Category: Semasa

  • Lokman Adam fail tuntutan balas terhadap Ismail Sabri

    Lokman Adam fail tuntutan balas terhadap Ismail Sabri

    SELEPAS disaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial, Datuk Lokman Noor Adam pula memfailkan tuntutan balas terhadap perdana menteri itu.

    Lokman, 49, yang memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Okt lepas, mendakwa beliau telah memadam kesemua video yang didakwa memfitnah Ismail Sabri di akaun media sosialnya, seperti diarahkan oleh mahkamah sebelum ini.

    Dakwa Lokman, beliau telah mengalami kerugian dari segi pendapatan yang sepatutnya boleh dijana sekiranya penerbitan video tersebut terus berada di saluran media sosial berkenaan, dan beliau menuntut ganti rugi am, faedah serta kos.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada mahkamah supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok miliknya.

    Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

    Sementara itu, Lokman menerusi pernyataan pembelaannya yang difailkan pada tarikh sama (11 Okt), menafikan video berkenaan memfitnah Ismail Sabri, dan bukan diterbitkan dengan berniat jahat.

    Ismail Sabri selaku plaintif dalam jawapan kepada pembelaan yang difailkan pada 25 Okt lepas, mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat oleh defendan (Lokman) sebelum Pilihan Raya Umum, bertujuan untuk merosakkan karier politiknya selain plaintif memohon supaya tuntutan balas defendan ditolak oleh mahkamah.

    Pada 8 Sept lepas, Ismail Sabri, 62, selaku plaintif menyaman Lokman, 49, selepas mendakwa defendan pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam’.

    Menurut Ismail Sabri dalam pernyataan tuntutan itu, kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Naib Presiden UMNO itu berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO, untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

  • Muhyiddin paling dipercayai berbanding Anwar, Ismail Sabri berdasarkan tinjauan UUM

    Muhyiddin paling dipercayai berbanding Anwar, Ismail Sabri berdasarkan tinjauan UUM

    CALON Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di kedudukan teratas sebagai tokoh yang paling dipercayai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berdasarkan tinjauan sentimen masyarakat oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Pengerusi PN itu mendahului calon lain seperti Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lapor MalaysiaNow.

    Tinjauan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CetMA) UUM itu dijalankan bermula 6 September hingga 5 November terhadap 2,716 responden dan mendapati Muhyiddin mendapat 20 peratus diikuti Anwar (19.2 peratus) sebagai tokoh yang paling dipercayai.

    Muhyiddin menerajui pentadbiran Putrajaya pada Mac 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda negara, memaksa beliau melakukan beberapa langkah untuk membendung virus itu termasuk sekatan pergerakan dan pengagihan berbilion Ringgit kepada orang ramai yang terjejas.

    Beliau menjadi Perdana Menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Sementara itu, hasil tinjauan terhadap Ismail Sabri iaitu calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) hanya menerima 9.5 peratus kurang dari Pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr. Mahathir Mohamad (10.2 peratus) dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (10.3 peratus).

    Berhubung faktor yang menjadi pilihan pengundi ketika membuang undi, sebanyak 36.9 peratus responden berkata, parti politik menjadi faktor utama sementara manifesto dan isu berada pada kedudukan kedua (34.3 peratus) dan faktor calon di tempat ketiga (28.8 peratus).

    Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai parti paling sesuai memerintah Malaysia ketika ini, UMNO berada pada kedudukan tertinggi mendapat penerimaan sebanyak 32.7 peratus, PKR tangga kedua (26.1 peratus) dan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (15 peratus).

    Pas (17.9 peratus) sementara DAP (6.9 peratus) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (8.7 peratus).

    Ketika ditanya mengenai persepsi terhadap senario politik negara, sebanyak 34.7 peratus responden berkata politik dalam negara tidak stabil, sementara 21.7 peratus lagi berkata sukar dijangka.

    Sebanyak 16.12 peratus responden berkata senario politik ketika ini kompleks dan 16.1 peratus lagi berkata mengelirukan.

    Ketika ditanya siapakah pimpinan muda masa hadapan negara, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berada di kedudukan tertinggi 24.9 (peratus, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di tangga kedua (15.7 peratus) dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tempat ketiga (15.2 peratus).

    Berhubung perkara atau isu yang perlu menjadi keutamaan parti politik dalam PRU-15, 45.1 peratus responden berkata kos sara hidup sementara isu keadaan ekonomi pula (37.2 peratus).

    Hanya 5.3 peratus berkata pekerjaan anak muda sebagai keutamaan dan 4.4 peratus lagi memilih sukan dan rekreasi.

    Dalam pada itu, 49.2 peratus setuju supaya lebih ramai wanita harus diketengahkan sebagai calon dalam PRU-15, sementara 29.7 peratus tidak setuju dan 21.1 peratus lagi tidak pasti.

