Category: Semasa

  • PN umum dua lagi calon kerusi DUN Perlis

    PN umum dua lagi calon kerusi DUN Perlis

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis hari ini mengumumkan dua lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus melengkapkan senarai 15 calon, selepas 13 calon diumumkan, malam tadi.

    Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata dua calon tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Wanita PN Perlis Datin Marzita Mansor yang akan bertanding di DUN Sena atas tiket Bersatu dan Ketua Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil bagi DUN Kayang.

    Bercakap pada sidang media di Kangar, hari ini, Mohd Shukri berharap segala spekulasi yang timbul, dapat dihentikan dan tumpuan kini bagi memenangi PRU-15.

    “Mudah-mudahan kami dapat terus bergerak untuk memastikan PN dapat menawan negeri Perlis pada PRU-15 ini,” katanya.

    Malam tadi, Mohd Shukri mengumumkan senarai 13 calon PN bagi DUN Perlis dengan lapan akan ditandingi calon PAS dan lima daripada Bersatu. Perlis mempunyai 15 kerusi DUN.

  • Muhyiddin beri amaran kepada penyokong UMNO berhubung kerjasama Anwar-Zahid pasca PRU-15

    Muhyiddin beri amaran kepada penyokong UMNO berhubung kerjasama Anwar-Zahid pasca PRU-15

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika parti itu tidak mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.

    Bercakap dalam acara di Kuala Berang, Muhyiddin berkata, kerjasama antara dua pimpinan parti itu boleh membawa musibah terutama kepada masyarakat Melayu, kerana Anwar akan membawa sama komponen parti Pakatan Harapan (PH) lain termasuk DAP dalam membentuk kerajaan.

    “Adakah orang yang sokong UMNO mahukan ini terjadi? Kalau tidak mahu maka orang UMNO perlu sokong PN bagi elak musibah berlaku,” kata Muhyiddin menurut Malaysianow yang memetik laporan Astro Awani.

    Sebelum ini, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng, yang merupakan Menteri Kewangan ketika PH menguasai pentadbiran kerajaan telah menyekat peruntukan program ekonomi Melayu di bawah Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

    Selain itu, Azmin turut berkata Lim turut memotong peruntukan projek membaiki jalan Felda sehingga ia menyebabkan keretakan besar dalam pentadbiran PH ketika itu.

    Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan pandangan penganalisis mengenai kerjasama sedemikian, di mana Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia berkata ia hampir mustahil berlaku kerana parti komponen PH mempunyai perjuangan dan ideologi yang berbeza.

    Namun, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, kerajaan BN-PH masih boleh berlaku sekiranya kedua-dua gabungan politik ini memiliki pecahan kerusi Parlimen sama rata.

    Dalam pada itu, Muhyiddin, menggesa jentera PN menyedarkan penyokong UMNO dan meyakinkan mereka untuk mengundi PN pada PRU-15 nanti.

    Menurutnya, usaha menyedarkan orang Melayu dan penyokong UMNO mengenai isu DAP dalam pentadbiran adalah jihad yang perlu diteruskan.

    “Kalau kita tidak ambil langkah dan beri kefahaman yang betul, mereka akan undi BN dan PH, saya takut kalau lepas PRU kita hadapi (musibah) yang teruk,” katanya.

  • Calon Pas Pulau Pinang atur strategi dekati pengundi muda

    Calon Pas Pulau Pinang atur strategi dekati pengundi muda

    CALON Perikatan Nasional (PN) daripada Pas bagi Parlimen Permatang Pauh menyifatkan kerusi panas itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun sudah dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kira-kira 40 tahun lalu.

    Muhammad Fawwaz Mat Jan berkata, kerusi itu kini terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana parti berikutan pertambahan pemilih muda yang bakal memberi impak kepada keputusan undi.

    Sehubungan itu kata beliau, Pas sudah menyusun strategi untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda berkenaan sekali gus memastikan mereka membuat pilihan tepat dengan mengundi PN pada 19 November ini.

    “Bagi saya ketika ini peluang untuk menang di Parlimen Permatang Pauh adalah 50-50 bagi setiap calon yang bertanding disebabkan pertambahan pengundi muda yang pertama kali akan mengundi.

    “Jadi pada saya mana-mana parti yang berjaya menambat hati pemilih muda ini mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di kerusi itu,” katanya.

