Category: Semasa

  • Ikmal Hisham nafi dakwaan Rafizi, akan ambil tindakan undang-undang

    Ikmal Hisham nafi dakwaan Rafizi, akan ambil tindakan undang-undang

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sekali lagi kesal dengan tuduhan berterusan dilemparkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli terhadapnya walaupun telah membuat laporan polis berhubung penafian penglibatannya dengan perolehan/syarikat yang terlibat dengan Self-Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia.

    Susulan itu beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tanah Merah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi bertujuan membersihkan namanya. Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

    CUKUP-CUKUPLAH SAUDARA RAFIZI DENGAN FITNAH SKANDAL KE ATAS ORANG LAIN

    Alhamdulillah telah selesai sesi penamaan calon bagi Parlimen P.027, Tanah Merah pada 5 November 2022. InshaAllah berkat dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari warga Tanah Merah, saya akan mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada PRU ke-15 ini. Saya juga sangat bersyukur dan amat menghargai sokongan yang telah ditunjukkan kepada saya semasa hari penamaan calon tempoh hari.

    Dalam kesibukan tempoh berkempen ini, saya juga telah membaca dan meneliti kenyataan media yang dikeluarkan oleh saudara Rafizi Ramli bertarikh 7 November 2022. Kenyataan media tersebut sekali lagi telah memetik nama saya dengan tohmahan perbekalan aset untuk Kementerian Pertahanan. Untuk makluman, perkara ini bukanlah pertama kali disentuh oleh saudara Rafizi malah satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau sebulan yang lalu iaitu pada 7 Oktober 2022 berkenaan kenyataan fitnah berhubung perkara yang sama.

    Jika dilihat kepada momentum tersebut, mudah untuk kita fahami saudara Rafizi cuba menimbulkan persepsi negatif kepada calon dari Perikatan Nasional dengan saya dijadikan sasaran bagi tujuan mempengaruhi undi rakyat. Percayalah, rakyat Malaysia tidak gemar kepada politik benci-membenci apatah lagi fitnah yang amat jijik berdasarkan imiginasi dan rekaan saudara Rafizi sendiri. Hayatilah Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan”.

    Kenyataan media tersebut turut menyatakan bahawa saya adalah mantan Timbalan Menteri Pertahanan. Untuk pengetahuan saudara Rafizi, pada hari ini saya masih lagi ‘caretaker’ Timbalan Menteri Pertahanan dan jelas perkara asas seperti jawatan sayapun saudara Rafizi telah tersilap. Sekiranya perkara asas tersebut Saudara Rafizi secara terangan tersasar, maka sukarlah rakyat untuk percaya pembohongan dan
    fitnah yang saudara Rafizi tohmahkan kepada saya.

    Selepas fitnah yang telah saudara Rafizi keluarkan sebelum ini, saya telah membuat laporan polis penafian penglibatan saya dengan perolehan/syarikat yang terlibat dengan Self-Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia. Perolehan SPH adalah salah satu daripada pelbagai perolehan perbekalan/aset yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan memantapkan
    pertahanan negara. Memandangkan nilai perolehan tersebut agak besar, maka adalah menarik untuk kaitkan seorang ahli politik dengan perolehan ini bagi memberi gambaran buruk kepada masyarakat. Ianya sangat menyedihkan apabila dengan mudah saudara Rafizi membuat tanggapan saya amat berkuasa untuk mempengaruhi sesuatu perolehan di Kementerian Pertahanan, seolah-olah pegawai di Kementerian dan ATM membuat kerja secara semberono sahaja tanpa perlu mengikut peraturan sedia ada. Kenyataan fitnah seperti ini adalah suatu penghinaan bagi pegawai-pegawai kerajaan yang telah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa berusaha bagi memastikan kesiagaan pertahanan negara berada dalam tahap tertinggi. Semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat dan mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Tiada sesiapapun yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan ‘end-user’ dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara.

