Category: Semasa

  • Inisiatif KSKK kurang stigma, bantu bekas penagih kekal pulih

    Inisiatif KSKK kurang stigma, bantu bekas penagih kekal pulih

    PELAKSANAAN inisiatif Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan  (KSKK) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diharap mampu mengurangkan stigma dan membantu mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah kekal pulih, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

    Beliau berkata sokongan keluarga terbukti berkesan membantu bekas klien AADK apabila tahap pengekalan kepulihan berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September lepas, selepas komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan pada 2020. 

    Peratusan itu lebih baik berbanding hanya 20 peratus pada 2015. 

    “Menerusi KSKK, klien AADK boleh memilih seorang individu dipercayai sama ada ahli keluarga atau rakan, untuk menyertai instrumen sokongan yang menyediakan ruang berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan mereka tidak kembali menagih atau relaps. 

    “Selain itu, penyertaan dalam program seperti ini juga memberikan isyarat positif bahawa klien terlibat berazam untuk berubah dan komuniti disarankan untuk menerima kembali mereka yang telah pulih serta mengiktiraf keupayaan mereka untuk berfungsi secara produktif dalam masyarakat,” katanya. 

    Hamzah berkata demikian semasa berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, turut melibatkan pelancaran KSKK disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  

    Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan  Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon. 

    Mengulas mengenai program keluarga aspirasi kepulihan, Hamzah berkata ia adalah sebahagian daripada komponen dalam model rawatan dan pemulihan digunakan AADK, yang dilaksanakan sejajar dengan perubahan trend penyalahgunaan dadah. 

    “Perubahan trend daripada dadah jenis organik kepada sintetik menyebabkan AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan lebih holistik dan prihatin,” katanya. 

    Pendekatan itu, menurut Hamzah merangkumi aspek biologi, psikologi sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarga, dikenali sebagai Model i – Pulih AADK. – BERNAMA 

  • ICR sediakan protokol kajian untuk ubat berasaskan kanabis

    ICR sediakan protokol kajian untuk ubat berasaskan kanabis

    INSTITUT Penyelidikan Klinikal (ICR) sedang menyediakan protokol berhubung kajian untuk ubat berasaskan kanabis dan beberapa prosedur lain sebelum ia dibenarkan digunakan dengan selamat untuk pesakit.

    Pengarahnya Datuk Dr P. Kalaiarasu berkata proses itu juga perlu melalui beberapa kajian dan memenuhi syarat-syarat tertentu kerana membabitkan kegunaan pesakit.

    “Memang ada pertanyaan berkaitan penyelidikan kanabis iaitu yang dikaitkan dengan kanabis perubatan, dalam suasana sekarang perlu ada data yang sesuai berhubung perkara itu kerana ia untuk kegunaan pesakit (digunakan dengan selamat untuk merawat penyakit).

    “ICR telah memulakan perbincangan dengan pakar perubatan dari segi penyediaan protokol dan seterusnya kami berbincang dengan pakar-pakar dari luar negara untuk pengendalian kaji selidik kanabis perubatan itu bagi kegunaan di sini (Malaysia),” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

    Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Kajian Klinikal Kebangsaan ke-14 2022 (NCCR2022) oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

    Mengulas lanjut, Kalaiarasu berkata dalam proses pembentukan protokol, pihaknya perlu meneliti beberapa aspek termasuk etika, penggunaannya dan kesan sampingan penggunaan ubat berasaskan kanabis sebelum mendapatkan kelulusan.

    Beliau berkata seterusnya pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, pengguna dan pakar untuk mendapatkan penjelasan dari segi kajian terlebih dahulu.

    “Walaupun negara lain telah menggunakan kanabis untuk perubatan, kita perlu data paling tepat untuk dalam negara dan ICR berperanan membuat kajian sebelum membawanya kepada penggunaan dan dari segi penyelidikan serta padanan yang diperoleh (hasil kajian).

    “Dari situ ia dapat jana data sama ada sesuai digunakan atau sebaliknya, kita perlu teliti kesesuaian tersebut dan seterusnya kita lihat kepada keadaan sama ada pakar perubatan boleh menggunakannya untuk kajian berkenaan,” katanya.

    Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka pendaftaran bagi ubat berasaskan kanabis jika terdapat bukti kukuh bahan itu boleh digunakan dengan selamat dan berkesan dalam merawat pesakit.

    Beliau dilaporkan berkata ICR di bawah Institut Kesihatan Kebangsaan sedang mengadakan semakan dan perbincangan bersama pakar-pakar terutamanya dalam bidang ekologi dan rawatan paliatif.

  • Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menafikan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita dalam tempoh 15 tahun kebelakangan.

    Penafian Takiyuddin itu termasuk dakwaan beliau bernikah dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Setiausaha Agung Pas itu menegaskan, perkahwinan merupakan isu yang sangat peribadi bagi setiap individu.

    “Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 tahun ataupun 15 tahun sebelum ini saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa saja.

    “10 tahun itu dua kali pilihan raya, 15 tahun itu tiga kali (pilihan raya). Saya… saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja,” kata Takiyuddin lapor Astro Awani.

    Penafian Takiyuddin itu dibuat susulan laporan media mendakwa beliau
    berteka teki mengenai status perkahwinannya dengan seorang ahli politik dari Selangor.

    Seperti dilaporkan Astro AWANI, Takiyuddin berkata, isteri beliau merupakan seorang pengundi di Malaysia.

    “My wife is a voter in Malaysia, so she’s considered as a politician, a voter is a politician (isteri saya seorang pengundi di Malaysia, jadi dia dianggap sebagai ahli politik, seorang pengundi adalah seorang ahli politik),” katanya.

  • Kejadian Bella cedera terkena air panas tidak berlaku – Saksi

    Kejadian Bella cedera terkena air panas tidak berlaku – Saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini , diberitahu kejadian termos berisi air panas yang terjatuh hingga menyebabkan seluruh badan remaja Sindrom Down dikenali Bella cedera, tidak berlaku.

    Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Inspektor Suhaili Mahad, 31, berkata ia berikutan rekod percakapan empat kanak-kanak yang tinggal di unit kondominium bersama pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mendera remaja itu, seolah-olah mengikut skrip.

    Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, kanak-kanak terbabit memberi kenyataan yang konsisten bahawa Bella dikejar seorang kanak-kanak dikenali Balqis kerana berebut snek hingga menyebabkan termos itu terjatuh.

    “Itu punca termos terjatuh dan menyebabkan Bella cedera seluruh badan. Kesimpulan daripada siasatan saya ialah kenyataan diberikan berhubung insiden itu adalah mengikut skrip.

    “Sebab itu, saya rampas dua barang iaitu termos dan tali putih dari kediaman Bainun. Termos itu berada dalam keadaan baik, tiada kesan lekuk atau menunjukkan ia terjatuh.

    “Saya percaya tiada insiden membabitkan termos yang terjatuh atas badan Bella, kerana tiada kesan barang itu pecah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, memetik laporan BH Online.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mengulas perincian termos dan tali putih, Suhaili berkata, barangan itu dirampas ketika beliau, jurufoto dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) diketuai Asisten Superintendan Rohaini pergi ke tempat kejadian, pada 7 Julai 2021.

    “Saya bersama pasukan juga merakam percakapan penghuni unit berkenaan termasuk Siti Bainun di lobi kondominium terbabit.

    “Saksi ada melakar gambar rajah kasar tempat kejadian. Berkaitan barang itu, ia sudah didaftarkan di stor barang kes. Saya letak dalam sampul surat putih dan ia disimpan selepas tandaan diletakkan,” katanya.

    Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf; Suhaili mengesahkan tidak merampas telefon bimbit Siti Bainun, sebaliknya hanya mengambil barangan itu milik dua rakan baik tertuduh iaitu Zurianty Sudin dan Hani Azura.

    Mohammad Farhan: Berlandaskan kandungan telefon saksi (Zurianty dan Hani) yang tidak berada di lokasi kejadian, mereka langsung tidak menyaksikan penderaan itu?

    Suhaili: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Saya cadangkan dalam keterangan pemilik telefon dirampas itu, tiada yang mengatakan mereka menyaksikan Bainun mendera Bella, setuju atau tidak?