    Demografi responden dalam tinjauan yang terdiri sebahagian besarnya Melayu sebanyak 2,344 responden, Cina (122), India (77) lain-lain Bumiputera (134) dan lain-lain (39) itu turut ditanya mengenai hubungan kaum di Malaysia di mana 52.3 peratus berkata, hubungan kaum berjalan dengan baik sementara 31.6 peratus berkata tidak baik dan 16.1 peratus lagi tidak pasti.

  • Jangan banding saya dengan Tiong Lai, Rara, beri saya peluang – Roslan

    Jangan banding saya dengan Tiong Lai, Rara, beri saya peluang – Roslan

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Bentong, Datuk Roslan Hassan meminta supaya dirinya tidak dibandingkan dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Young Syefura Othman yang dikatakan calon popular di situ.

    Roslan (dua dari kanan) bersama calon lain merebut kerusi Parlimen Bentong.

    Sebaliknya beliau berkata, sebagai anak jati Felda Lurah Bilut, Bentong, beliau tidak gentar berdepan siapa sahaja calon bagi merebut kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    “Jika Tiong Lai hebat tidaklah beliau kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu, bila pernah kalah, tidaklah hebat.

    “Saya tidak gentar cuma jangan diperbandingan antara saya dan Tiong Lai ataupun Rara yang sudah pernah bergelar wakil rakyat.

    “Saya sejak berusia 20 tahun terus berkhidmat di Bentong berdasarkan kemampun saya, jadi kali ini (PRU-15) beri peluang kepada saya,” katanya ketika ditemui di sini.

    Roslan berkata, perbandingan hanya boleh dibuat antaranya dengan Tiong Lai ataupun Rara jika beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat.

    “Tiong Lai pun selepas tewas PRU-14 lalu, terus hilang, mana ada berkhidmat di Bentong, tapi saya terus berada di Bentong dan berkhidmat kepada rakyat.

    “Saya yakin pada PRU-15 kali ini pengundi Bentong bijak menilai dan memberi peluang kepada PN bukan sahaja menang di Parlimen ini malah di negeri Pahang,” katanya.

    Roslan sekali lagi berharap pengundi Bentong memberikan peluang bagi beliau berkhidmat kepada penduduk di situ seterus mereka boleh menilai wakil rakyat mana lebih baik. masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

    Sementara itu, Sahruddin berkata PRU-15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

    Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

    Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

    “Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. UMNO itu sendiri.

    “Sebetulnya UMNO ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

    Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

    Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran Pas dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

    Beliau berkata, Pas merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

    “Pas telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan Pas paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan Pas,” katanya.

  • Gesa SPRM siasat dakwaan ‘perjanjian sulit Anwar-Zahid’

    Gesa SPRM siasat dakwaan ‘perjanjian sulit Anwar-Zahid’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan wujud ‘perjanjian sulit’ antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

    Gesaan itu yang dibuat calon kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 November lalu mendakwa perkara itu serius dan rakyat mengetahui kebenaran di sebalik dakwaan tersebut.

    “Perkara ini adalah serius memandangkan ia melibatkan kepentingan negara, kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

    “Pada masa sama, ia juga melibatkan masa depan negara, sama ada kita mematuhi kedaulatan undang-undang atau kedaulatan politik,” ujar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Terdahulu, Dr. Mahathir berkata Anwar akan membantu dalam mengenepikan pertuduhan mahkamah terhadap Zahid jika beliau mendapat sokongan menjadi perdana menteri.

    Beliau juga mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan daripada penjara.

    Dalam satu kenyataan, Faizal berkata, pendedahan Dr. Mahathir harus dilihat dalam konteks peristiwa yang berlaku sejak September 2020, apabila Anwar berkata beliau mempunyai majoriti ‘kuat, kukuh dan meyakinkan’ bagi membentuk kerajaan baharu.

    “Walaupun didesak ketika itu, Anwar enggan menyatakan dari mana beliau mendapatkan bilangan sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

    “Pada masa itu juga, adalah jelas bahawa jumlah sokongan hanya boleh diperolehi daripada Ahmad Zahid dan UMNO,” katanya memetik laporan Malaysianow.

    Selepas hampir dua tahun, kemudian pada April 2022, beliau berkata, Anwar mendakwa beliau tidak dapat membentuk kerajaan pada September 2020 adalah kerana enggan bersetuju untuk ‘memberi jaminan’ membebaskan mereka yang terlibat dalam tuduhan rasuah.

    “Jika penjelasan terlewat ini benar, kenapa Anwar mengambil masa hampir dua tahun untuk berkata demikian. Mengapa beliau tidak mendedahkan perkara ini pada 2020? Justeru, penjelasannya pada 2022 adalah tidak menyakinkan,” katanya.