    Saya sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya terlibat/mempunyai kepentingan dalam syarikat/proses perolehan SPH seperti yang didakwa. Sebagai ‘abang’ kepada ‘adik’ yang telah membesar menuntut ilmu di sekolah yang sama, saya ingin menasihatkan saudara Rafizi untuk menghentikan fitnah yang terus dikaitkan dengan saya dan orang lain. Saya suka mengingatkan diri saya sendiri dan saudara Rafizi untuk kita bersama-sama menggunakan tempoh berkempen ini bagi memenangi hati rakyat secara sihat tanpa tindakan-tindakan negatif yang akhirnya akan menimbulkan kebencian sesama kita.

    Untuk makluman saudara Rafizi juga, Perikatan Nasional mempunyai proses tapisan yang ketat sebelum seseorang itu dilantik sebagai calon PRU ke-15 ini. Semua calon perlu menjalani tapisan oleh pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Alhamdulillah, saya dan calon-calon Perikatan Nasional telah melepasi semua tapisan tersebut dan InshaAllah saya akan terus kekal bersih.

    Jika sebelum ini saya mengenangkan brotherhood ‘MCKK’ dan hanya membuat laporan polis terhadap fitnah yang saudara Rafizi lemparkan kepada saya, namun pada kali ini saya tiada pilihan dan telah menghubungi peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada ‘adik’ saya selepas PRU ke-15 sekiranya fitnah ini berterusan.

    Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
    Timbalan Menteri Pertahanan
    8 November 2022

  • Saya tidak pernah jumpa Jho Low, kata peguam

    Saya tidak pernah jumpa Jho Low, kata peguam

    RAKAN kongsi firma guaman Wong & Partners, yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam urusan pembiayaannya pada 2010 berkata, beliau tidak pernah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

    Lim Chin Hian, 52, yang mengetuai Kumpulan Amalan Kewangan & Projek di firma guaman itu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau 100 peratus yakin tidak pernah bertemu Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan bahawa beliau pernah menemui ahli perniagaan itu.

    Lim berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion milik 1MDB.

    Muhammad Shafee bagaimanapun menegaskan bahawa terdapat saksi pembelaan yang tidak dinamakan bagi kes itu yang mendakwa saksi tersebut telah menghadiri mesyuarat bersama Jho Low dan seorang lagi rakan kongsi Wong & Partners, Brian Chia.

    Muhammad Shafee: Saya akan tanya soalan ini dan saya berharap kamu akan mengingati peristiwa yang berlaku, sejujur mungkin di mahkamah. Kamu pernah jumpa Jho Low?

    Lim: Saya tidak pernah jumpa Jho Low. Seratus peratus saya tidak jumpa Jho Low.

    Muhammad Shafee: Bagaimana jika saya katakan bahawa kami mempunyai saksi daripada 1MDB yang namanya tidak akan kami dedahkan, siapa sebenarnya menghadiri mesyuarat yag dihadiri Jho Low, Brian Chia hadir dan anda hadir?

    Lim: Saya tidak bersetuju.

    Peguam itu kemudiannya menyoal mengenai AS$700 juta daripada AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah entiti milik Jho Low.

    Lim berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya dan tidak menyedari wang itu tidak dihantar kepada syarikat JV itu.

    Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada Lim bahawa pendapat undang-undang yang diberikan oleh Chia, yang mencadangkan bahawa tidak mengapa untuk menghantar wang kepada Good Star telah menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian AS$700 juta.

    Saksi sekali lagi menjawab beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa nasihat yang diberikan (oleh Chia) adalah untuk melindungi orang tertentu dalam pengurusan 1MDB. Pendapat undang-undang ini dibuat untuk menguntungkan Jho Low dan menyebabkan 1MDB kerugian AS$700 juta.

    Lim: Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan tidak boleh mengulas.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Nov.

  • Tiada kompromi anggota, pegawai Imigresen terbabit penyeludupan migran

    Tiada kompromi anggota, pegawai Imigresen terbabit penyeludupan migran

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya didapati bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tegas termasuklah dibuang kerja boleh diambil terhadap mereka yang terbabit sekiranya didapati bersalah.

    “Tidak kiralah berapa ramai sekalipun, kita akan tangkap dan gantikan mereka ini dengan pegawai-pegawai baharu.

