Category: Semasa

  • Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan peneroka Felda akan mendapat lebih lagi daripada apa yang diperoleh sebelum ini sekiranya mereka memastikan Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Lapor portal SatuBerita, Pengerusi PN itu berkata, manifesto gabungan itu yang akan diberitahu kemudian bakal merangkumi semua bidang utama dan berpotensi menjadi tawaran yang baik terutamanya peneroka Felda di negeri Pahang.

    “Sewaktu saya memimpin negara, kita selesaikan hutang mereka, RM8.9 bilion sudah dihapuskan. Kemudian kita mengeluarkan sukuk (Islamic bond) bernilai 9.9 bilion mengambil alih FGV dan sebagainya.

    “Saya bagi jaminan kalau kita menang, kita akan beri lebih lagi dari apa kita telah buat agar nasib peneroka terbela dan pendapatan boleh meningkat. Kita tahu apa kita nak buat untuk peneroka Felda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat PN Negeri Pahang, di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang, hari ini.

    Walaupun Pahang selalu dianggap sebagai ‘kubu’ BN, Muhyiddin berpendapat pengaruh parti tersebut tidak merisaukan PN.

    “Dari laporan diterima rakan-rakan yang lebih mengetahui, tidaklah sebegitu (Pahang sebagai kubu BN). Semasa PRN dahulu BN tidak menang dengan kerusi yang besar.

    “PAS sudah mula bertapak, ada ahli Bersatu di peringkat Parlimen, sudah ada perkembangan yang cukup baik dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya.

    Menurut beliau, kedudukan parti BN yang ditampar hebat oleh kes-kes mahkamah juga tidak menggambarkan cerminan sebenar orientasi rakyat di Pahang.

    “Keyakinan rakyat kepada UMNO semakin runtuh, ini fakta yang didokong oleh kajian, lebih-lebih lagi kita tak tahu apa isu masalah BN yang menghadapi masalah integriti, disabitkan kes-kes mahkamah dengan rasuahnya, itu tidak boleh memberi gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukannya,” katanya.

    Dalam pada itu, penamaan calon akan diteliti dan berpotensi diumumkan lebih awal daripada tarikh penamaan calon.

    “Di peringkat parti, sudah mula menyenaraikan calon. Kita ada jawatankuasa yang menapis di nama-nama calon peringkat pusat.

    “Kita lihat siapa paling sesuai, soal latar belakang, kelayan, kelulusan, hubungan dengan masyarakat dan usaha mereka sebelum ini untuk dinilai oleh pengundi,” katanya.

  • Bubar DUN; Pulau Pinang buat keputusan dalam minggu ini

    Bubar DUN; Pulau Pinang buat keputusan dalam minggu ini

    KERAJAAN DAP Pulau Pinang akan membuat keputusan sama ada turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan serentak dengan Parlimen sebelum hujung minggu ini.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Tertinggi Pakatan Harapan (PH) Pusat yang akan bermesyuarat malam esok.

    “Mungkin keputusan (bubar DUN Pulau Pinang) dibuat dalam beberapa hari lagi dalam minggu ini juga.

    “Kita perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Teringgi PH Pusat sama ada DUN Pulau Pinang akan dicadangkan bubar atau tidak.

    “Keputusan itu juga akan dibuat selepas mesyuarat PH negeri, selepas Jawatankuasa Eksekutif DAP dan kemungkinan besar selepas PH Pusat ada beberapa peringkat lagi,” katanya ketika kepada pemberita selepas mesyuarat khas DAP Pulau Pinang di George Town malam ini.

    Dalam pada itu Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pihaknya akan memanggil mesyuarat bersama PH Pulau Pinang untuk menilai isu berkaitan pembubaran DUN Pulau Pinang dalam masa terdekat.

    “Kita belum ada mesyuarat melibatkan kerajaan negeri, cuma ada mesyuarat peringkat DAP.

    “Esok kita akan panggil mesyuarat PH negeri bagi menilai isu sama,” katanya.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan, PH tidak akan membubarkan DUN di tiga buah negeri yang dikuasai mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya PRU-15 tetap diadakan tahun ini.

    Malah, dalam reaksi segera selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi, Anthony seperti dipetik Malaysiakini dilaporkan berkata, UMNO harus dipersalahkan atas kos tambahan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan dengan PRU-15.

