KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan setiap rakyat sentiasa mempunyai `makanan di atas meja’ meskipun ketika negara mengharungi tempoh-tempoh sukar.

Perkara itu menurut Pengersi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, telah dibuktikan Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.

Ketika itu jelas beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), pelbagai bentuk bantuan dan sokongan seperti moratorium dan bakul makanan serta banyak lagi diberikan dalam memastikan setiap rakyat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kerajaan prihatin sebeginilah juga yang kita mahu bentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan ia bukan janji kosong kerana Muhyiddin sudah mempunyai pengalaman dan telah membuktikannya ketika beliau menjadi PM kelapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengenalan dan penyerahan watikah calon-calon PN bagi 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang di Wisma Gerakan, Georgetown semalam.

Pada PRU-15, PN Pulau Pinang akan bertanding di semua 13 kerusi Parlimen di negeri itu dengan membariskan masing-masing lima calon daripada Gerakan dan Bersatu serta tiga calon daripada Pas.

Dalam pada itu Dominic berkata, PN bersedia memberi tentangan sengit dalam PRU-15 di Pulau Pinang di sebalik tanggapan negeri itu merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Ujar beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada barisan calon yang dipertaruhkan PN yang mana kesemuanya merupakan calon yang bersih dan prihatin sekali gus bakal menjanjikan sebuah Kerajaan Pusat yang stabil selepas PRU-15.

“PN tidak meletakkan calon yang tidak bersih dan ini adalah antara faktor penting yang kita pertimbangkan ketika memilih calon.

“Kesemua calon kita membawa mandat rakyat yang mahukan pemimpin yang prihatin dan bersih sekali gus akan menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil selepas PRU-15,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here