    Pada PRU-15, Muhammad Fawwaz yang sebelum ini pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan menentang calon PKR yang juga penyandang kerusi itu, Nurul Izzah Anwar dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said serta dijangka beberapa calon lagi.

    Sementara itu, bagi seorang lagi calon Pas di Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Mohamad, pengalaman pernah bertanding di kerusi tersebut pada PRU-14 meskipun tewas menjadikan beliau lebih bersedia kali ini.

    Mastura yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu berkata, pemilihan beliau sebagai calon juga merupakan pengiktirafan kepada golongan muda wanita untuk membawa suara rakyat di peringkat lebih tinggi sekali gus akan merealisasikan amanah itu sekiranya diberi peluang pada PRU-15.

    “Saya juga menyasarkan untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda di Parlimen Kepala Batas yang dilihat mempunyai pengaruh cukup besar dan saya bertuah kerana mendapat sokongan jentera daripada Pas sendiri serta dari parti-parti komponen PN lain,” katanya.

  • Kerajaan PN akan pastikan setiap rakyat ada makanan atas meja

    Kerajaan PN akan pastikan setiap rakyat ada makanan atas meja

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan setiap rakyat sentiasa mempunyai `makanan di atas meja’ meskipun ketika negara mengharungi tempoh-tempoh sukar.

    Perkara itu menurut Pengersi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, telah dibuktikan Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.

    Ketika itu jelas beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), pelbagai bentuk bantuan dan sokongan seperti moratorium dan bakul makanan serta banyak lagi diberikan dalam memastikan setiap rakyat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Kerajaan prihatin sebeginilah juga yang kita mahu bentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan ia bukan janji kosong kerana Muhyiddin sudah mempunyai pengalaman dan telah membuktikannya ketika beliau menjadi PM kelapan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengenalan dan penyerahan watikah calon-calon PN bagi 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang di Wisma Gerakan, Georgetown semalam.

    Pada PRU-15, PN Pulau Pinang akan bertanding di semua 13 kerusi Parlimen di negeri itu dengan membariskan masing-masing lima calon daripada Gerakan dan Bersatu serta tiga calon daripada Pas.

    Dalam pada itu Dominic berkata, PN bersedia memberi tentangan sengit dalam PRU-15 di Pulau Pinang di sebalik tanggapan negeri itu merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

    Ujar beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada barisan calon yang dipertaruhkan PN yang mana kesemuanya merupakan calon yang bersih dan prihatin sekali gus bakal menjanjikan sebuah Kerajaan Pusat yang stabil selepas PRU-15.

    “PN tidak meletakkan calon yang tidak bersih dan ini adalah antara faktor penting yang kita pertimbangkan ketika memilih calon.

    “Kesemua calon kita membawa mandat rakyat yang mahukan pemimpin yang prihatin dan bersih sekali gus akan menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil selepas PRU-15,” katanya.

  • Inspektor polis direman 5 hari disyaki terima, minta rasuah RM10,000

    Inspektor polis direman 5 hari disyaki terima, minta rasuah RM10,000

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor direman selama lima hari di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah sebanyak RM10,000.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Difahamkan Inspektor polis itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pulau Pinang.

    Suspek ditahan SPRM di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas kira-kira pukul 12.05 malam tadi.

    Menurut sumber SPRM, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM10,000 bagi melepaskan dua individu iaitu pengadu yang telah ditangkap di atas kesalahan menjual air ketum.

    “Suspek disyaki meminta wang rasuah tersebut daripada individu berkenaan menerusi panggilan telefon.

    “Suspek meminta RM20,000 daripada individu berkenaan, namun hanya memperoleh RM10,000,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Sokongan Melayu PN meningkat, BN merosot

    Sokongan Melayu PN meningkat, BN merosot

    PERIKATAN Nasional (PN) muncul di tangga kedua dalam meraih undi Melayu berikutan kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN), menurut tinjauan pra pilihan raya Merdeka Center.

    Tinjauan yang dijalankan dari 19 hingga 28 Oktober lalu terhadap 1,209 pengundi berusia 18 tahun ke atas, mendapati BN menerima sokongan Melayu sebanyak 32%, diikuti PN (20%), Pakatan Harapan (PH) (13%), sementara Gerakan Tanah Air (GTA) dan gabungan lain sebanyak 2%.

    Sebanyak 29% responden berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti, manakala 4% tidak memberikan maklum balas, lapor Malaysianow.

