Category: Semasa

  • Dakwaan rasuah PRU: UMNO-PH tak perlu kalut, kata Pemuda Pas

    Dakwaan rasuah PRU: UMNO-PH tak perlu kalut, kata Pemuda Pas

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ‘tidak perlu kalut’ sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya sogokan wang tunai kepada pengundi di tiga kerusi Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Fadhli berkata, merujuk kenyataan SPRM, terma ‘sedekah’ atau ‘rasuah’ hanya akan dibuktikan melalui siasatan dan dakwaan jika terdapat kes.

    “Yang pastinya jawatan nombor dua kerajaan PH-BN sedang disandang oleh tokoh yang sedang hadapi dakwaan rasuah di mahkamah. Itu pasti, tiada penafian,” katanya di Facebook.

    Fadhli turut berkata, PH kini mempunyai 148 Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu maka tiada keperluan mendesak untuk mengekalkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

    “Tapi itulah, tidak penting sangat isu integriti kepada kerajaan PH-BN ni,” katanya.

    Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menerusi hantaran Facebook mengingatkan Pas bahawa ‘matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara’.

    “Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah,” katanya lapor FMT.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menyiasat sebarang bentuk rasuah mengikut peruntukan undang-undang, bukannya berdasarkan tafsiran sendiri mana-mana individu.

    Azam berkata, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan dengan jelas takrifan membeli undi.

    Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

    Petisyen itu mendakwa Pas merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU-15.

  • Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    SEORANG pembantu rumah wanita warga asing melarikan barang kemas dan wang tunai milik majikannya bernilai RM14,000 di Seremban.

    Kejadian itu disedari pengadu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 7.30 malam kelmarin, ketika dia sekeluarga pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Selangor.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pembantu rumahnya yang bernama Hendriyawati, 40, tidak menyahut sebaik dipanggil lalu pengadu memeriksa dapur dan mendapati pintu dapur serta pintu pagar belakang telah terbuka.

    “Hasil semakan mendapati barang kemas milik anak pengadu dan ibunya telah tiada dalam almari di bilik tidur. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 11.44 pagi semalam.

    “Pengadu lewat membuat laporan polis kerana dia terlebih dahulu mengesan suspek daripada ejen pekerjaan serta cuba menghubungi beberapa nombor telefon daripada buku catitan milik pembantu rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek yang baru tiga bulan bekerja tidur di bilik tidur bahagian atas bersebelahan bilik tidur pengadu dan beg pakaian wanita berkenaan masih ada.

    Suspek katanya, hanya keluar rumah dengan membawa beg galas milik anak pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    SEORANG sarjan mejar polis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam, dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Lumut, Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 5.45 pagi semalam memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, anggota polis berkenaan sedang bercuti dari tugasnya di Pahang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam di kediaman keluarganya di Ayer Tawar.

    “Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Seri Manjung. Motif kejadian belum diketahui dan sedang disiasat polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor BH.

    Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor N Ravinthiran di talian 019-6508489 untuk membantu siasatan.

  • Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    POLIS menahan 88 individu termasuk 15 warga asing dan merampas barangan bernilai RM64.7 juta dalam serbuan membanteras kegiatan penyeludupan kontraban dan hidupan liar di tiga negeri dalam tempoh 20 hari.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata ia hasil 35 serbuan dan operasi dilakukan di Selangor, Sabah dan Perak oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas bagi tempoh 1 hingga 20 Jan lepas.

    Beliau berkata operasi dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Akta Kastam 1966 dengan jumlah rampasan berjumlah RM42.8 juta, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM1.2 juta) dan Akta Bahan Letupan 1957 (RM7.7 juta).

    Selain itu, operasi juga dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah rampasan RM10.7 juta, Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200).

    “PDRM akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dalam memerangi jenayah kontraban dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

  • Penunggang maut rempuh besi pembahagi jalan

    Penunggang maut rempuh besi pembahagi jalan

    SEORANG penunggang maut selepas merempuh besi pembahagi jalan di simpang masuk susur jejantas Sungai Buloh dekat Kilometer 458 Lebuhraya Selatan, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan pada pukul 6.35 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150.

    Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 38 tahun itu telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil berhubung Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang digempur polis

    Kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang digempur polis

    PERTUBUHAN haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang digempur pasukan polis bermula Khamis lalu dikesan menjadi orang tengah untuk mengutip hutang ah long dan aktiviti menarik kereta.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, dua kegiatan tersebut dipercayai turut melibatkan elemen keganasan dan gengsterisme iaitu menggunakan kekerasan serta ugutan jenayah terhadap mangsa.

    “Ini susulan penahanan 21 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat inspektor dan 12 anggota polis pangkat rendah berusia 20 hingga 49 tahun dalam Op Selendang di sekitar Dungun serta Kuala Terengganu bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

    “Namun tidak semua anggota polis yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah ini tapi mereka menjadi ahli pertubuhan haram, ia merupakan satu kesalahan dalam perkhidmatan polis,”
    katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

    Katanya, pertubuhan itu merupakan serpihan daripada satu kumpulan lain dan anggota polis dipercayai mula terlibat di dalamnya sejak 2021.