    “Kami sudah nyatakan pendirian kami sejak awal lagi. Kalau tidak mahu membazir wang rakyat, tunggu tahun depan baru bubar Parlimen.

    “Buat pilihan raya sekarang adalah akibat dipaksa oleh UMNO. Malah PAS pun telah menyatakan bahawa mereka tidak akan membubarkan (DUN yang mereka kuasai),” kata Anthony ketika dihubungi Malaysiakini.

  • PRU musim tengkujuh: PN yakin rakyat keluar untuk undi protes

    PRU musim tengkujuh: PN yakin rakyat keluar untuk undi protes

    PERIKATAN Nasional (PN) menghormati hak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyifatkan keputusan itu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat keputusan tepat memilih kerajaan baharu.

    Katanya, beliau yakin rakyat ghairah untuk melaksanakan hak mereka menerusi kertas undi bagi memilih kerajaan yang mengambil berat masalah mereka.

    “Dan, saya rasa Perikatan Nasional menawarkan kepada rakyat apa yang mereka kehendaki.

    “Ini bermakna satu kesempatan untuk rakyat membuat perubahan besar supaya apabila selesai pilihan raya mereka akan memperoleh sebuah kerajaan yang beramanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

    “Bagi PN, isu amanah, integriti dan bertanggungjawab tidak boleh dikompromi,” katanya sebagaimana lapor portal Agenda Daily.

    Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 mulai hari ini (10 Oktober 2022) setelah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PRU-15 diadakan ketika rakyat berdepan masalah dan pastinya rakyat akan mengambil kesempatan untuk memprotes tindakan mengadakan pilihan raya ketika musim hujan dan banjir.

    “Kita berdoa supaya tidak ada satu keadaan musibah banjir yang teruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh keluar mengundi… namun inilah realitinya yang harus dihadapi,” kata bekas Perdana Menteri itu.

    Muhyiddin berkata walaupun sebelum ini PN turut membantah PRU diadakan ketika musim tengkujuh, namun menghormatinya apabila keputusan dibuat mengikut Perlembagaan.

    “Bagi saya adalah penting untuk rakyat keluar mengundi bagi menyelamatkan negara daripada terus berhadapan dengan pelbagai masalah yang terganggu akibat ketidakstabilan politik, di mana masalah ekonomi juga akan bertambah rumit.

    “Jadi ini pastinya akan menjadi perhatian utama Perikatan Nasional. Kami (PN) adalah parti yang prihatin rakyat… yang bergerak atas dasar prinsip integriti… dan juga akan melaksanakan apa yang kita fikirkan terbaik untuk rakyat… insya-Allah,” katanya.

    Menjawab soalan, bekas Perdana Menteri itu menolak dakwaan bahawa parti lawan terutama UMNO, memiliki kubu kuat untuk menang dalam PRU ini.

    “Daripada laporan yang saya terima… jika pun ada kubu kuat, BN menang pada PRU-14 lalu pun tidaklah besar. (Kini) dengan gabungan PAS dan Bersatu serta Gerakan, ianya suatu perkembangan baik kepada PN.

    “Dengan gerak kerja yang dilakukan PN dan perkembangan di dalam UMNO serta BN sendiri, telah menunjukkan kedudukan kami (PN) semakin kukuh,” katanya.

    Malah, Muhyiddin berkata daripada kajian sikap yang dijalankan menunjukkan rakyat termasuk orang muda tidak mendukung mereka yang tidak berintegriti.

    “Lebih lagi kita tahu apakah isu dan masalah yang UMNO dan BN hadapi. Semuanya berkaitan integriti yang dikaitkan dengan subjek dan kes-kes mahkamah, dan rasuahnya.

    “Yang itu tidak memberikan satu gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukan UMNO. Jadi bagi kami (PN) bila ada pilihan raya tak kisah apa pun. Nak gempur kubu… dah kita tembus… dan kita yakin dengan gerak kerja yang kita atur dan susun… insya-Allah kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

  • PN Johor sedia hadapi PRU-15

    PN Johor sedia hadapi PRU-15

    Perikatan Nasional (PN) Johor kekal dengan pendirian mahu memberikan fokus terhadap rakyat terutama. Namun pada masa sudah bersedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.