    “Jangan risau kalau kita tangkap ramai, ini bermakna kita selesaikan masalah yang busuk ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di Sungai Bayor, Perak, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian mengulas tangkapan terkini membabitkan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

    Hamzah pada sama mengakui pembabitan anggota penguat kuasa sendiri dalam kegiatan jenayah sedemikian ibarat ‘kanser’ yang berisiko merosakkan agensi terbabit.

    “Sekiranya kumpulan berkenaan terlampau banyak ia akan menyebabkan agensi itu akan bermasalah.

    “Justeru, usaha awal perlu dilakukan bagi membendung jenayah berkenaan yang dikhuatiri akan menjejaskan agensi berkenaan kelak,” katanya.

    Semalam media melaporkan, 14 individu terdiri dua ‘transporter’ warga tempatan dan 12 migran warga Indonesia ditahan di KIK di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

    Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Johor giat memburu pegawainya yang dipercayai mendalangi kegiatan terbabit.

  • ‘Bacalah dulu manifesto PN sebelum komen’- Radzi

    ‘Bacalah dulu manifesto PN sebelum komen’- Radzi

     “DIA tidak baca manifesto, saya gesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bacalah dulu baru komen,” kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang menempelak cadangan PN untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan.

    Radzi berkata, tawaran itu tidak terkandung dalam manifesto Tawaran PN Best sebaliknya dijawab Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi dialog awam (Townhall) selepas pelancaran manifesto berkenaan.

    “Ini (pengeluaran KWSP) tidak ada dalam tawaran PN, perkara itu ketika ditanya pada sesi itu apakah akan dipertimbangkan, jadi Tan Sri Muhyiddin jawab sekiranya terdapat keperluan mengambil kira keadaan, masa dan syarat tertentu, perkara ini boleh dilihat,” katanya ketika ditemui pada program mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 di Putrajaya, hari ini, memetik laporan BH Online.

    Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PN Best, berkata Anwar wajar meneliti dahulu manifesto lawan sebelum memberi pandangannya.

    “Itu sahaja konteksnya, jangan ambil atas sahaja, ia ditanya ketika sesi Townhall PN, kami sahaja yang berani buat Townhall.

    “Jadi saya harap pihak media boleh bantu secara jelas, kita ini bila nak buat sesuatu kita ambil pelbagai aspek dan terbuka untuk menerima pandangan,” katanya.

    Semalam Anwar berkata, PN disifatkan ketandusan modal berkempen sehingga sanggup menekan rakyat dengan cadangan berkenaan.

    Beliau berkata, tawaran PN itu dilihat jelas cuba menekan rakyat yang ketika ini terhimpit akibat kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan.

  • Rasman persoal sumbangan Khaled Nordin di Kota Tinggi sewaktu jadi MB

    Rasman persoal sumbangan Khaled Nordin di Kota Tinggi sewaktu jadi MB

    PENGARAH Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Johor, Rasman Ithnain mempersoalkan sumbangan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilihat tidak mempedulikan pembangunan di Kota Tinggi.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi itu mendakwa, apa yang lebih menonjol cuma taburan janji yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO itu semasa menjadi Menteri Besar Johor.

    “Janji-jani yang pernah diutarakan Khaled sebelum ini juga masih belum ditunaikan, namun, dalam masa sama masuk Kota Tinggi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Beliau tidak pernah prihatin dan peduli terhadap penduduk apatah lagi soal pembangunan di Kota Tinggi. Misalnya, isu bekalan air di daerah ini dan keperluan lot tanah perumahan generasi kedua langsung tak dipedulikan ketika itu.

    “Janji beliau untuk naik taraf Masjid Tanjung Sedili juga hanya omong kosong. Janji untuk bagi geran hak milik satu ekar tanah setiap seorang di Kampung Tuan Seh juga hanya tinggal janji.

    “Bila nak bertanding PRU15, beliau (Khaled) sekali lagi tabur janji untuk buat perubahan di Kota Tinggi sedangkan janji yang lama masih belum ditunaikan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PN Kota Tinggi, Kota Tinggi, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, tindakan Khaled bertanding pada kali ini hanya sebagai ‘batu loncatan’ buat beliau untuk menghidupkan kembali karier politiknya setelah tewas beberapa kali sebelum ini.