    Rohaimi berkata, pelbagai barangan turut dirampas dalam operasi itu termasuk enam bilah pedang, satu badik, satu ekor pari diubah suai menjadi senjata tajam, lapan kenderaan, 28 telefon bimbit, pakaian berlogo pertubuhan dan pelekat kenderaan.

    Menurutnya, penyertaan ahli ke dalam kumpulan diketuai seorang peniaga berusia 39 tahun itu turut melibatkan baiah berikutan rampasan peralatan bagi tujuan ritual tersebut seperti selendang, kain kafan dan naskhah Al-Quran.

    Jelas beliau, kumpulan AHK yang mempunyai ahli sekitar 200 hingga 300 orang di sekitar Dungun dipercayai memberi perlindungan kepada ahli bagi mengelak kenderaan mereka ditarik atau dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan.

    “10 anggota polis yang terlibat telah ditahan kerja bermula semalam (Isnin), dua pegawai menunggu tindakan lanjut dari Bukit Aman manakala dua anggota lagi termasuk tujuh individu akan masih ditahan reman sehingga esok.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Bukit Aman menahan 12 anggota dan dua pegawainya untuk siasatan dipercayai terlibat dengan aktiviti pertubuhan haram di Kuala Terengganu pada Jumaat.

    Operasi Op Selendang yang dijalankan itu turut menahan tujuh orang awam.

    Difahamkan, pertubuhan kumpulan AHK itu dipercayai aktif di kalangan anggota terbabit sejak beberapa tahun lalu.

  • Dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai

    Dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai

    DUA beradik lelaki lemas ketika mandi di sebatang anak sungai di Jalan Beringis-Kawang, Kinarut, semalam.

    Kedua-dua budak berusia 12 dan 13 tahun yang juga murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang, itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.

    Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 3.05 petang.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengikut ibu dan nenek mereka mencari lokan di lokasi kejadian. Sementara ibu dan nenek kedua mangsa mencari lokan, mereka dikatakan mandi di sebuah anak sungai yang ada di kawasan berkenaan.

    “Kedua-duanya kemudian disedari lemas oleh ibu dan nenek sebelum meminta bantuan orang awam yang lalu di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kedua-dua mangsa katanya, berjaya dibawa keluar dari anak sungai berkenaan namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Mereka katanya, segera dikejar ke hospital oleh orang awam namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

    “Hasil pemeriksaan, tiada unsur jenayah atas kematian dua kanak-kanak itu dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

    Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 4.51 petang semalam atas pelbagai kesalahan termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Ujar beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 13 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur  antara 27 hingga 55 tahun yang mana dua daripada kru warga Myanmar gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    Sehubungan itu, tambahnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

    “Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Kedah cuti peristiwa sempena Thaipusam

    Kedah cuti peristiwa sempena Thaipusam

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN Kedah meluluskan pemberian cuti peristiwa pada hari Ahad, 5 Februari depan bersempena dengan sambutan Thaipusam di negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Exco yang dijalankan pada 18 Januari lalu.

    Katanya, pemberian cuti peristiwa itu bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada penganut Hindu di seluruh Kedah meraikan hari kebesaran agama mereka bersama keluarga.

    “Kepada yang bukan beragama Hindu, pemberian cuti peristiwa ini juga diharap dapat memberikan mereka manfaat yang sebaik-baiknya memandangkan ia jatuh pada hari Ahad yang berturutan dengan cuti mingguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Untuk rekod, kerajaan negeri juga pernah meluluskan cuti peristiwa untuk Thaipusam bagi penganut Hindu yang menyambut perayaan itu pada 18 Januari tahun lalu.

    Cuti peristiwa tidak diberikan secara automatik sebaliknya perlu dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco selain ianya turut terikat dengan Akta Cuti Peristiwa.

  • Tidak sempat mencuri, lelaki tertidur akibat mabuk

    Tidak sempat mencuri, lelaki tertidur akibat mabuk

    SEORANG penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan dalam satu kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kehadiran lelaki berusia 41 tahun itu disedari penghuni rumah berusia 65 tahun pada 6.30 pagi yang kemudian membuat laporan polis.

    “Ketika kejadian pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak mereka di rumah teres satu tingkat. Semasa masuk ke dalam rumah, suspek dipercayai minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur.

    “Sebaik sahaja pengadu bangun tidur awal pagi, dia menemukan suspek terbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri. Pengadu lihat terdapat beg kertas mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hoo berkata lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk rumah berkenaan dengan memanjat pagar dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci

    Beliau berkata tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod dadah, enam rekod jenayah dan berstatus orang yang dikehendaki polis.

    “Suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan penduduk setempat agar lebih berhati-hati dengan sentiasa mengunci rumah bagi keselamatan keluarga.