    Suhaili: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Jika puan tak setuju, saya mohon puan menunjukkan keterangan pemilik telefon yang menyatakan mereka melihat dengan mata sendiri Bainun dera Bella?

    Suhaili: Tiada kaitan dengan siasatan.

  • “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, kefahamannya tentang Perlembagaan dan undang-undang negara mendorongnya bertindak sewajarnya bagi memastikan urusan dalam Dewan Rakyat lancar dan efisyen.

    Katanya, pengalaman tiga dekad karier sebagai peguam diakui sedikit sebanyak memudahkan tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

    “Selama 31 tahun saya beramal sebagai peguam; saya banyak mengendalikan kes Perlembagaan.

    “Oleh itu saya tahu apa yang boleh saya buat dan apa yang saya tak boleh buat,” katanya, memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai peguam itu juga telah membentuk hubungan akrab antara beliau dengan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak yang membantunya berurusan dengan lebih mudah.

    “Saya bertuah kerana saya punyai rakan-rakan rapat dan sahabat di sebelah sini dan juga di sebelah sana.

    “Oleh kerana itu, proses engagement saya dengan mereka agak senang, saya boleh ajak sahaja mereka berbincang di luar sambil minum kopi,” kata Azhar Azizan.

    Maka beliau melihat segala yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hanyalah sebahagian daripada kerja yang perlu dihadapi dan ia tidak menjejaskan hubungan di luar.

    Disebabkan itu, beliau tidak pernah mengambil apa sahaja yang dilemparkan kepadanya ketika persidangan di dalam Dewan secara peribadi.

    “Malah saya pernah dipanggil ‘barua’ pun, tapi saya tak pernah mengambilnya secara peribadi dan itu menyenangkan tugas saya.”

  • PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi, orang Melayu boleh memilih antara ‘Melayu penjenayah’ dalam UMNO atau Melayu yang bebas daripada kes jenayah.

    Hal ini kerana, Dr Mahathir Mohamad percaya orang Melayu hanya ingin diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh kaum itu.

    “Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu.
    “Dalam PRU-15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu,” katanya di Facebook hari ini.

    Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sehubungan itu menjelaskan, masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama parti berkenaan.

    Menurutnya, Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.

    “Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.

    “Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia,” tambahnya.

    Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, GTA yang ditubuh pada Ogos lalu telah menyatakan pendirian untuk meletakkan 120 calon di seluruh negara pada PRU-15 dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.

  • Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    KETUA Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai berdrama susulan insiden ceramahnya diganggu oleh ‘mat motor’.

    Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sebaliknya memuji Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif apabila tampil membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan saman selepas dituduh sebagai dalang kejadian gangguan itu oleh Syed Saddiq.

    “Steady Ketua Pemuda UMNO Muar buat laporan polis dan saman tuduhan tidak berasas Syed Saddiq dan MUDA yang emosi kelmarin.

    “MUDA dan Syed Saddiq mana mungkin nak lapor polis, dia sendiri rancang, siap ada video maafkan ‘mat motor sebagai ‘ending’ (pengakhiran) drama,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.

    Media sebelum itu melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA kelmarin diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

    Gangguan tercetus ketika giliran Syed Saddiq menyampaikan ucapannya sebelum ceramah diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

    Berikutan itu, Pemuda UMNO Bahagian Muar semalam dilaporkan membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Syed Saddiq bahawa mereka terbabit mengganggu ceramah dihadiri penyandang Ahli Parlimen Muar berkenaan.

    MUDA Johor dalam laporan Berita Harian pula menafikan dakwaan gangguan sekumpulan ‘mat motor’ yang memprovokasi ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar kelmarin, sebagai gimik politik parti itu.

    Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani, dilaporkan berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan berniat jahat.

    Sehubungan itu, katanya, laporan polis sudah dibuat MUDA Bahagian Muar semalam berikutan provokasi itu, selain bagi menafikan pembabitan MUDA yang didakwa membuat gimik politik.

    Syed Saddiq turut dilaporkan memaafkan kumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi ketika beliau ingin berceramah Ahad lalu.