    Selain itu, Rasman berpendapat, sudah tiba masanya untuk penduduk di Kota Tinggi mendapatkan pemimpin wajah baharu bagi membela nasib rakyat yang tidak mempunyai sebarang perubahan untuk tempoh lima tahun lalu.

  • PRU-15 luar biasa, penting dalam sejarah negara-Muhyiddin

    PRU-15 luar biasa, penting dalam sejarah negara-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat penting dalam sejarah negara.

    “Ia amat luar biasa. Jadi amat perlu untuk kita semua khususnya jentera parti bekerja keras memastikan kemenangan besar PN dalam PRU-15. Kita hendak membentuk kerajaan yang stabil.

    “Kalau negara ini terlepas ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, bagaimana dengan nasib anak cucu kita di masa hadapan? Fikirlah masak-masak.

    “Syukur, dalam tempoh beberapa hari ini, nampaknya seperti ada gelombang rakyat untuk membersihkan negara kita ini daripada kemungkaran. Rakyat seperti sudah sedar dan mula menolak pemimpin yang korup dan terpalit dengan pelbagai kes rasuah atau pecah amanah.

    “Justeru sokonglah calon-calon Perikatan Nasional yang telah terbukti bebas rasuah. Di Kawasan Parlimen Jerlun, sokonglah calon kita daripada Pas iaitu Dr. Haji Abd Ghani atau Ustaz Ghani,” katanya entri terbaharu Facebook miliknya, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik foto beliau berkempen di Medan Makan Pekan Jitra (PJ) dan Dataran Perniagaan Haji Mohd Salleh di Pekan Padang Sera, Kodiang, Kedah.

    “Hari ini saya berpeluang bersarapan atau orang Kedah kata ‘menyorok’ di Medan Makan Pekan Jitra (PJ) sebelum ke Dataran Perniagaan Haji Mohd Salleh di Pekan Padang Sera, Kodiang, yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerlun.

    “Sambutan yang saya terima amat baik sekali. Ramai yang datang dan wajah masing-masing cukup teruja dan bersemangat.

    “Bagi saya ini menggambarkan sokongan terbuka rakyat khususnya warga sekitar Kubang Pasu dan Jerlun terhadap Perikatan Nasional (PN). Alhamdulillah,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Semasa meninjau Medan Makan Pekan Jerlun beliau bangga apabila beberapa peniaga kecil mengatakan perniagaan mereka sudah beransur pulih.

    Katanya, mereka berterima kasih kerana bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang diterima daripada kerajaan PN semasa beliau menjadi Perdana Menteri banyak membantu mereka untuk terus berniaga.

    “Sebelum berlepas ke Perlis, saya sempat meluangkan masa menziarah tokoh yang cukup disegani di kawasan Jerlun ini iaitu Haji Mohd. Salleh Lebai Junus atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mat Yeh.

    “Alhamdulillah kehadiran saya di kediaman beliau di Kampung Kubang Menerong, Mukim Ah, diterima baik. Saya lihat beliau yang sudah berusia 84 tahun masih sihat. Saya doakan agar beliau terus sihat walafiat,” katanya.

    Muhyiddin berkata, banyak nasihat serta pandangan diberikan Mohd. Salleh mengenai politik semasa.

  • Pemuda Pas gesa lapor SPRM isu tebatan banjir

    Pemuda Pas gesa lapor SPRM isu tebatan banjir

    PEMUDA Pas menggesa pemimpin pembangkang melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa memberi projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemimpin berkenaan juga perlu memdedahkan tandatangan atau arahan daripada menteri yang meluluskan segera projek tersebut.

    Tanpa menamakan siapa pemimpin yang dimaksudkan, namun gesaan Ahmad Fadhil itu dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    “Jika benar dedahkanlah. Hendak suruh lapor ke SPRM, memang daripada dulu lagi atau beliau tidak pandai guna Waze untuk ke pejabat SPRM.

    “Saya kagum dengan beliau, daripada mana beliau dapat kemahiran berbohong sebegini? di gua atau laut mana?.

    “Tambahan pula, menteri tersebut (Tuan Ibrahim) terus menafikan tidak menandatangani apa-apa dokumen tender selepas Parlimen dibubarkan selaras arahan KSU. ” ujarnya menerusi laman Facebook hari ini.

