Category: Semasa

  • Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memberi tambang percuma sepanjang hari esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya.

    Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan tambang percuma itu meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti. 

    “Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka,” menurut kenyataan itu.

    Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

    Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

    Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

    Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.

    Untuk maklumat lanjut, rujuk laman media sosial Prasarana serta laman web https://myrapid.com.my. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan.

    PRU15 akan berlangsung esok. – BERNAMA

  • Gabungan Muafakat Pondok Se Malaysia gesa tolak PH

    Gabungan Muafakat Pondok Se Malaysia gesa tolak PH

    PERTUBUHAN Muafakat Pondok Se Malaysia (PMPS) menasihatkan pengundi tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan untuk membentuk kerajaan atau menjadi gabungan kerajaan.

    Sebaliknya, pertubuhan itu dalam deklarasi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 menyatakan PH hanya perlu dijadikan barisan pembangkang yang bijak, ikhlas dan bersungguh-sungguh memberi teguran dan kritikan membina kepada Kerajaan.

    Berikut merupakan kenyataan penuh Deklarasi Gabungan Pondok Se Malaysia sempena PRU-15 yang ditandatangani Pengerusinya, Marzuki Yusof.

    Kenyataan penuh Deklarasi Gabungan Pondok Se Malaysia sempena PRU-15 yang ditandatangani Pengerusinya, Marzuki Yusof.

    Deklarasi Gabungan Pondok Se Malaysia Sempena PRU-15

    Menyedari

    1. Keamanan dan Kemakmuran Negara adalah hal utama yang dituntut dalam Syariat Islam dan bahawa Islam aliran Ahlu Sunnah wal Jamaah terbukti berjaya menjaga keharmonian amalan beragama di Alam Melayu selama ratusan tahun.

    2. Amanah utama kepimpinan Negara adalah menjaga setiap masa kesejahteraan rakyat dan negara berasaskan dasar dan nilai Islam sebagai Agama Persekutuan.

    3. Perlembagaan Persekutuan adalah landasan bagi pemerintahan Negara yang mesti dipatuhi bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan terlaksana di Negara ini.

    4. Negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang semakin mencabar, cuaca yang tidak menentu, ancaman anasir luar yang menggugat jatidiri bangsa dan kuasa politik yang belum stabil.

    5. PRU15 merupakan detik penting bagi menyediakan kepimpinan yang mampu mengemudi rakyat dan Negara menghadapi segala cabaran menuju kesejahteraan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    Makan atas keprihatinan bersama,tanpa menafikan kebijaksanaan pemilih kami nyatakan panduan asas memilih parti dan calon Parlimen

    1. Menolak Parti-parti politik yang berprinsip, berfahaman, bersifat atau bersikap seperti berikut :

    a) Tidak menzahirkan kepatuhan kepada Keluhuran Perlembagaan

    b) Tidak menghormati Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan

    c) Tidak menzahirkan kesetiaan kepada Kuasa dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu

    d) Tidak menghormati Hak-hak orang Melayu serta kepentingan sah anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

    e) Tidak menghormati Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

    2. Menolak calon-calon yang disabit jenayah rasuah, tidak berintegriti, mendokong fahaman Komunisme, Ekstrimisme, Liberalisme, Pluralisme, Shiisme, Wahabisme, Evangelisme atau apa[1]apa aliran ideologi yang bercanggah dengan pegangan Agama (Ahlu Sunnah wal Jamaah), adat budaya, perlembagaan, peradaban Tanah Melayu demi kestabilan, kemakmuran dan keharmonian Negara.