    Merdeka Center berkata, penemuan itu menunjukkan wujud penurunan dalam kecenderungan yang jelas dalam kalangan pengundi Melayu terhadap BN dan peningkatan kecil terhadap PH.

    “Namun pada masa sama, masih terdapat sebanyak 29% pengundi Melayu yang menyatakan mereka tidak mempunyai kecenderungan atau masih belum membuat keputusan.

    “Ada kemungkinan sebahagian daripada pengundi yang belum membuat keputusan ini mengundi parti kerajaan, namun pengalaman lalu memberitahu kita bahawa majoriti daripada mereka ini berkemungkinan akan mengundi mana-mana parti lawan, sama ada PN atau PH,” katanya.

    Dalam kalangan pengundi India, 32% menunjukkan mereka akan memberi sokongan kepada BN, sementara 1% lagi menyatakan sokongan kepada PN, dan 51% lagi menyatakan sokongan kepada PH. 

    Sementara 6% lagi tidak pasti dan 2% berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti manakala 8% lagi tidak memberikan maklum balas.

    Dalam kalangan pengundi Cina pula, tinjauan mendapati sokongan kepada BN adalah sebanyak 5%, PN (1%), PH (47%) dan GTA (1%). 

    Sebanyak 23% lagi mengatakan mereka tidak pasti dan 18% berkata mereka tiada kecenderungan dan 3% lagi enggan memberi maklum balas.

    Merentasi beberapa kumpulan umur, pengundi dalam kumpulan usia 18 hingga 20 tahun menunjukkan 28% daripada responden menyokong BN, PN (24%) dan PH (30%). 

    Sebanyak 10% lagi berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan menyokong mana-mana parti.

    Bagi kumpulan umur 21 hingga 40 tahun, tinjauan menunjukkan BN mendapat sokongan sebanyak 21%, PN (14%) dan PH (26%). 

    Bagi kumpulan pengundi berusia melebihi 40 tahun menyatakan sokongan kepada BN sebanyak 27%, PN (10%) dan PH (24%).

  • Bersatu persoal jika Rafizi bina kekayaan guna derma orang ramai

    Bersatu persoal jika Rafizi bina kekayaan guna derma orang ramai

    PENYANDANG kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mempersoalkan sama ada jika Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membina kekayaannya dengan menggunakan sumbangan orang ramai.

    Beliau menggesa Rafizi menjawab beberapa soalan mengenai pegangannya dalam syarikat Invoke Solutions Sdn..Bhd. demi kepentingan akauntabiliti awam.

    “Adakah Rafizi bersetuju Invoke menerima sokongan awam termasuk melalui beberapa cara kutipan dana, walaupun beliau telah memasukkan wang beliau sendiri?

    “Adakah Rafizi bersetuju bahawa saham Invoke yang kini bernilai berjuta-juta ringgit adalah sebab sokongan orang ramai dan publisiti terhadapnya untuk mendapatkan pilihan raya yang adil.

    “Mengapakah setelah diumumkan pada tahun 2017 bahawa Invoke bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi termasuk pemegang saham, beliau menyimpan saham yang telah berkaliganda nilainya sebagai harta peribadi beliau?

    “Dalam memegang kepada kenyataan beliau sendiri pada tahun 2017 bahawa Invoke adalah satu entiti tidak berasaskan keuntungan (non-profit), adalah Rafizi akan menubuhkan suatu amanah atas saham-saham untuk kepentingan awam atau beliau masih terus memegang saham itu sebagai milik peribadi beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kenyataannya itu dibuat susulan tindakan Rafizi pada 2 November lalu yang mengisytiharkan hartanya sebelum bertanding di kawasan parlimen Pandan.

    “Invoke ditubuhkan oleh Rafizi kononnya untuk kepentingan awam. Invoke telah merayu dan menerima sokongan orang ramai melalui beberapa cara kutipan dana,” kata Rashid memetik laporan Malaysiakini.

    Tambahnya, Rafizi tidak boleh menafikan perkara ini kerana maklumat tersebut boleh didapati melalui laman web pemimpin PKR itu.

    “Adalah satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan bahawa Invoke dibina berasaskan sokongan orangramai. Orang ramai yang menyokong Invoke kerana mereka dijamin oleh Rafizi bahawa Invoke wujud untuk memastikan pilihanraya yang adil.

    “Mereka menyokong untuk satu tujuan yang murni, bukan untuk memperkayakan mana-mana individu.