    Semalam, Rafizi Ramli mendedahkah KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Dakwanya, sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sehubungan itu, Rafizi menggesa Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

    Tambah Ahmad Fadhli, dulu pemimpin pembangkang itu pernah membuat dakwaan dengan begitu yakin bahawa akan mendedahkan pemimpin penting Pas yang menerima wang daripada 1MDB.

    “Namun akhirnya yang didedahkan hanyalah bekas pemimpin Pas yang sudah lama tidak berada dalam ‘line-up’ pemimpin parti sejak tahun 2011.

    “Selain itu, beliau juga dengan yakin berceramah di atas pentas, Pas sudah tidak berani buat ceramah besar. Peliknya masa tu Pas dalam siri mengadakan himpunan-himpunan besar di seluruh negara.

    “Pelik sungguh, sama ada beliau memang tidak tahu atau beliau ada kemahiran berbohong yang begitu tinggi,” jelasnya memetik laporan Sinar Harian.

  • Rogol anak tiri: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 15 tahun

    Rogol anak tiri: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 15 tahun

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang lelaki berusia 60 tahun kerana merogol anak tiri perempuannya pada 2017.

    Ini selepas warga emas itu, seorang pemandu buggy yang telah bersara, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.

    Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan juga memerintahkan lelaki itu dikenakan dua sebatan.

    Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Has Zanah berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan ketika mensabitkan lelaki itu bagi kesalahan merogol yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

    “Hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan rogol, berdasarkan fakta kes adalah wajar,” kata hakim ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukumannya.

    Beliau bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan hukuman sebat terhadap lelaki itu kerana Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan hukuman sebat dikenakan ke atas pesalah walaupun tertuduh berumur lebih 50 tahun bagi kesalahan rogol.

    Lelaki itu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 12 Nov 2019  dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan rotan kerana merogol anak tirinya yang ketika itu mangsa berusia 17 tahun di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada Oktober 2017.

    Dia juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan selama tiga tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Pada 5 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan tetapi mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 15 tahun dan mengetepikan hukuman lima sebatan rotan.

    Peguam Hamdan Hamzah mewakili lelaki warga emas itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad hadir bagi pihak pendakwaan.

  • Zahid tak yakin BN mampu tubuh kerajaan

    Zahid tak yakin BN mampu tubuh kerajaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kenyataan dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan tersebut bersedia melaksanakan apa saja kaedah termasuk bergabung dengan parti lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, menunjukkan betapa BN tidak yakin mampu untuk untuk membentuk kerajaan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ahmad Zahid bagaimanapun bercakap seolah-olah beliau mahu membentuk kerajaan.

    “Itu pandangan beliau sebaliknya pandangan saya adalah, biarkan kita hadapi dulu PRU-15 ini. Saya menjangkakan dan berharap akan berlaku satu gelombang yag akan membersihkan segala sampah sarap politik yang ada dalam negara ini antaranya BN dan Pakatan Harapan (PH).

    “Saya fikir kemungkinan-kemungkinan itu boleh berlaku. Jadi saya tak boleh buat telahan menyatakan kalau kita tak cukup bilangan, kita sedia bekerjasama dengan parti-parti lain.

    “Itu satu pernyataan dari Presiden UMNO bahawa beliau sendiri tak yakin untuk bentuk kerajaan. Tetapi dia cakap macam nak bentuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas bersarapan bersama masyarakat di Medan selera PJ2 dekat Jitra, hari ini.
       
    Muhyiddin berkata, apa jua yang hendak diperkatakan Ahmad Zahid merupakan hak beliau namun bagi PN, perkara itu sudah dibincangkan dengan semua parti yang membentu gabungan tersebut.

    “Kita tau apa pendirian parti masing-masing dan melalui perbincangan, kita dah buat ketetapan untuk masuk dulu ke dalam PRU kali ini. Apa yang akan berlaku pada masa depan, Wallahualam, kita tak tahu.

    “Jadi sebaik mungkin adalah, kita berjuang habis-habisan atau sampai penghujung PRU ini dengan harapan memperolehi sokongan besar dari pengundi agar berjaya membentuk kerajaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kesepakatan ditunjukkan PN terutamanya berkaitan calon-calon yang dinamakan untuk bertanding menunjukkan betapa gabungan itu merupakan yang paling stabil untuk membentuk kerajaan.