    3. Tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan untuk membentuk kerajaan atau menjadi gabungan kerajaan sebaliknya sekadar menjadi barisan pembangkang yang bijak, ikhlas dan bersungguh-sungguh memberi teguran dan kritikan membina kepada Kerajaan. Komponen PH jelas masih di bayangi ideologi serta calon-calon yang tidak jelas kesediaan mereka mendokong Syariah Islam agama negara serta Perlembagaan. Namun, tidak dinafikan, negara masih memerlukan komponen pembangkang seperti PH untuk berfungsi sebagai “check & balance” (semak dan imbang) yang berkesan kepada kerajaan kelak. Akhirnya kami menyeru semua pemilih dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda yang merupakan pengundi sulung agar menimbangkan dengan cermat dan berhati-hati amanah memilih dalam PRU15 ini serta kesannya kepada diri, keluarga, masyarakat, generasi dan negara. Semoga pertimbangan yang sewajarnya daripada semua akan menjadi khidmat bakti bermakna buat Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta.

  • Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    POLIS menerima laporan mengenai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa berceramah dalam program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, laporan polis itu dibuat wakil parti politik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira pukul 10 pagi.

    “Sehubungan itu kita merujuk kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen berkenaan, Chua Jian Boon, terlalu mewah.

    Katanya, menerusi ceramah mega dan perjumpaan dengan masyarakat India di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kulai, malam tadi membabitkan lebih 100 hadiah disediakan.

    Nie Ching berkata, program yang dihadiri Jian Boon itu bersifat sebagai membeli undi.

    “Pada program itu, lebih 10 artis dijemput dan melakukan persembahan, malah sebanyak 100 hadiah juga telah disediakan untuk acara cabutan bertuah termasuk rantai emas untuk lelaki dan wanita.

    “Selain itu, terdapat juga hadiah seunit rantai tangan emas, seunit anting-anting dan 10 unit emas hidung Mukkutti.

    “Hadiah lain ialah lima unit telefon pintar, 10 unit periuk nasi dan pelbagai lagi perkakasan elektrik serta hamper,” katanya.

    Sementara itu, Jian Boon ketika dihubungi BERNAMA, membidas dakwaan Nie Ching itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan majlis itu bukan dianjurkan pihaknya.

    Chua bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.

    “Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi.

    “Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.

  • Kes MH17: Malaysia puas hati keputusan mahkamah Belanda

    Kes MH17: Malaysia puas hati keputusan mahkamah Belanda

    MALAYSIA menyokong dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah di Belanda yang mendapati tiga tertuduh dalam kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, bersalah melakukan jenayah itu, kata Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, keputusan Mahkamah Daerah The Hague itu menjadi tanda aras penting dalam usaha mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada semua 298 mangsa, termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu serta waris mereka.

    “Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab. Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang dibuat mahkamah The Hague.

    “Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang lama dinanti-nantikan,” katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32, Bera.

    Pada 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

    Menurut laporan media, mahkamah Belanda itu memutuskan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk di timur Ukraine.

    Mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, kedua-duanya bekas pegawai perisikan Rusia, dan seorang warga Ukraine yang juga pemimpin pemisah, Leonid Kharchenko, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh MH17, manakala seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov didapati tidak bersalah.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman dalam perbicaraan itu juga memerintahkan tiga tertuduh itu membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.

    Ismail berkata, Malaysia mewakili pihak yang terkesan dengan kejadian itu merakamkan penghargaan kepada ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang bertungkus lumus menjalankan siasatan ke atas tragedi MH17.

    Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta waris kru dan penumpang MH17.

    “Keputusan mahkamah ini diharap sedikit sebanyak memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga waris, walaupun tiada yang dapat mengembalikan nyawa mereka.”

  • Rakan karib puji sifat ‘pelawak’ Peja, bijak kawal emosi

    Rakan karib puji sifat ‘pelawak’ Peja, bijak kawal emosi

    HAMID tertawa ketika mengenang persahabatannya yang sudah lama terjalin dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kini bertanding untuk mempertahankan kerusi Tambun, mengatakan mereka pernah bersama-sama aktif dalam politik sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

    Beliau yang menjalankan perniagaan gerai makanan berkata, persahabatannya dengan Faizal atau lebih dikenali sebagai ‘Peja’ sudah bermula sejak kecil di Kampung Manjoi.

    Katanya, Faizal mula aktif dalam politik sebagai Pemuda UMNO seawal dua dekad lalu. 

