 500 pelajar UIAM Cawangan Pagoh menjadi penerima terbaharu,” katanya. – BERNAMA