SEORANG wanita ditahan polis di sebuah kondominum dekat KL Gateway Kerinchi pada 4.30 pagi kelmarin selepas dipercayai terlibat di dalam penipuan perkhidmatan dekorasi gubahan belon hari lahir.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30 tahun menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui Instagram.

Beliau berkata, pengadu telah menghubungi suspek dan diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun bank suspek.

“Bagaimanapun, suspek gagal menyediakan perkhidmatan pada hari yang dijanjikan dan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM700,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, turut dirampas dua buah telefon bimbit, sebuah Unit Pem­prosesan Pusat (CPU) komputer, monitor, papan kekunci, tetikus, 15 beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut berjenama, sepasang cermin mata, sebuah iPad dan sampul surat mengandungi dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta dokumen peguam.

Mohd. Iqbal berkata, semakan mendapati suspek turut terlibat di dalam enam lagi kes di daerah Selangor dan Kuala Lumpur.

Tambahnya, beliau percaya ramai lagi individu yang menjadi mangsa atas penipuan suspek namun tidak membuat sebarang laporan polis.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa dan kes kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan oleh Sarjan Norizuana Saidin,” ujarnya, lapor UtusanTV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here