    Dalam hantaran video di akaun Facebooknya, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan itu bukanlah musuhnya.

  • Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki terlibat menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.

    Lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 8 malam semalam, dan kini direman selama empat hari hingga 21 Okt ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Menurut sumber SPRM, perolehan empat kenderaan itu bernilai lebih RM290,000 untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan lelaki berkenaan ketika dihubungi hari ini berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    BARU sehari bekerja dengan upah RM150, namun sudah ditahan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti menyeludup diesel bersubsidi.

    Malah, pemandu lori warga tempatan berusia 40-an itu turut menangis dan merayu kepada anggota penguat kuasa PPDNHEP supaya dilepaskan kerana terpaksa bekerja untuk menanggung empat anak selain menyesal di atas perbuatannya.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, lelaki berkenaan ditahan di Jalan Baru, Bukit Mertajam pukul 3.45 petang semalam selepas dipercayai baru selesai mengisi diesel di dua buah stesen minyak.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati terdapat kira-kira 800 liter minyak diesel di dalam dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter yang telah diubah suai di atas lori berjenama Toyota seberat satu tan yang dipandu lelaki itu.

    “Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM11,520,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Stor Eksibit PPDNHEP Pulau Pinang, Bukit Minyak hari ini.

    Sementara itu tambah beliau, satu serbuan berasingan turut dilakukan kira-kira pukul 9 pagi hari sama oleh sepasukan empat pegawai penguatkuasa PPDNHEP negeri di sebuah stesen minyak di Auto City Juru.

    Dalam serbuan itu jelasnya, seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang mempunyai dua tangki simpanan fiber diubah suai berkapasiti 550 liter dipercayai miliknya.

    “Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 380 liter diesel di dalam kedua-dua tangki simpanan iaitu di bahagian tempat duduk belakang serta tempat mengisi barang di atas kenderaan berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki bergerak solo dan terlibat dengan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu manakala jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM41,060,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan PPDNHEP Pulau Piang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan.

  • PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai masalah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya terdapat desakan kuat daripada rakyat untuk beliau kembali memimpin negara.

    Begitu pun menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, seboleh-bolehnya beliau mengharapkan perkara itu tidak berlaku.

    “Tak taulah desakan kuat… Tetapi setakat ini saya masih boleh berfungsi, bergerak, bercakap berunding dan buat semua perkara.

    “Walaupun umur saya lebih, tetapi saya masih lagi boleh bekerja dan kalau orang nak juga (dirinya jadi Perdana Menteri), takkanlah saya nak tolak?

    “Itu pun kalau nak jugalah… Tetapi seboleh-bolehnya, tidaklah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Jentera Pilihan Raya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA di Pejabat Pejuang Langkawi di Kedah, hari ini.

    Sementara itu beliau menyifatkan pembentangan Bajet oleh kerajaan dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan hanyalah untuk membeli undi daripada rakyat.

    Menurutnya, tindakan tersebut hanyalah untuk memberikan duit kepada semua orang.

    “Itu Bajet untuk membeli undi tetapi nak kita nak bahaskan pun tak bagi. Biasanya apabila Bajet dikemukakan, parti lawan akan ada peluang beri pendapat tetapi kali ini tak bagi peluang langsung untuk dibahaskan dan tiba-tiba saja bubar Parlimen.

    “Jadi apa perlunya kemukakan bajett walaupun kita tahu Parlimen mungkin dibubarkan? Ini jelas merupakan Bajet politik, Bajet pilihan raya dan kita juga perlu tanya mengapa buat Bajet kalau lepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan buat bajet lagi satu?” katanya.

    Ditanya pandangannya mengenai kenyataan dibuat bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Langkawi bagi menentang beliau di Langkawi dalam PRU nanti, Mahathir berkata, beliau ‘okay’ saja dengan perkara itu.

    “Kalau dia nak bertanding, bertandinglah… Saya ‘okay’ saja kerana ini negara demokrasi dan demokrasi membenarkan siapa saja yang nak bertanding.

    “Kalau ada 100 orang nak bertanding di Langkawi pun, ‘okay’,” katanya.