    “Dia (pemuda) di Ipoh Barat, saya pula di Gopeng. Kami selalu pergi perhimpunan UMNO di Kuala Lumpur dulu bersama-sama,” katanya dalam satu temu bual ringkas, lapor MalaysiaNow.

    Perawakan Faizal atau Peja yang gemar berseloroh dan membuat kenyataan berbaur usikan ketika menjalankan tugas menjadikan beliau terkenal.

    Ia bahkan turut mengundang kritikan, di mana ada yang mengatakan sikapnya itu menunjukkan beliau tiada ciri sebagai seorang pemimpin. Bagaimanapun, Hamid menolak andaian tersebut.

    Katanya, di sebalik sikapnya yang gemar berjenaka, Faizal sememangnya calon pemimpin yang profesional. 

    “Dia pandai sorok emosi. Dia sentiasa gembira dan tenang. 

    “Dia berseronok dan gelak ketawa untuk sembunyikan tekanan dia, perasaan dia yang orang lain tak tahu. 

    “Sebab itu dia menyanyi, berjoget. Faizal ni memang sifatnya gembira sahaja. Positif.” 

    Atas sebab itu, kata Hamid menjadi sesuatu yang tidak adil untuk menilai rakannya itu dengan video-video nyanyian dan tariannya yang tular dalam media sosial. 

    Ini kerana ketika waktu bekerja, Faizal amat serius dan fokus serta tidak akan mencampur adukkan urusan lain sehingga tugasnya selesai seperti yang dirancang.

    Antara papan iklan kreatif PN menyindir papan iklan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Poster kelakar untuk turunkan ‘suhu’ di Tambun

    Selain terkenal dengan gayanya yang sering bersahaja, kempen Faizal di Tambun turut dipenuhi poster-poster kreatif, di mana slogan kempen dilihat saling menyindir antara beliau dengan pesaingnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

    Dalam ceramahnya, Faizal menjelaskan kempennya dibuat sedemikian rupa bagi menjawab ceramah PH yang sering bernada negatif dan marah.

    “Kenapa marah-marah? Be cool (tenang). 

    “Saya berikan poster kelakar nak bagi turunkan suhu di Tambun. Kenapa nak stres?” katanya. 

    Dalam pada itu, Ahmad, 25, ketika ditanya mengenai personaliti Faizal, mengakui dia dan rakan-rakannya senang berkerjasama dengan Faizal kerana beliau tidak pernah mengenepikan pandangan anak muda walaupun mereka sekadar ‘budak kampung’. 

    “Bila kerja dia tak jadi bos. Dia dengar cadangan kami. Ada juga yang ditolak tapi dia dengar dulu sampai habis. 

    “Bila program selesai dia rapat betul dah macam kawan-kawan. Dia tak anggap kami macam budak. Tapi kawan-kawan dia. 

    “Rasa kekok juga boleh ke kawan dengan menteri. Tapi dia memang sempoi,” katanya.

    Ahmad bersetuju dengan Hamid bahawa Faizal tidak boleh dinilai ‘separuh jalan’ sahaja. 

    Tambahnya, mengenali Faizal pada satu sisi yang tular di media sosial tidak memadai kerana satu sisi lagi tidak ditunjukkan. 

    “Banyak lagi kebaikan dia yang tak ditunjukkan (kepada umum).”

  • Bayi lelaki ditemukan di hadapan rumah di Kajang

    Bayi lelaki ditemukan di hadapan rumah di Kajang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai berusia 14 hari ditemukan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saujana Impian, Kajang, semalam.

    Ketua Polis Derah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada 11.39 malam daripada pengadu yang juga pemilik rumah teres berkenaan.

    Beliau berkata ketika ditemui bayi tersebut dalam keadaan terbaring, tidak berpakaian dan hanya dibaluti kain lampin.

    “Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi tersebut dan pengadu kemudian telah menguruskan bayi itu sebelum melaporkannya ke Balai Polis Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya bayi yang masih bertali pusat itu dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan awal dan disahkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.

