Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat penting dalam sejarah negara.

“Ia amat luar biasa. Jadi amat perlu untuk kita semua khususnya jentera parti bekerja keras memastikan kemenangan besar PN dalam PRU-15. Kita hendak membentuk kerajaan yang stabil.

“Kalau negara ini terlepas ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, bagaimana dengan nasib anak cucu kita di masa hadapan? Fikirlah masak-masak.

“Syukur, dalam tempoh beberapa hari ini, nampaknya seperti ada gelombang rakyat untuk membersihkan negara kita ini daripada kemungkaran. Rakyat seperti sudah sedar dan mula menolak pemimpin yang korup dan terpalit dengan pelbagai kes rasuah atau pecah amanah.

“Justeru sokonglah calon-calon Perikatan Nasional yang telah terbukti bebas rasuah. Di Kawasan Parlimen Jerlun, sokonglah calon kita daripada Pas iaitu Dr. Haji Abd Ghani atau Ustaz Ghani,” katanya entri terbaharu Facebook miliknya, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik foto beliau berkempen di Medan Makan Pekan Jitra (PJ) dan Dataran Perniagaan Haji Mohd Salleh di Pekan Padang Sera, Kodiang, Kedah.

“Hari ini saya berpeluang bersarapan atau orang Kedah kata ‘menyorok’ di Medan Makan Pekan Jitra (PJ) sebelum ke Dataran Perniagaan Haji Mohd Salleh di Pekan Padang Sera, Kodiang, yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerlun.

“Sambutan yang saya terima amat baik sekali. Ramai yang datang dan wajah masing-masing cukup teruja dan bersemangat.

“Bagi saya ini menggambarkan sokongan terbuka rakyat khususnya warga sekitar Kubang Pasu dan Jerlun terhadap Perikatan Nasional (PN). Alhamdulillah,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Semasa meninjau Medan Makan Pekan Jerlun beliau bangga apabila beberapa peniaga kecil mengatakan perniagaan mereka sudah beransur pulih.

Katanya, mereka berterima kasih kerana bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang diterima daripada kerajaan PN semasa beliau menjadi Perdana Menteri banyak membantu mereka untuk terus berniaga.

“Sebelum berlepas ke Perlis, saya sempat meluangkan masa menziarah tokoh yang cukup disegani di kawasan Jerlun ini iaitu Haji Mohd. Salleh Lebai Junus atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mat Yeh.

“Alhamdulillah kehadiran saya di kediaman beliau di Kampung Kubang Menerong, Mukim Ah, diterima baik. Saya lihat beliau yang sudah berusia 84 tahun masih sihat. Saya doakan agar beliau terus sihat walafiat,” katanya.

Muhyiddin berkata, banyak nasihat serta pandangan diberikan Mohd. Salleh mengenai politik semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here