SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan wujud ‘perjanjian sulit’ antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Gesaan itu yang dibuat calon kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 November lalu mendakwa perkara itu serius dan rakyat mengetahui kebenaran di sebalik dakwaan tersebut.

“Perkara ini adalah serius memandangkan ia melibatkan kepentingan negara, kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Pada masa sama, ia juga melibatkan masa depan negara, sama ada kita mematuhi kedaulatan undang-undang atau kedaulatan politik,” ujar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Terdahulu, Dr. Mahathir berkata Anwar akan membantu dalam mengenepikan pertuduhan mahkamah terhadap Zahid jika beliau mendapat sokongan menjadi perdana menteri.

Beliau juga mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan daripada penjara.

Dalam satu kenyataan, Faizal berkata, pendedahan Dr. Mahathir harus dilihat dalam konteks peristiwa yang berlaku sejak September 2020, apabila Anwar berkata beliau mempunyai majoriti ‘kuat, kukuh dan meyakinkan’ bagi membentuk kerajaan baharu.

“Walaupun didesak ketika itu, Anwar enggan menyatakan dari mana beliau mendapatkan bilangan sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Pada masa itu juga, adalah jelas bahawa jumlah sokongan hanya boleh diperolehi daripada Ahmad Zahid dan UMNO,” katanya memetik laporan Malaysianow.

Selepas hampir dua tahun, kemudian pada April 2022, beliau berkata, Anwar mendakwa beliau tidak dapat membentuk kerajaan pada September 2020 adalah kerana enggan bersetuju untuk ‘memberi jaminan’ membebaskan mereka yang terlibat dalam tuduhan rasuah.

“Jika penjelasan terlewat ini benar, kenapa Anwar mengambil masa hampir dua tahun untuk berkata demikian. Mengapa beliau tidak mendedahkan perkara ini pada 2020? Justeru, penjelasannya pada 2022 adalah tidak menyakinkan,” katanya.

Kenyataan Dr. Mahathir serupa dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini memberi amaran kepada ahli UMNO tentang kemungkinan kerjasama itu jika BN tidak mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum.

Penganalisis politik juga tidak menolak kemungkinan itu, mengatakan hubungan kedua-dua pemimpin itu rapat sejak dalam UMNO lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here