    Mohd Zaid berkata bayi berkenaan masih lagi ditahan di Wad Kanak-kanak untuk pemantauan sebelum diserahkan ke Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi terus mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan.

  • PRU-15: Umat Islam wajib pilih pemimpin berakhlak

    PRU-15: Umat Islam wajib pilih pemimpin berakhlak

    MENJELANG hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, pengundi khususnya dalam kalangan umat Islam perlu memilih calon pemimpin yang berakhlak dan beramal soleh.

    Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Khutbah Jumaat hari ini menyebutkan beberapa panduan dalam pemilihan pemimpin, esok.

    JAIS memberitahu setiap rakyat Malaysia yang cukup umur wajib memainkan peranannya dengan keluar mengundi kerana Parlimen memiliki kuasa bagi menentukan rangka, dasar dan hala tuju negara.

    “Oleh itu pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya. Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan.

    “Pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada Allah, berilmu, berakhlak dan beramal soleh. Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat.

    “Pemimpin mestilah adil dan tidak fasiq selain dipilih daripada orang yang mempunyai sejarah hidup serta akhlak yang baik. Mereka mestilah orang yang berilmu dan berpengetahuan tentang syariat Islam. Mereka mesti boleh memberi teladan yang baik, dicontohi dan dihormati,” katanya lapor Agenda Daily.

    Khutbah itu juga menegaskan pengundi perlu memilih orang yang paling berkelayakan dan menolak calon Islam yang melakukan maksiat secara terang-terangan serta yang memusuhi Allah, Rasul dan orang beriman.

    “Memilih orang yang paling berkelayakan menurut Islam ialah yang paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

    “Memilih orang yang paling ringan bahayanya antara dua orang yang berbahaya. Seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu. Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW,” katanya.

    Selain itu, kezaliman pemimpin sangat berpotensi membinasakan rakyat maka pemimpin tidak amanah, berpotensi memusuhi Allah, Rasul dan syariat Islam tidak layak dipilih kerana bukan sahaja memberi mudarat kepada umat Islam, bahkan akan memudaratkan masyarakat serta negara secara keseluruhannya.

    Hakikatnya, jika dilantik pemimpin yang zalim, bukan sahaja pemimpin itu yang akan dipertanggungjawabkan tetapi rakyat yang membuat pilihan juga akan ditanya dan dipersoalkan kenapa tugas kepimpinan itu diberikan kepada mereka yang tidak jujur dan amanah.

    Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam. Ia adalah untuk membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab. Jika pemimpin dipilih tidak tepat dan tidak layak, maka kepentingan masyarakat dan negara tidak dapat diberi keutamaan sewajarnya.

    Selain itu, pengundi juga dinasihatkan membuat pilihan dengan kebijaksanaan bukan dengan logik akal mahupun permusuhan.

    “Jangan melantik pemimpin yang tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya. Begitu juga Islam melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara yang tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.

    “Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang sentiasa mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini kerana masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua. Oleh itu pilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan,” katanya.

  • Gelombang Nurul Fadzilah Kamaluddin, anak muda progresif!

    Gelombang Nurul Fadzilah Kamaluddin, anak muda progresif!

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin percaya mampu memberikan khidmat terbaik sekiranya dipilih di Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, pengundi di kawasan itu juga boleh mengharapkan baktinya walaupun beliau merupakan calon yang agak muda berbanding calon parti lain.

    “Saya juga ingin maklumkan kepada semua bahawa usia muda tidak semestinya tidak mampu buat kerja. Ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan gelombang anak muda sebagai wakil rakyat.

    “Usia muda tak semestinya tidak boleh untuk turun padang kerana sebenarnya kita perlukan lebih ramai anak muda di lapangan. Anak muda ini lebih progresif, lebih aktif dan boleh turun membantu lebih ramai orang,” katanya lapor Berita Bersatu.

    Beliau juga mengharapkan penduduk Setiawangsa memberi peluang dan mengundinya pada Sabtu ini sekali gus memastikan kemenangan PN di kawasan Parlimen Setiawangsa.

