CALON Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di kedudukan teratas sebagai tokoh yang paling dipercayai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berdasarkan tinjauan sentimen masyarakat oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengerusi PN itu mendahului calon lain seperti Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lapor MalaysiaNow.

Tinjauan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CetMA) UUM itu dijalankan bermula 6 September hingga 5 November terhadap 2,716 responden dan mendapati Muhyiddin mendapat 20 peratus diikuti Anwar (19.2 peratus) sebagai tokoh yang paling dipercayai.

Muhyiddin menerajui pentadbiran Putrajaya pada Mac 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda negara, memaksa beliau melakukan beberapa langkah untuk membendung virus itu termasuk sekatan pergerakan dan pengagihan berbilion Ringgit kepada orang ramai yang terjejas.

Beliau menjadi Perdana Menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, hasil tinjauan terhadap Ismail Sabri iaitu calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) hanya menerima 9.5 peratus kurang dari Pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr. Mahathir Mohamad (10.2 peratus) dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (10.3 peratus).

Berhubung faktor yang menjadi pilihan pengundi ketika membuang undi, sebanyak 36.9 peratus responden berkata, parti politik menjadi faktor utama sementara manifesto dan isu berada pada kedudukan kedua (34.3 peratus) dan faktor calon di tempat ketiga (28.8 peratus).

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai parti paling sesuai memerintah Malaysia ketika ini, UMNO berada pada kedudukan tertinggi mendapat penerimaan sebanyak 32.7 peratus, PKR tangga kedua (26.1 peratus) dan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (15 peratus).

Pas (17.9 peratus) sementara DAP (6.9 peratus) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (8.7 peratus).

Ketika ditanya mengenai persepsi terhadap senario politik negara, sebanyak 34.7 peratus responden berkata politik dalam negara tidak stabil, sementara 21.7 peratus lagi berkata sukar dijangka.

Sebanyak 16.12 peratus responden berkata senario politik ketika ini kompleks dan 16.1 peratus lagi berkata mengelirukan.

Ketika ditanya siapakah pimpinan muda masa hadapan negara, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berada di kedudukan tertinggi 24.9 (peratus, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di tangga kedua (15.7 peratus) dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tempat ketiga (15.2 peratus).

Berhubung perkara atau isu yang perlu menjadi keutamaan parti politik dalam PRU-15, 45.1 peratus responden berkata kos sara hidup sementara isu keadaan ekonomi pula (37.2 peratus).

Hanya 5.3 peratus berkata pekerjaan anak muda sebagai keutamaan dan 4.4 peratus lagi memilih sukan dan rekreasi.

Dalam pada itu, 49.2 peratus setuju supaya lebih ramai wanita harus diketengahkan sebagai calon dalam PRU-15, sementara 29.7 peratus tidak setuju dan 21.1 peratus lagi tidak pasti.

Demografi responden dalam tinjauan yang terdiri sebahagian besarnya Melayu sebanyak 2,344 responden, Cina (122), India (77) lain-lain Bumiputera (134) dan lain-lain (39) itu turut ditanya mengenai hubungan kaum di Malaysia di mana 52.3 peratus berkata, hubungan kaum berjalan dengan baik sementara 31.6 peratus berkata tidak baik dan 16.1 peratus lagi tidak pasti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here