Category: Semasa

  • Lewat umum Jemaah Menteri kegagalan pertama Anwar, kata Pas

    Lewat umum Jemaah Menteri kegagalan pertama Anwar, kata Pas

    KELEWATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai Jemaah Menteri selepas lebih seminggu dilantik menerajui kerajaan adalah kegagalan pertama sebagai perdana menteri.

    Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, Anwar dilihat sangat lambat bertindak mengumumkan barisan jentera pentadbiran sebaliknya terlalu fokus kepada aktiviti sosialnya.

    “Anwar sangat lambat bertindak untuk menamakan anggota kabinetnya sedangkan persekitaran amat menghambat sekarang ini.

    “Apa yang ketara, perdana menteri disibukkan dengan aktiviti sosialnya berbanding tindakan cepat untuk mengaktifkan jentera pentadbirannya. Baru sahaja seminggu, Anwar telah menempa kegagalan pertama,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut Zuhdi berkata, tindakan Anwar akan menyebabkan risiko kepada pentadbiran kerajaan ditambah pula negara bakal menghadapi bencana banjir hujung tahun ini.

    “Laporan daripada agensi berkaitan dengan bencana banjir seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan JPS meramalkan sehari dua ini akan berlaku banjir berskala lebih besar daripada kejadian banjir yang berlaku kebelakangan ini. Bagaimana agaknya negara akan menghadapi bencana ini tanpa sebuah kerajaan yang sempurna?

    “Sebagaimana amalan lazim kerajaan, bila berlaku bencana banjir maka akan dikeluarkan peruntukan khas di bawah item bajet kecemasan untuk disalurkan untuk usaha penyelamat dan kebajikan mangsa banjir.

    “Bagaimanakah peruntukan itu boleh diuruskan dalam situasi kementerian yang mengetuai agensi-agensi berkaitan banjir belum wujud?,” soalnya.

    Katanya, bila tidak ada Jemaah Menteri ketika negara berdepan situasi kecemasan, kerajaan sukar membuat keputusan kritikal dan ia tidak wajar hanya diputuskan seorang perdana menteri.

    “Selain itu, kelewatan Anwar membentuk anggota pentadbirannya berkemungkinan menyebabkan pembentangan Bajet 2023 tergendala. Bajet tahunan adalah dibuat berdasarkan potfolio kementerian yang wujud. Jika menteri belum dilantik bermakna kementerian belum wujud, dan peruntukan mengikut kementerian juga belum wujud.

    “Sempatkah menteri bakal dilantik nanti meneliti peruntukan bajet kementerian disediakan oleh kerajaan terdahulu? Bolehkah penelitian mereka ini disiapkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang sekiranya Bajet 2023 mahu dibentang minggu ketiga atau hujung bulan ini?.

    “Apakah yang akan berlaku kepada negara dan rakyat jika Bajet 2023 belum diluluskan selepas melampaui tahun baru,” soalnya lapor Free Malaysia Today.

  • Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    TAN Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang 19 Disember depan.

    Beliau berkata, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

    “Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

    “Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya,” katanya memetik laporan The Star.

    Jelas Azhar, Setiausaha Dewan Rakyat akan terlebih dahulu memanggil Ahli Parlimen untuk bersidang sebelum proses pemilihan Speaker baharu dibuat.

    “Jika ada satu nama yang dicadangkan, setiausaha akan umumkan Speaker dan jika ada lebih daripada seorang calon, undian akan dibuat,” katanya.

    Azhar yang dilantik sebagai Speaker pada Julai 2020 berkata, nama calon Speaker perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya Isnin selaras dengan keperluan notis 14 hari.

    Ujarnya, sebaik sahaja dipilih, semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker baharu sebelum mempengerusikan pelantikan timbalan Speaker.

    “Undian juga akan diadakan sekiranya lebih daripada satu nama dicadangkan untuk jawatan timbalan Speaker,” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parlimen akan bersidang pada 19 Disember depan antaranya akan membuat usul undi percaya terhadap beliau selain usul-usul kerajaan yang lain.

    Pada 20 Disember, Dewan Rakyat dijadual turut bersidang bagi meluluskan mini bajet 2023 untuk pembayaran gaji penjawat awam.

    Ia susulan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu tidak diluluskan kerana Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu.

  • Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    SEJUMLAH 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula melibatkan 243 anggota polis.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, proses mengundi bagi Parlimen Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang.

    Beliau berkata bagi DUN Tioman pula, akan mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari).

    “SPR turut menyarankan kepada pengundi yang positif COVID-19, untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

    “Proses pengundian awal ini turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih,” katanya.

    Beliau berkata kertas undi awal akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat, selain pengiraan dibuat pada 7 Dis bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan.

    Dalam pada itu, SPR turut menasihati agar pengundi yang dikategorikan mengundi awal, membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C. Sivaraj  (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

    Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

    DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

    SPR telah menetapkan proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 Nov lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Penyokong UMNO kesal pemimpin langgar prinsip

    Penyokong UMNO kesal pemimpin langgar prinsip

    RAMAI penyokong UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman melahirkan perasaan kesal kerana pemimpin parti itu sanggup menggadai prinsip dengan melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

    Kekesalan mereka diluahkan kepada pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini jelas mereka menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    “Jadi, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan DUN Tioman begitu penting bagi rakyat menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Rakyat menolak agenda yang sedang dilaksanakan BN-PH. Pengundi di Tioman dan Padang Serai akan menggunakan peluang PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini bagi menolak BN-PH,” katanya pada program Sembang Santai PRU N.42 Tioman secara langsung melalui TV Makmur semalam, lapor Harakahdaily.

    Program yang diberi judul, Muafakat Rakyat itu dihoskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paching, Mohd Tarmizi Yahaya.

    Tuan Ibrahim semntara itu mengajak anak-anak muda dan pengundi Tioman yang tinggal di luar daerah pulang mengundi pada 7 Disember ini.

  • Wan Rosdy jangan putar belit cerita, kata Saifuddin

    Wan Rosdy jangan putar belit cerita, kata Saifuddin

    DATUK Seri Saifuddin Abdullah mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak menjelaskan fakta sebenar di sebalik proses rundingan di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

    Pengerusi PN Pahang itu menjelaskan, rundingan di antara di Wan Rosdy yang mewakili BN dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PN melibatkan tiga pusingan.

    “Pada pusingan pertama, semasa itu memang belum ada kerajaan di peringkat persekutuan. Hakikatnya ialah kami menyatakan kita tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH di Pahang.

    “(Pusingan) Yang kedua ialah kita nak membentuk kerajaan negeri dengan BN.

    “Ketiga, kami kata logiknya kamilah (PN) jadi menteri besar kerana kami ada kelebihan kerusi. Selanjutnya kalau Wan Rosdy tak selesa menjadi exco biasa, Tuan Ibrahim kata, kita boleh fikirkan (alternatif) contohnya sekiranya kami membentuk kerajaan persekutuan boleh bawa dia (Wan Rosdy) ke pusat,” katanya.

    Kata bekas menteri luar itu lagi, tindakan yang diambil PN itu menunjukkan mereka benar-benar bertolak ansur asalkan bukan PH yang membentuk kerajaan negeri di Pahang.

    “Jadi Wan Rosdy jangan putar belit cerita. Ceritanya betapa kami bertolak-ansur dengan BN… itu cerita yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas program kempen PN di Taman Mahsuri, Padang Serai, malam tadi, lapor Malaysiakini.

    Anggota Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Rosdy yang mendakwa rundingan di antara BN dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan PN yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan Wan Rosdy berkata sebelum kerajaan negeri dibentuk dia dihubungi pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari, yang menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

    Wan Rosdy berkata, beliau juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN dan bertemu Tuan Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    “Dalam pertemuan itu, timbalan presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (persekutuan) belum ditubuhkan lagi.

    “Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh.

    “Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh offer kepada saya,” katanya.

    Sementara itu Saifuddin turut melabelkan Wan Rosdy sebagai bersikap sombong selepas hanya menawarkan satu jawatan exco kepada PN sebaliknya dua kepada PH.

    “Cerita yang sebenarnya juga betapa sombongnya Wan Rosdy apabila dalam rundingan terakhir ketika pertemuan dengan Tuan Ibrahim dia menyatakan BN akan jadi menteri besar, dua jawatan exco kepada PH dan satu saja (jawatan exco) kepada PN.

    “Itu sombonglah, jadi kita kata tak payahlah nak berunding macam mana orang ada 17 kerusi boleh dapat satu exco dan orang ada lapan kerusi dapat dua exco,” ujarnya.

  • Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Oleh BADLISHAH MAT

    KIRA-kira 50 buah kediaman di tujuh kampung di Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam di kawasan itu petang tadi.

    Antara kampung terjejas adalah Kampung Bok Bak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Dusun, Kampung Charok Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

    Katanya, keadaan banjir juga beransur surut selepas hujan mulai berhenti tidak lama kemudian.

    “Hasil pemantauan mendapati kebanyakan rumah terjejas berada berhampiran sungai dan banjir kilat berlaku berikutan air sungai naik mendadak sebelum masuk ke rumah penduduk sekitar,” katanya.

    Tambah beliau, seramai lapan anggota dihantar ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang ini.

    Pada 4 Julai lalu, sebanyak 802 rumah dilaporkan terkesan dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di sekitar Kupang termasuk meragut tiga nyawa penduduk.

    Kejadian turut mengakibatkan 17 rumah yang terletak berhampiran Sungai Kupang lenyap akibat tragedi itu.

    Beberapa kejadian banjir turut berlaku di kawasan sama selepas itu, namun tidak seteruk insiden pertama pada awal Julai berkenaan termasuk bencana pada hari ini.

  • Dewan Rakyat 19 Dis pilih Yang Dipertua, usul undi percaya kepimpinan PM

    Dewan Rakyat 19 Dis pilih Yang Dipertua, usul undi percaya kepimpinan PM

    MESYUARAT Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

    Ketika ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

    Sidang Parlimen itu menjadi sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kepimpinan Anwar.

    Urusan mesyuarat sidang itu turut memasukkan sesi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang telah menerima notis berkenaan dalam mesej ringkas kepada Bernama berkata: “Jumpa 19/12 (19 Dis) di Parlimen”.

    Bagi usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) patuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan Persekutuan melalui formula kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata GPS komited terhadap pembentukan kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat dari pelbagai sudut terutama ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan hak Sarawak dalam Perlembagaan dihargai serta dilaksana.

    “GPS akan mengambil bahagian dalam kerajaan sebagai rakan kongsi atau equal partner. Moga sokongan kepada perdana menteri demi kestabilan dapat melabuhkan tirai krisis politik yang berlaku pada penggal lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

     Lukanisman berharap persidangan Parlimen itu akan membentangkan akta seperti Akta Pembiayaan Dana Politik dan bukan sesi untuk meraikan kejayaan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk. – BERNAMA

  • Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    Tular murid duduki peperiksaan UPKK dalam banjir

    RAKAMAN video menunjukkan sekumpulan murid sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dalam keadaan banjir sehingga tular berlaku di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak di Kajang petang semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, hasil pemantauan dijalankan mendapati banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat yg berterusan melebihi sejam di kawasan Kajang.

    Beliau berkata, banjir kilat tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan mencapai ketinggian 0.6 meter.

    “Ketika kejadian seramai 64 murid berumur 11 tahun sedang menduduki peperiksaan UPKK yang dipantau penjaga peperiksaan melibatkan lapan orang guru.

    “Keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, air kemudian surut sepenuhnya kira-kira jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Norazam memberitahu, kawasan sekolah yang terlibat dalam banjir kilat itu merupakan kawasan rendah.

    “Siasatan mendapati kawasan tersebut sering berlaku banjir kilat.

    “Selain itu, kejadian banjir kilat berkenaan hanya melibatkan kawasan sekolah” katanya.

    Hari ini tular video di media sosial merakamkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semasa banjir.