    “Tetapi bukankah kini jelas bahawa Rafizi telah diperkayakan oleh Invoke? Saham tersebut bernilai RM16.7 juta kini, menurut pengisytiharan beliau sendiri,” kata Rashid, sambil mendakwa bahawa pegangan Rafizi dalam syarikat itu bernilai RM16.7 juta sekarang.

    Rafizi sebelum ini berkongsi bahawa sehingga 31 Oktober lalu, aset bersihnya bernilai RM18,851,350. Hanya lebih RM1.1 juta dalam simpanan dan KWSP, manakala RM16.7 juta melalui pegangannya dalam syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd.

    “Walaupun Rafizi tidak menjual atau melupuskan saham tersebut dalam masa terdekat, ia bernilai jutaan ringgit kekayaan yang beliau memiliki. Sumber kekayaan ini adalah initiatif berciri kepentingan awam iaitu Invoke.

    “Beliau telah mengaut keuntungan, dan keuntungan yang begitu lumayan. Rakyat biasa Malaysia hanya sekadar mampu bermimpi untuk mengecapi RM16 juta, walaupun bekerja keseluruhan riwayat hidup mereka,” katanya lagi.

    Rashid berkata Timbalan Presiden PKR itu juga gagal menyatakan bahawa saham tersebut dipegang atas amanah untuk digunakan melalui program awam atau inisiatif lain yang akan memberi manfaat kepada orang ramai.

    “Ia hanya diisytiharkan sebagai hartanya sendiri, milikan beliau dan sebagai sebahagian harta peribadi beliau. Beliau juga tidak menyatakan bahawa beliau adalah pemilik nominal. Rafizi adalah pemilik berfaedah yang mutlak,” kata Rashid lagi.

    Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Razlan Rafii menyifatkan kekayaan yang dimiliki Rafizi dalam tempoh singkat adalah mencurigakan.

    Oleh itu katanya, bukan saja Rafizi perlu memberi penjelasan terperinci, malah siasatan juga perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengetahui punca kekayaan pemimpin PKR itu.

    “Kita nak tanya Rafizi tentang aset yang didedahkan yang bernilai hampir RM19 juta dan ianya jumlah yang besar bagi orang politik dan orang telah berhenti kerja dalam bidang profesional.

    “Saya tak pasti gajinya dengan Petronas dulu berapa, kalau RM200,000 (sebulan), RM18 juta dalam masa lima tahun itu sesuatu yang menakjubkan, apatah lagi kita tahu Rafizi tak pandai meniaga. Ada tuduhan dua syarikat yang beliau uruskan termasuklah Invoke mengalami kerugian.

    “Dan kita percaya Rafizi ini kerjanya mengutip sumbangan rakyat, melalui NGO dan syarikatnya. Rafizi perlu jelaskan perkara ini dan saya minta SPRM siasat hasil yang beliau dapat RM19 juta itu,” katanya kepada Malaysiakini.

    Rabu lalu, Rafizi yang juga calon PKR bagi Parlimen Pandan mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

    Pengisytiharan itu dibuat susulan syarat PKR supaya calonnya dalam pilihan raya umum 19 November ini berbuat demikian.

    Berdasarkan pengisythiran yang dibuat Rafizi, kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya.

    Jumlah ini, termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insuran di Prudental.

    Dalam pada itu Razlan membidas Rafizi yang melabur dalam Boustead, namun dalam masa sama menyerang isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang dibangunkan Boustead.

    “LCS ini dibangunkan oleh Boustead, satu-satunya syarikat yang dia (Rafizi) laburkan (dalam pengisytiharan harta) adalah dalam Boustead.

    “Dalam masa dia menuduh pelbagai salah laku dalam Boustead, dia mengambil keputusan untuk melabur dengan Boustead, jadi Rafizi kena jelaskanlah,” katanya lagi.

  • Saifuddin tegur keletah Rafizi, hormat keputusan parti

    Saifuddin tegur keletah Rafizi, hormat keputusan parti

    TINDAKAN Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang sering membuat kenyataan terbuka mengenai proses pemilihan parti bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nyata tidak disenangi ramai.

    Tidak terkecuali, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta Rafizi untuk menghentikan kelakukan tersebut.

    Saifuddin berkata, Rafizi perlu menghormati dan patuh kepada keputusan parti berhubung pemilihan calon bagi PRU-15.