    “Jadi, kepada semua penduduk Setiawangsa, turun mengundi pada hari mengundi esok kerana satu undi mewakili kita semua, satu undi mewakili masa depan kita dan satu undi menentukan segalanya.

    “Tolong turun beri peluang kepada anak muda yang baharu ini untuk berbakti dan berkhidmat kepada anda semua.

    “Nurul Fadzilah ini adalah seseorang yang suka aktiviti kebajikan, aktiviti kemasyarakatan, seorang yang sangat suka turun padang, sangat prihatin.

    “Siapa pun (rakyat) yang dalam kesusahan, Nurul Fadzilah pasti akan tampil ke hadapan terlebih dahulu. Saya sedia berkhidmat untuk kawasan Setiawangsa,” katanya.

  • Shahidan gempur DUN MB Perlis dengan konvoi 100 kenderaan

    Shahidan gempur DUN MB Perlis dengan konvoi 100 kenderaan

    DATUK Seri Shahidan Kassim ‘menggempur’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong iaitu kawasan Menteri Besar Perlis dalam usaha untuk menggagalkan Datuk Seri Azlan Man mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Arau sebagai calon PN berkonvoi bersama lebih 100 buah kenderaan penyokongnya, menjelajah sekitar kawasannya dan juga DUN Bintong di Kangar, menerusi satu program malam tadi.

    Sekitar 50 buah kereta, 10 buah lori dan 50 buah motosikal menyertai konvoi tersebut yang bermula kira-kira jam 10 malam.

    Konvoi tersebut bergerak dari pusat khidmatnya di Kampung Kubang Gajah dan berakhir di bilik gerakan PN di Kampung Wang Besar, Bintong.

    “Kita tengok gelombang rakyat sekarang ini terutamanya orang muda menyokong PN.

    “Ini cukup menarik kerana mereka tahu bahawa inilah parti yang mampu memberi pembelaan,” katanya ringkas kepada media ketika konvoi itu, lapor Malaysiakini.

    Shahidan sebelum ini digugurkan BN daripada mempertahankan kerusi Arau dn digantikan dengan muka baru Rozabil Abd Rahman.

    Tindakan itu menyebabkan Shahidan mengambil langkah untuk kekal bertanding di atas tiket PN.

    Turut digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang kemudiannya memutuskan untuk bertanding sebgai calon Bebas.

    Sebelum ini media melaporkan menteri Wilayah Persekutuan itu menyatakan hasratnya untuk memastikan Azlan kalah teruk dalam PRU ini.

    Dia mendakwa Azlan sebagai pengerusi UMNO negeri melanggar keputusan UMNO bahagian dalam isu pencalonan.

    “Matlamat kita adalah untuk jatuhkan menteri besar dengan dasyatnya. Saya akan pergi ke Bintong untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya. Orang seperti ini patut dikalahkan kerana dia ganggu politik Perlis,” katanya ketika itu.

  • Banjir: Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang ditukar

    Banjir: Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang ditukar

    SATU pusat mengundi di Parlimen Sepang iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukarkan ke lokasi baharu di Sekolah Rendah Agama Dengkil, setelah bangunan berkenaan terjejas akibat banjir.

    Berdasarkan salinan surat daripada Pegawai Pengurus Pusat Mengundi Parlimen Sepang Datuk Abd Hamid Hussain kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, ia menyatakan pusat mengundi tersebut mengalami banjir dan tenggelam sepenuhnya, semalam.

    Susulan itu, Abd Hamid menerusi suratnya bertarikh 17 Nov telah memohon pihak Pilihan Raya Negeri Selangor menukar pusat mengundi tersebut ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.

    Pengarah Pilihan Raya Negeri Shafie Taib pula hari ini telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut untuk tujuan perwartaan semula pusat mengundi berkenaan.

    Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Barisan Nasional Anuar Basiran, Perikatan Nasional diwakili Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datin Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Pakatan Harapan),  Mohd Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR), R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M. Muneswaran (Bebas).