    1. Parlimen Ke-14 telah terbubar hari ini bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan setelah mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
    2. Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sebentar tadi, bukanlah mengejutkan kerana pembubaran Parlimen dan PRU-15 telah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan polemik.
    3. Ia berikutan ramalan METMalaysia bahawa akan berlakunya bencana banjir besar berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dan musim tengkujuh seperti yang dihadapi pada setiap tahun selain situasi negara yang berada dalam fasa endemik dan pemulihan.
    4. Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor tetap dengan pendirian yang memfokuskan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat, namun tidak dapat mengelak untuk berhadapan dengan pilihan raya.
    5. Gabungan yang menampilkan Bersatu, Pas, Parti Geraskan Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Star Sabah sebagai komponennya, PN akan tetap menyertai PRU-15 sebagai mendukung dan menyuburkan demokrasi berparlimen di negara ini.
    6. PN Negeri Johor berkeyakinan rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor, sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal mempertandingkan kesemua 26 kerusi Parlimen di negeri ini.
    7. Selain itu, PN Negeri Johor mendoakan seluruh Bangsa Johor diberikan kesihatan yang baik, sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT serta terhindar daripada sebarang ujian yang membebankan.
    8. Akhir sekali, PN Negeri Johor sentiasa komited meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.

    Datuk Dr. Sahruddin Jamal
    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor

  • ‘Manakah hilangnya sanubari mereka’ – MB Selangor

    ‘Manakah hilangnya sanubari mereka’ – MB Selangor

    STATUS ringkas ‘manakah hilangnya sanubari mereka’ oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Facebook miliknya hari ini menarik perhatian ramai.

    Tulisan menurusi kapsyen tersebut eolah menggambarkan kekecewaan beliau dengan pembubaran Parlimen seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

    Status tersebut dikongsikan di Facebook rasmi berserta pautan berita ‘Sungai Melaka di Batu Hampar lepasi paras bahaya’.

    Walaupun hanya menulis status ringkas, namun rata-rata pengikut Facebook beliau dapat meneka isi tersirat di sebalik perkongsian tersebut, lapor Sinar Harian.

    Beberapa pengguna media sosial telah meninggalkan komen pada hantaran tersebut antaranya Derm Mi Rakyats yang kurang senang apabila kerajaan kekal dengan pendirian mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    “Tapi dalam keadaan macam ini pun masih ada yang sibuk dengan kuasa. Pembubaran Parlimen tetap berlaku walaupun rakyat berdepan dengan situasi banjir yang boleh berlaku di mana-mana.

    “Diharap penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir lebih peka dan cakna akan situasi ini dan ambil langkah berjaga-jaga,” tulisnya di ruangan komen.

    Seorang lagi pengguna Facebook, Kanda Samy turut berharap semua pihak bersiap sedia dengan kemungkinan banjir dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

    “Semua pihak perlu memberikan kerjasama dan bersedia supaya tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.

    “Segala fakta dan data yang ada telah membawa kepada pemahaman bentuk fenomena walaupun tidak seratus peratus tepat tetapi kebarangkalian ketepatannya adalah sangat tinggi,” tulisnya.

  • Mohd. Rashid pertahankan Parlimen Batu Pahat

    Mohd. Rashid pertahankan Parlimen Batu Pahat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BENDAHARI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Mohd. Rashid Hasnon sedia bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Justeru beliau berharap akan mendapat sokongan yang sama daripada pengundi seperti diperolehnya pada PRU-14.

    “Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk memajukan bandar ini yang merupakan satu daripada bandar terbesar di Johor.

    “Mungkin adanya kekurangan sepanjang mentadbir Parlimen Batu Pahat namun semua itu sudah dibetulkan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini.

    “Saya menyerahkan sepenuhnya kepercayaan rakyat untuk memilih wakil bagi suara mereka, namun jika tersilap pilih ianya akan menyebabkan penyesalan yang perlu dihadapi kira-kira Lima tahun lagi,” katanya ketika dihubungi.

    Pada PRU-14, Mohd. Rashid yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang majoriti 17,894 undi menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

    Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian dipecat daripada PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

    Mohd. Rashid berkata, masyarakat di daerah ihi diharapkan agar dapat memilih calon yang berwibawa dan benar-benar mewakili rakyat.