    “Kita tak ada masalah hubungan antara parti dengan masing-masing tiada apa hendak diselindungkan. Memang tak ada krisis besar melanda PN.

    “Sikit-sikit itu biasalah tetapi yang besar memang tak ada. Jadi ini berikan satu pandangan dalam kalangan masyarakat umum bahawa PN berpegang kepada apa dijanjikan iaitu prihatin untuk membantu rakyat serta bersih tanpa ada satu pun kes rasuah, korupsi serta penyalah gunaan kuasa dalam kalangan pimpinan parti,” katanya.

  • PRU-15: Dr Rosni akui PN ada kelebihan di Titiwangsa

    PRU-15: Dr Rosni akui PN ada kelebihan di Titiwangsa

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Titiwangsa, Dr. Rosni Adam tidak menganggap persaingan dua nama besar di kerusi tersebut sebagai cabaran besar tetapi sebaliknya satu kelebihan buat beliau.

    Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, pertembungan dua calon ‘heavyweight’ terbabit berpotensi menyebabkan pengundi mengalihkan sokongan kepada calon alternatif di kawasan berkenaan.

    Dua nama besar itu merujuk kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada BN dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad (PH) yang akan bersaing bagi merebut Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

    Selain Dr. Rosni, turut tampil memberikan cabaran sebagai calon di Parlimen Titiwangsa adalah Pengerusi Perhubungan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA).

    “Sebabnya, PN adalah parti yang walaupun baharu tapi ada pengalaman memerintah. Kemudian kita juga parti yang meletakkan syarat utamanya adalah prihatin rakyat, bersih dan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan Walkabout di Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada PRU-14, kerusi tersebut dimenangi oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 34,193 undi.

    Rina yang kini beralih untuk bersaing di Parlimen Sepang dalam PRU-15 menewaskan Johari yang pada masa itu cuba mempertahankan Parlimen berkenaan buat penggal kedua.

    Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa pada PRU-13.

    Dalam pada itu, tindakan PH memindahkan Khalid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Shah Alam selama tiga penggal dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan memperlihatkan gabungan tersebut juga begitu bersungguh-sungguh untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

    Untuk rekod, Pas merupakan parti yang sentiasa konsisten meletakkan calon di Parlimen Titiwangsa dalam hampir setiap PRU sejak mula diwujudkan pada tahun 1986.

    Malah, Pas juga pernah mencipta kejutan dengan merampas kerusi Titiwangsa yang ketika itu merupakan kubu kuat BN menerusi calon wanitanya, Allahyarhamah Dr. Lo’lo’ Mohamad Ghazali pada PRU-15.

    Dr. Rosni berkata, keterbukaan pengundi di kawasan tersebut untuk menerima calon wanita juga merupakan satu kelebihan buat dirinya yang merupakan calon wanita tunggal di kerusi berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau yang merupakan doktor gigi turut yakin bahawa rekod pencapaian PN sebagai kerajaan dalam membantu dan membela rakyat ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 mampu menarik pengundi di situ untuk memberikan sokongan kepada gabungan itu pada PRU kali ini.

    Pada masa sama, Dr. Rosni yang juga merupakan anak jati dari Titiwangsa itu berkata, penglibatan beliau sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat merupakan kekuatan yang boleh meyakinkan pengundi.

    “Jadi kerja kebajikan menyantuni rakyat dan menyelami pahit getir kehidupan di bandar memang sebati dengan saya sementelah pula saya membesar di Kuala Lumpur,” ujarnya.

    Tambahnya, terdapat beberapa isu di kawasan berkenaan yang turut mendapat perhatiannya untuk ditangani sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat antaranya isu pendidikan khususnya membabitkan pengajian agama di peringkat menengah serta masalah pemilikan tanah orang Melayu.

    Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020), komposisi penduduk di Titiwangsa terbahagi kepada Melayu dan Bumiputera yang mewakili 67.7 peratus, Cina (23.3 peratus), India (7.6 peratus) dan peratusan kecil untuk yang lain-lain.