    Kenyataan Dr. Mahathir serupa dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini memberi amaran kepada ahli UMNO tentang kemungkinan kerjasama itu jika BN tidak mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum.

    Penganalisis politik juga tidak menolak kemungkinan itu, mengatakan hubungan kedua-dua pemimpin itu rapat sejak dalam UMNO lagi.

  • Apakah pengundi Tasek Gelugor rela jadikan Anwar PM? – Wan Saiful

    Apakah pengundi Tasek Gelugor rela jadikan Anwar PM? – Wan Saiful

    CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta pengundi kawasan itu khususnya membuka mata dan menilai kenyataan terbaharu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata akan menjadi Perdana Menteri pada 20 November ini sekiranya PH menang kerusi Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

    Menurut Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pengundi Tasek Gelugor perlu bertanya diri sendiri adakah mereka rela dipertanggungjawabkan sekiranya PKR dan DAP menguasai Putrajaya.

    “Apa yang akan kita jawab jika kita disoal siapakah yang membuka ruang untuk dua parti berfahaman kiri ini mengubah hala tuju pentadbiran Malaysia?

    “Sanggupkah warga Tasek Gelugor menjadi asbab kepada terpesongnya kerangka yang menjadi asas pembentukan Malaysia sejak sekian lama?” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam ceramahnya di sekitar Pulau Pinang semalam, Anwar yang juga Presiden PKR dilaporkan berkata, beliau akan menjadi Perdana Menteri pada 20 November iaitu selepas PRU-15 sekiranya PH berjaya memenangi kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

    Sementara itu Wan Saiful berkata, warga Tasek Gelugor perlu menolak calon PH daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang hanya merupakan proksi kepada Anwar dan DAP.

    “Kita semua tahu rekod sebenar kerajaan DAP di Pulau Pinang dan hala tuju sebenar mereka.

    “Warga Tasek Gelugor berhak mendapat wakil rakyat yang akan berkhidmat untuk Tasek Gelugor. Bukan proksi ‘pak turut’ yang hanya mahu berkhidmat untuk Anwar dan DAP sahaja.

    “Warga Tasek Gelugor berhak mendapat kerajaan yang telus dan terbaik untuk negara kita. Bukan benarkan mereka yang menguasai Pulau Pinang hari ini merampas Putrajaya pula selepas ini,” katanya.

    Sehubungan itu, tambah Wan Saiful, beliau berharap pengundi Tasek Gelugor akan mengekalkan PN di kerusi itu pada PRU-15 supaya PN dapat membawa dasar-dasar yang baik demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang prihatin, bersih dan stabil.

    Wan Saiful akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-15 kali ini dalam persaingan lima penjuru termasuk dengan calon BN (UMNO), Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

    Tiga lagi calon kerusi itu ialah Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH-Amanah); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

  • Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius semua pengundi yang layak terutamanya orang Islam.

    Tegas beliau, ini kerana, perkara itu bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.

    “Saya menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius kerana perkara ini bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal,” tulisnya di akaun Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, beliau turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa bergerak kerja secara berpasukan.

    Katanya, ini kerana calon yang akan terpilih sebagai Ahli Parlimen nanti tidak akan mampu bekerja secara berseorangan, sebaliknya memerlukan sebuah pasukan yang saling mendukung untuk mentadbir dengan pelbagai kepakaran.

    “Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.

    Pada hantaran itu, Abdul Hadi menyatakan beliau turut berkesempatan bertemu mata bersama rakyat Kelantan di Parlimen Ketereh, bersama calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor.

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Abdul Hadi bertanding mempertahankan kerusi Marang.

  • Shahidan, Ismail belum jadi ahli Pas: Takiyuddin

    Shahidan, Ismail belum jadi ahli Pas: Takiyuddin

    BEKAS ahli Parlimen Baisan Nasional (BN), Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), belum menjadi ahli Pas biarpun bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, undang-undang pilihan raya tidak menetapkan calon yang bertanding, perlu menjadi ahli sesebuah parti.

    “Kita telah mengizinkan kepada calon yang bukan ahli Pas seperti di Parlimen Arau (Shahidan) untuk bertanding. Kita juga mengeluarkan watikah untuk menggunakan logo PN di atas kuota Pas, begitu juga Parlimen Maran (Ismail) untuk bertanding atas tiket kita.

    “Setakat ini mereka belum menjadi ahli Pas dan undang-undang PRU tidak semestinya menjadi ahli. Dalam konteks ini, Pas membenarkan calon menggunakan logo Pas sebagai memenuhi syarat untuk diterima pencalonan,” katanya pada sidang media PN Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu berkata keahlian penyandang kerusi Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Naw, gugur secara automatik kerana bertanding atas tiket BN pada PRU15.

    Beliau berkata, perkara tersebut termaktub dalam Fasal 15 (1c) Perlembagaan Pas iaitu mengisytiharkan diri keluar Pas atau menyertai parti lain.

    “Jadi mana-mana ahli Pas yang melakukan tindakan sedemikian telah dianggap telah terhenti menjadi ahli Pas dan tidak perlu dipecat lagi. Kita hanya perlu memaklumkan kepadanya sahaja,” katanya.

  • Kerajaan stabil tapi tak bersih tidak diperlukan, kata Radzi

    Kerajaan stabil tapi tak bersih tidak diperlukan, kata Radzi

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

    “Ada kerajaan stabil tetapi tidak bersih tapi PN akan pastikan Malaysia sebuah negara bersih dan stabil,” katanya yang juga calon PN bagi Parlimen Putrajaya.

    Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos di Putrajaya hari ini.

    Mohd. Radzi berkata, pengalaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mentadbir negara ketika waktu paling sukar saat pandemik Covid-19 melanda negara jelas telah membuktikannya.

    “Kita ada rekod yang jelas tanpa sebarang manifesto, kita dapat berkhidmat dengan baik. Kita tidak main-main,” katanya.

    Menurutnya, manifesto yang ditawarkan oleh PN merupakan tawaran komprehensif dengan meliputi pelbagai lapisan masyarakat yang turut mengambil kira pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

    “Saya kira ia merupakan tawaran realistik dan menyeluruh,” katanya lapor Sinar Harian.

  • PN letak Rembau dalam senarai menang PRU-15

    PN letak Rembau dalam senarai menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan meletakkan Parlimen Rembau dalam senarai boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, bagaimanapun beliau mengakui ia bukan mudah kerana PN berdepan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempunyai nama besar dalam barisan kepimpinan BN.

    “Dalam sejarah politik di Rembau, tidak pernah ada parti lain yang memerintah di Parlimen ini melainkan BN.

    “Tapi dalam tempoh dua hari ini, saya tengok kita (PN) ada peluang yang besar dan baik. Oleh sebab itu, saya nak orang Rembau buat pertimbangan serta ketetapan dengan memberi kejutan dan sejarah dengan memilih PN kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN Parlimen Rembau di Rembau hari ini.

    Beliau mengakui sebahagian kekuatan PN datang daripada Pas dan pada masa sama mendapat dukungan Bersatu, Gerakan serta badan bukan kerajaan (NGO).

    Ujar Mohd. Nazree, sokongan masyarakat juga baik kerana masih ramai yang tidak berparti.

    “Jadi saya yakin arus perubahan itu dapat dilakukan di Rembau, khususnya dalam kalangan anak muda yang jumlahnya lebih 60 peratus di Parlimen Rembau,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Wanita sebak berdialog dengan Muhyiddin, mohon PN kukuhkan kembali ringgit

    Wanita sebak berdialog dengan Muhyiddin, mohon PN kukuhkan kembali ringgit

    SESI dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, semalam menarik perhatian ramai pihak.

    Ini selepas seorang peserta dikenali sebagai Mastura mengajukan, soalan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan sebak mengenangkan nasib yang menimpa.

    Mastura berkata, dia berdepan dengan situasi sukar sejak penularan Covid-19 namun berjaya bangkit melalui pelbagai inisiatif dibawa Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri.

    Namun begitu, dia yang kini terlibat dalam perniagaan makanan salai berdepan dengan tekanan sekali lagi susulan daripada kejatuhan mendadak mata wang ringgit.

    Sehubungan itu, Mastura berharap, sekiranya PN diangkat menjadi kerajaan, isu yang memberi kesan kepada peniaga kecil ini dapat diselesaikan.

    Menjawab soalan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau memahami permasalahan membelenggu peniaga kecil yang rata-ratanya masih terjejas sehingga kini.

    Oleh disebabkan itu, katanya, PN akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan kembali ekonomi negara sebagai agenda utama yang perlu diberikan tumpuan khusus sekiranya diberi mandat kelak.

    “Sekarang ini oleh kerana ringgit dikaitkan dengan soal dolar bila Amerika menaikkan kadar QPR dan sebagainya, maka kesannya ke seluruh dunia dan Malaysia juga terkesan.

    “Jadi perkara pokok kepada segala apa yang disebutkan tadi ialah macam mana kita nak kukuhkan balik kedudukan ekonomi kita.

    “Itu sebab agenda yang saya sebut tadi ‘is to strengthen back’ dan proses ‘recovery’ itu mesti dipercepatkan supaya kedudukan ringgit kita makin kukuh dan ini akan menjamin harga yang lebih stabil,” katanya, lapor Utusan TV.

    Muhyiddin menambah, apabila ekonomi negara kuat dan mampu menjana pendapat sendiri maka kebergantungan kepada pihak lain seperti dialami sekarang tidak akan berlaku.