    Menurutnya, walau sebaik mana pun parti namun jika calonnya tidak memenuhi kehendak rakyat, perkara itu akan menjadi sia-sia.

  • Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

    “Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Pesekutuan.

    “Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

    Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas (7 Okt).- BERNAMA

  • PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    CALON Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melalui proses saringan yang rapi bagi memastikan mereka bersih dan istiqamah.

    Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan berkata, jentera pilihan raya dan penerangan BERSATU sudah dipersiap dari awal, malah Skuad Prihatin parti itu juga sudah dikerah untuk berdepan segala kemungkinan.

    “Kita bersedia bukan saja untuk menyantuni rakyat mendepani PRU-15, tetapi juga membantu rakyat.

    “BERSATU dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

    “Berjuanglah kita dalam keberkatan daripada Allah SWT. Bawalah mesej kebenaran kepada rakyat. Ajaklah rakyat menolak kemungkaran,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Sementara itu, Wan Saiful mendakwa pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

    Dakwanya, pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

    “Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

    Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

    “Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.

  • Bekas Pengarah JKR Kedah umum bertanding PRU-15 di Parlimen Alor Setar

    Bekas Pengarah JKR Kedah umum bertanding PRU-15 di Parlimen Alor Setar

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Datuk Dr. Nordin Yunus menjadi individu terawal yang mengumumkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Alor Setar, Kedah.

    Pengumuman itu tidak sampai dua jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan.

    Nordin, 69, yang juga bekas Naib Presiden Kanan, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) berkata, beliau bercadang untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk Parlimen itu terutamanya dalam aspek pembangunan fizikal.

    “Selain tu saya mahu membawa semula perpaduan ummah merentasi parti, khususnya dalam kalangan 65 peratus penduduk Melayu di Alor Setar.

    “Terpulang kepada pengundi di Alor Setar khususnya orang Melayu untuk membuat penilaian. Sejak dari dulu, saya lihat bandaraya ini tidak banyak berubah dan dengan pengalaman yang saya ada, rasanya saya mampu tawarkan sesuatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nordin merupakan anak jati Alor Setar dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah JKR di negeri ini dari 1996 hingga 2003.

    Beliau turut cemerlang dalam bidang akademik dan meraih beberapa pencapaian antaranya BSc dalam bidang kejuruteraan dari University of Manchester, Ijazah MS dalam bidang kejuruteraan dari Washington University, St. Louis serta ijazah doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan pentadbiran dari University of Missouri, Amerika Syarikat.

    Selain pengalamannya bersama JKR dan NCER, Nordin pernah berkhidmat sebagai Profesor Kejuruteraan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap). Beliau juga merupakan Naib Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Melayu Kedah.

    Nordin menambah, sebelum ini beliau pernah menjadi ahli UMNO sebelum memilih untuk bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Kini saya sudah tidak terbabit dengan mana-mana parti dan akan bertanding Bebas. Ini merupakan kali pertama saya akan bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

  • DAP hormat pembubaran Parlimen, tapi kekal tidak bubar DUN di tiga negeri

    DAP hormat pembubaran Parlimen, tapi kekal tidak bubar DUN di tiga negeri

    DAP menghormati keputusan membubarkan Parlimen mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

    Namun Ahli Parlimen Seremban itu berkata, langkah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilaan adalah selari dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

    “Ketiga-tiga kerajaan negeri itu masing-masing boleh terus memberi fokus untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana.

    “Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebentar tadi, beliau telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada hari ini dan memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam tempoh masa 60 hari.

    “Kita telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa pilihan raya umum tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat risiko banjir melanda negara, namun DAP menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelas Ahli Parlimen Seremban itu lagi, begitu pun seluruh pimpinan dan anggota parti akan dikerahkan untuk berkempen demi memenangi mandat rakyat untuk PH membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Seluruh jentera pilihan raya DAP akan diaktifkan serta merta untuk menghadapi kempen PRU-15,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Dalam masa yang sama, Loke berkata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa) untuk membincangkan persiapan parti menghadapi PRU-15.

    Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

    Naib Presiden UMNO itu dalam perutusan khas turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen.