Category: Semasa

  • Aktivis hak asasi selar Kabinet Anwar, tempat keluar masuk ahli politik

    Aktivis hak asasi selar Kabinet Anwar, tempat keluar masuk ahli politik

    BEKAS Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong berkata Kabinet baru memberi ‘kejutan yang biadab’ terhadap aktivis masyarakat sivil.

    Aktivis hak asasi veteran dan bekas ahli Parlimen, Kua Kia Soong menjadi tokoh terbaru menyuarakan kritikan terbuka terhadap Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan gerakan reformasi yang sudah lama diperjuangkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di samping menyifatkan ia kini hanya ‘tempat keluar masuk’ ahli politik yang mempunyai kepentingan sendiri.

    Kua, yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 dan kini mengetuai kumpulan hak asasi manusia Suaram berkata, Kabinet yang diumumkan Anwar adalah ‘kejutan yang biadab’ bagi aktivis masyarakat sivil, susulan pelantikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri serta langkah Anwar memegang portfolio kewangan.

    “Seorang Perdana Menteri yang mengawal Kementerian Kewangan mengulangi amalan era Dr. Mahathir Mohamad dan ini adalah keadaan yang menyebabkan skandal 1MDB Najib Razak berlaku.

    “Semasa 1990-an semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan, terdapat juga skandal kewangan yang hebat apabila Dr. Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Anwar mempunyai ‘kapitalis Bumiputera’ yang digemari mereka. Sememangnya kleptokrasi di Malaysia tidak bermula dengan skandal 1MDB”, lapor Agenda Daily.

    Beliau turut mengkritik pelantikan Saifuddin Nasution sebagai Menteri Dalam Negeri, menyifatkan beliau sebagai ‘ketua perusuh’ merujuk peranan pemimpin PKR itu dalam menyerbu Persidangan Asia Pasifik Mengenai Timur Timor II pada 1996 yang diadakan di Kuala Lumpur semasa beliau menjadi pemimpin Pemuda UMNO. 

    Memetik dakwaan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining yang membiayai pembangkang di Malaysia sejak 2002 melalui National Endowment for Democracy (NED), Kua berkata, perkara itu harus menyedarkan aktivis masyarakat sivil bahawa ‘gerakan reformasi yang sebahagiannya dibiayai NED adalah kenderaan yang mudah dalam usaha menukar rejim’.

    “Ini adalah masa yang sesuai bagi pembela hak asasi manusia yang serius merenung perjuangan ‘gerakan reformasi’ yang berjalan sejak bertahun lamanya, kini membawa kita kepada berlakunya kebangkitan biadab ini dan bersedia untuk perjuangan seterusnya.

    “Inilah masanya untuk rakyat Malaysia yang mempunyai agenda reformasi untuk merenung apakah sebenarnya ‘reformasi’, terutamanya ‘Bersih’. Apakah jenis pembaharuan yang mereka mahukan dan sejauh mana mereka berbeza berbanding dasar yang diperjuangkan Barisan Nasional?”

    Menyeru pembaharuan dalam isu-isu seperti dasar yang berasaskan kaum, hak Orang Asli, tadbir urus kerajaan tempatan, rasuah, pendidikan dan ekonomi, beliau mengecam apa yang digelarnya sebagai ‘penyertaan’ pemimpin masyarakat sivil ke dalam pentadbiran PH selepas PRU14 .

    “Bagaimanakah gerakan reformasi boleh maju apabila pemimpin mereka secara terbuka mengambil peluang dan dan dengan senang hati menyertai kerajaan yang sifatnya eksploitatif?

    “Adakah masyarakat sivil membuat bantahan terhadap PH yang melambatkan pelaksanaan tuntutan demokrasi dalam manifesto PH? Masyarakat sivil mengharapkan pembaharuan transformatif yang serius yang akan membentuk semula institusi dengan prinsip demokrasi sebenar dan menambah baik kehidupan 99% rakyat Malaysia khususnya golongan B40,” katanya.

    “Ini adalah sebahagian daripada reformasi substantif sebenar yang diharapkan oleh masyarakat sivil daripada kerajaan, bukan reformasi ‘mengitar semula’ muka sama bagi menjaga kepentingan ahli politik dalam kerajaan baru yang tidak stabil di peringkat negeri dan persekutuan.”

  • Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    OLIVIA Nicholas yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Mrs World 2022 di Las Vegas bulan ini, sudah pun melakar nama dalam Malaysia Book of Records.

    Peguam berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu yang dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2022 pada Oktober, mencipta rekod negara apabila mengenakan busana kebangsaan yang dihiasi dengan syiling lima sen terbanyak – sebanyak 10,000 keping.

    Busana yang akan dipakai beliau pada pertandingan Mrs World 2022 pada 17 Dis nanti, dipaparkan di sini malam tadi.

    Olivia menggayakan pakaian itu, yang menggabungkan elemen tradisional Sabah dan Sarawak, serta mencipta sejarah dalam pertandingan ratu cantik Malaysia apabila beliau muncul sebagai Ratu ‘Destar Siga’ pada majlis itu yang turut disaksikan oleh wakil daripada Malaysia Book of Records.

    Syiling lima sen itu mempunyai motif kain ‘Destar Siga’ iaitu kain tenunan bentuk asli yang berasal daripada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan digunakan sebagai hiasan kepala semasa upacara tradisional.

    Pereka dari Sarawak Saran Anak Lagong telah mencipta kostum itu, kata Pengarah Kebangsaan Mrs World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur.

    Beliau berkata Olivia akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut mahkota Mrs World 2022 di Las Vegas dari 10 hingga 17 Dis ini.

    Olivia akan ditemani suaminya Dr Sandeep Menon ke acara itu, katanya. – BERNAMA

  • Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap menghormati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun berada dalam parti berbeza.

    Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, beliau adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan sambil menambah, kini adalah waktu untuk kedua-dua pihak memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin Yassin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan,” katanya di Facebook.

    Bekas menteri belia dan sukan itu pada masa sama mendedahkan beliau dan Muhyiddin baru-baru ini meluangkan masa selama dua jam untuk berbual, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan.

    Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan ke atas Muhyiddin yang juga pengundi di Parlimen itu.

    Syed Saddiq turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.

    “Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

    Pada PRU-15, Muda memilih Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim sebagai sekutunya.

    Bagaimanapun tidak ada sebarang jawatan diberikan kepada Muda ketika Anwar mengumumkan Jemaah Menterinya, minggu lalu.

  • Lantik Zahid: lmej negara tercalar, terus dipersoal

    Lantik Zahid: lmej negara tercalar, terus dipersoal

    IMEJ Malaysia bukan sahaja tercalar tetapi terus dipersoalkan apabila keputusan melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan pertuduhan rasuah menjadi berita utama media-media antarabangsa.

    Situasi itu jelas berbeza ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lalu, apabila media antarabangsa melaporkan ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin negara luar.

    Agensi berita Bloomberg, menjadikan tajuk ‘PM Malaysia pilih pemimpin terpalit rasuah sebagai salah seorang timbalannya’.

    Agensi berita berkenaan menyifatkan pelantikan itu sebagai usaha Anwar mengukuhkan cengkaman dalam gabungan kerajaan yang rapuh.

    Agensi berita South China Morning Post pula menggunakan tajuk berita ‘PM Malaysia Anwar pegang jawatan Menteri Kewangan, namakan Ahmad Zahid Hamidi yang dikelilingi isu rasuah sebagai TPM’.

    Seterusnya agensi tersebut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai petanda kompromi telah berjaya dicapai bagi memastikan pentadbiran rapuh itu kekal, lapor SatuBerita.

    Sementara itu agensi berita BBC melaporkan pelantikan Ahmad Zahid sebagai paling kontroversi kerana terdapat banyak bantahan ekoran kes mahkamah.

    The Washington Post pula menyiarkan keputusan Anwar melantik Zahid sebagai bertentangan dengan perjuangan anti-rasuah yang diangkat selama ini.

    Paparan itu sudah tentu tidak baik untuk negara yang sedang berusaha memulihkan prestasi ekonomi khususnya dalam menarik pelaburan asing.

    Kerajaan dan iklim politik yang stabil, selain paling utama ialah kerajaan yang bersih, berintergriti dan cekap antara pertimbangan utama pelabur asing.

    Persepsi yang tidak baik terhadap Malaysia mungkin merencatkan minat pelabur asing untuk melabur di dalam negara.

    Dari sudut lain, ia tentunya memberikan gambaran yang tidak baik untuk rakyat dan negara di mata dunia.

  • Remaja didakwa rakam gambar pelanggan dalam tandas

    Remaja didakwa rakam gambar pelanggan dalam tandas

    SEORANG pemuda yang juga pekerja restoran asam pedas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas tuduhan merakam gambar pelanggan premis itu sedang membuang air kecil mengggunakan telefon bimbit.

    Muhammad Azizi Hazim Kamarudin, 18, mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Bagaimanapum mahkamah belum menjatuhi hukuman ke atas lelaki terbabit kerana masih menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

    Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan cara merakam gambar mangsa ketika sedang buang air kecil di sebuah restoran asam pedas tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit yang mengganggu kesantunan mangsa.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di restoran terbabit di Jalan PM3, Plaza Mahkota, di Melaka, pukul 3.35 petang,pada 14 November lalu, lapor Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana perbuatannya telah mengaibkan mangsa dan mencadangkan jaminan RM8,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya selain pemuda itu telah insaf atas perbuatan tersebut.

    Ujar Muhammad Izzzuddin, tertuduh hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM350 seminggu dan perlu menanggung kedua ibu bapa.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak JKM.

  • Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

    KES saman fitnah Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan DAP selesai, apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan parti itu pada Isnin memohon maaf kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

    Poay Tiong yang turut mewakili DAP membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee berkata artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas serta tidak benar dan adalah fitnah terhadap Abdul Rahim dan keluarganya.

    “Kami dengan ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan kami atas sebarang kesusahan dan penghinaan kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan keluarganya akibat daripada penerbitan artikel-artikel tersebut.

    “Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

    Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

    Prosiding perbicaraan kes saman itu sepatutnya berlangsung Isnin hingga Khamis, namun pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

    Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim manakala Ramkarpal Singh mewakili Poay Tiong dan DAP.

    Selain Poay Tiong, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu, sebagai defendan kedua hingga keempat yang disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti.

    Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Disember 2018, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di laman Facebook milik defendan pertama (Poay Tiong), laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.

  • ‘Serahkan sahaja pada PN tentukan siapa Ketua Pembangkang ‘, Ahmad Fadhli balas cadangan Pemuda Amanah Terengganu

    ‘Serahkan sahaja pada PN tentukan siapa Ketua Pembangkang ‘, Ahmad Fadhli balas cadangan Pemuda Amanah Terengganu

    CADANGAN Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu supaya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Ketua Pembangkang bertaraf menteri mendapat respons daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.

    Dalam satu hantaran ringkas di Facebooknya hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu itu berkata, meskipun cadangan itu dilihat baik, namun perkara berkenaan seharusnya diserahkan kepada gabungan itu untuk memutuskannya.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas pada masa sama secara sinis turut menyindir sayap pemuda Amanah negeri itu dan meminta agar terlebih dahulu melantik Ketua Pembangkang bagi mewakili parti berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

    “Cantik dah cadangan ini (Abdul Hadi sebagai Ketua Pembangkang), tapi serahkan sahaja kepada pihak kami untuk memutuskannya.

    “Di sebelah tuan, usahakan biar ada Ketua Pembangkang dari parti tuan di DUN Terengganu dulu, atau sekurang-kurangnya tidak hilang deposit,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH yang turut dianggotai Amanah dan bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Terengganu yang dikuasai oleh Pas dengan 22 kerusi dan BN (10 kerusi).

    Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali semalam berkata, pelantikan Abdul Hadi ke jawatan berkenaan itu dilihat wajar memandangkan Pas memenangi kerusi Parlimen paling banyak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    Pada PRU15, Pas memenangi 49 kerusi Parlimen sekali gus menjadikan ia sebagai parti paling banyak memiliki kerusi di Dewan Rakyat.

    Dalam pada itu, semalam, Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan pemilihan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat masih belum diputuskan.

    Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) menjangkakan jawatan itu akan disandang oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pada PRU15, PN yang terdiri antaranya daripada Bersatu dan Pas berjaya memenangi 73 kerusi, iaitu blok gabungan kedua terbesar selepas Pakatan Harapan (PH) yang merangkul 82 kerusi.

    Bagaimanapun, PH berjaya mengatasi PN untuk membentuk kerajaan melepasi 112 kerusi melalui kerjasama dengan antaranya BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

  • Wanita ditahan tipu gubahan belon hari lahir

    Wanita ditahan tipu gubahan belon hari lahir

    SEORANG wanita ditahan polis di sebuah kondominum dekat KL Gateway Kerinchi pada 4.30 pagi kelmarin selepas dipercayai terlibat di dalam penipuan perkhidmatan dekorasi gubahan belon hari lahir.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30 tahun menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui Instagram.

    Beliau berkata, pengadu telah menghubungi suspek dan diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun bank suspek.

    “Bagaimanapun, suspek gagal menyediakan perkhidmatan pada hari yang dijanjikan dan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM700,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, turut dirampas dua buah telefon bimbit, sebuah Unit Pem­prosesan Pusat (CPU) komputer, monitor, papan kekunci, tetikus, 15 beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut berjenama, sepasang cermin mata, sebuah iPad dan sampul surat mengandungi dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta dokumen peguam.

    Mohd. Iqbal berkata, semakan mendapati suspek turut terlibat di dalam enam lagi kes di daerah Selangor dan Kuala Lumpur.

    Tambahnya, beliau percaya ramai lagi individu yang menjadi mangsa atas penipuan suspek namun tidak membuat sebarang laporan polis.

    “Suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa dan kes kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan oleh Sarjan Norizuana Saidin,” ujarnya, lapor UtusanTV.

  • ‘Tak mungkin saya seleweng RM600 bilion, tidak takut disiasat’ – Muhyiddin

    ‘Tak mungkin saya seleweng RM600 bilion, tidak takut disiasat’ – Muhyiddin

    “TAK mungkin saya seleweng wang ini (dana RM600 bilion) kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.”

    Penegasan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dana RM600 bilion yang didakwa diselewengkan sewaktu pentadbiran beliau.

    Menurut Muhyiddin, beliau tidak pasti daripada mana angka sebanyak RM600 bilion berkenaan dipetik namun merasakan ia kemungkinan merujuk kepada lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.

    Lapan pakej rangsangan ekonomi itu telah beliau laksanakan sewaktu menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, sekiranya wang RM600 bilion tersebut diselewengkan, perkara berkenaan pasti diketahui melalui penemuan audit dibuat Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

    Malah, kata beliau, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

    Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga pasti mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun beliau dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun lalu tetapi sehingga hari ini, perkara tersebut tidak berlaku.

    “Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk bukan fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion; pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion; moratorium bayaran pinjaman bank individu dan syarikat bernilai RM180 bilion; jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban ditanggung individu dan perniagaan.

    “Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.

    “Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak takut untuk disiasat kerana tahu tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

    Katanya, negara mempunyai sistam dan amalan standard untuk menjamin ketelusan serta akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan.

    Beliau berkata, kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan dan jika terdapat penemuan mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

    “Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

    “Saya percaya pihak Kementerian Kewangan khususnya agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” jelas beliau.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut memberi pesanan kepada pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO supaya tidak menuding jari membuat tuduhan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari.

    “Awak dah jadi kerajaan, ‘act like a government’ (bertindak seperti kerajaan).

    “Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.

  • Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    Seorang maut, lori muatan diesel jatuh gaung di Lebuhraya PLUS

    SEORANG lelaki maut apabila lori muatan diesel yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung dan terbakar di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.52 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru dengan bantuan BBP Ipoh digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori terjatuh ke dalam gaung dan terbakar.

    “Operasi pemadaman dan penyelamatan sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.