  • Bekas MB Perlis, Hamid Pawanteh meninggal dunia

    Bekas MB Perlis, Hamid Pawanteh meninggal dunia

    BEKAS Menteri Besar Perlis yang keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, 78, meninggal dunia petang tadi. 

    Berita pemergian Allahyarham dikongsi anaknya Natasya Pawanteh menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bahawa bapanya meninggal dunia sekitar pukul 3.15 petang lapor BH Online.

    Berita pemergian Allahyarham turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah. 

    Ketika hayatnya Allahyarham aktif dalam politik termasuk mengetuai UMNO Perlis sebelum bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis.

    Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bermula pada 1986 sehingga 1995 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. 

    Beliau menjadi Ahli Parlimen Arau dari 1982 sehingga 1986 sebelum berpindah kawasan dengan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 hingga 2003. 

    Pada Julai 2003, Allahyarham meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk dilantik menjadi yang Dipertua Dewan Negara hingga 2009 malah beliau juga pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat. 

    Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Negeri, Arau, esok.

  • 206 ‘orang kuat’ Amanah Kedah tinggalkan parti

    206 ‘orang kuat’ Amanah Kedah tinggalkan parti

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Amanah Negara (Amanah) Kedah kehilangan seramai 206 ‘orang kuat’ mereka terdiri daripada pimpinan kanan parti di negeri ini dan aktivis yang cukup aktif apabila mereka memutuskan untuk meninggalkan parti itu berkuat-kuasa serta-merta.

    Menurut bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mereka tidak melihat sebarang maklum balas daripada parti berhubung rayuan dibuat 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah yang mahu supaya dirinya kembali diterima sebagai ahli Amanah, dan diangkat semula ke jawatan Pengerusi Amanah Kedah seperti sebelum ini.

    Katanya antara individu penting yang meninggalkan parti itu adalah Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa; Timbalan Speaker, Jamil Che Dan; Ketua Pemuda Negeri, Mohd. Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepimpinan Pemuda Amanah negeri.

    “Begitu juga dengan beberapa Ketua Kawasan termasuk Merbok, Jerlun dan Pendang. Dalam sidang akhbar sebelum ini pun pernah dinyatakan bahawa pemecatan saya dari Amanah akan memberi kesan kerana kami kemasukan kami ke dalam parti ini untuk menubuhkannya satu ketika dulu dibuat secara kabilah atau ‘en bloc’ melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

    “Maka hari ini diumumkan bahawa sejumlah 206 pemimpin Amanah peringkat negeri dan kawasan di Kedah mengambil keputusan berhenti dari menjadi ahli parti. Mereka ini bersama saya sejak awal penubuhan Amanah dan sekarang masing-masing mengambil keputusan tersebut setelah melihat bagaimana seorang ketua dikeluarkan dari parti.

    “Selepas ini dijangkakan ada lagi yang akan meninggalkan parti tetapi mereka tangguh dulu sementara hari pengundian Parlimen Padang Serai pada 7 Disember. Selepas itu kita akan lihat pertambahan ahli yang akan keluar daripada menjadi ahli Amanah di negeri ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di rumahnya dekat sini, hari ini.

    Amanah sebelum ini memecat Phahrolrazi pada 30 Oktober lalu setelah beliau dikatakan melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

    Pemecatan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Phahrolrazi membantah keputusan kepimpinan Amanah Pusat memberi laluan kepada DAP bertanding di Jerai.

    Phahrolrazi menambah, ribuan ahli parti itu di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dijang akan turut mengambil langkah sama tidak lama lagi.

    “Kami bagaimanapun akan tetap berada dalam lingkungan Pakatan Harapan (PH) cumanya bersama parti lain. Parti mana yang akan kami sertai, itu akan diumumkan kemudian setelah kami diterima menjadi ahlinya nanti.

    “Kami akan masuk secara ‘en bloc’ dan disebabkan itu, sudah tentulah ada rundingan perlu dibuat tentang bagaimana mahu memposisikan kumpulan ini yang terdiri daripada pimpinan serta aktivis politik. Perkara ini mahu diselesaikan segera bagi memperkukuhkan PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah keputusan PRU cukup mengecewakan sebelum ini,” katanya.