    “Parti telah buat keputusan. Hormat dan patuh. Elak buat kenyataan tentang hujah, alasan atau siapa di sebalik sesuatu keputusan itu dibuat.

    “Calon telah dimuktamad. Itu keputusan bersama. Ini keputusan parti. Tidak semua perbincangan dalaman parti perlu di hebah. Proses parti perlu dihormati,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Saifuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi mengenai perbezaan pandangan antara dirinya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pemilihan calon Parlimen Sungai Buloh.

    Terdahulu, Rafizi berkata bahawa beliau dan jawatankuasa pemilihan calon parti itu pada mulanya mencadangkan agar penyandang kerusi Parlimen itu, R. Sivarasa mempertahankan Sungai Buloh pada PRU-15.

    Begitupun, Rafizi berkata, Anwar mempunyai pendapat berbeza dan beliau menghormati budi bicara tersebut kerana kuasa memilih calon terletak pada Presiden.

    PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan Timbalan Ketua Penerangannya, R. Ramanan di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

    Pengumuman Ramanan sebagai calon PKR di Sungai Buloh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahlinya yang mendesak supaya Sivarasa dikekalkan atau calon lain dipilih.

  • Pencuri tertidur sebelum ditangkap tauke kedai makan

    Pencuri tertidur sebelum ditangkap tauke kedai makan

    NIAT seorang lelaki untuk mencuri di sebuah kedai makan terbantut selepas ditangkap oleh pemilik ketika tertidur semasa melakukan jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku di Johan Setia, Klang, 8.30 pagi kelmarin.

    Katanya, suspek tertidur selepas terlebih dos dadah yang diambil sebelum bertindak masuk ke dalam kedai.

    “Pengadu seorang peniaga mendapati pintu belakang kedai telah diumpul dan menemui suspek dalam keadaan terbaring.

    “Pengadu kemudian telah menahan suspek dan menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan untuk bantuan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil semakan suspek berusia 23 tahun memiliki pelbagai rekod lampau atas kesalahaan jenayah dan dadah.

    “Suspek ditemui dalam keadaan cedera di kepala, muka dan badan dipercayai telah dipukul oleh orang awam.

    “Suspek telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya lapor Utusan TV.

    Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, suspek masuk melalui pintu bahagian belakang kedai dengan cara mengumpil mengunakan tangan.

    Cha Hoong Fong berkata, suspek telah dituduh dibawah seksyen 453 Kanun Keseksaan di Mahkamah Klang, semalam.

  • Jamal ada kes bankrap, tak layak jadi calon Sungai Besar: Teresa Kok

    Jamal ada kes bankrap, tak layak jadi calon Sungai Besar: Teresa Kok

    CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Seri Jamal Md Yunos bukan calon yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata bekas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

    Dalam surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Kok berkata Jamal masih menjalani prosiding kebankrapan susulan saman fitnahnya terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu pada 2017 yang menuduhnya menyalahgunakan RM2 juta dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

    “Berkaitan perkara di atas, saya benar-benar percaya Jamal bukanlah individu yang sesuai untuk dinamakan sebagai calon bertanding pada PRU-15 kerana ada kemungkinan beliau akan diisytiharkan bankrap daripada prosiding muflis.

    “Justeru, saya membantah pencalonan Jamal sebagai calon untuk bertanding pada PRU-15 dan menggesa sebarang pencalonan seperti itu ditolak.

    “Segala kerjasama daripada Tan Sri dalam memastikan dan menyokong ketelusan dan kesinambungan proses PRU-15 amat dihargai,” kata Kok dalam surat itu.

    Selasa lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jamal sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya 19 November ini.

    Pada Julai, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar pampasan RM300,000 dan RM50,000 kepada Kok, berikutan keputusan saman fitnah terhadapnya, lapor Agendadaily.

    Pada 18 September lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan setelah Jamal gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi susulan kemenangannya dalam saman fitnah ke atas sebelum ini.

    Notis muflis itu difailkan peguam SN Nair & Partners terhadap Jamal kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah yang memerintahkan Jamal membayar sejumlah RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos guaman kepada Teresa.

    Sebelum ini, Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 6 April 2017, kerana Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu menuduhnya menyeleweng RM2 juta YAWAS di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

    Selain Teresa, Jamal juga berhadapan dengan tuntutan Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah kerana menentang dan menyekat propaganda Himpunan Haram Bersih sebelum ini.